Bab 49

Drama Completed 163108

Sambil menggenggam erat fail strategi yang baru sahaja dibentangkan oleh Zizah, Faid mencapai telefon bimbitnya yang bergetar. Satu notifikasi daripada aplikasi sistem keselamatan rumah pintar miliknya muncul.
Dia melihat paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung. Di sana, dia melihat emaknya baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah mereka yang kini sudah kembali bersih, kemas, dan tenang—seolah-olah kejadian amukan Sofia tidak pernah berlaku. Kak Siti dilihat sedang membantu emaknya duduk di sofa kegemarannya sambil menghidangkan segelas air.
Faid menarik nafas lega yang amat dalam. Dia tahu, hanya dengan satu 'ketik' atau satu pesanan ringkas daripada Zizah, segala urusan perpindahan emaknya dari hospital dan pembersihan rumahnya berjalan dengan sangat lancar dan pantas.
"Mak dah sampai rumah," bisik Faid kepada Zizah, matanya masih terpaku pada skrin telefon.
Zizah yang sedang mengemas barang di atas meja hanya mengerling sekilas dengan senyuman nipis. "I dah arahkan pasukan pembersihan profesional untuk 'nyahkuman' rumah you semalam.”

“Segala kesan-kesan 'sampah' yang pernah ada kat situ dah dibuang. I juga dah tambah dua orang pengawal peribadi di pondok depan rumah you untuk pastikan mak cik rasa selamat."
Faid memandang Zizah dengan penuh rasa terhutang budi. Dia sedar betapa efisiennya cara Zizah bekerja—satu ketik di telefon, masalah rumah selesai. Satu panggilan telefon, masalah syarikat selesai.
"Terima kasih, Zizah. You fikirkan semuanya untuk I... walaupun I dah buat silap besar pada you," ujar Faid ikhlas.
Zizah menghampiri Faid, mengambil telefon dari tangan lelaki itu dan menutup skrinnya. "Sebab I nak you fokus, Faid. Sekarang mak you dah selamat, rumah you dah bersih.”

“Tak ada alasan lagi untuk you toleh belakang. I tak nak dengar lagi alasan 'I risau pasal mak' atau 'I stres pasal rumah'. I dah settlekan semua gangguan dalam hidup you."
Zizah menepuk dada Faid dengan lembut namun tegas. "Sekarang, 'gangguan' tunggal you cuma I. Dan kerja you cuma pastikan lima bangunan tu bangkit semula. Faham?"
"Faham, sayang," balas Faid. Dia terasa beban di bahunya sedikit terangkat apabila mengetahui ibunya kini dalam keadaan selamat di bawah jagaan orang-orang kepercayaan Zizah.
Faid menyimpan telefonnya ke dalam poket. Dia melangkah keluar dari pejabat Zizah dengan semangat yang berbeza. Jika sebelum ini dia bekerja dalam keadaan keliru dan takut, kali ini dia bekerja untuk membayar balik setiap jasa dan kepercayaan wanita yang telah menyelamatkan maruahnya.
Sambil berjalan menuju ke lif untuk bertemu dengan Tan Sri Tajudin, Faid sempat melihat satu lagi mesej ringkas daripada peguam Zizah: "Sofia telah dipindahkan ke penjara reman sementara menunggu tarikh sebutan kes. Tiada jaminan dibenarkan."
Satu fasa gelap dalam hidupnya benar-benar telah ditutup rapat oleh Zizah. Kini, tiba masanya untuk Faid membuktikan bahawa dia layak menjadi 'King' di sisi ratu yang sehebat Zizah.

Satu sesi taklimat khas telah diadakan di bilik operasi utama, di mana Zizah telah mengumpulkan semua ketua jabatan dan staf senior yang terlibat. Ruang itu dipenuhi dengan pelan-pelan arkitek yang besar dan skrin digital yang memaparkan aliran tunai yang sangat kompleks.
Di tengah-tengah ruang itu, Faid berdiri bersama fail-failnya. Kali ini, dia tidak dibiarkan bersendirian. Staf-staf senior yang dahulunya mungkin memandang rendah kepadanya, kini hadir dengan satu misi: mengajar dan memantau. Zizah telah menetapkan peraturan yang sangat ketat—setiap satu langkah Faid, setiap satu aliran projek lama yang terbengkalai mahupun projek baru, harus diteliti dengan mikroskopik. Satu kesalahan kecil pun tidak akan dilepaskan.
Faid dapat merasakan pandangan-pandangan sinis dan bisikan kecil di belakangnya. Dia tahu ada sebahagian daripada mereka yang ingin ketawa melihat "Encik Faid" yang biasanya berlagak kini harus belajar semula seperti pelatih praktikal.
Zizah, yang duduk di hujung meja dengan gaya yang sangat autoriti, memerhatikan suasana itu. Dia tahu ada staf yang cuba memperlekehkan Faid, namun dia tidak memarahi mereka. Dia hanya menegaskan satu perkara:
"I tahu ramai antara korang rasa benda ni lucu. Tapi ingat, kalau Faid gagal, projek ni gagal. Kalau projek ni gagal, bonus dan kedudukan korang pun ikut terbang sekali.”

“I tak beri korang banyak masa untuk bermain politik. I nak korang beri ilmu korang pada dia, dan I nak Faid serap semuanya dalam masa singkat," suara Zizah yang tenang namun tegas itu serta-merta membungkam suasana.
Selama beberapa hari seterusnya, pejabat Sri Holdings yang biasanya sibuk dengan urusan masing-masing, kini menjadi sunyi dan lenggang. Kenapa? Kerana Zizah telah mengarahkan pasukan terasnya untuk bersatu hati turun ke padang bersama Faid. Mereka tidak lagi hanya duduk di kerusi empuk; mereka berada di bilik fail, meneliti kontrak-kontrak lama yang bermasalah.
Zizah sendiri turut turun padang. Sesekali dia akan berdiri di belakang Faid, memerhatikan bagaimana Faid menyemak dokumen. Dia tidak lagi membelai, sebaliknya dia akan mengetuk meja jika Faid mula hilang fokus.
"Berapa kali I nak cakap, Faid? Jangan tengok nilai akhir. Tengok butiran contingency tu. You buat silap kat sini, kontraktor akan pijak kepala you nanti," tegur Zizah tegas di hadapan staf yang lain.
Faid tidak melatah.

Dia menelan setiap teguran itu dengan hati yang terbuka. Dia sedar, kedinginan Zizah di pejabat adalah satu bentuk perlindungan agar dia tidak terus dipijak oleh staf lain. Dengan kehadiran Zizah yang sentiasa memantau, staf-staf yang tadi mahu mengetawakan Faid mula rasa segan dan akhirnya benar-benar membantu kerana mereka melihat kesungguhan Faid yang tidak tidur malam demi mengejar ilmu yang tertinggal.

Melihat perubahan drastik dalam cara Zizah mengendalikan syarikat dan bagaimana dia "mentarbiah" Faid, Tan Sri Tajudin akhirnya dapat menarik nafas lega. Rasa bangga mula mekar di hati lelaki tua itu. Dia melihat Zizah bukan lagi sebagai anak perempuan yang lemah kerana cinta, tetapi sebagai seorang pemimpin yang bijak melentur dan membina semula harga diri pasangannya.
"Ini baru anak Papi," bisik Tan Sri Tajudin sendirian apabila melihat laporan kemajuan lima projek tersebut yang menunjukkan graf peningkatan yang sangat positif dalam masa singkat.
Kejayaan Zizah membangkitkan lima bangunan terbengkalai itu dalam satu masa mula menjadi buah mulut di kalangan pemain industri. Kehebatan strategi "The Resurrection" yang diatur Zizah menarik minat ramai pelabur besar. Tiba-tiba, telefon pejabat Sri Holdings tidak berhenti berdering. Syarikat-syarikat gergasi dari dalam dan luar negara mula datang membawa kertas cadangan, mahu menjalinkan kerjasama dengan empayar Tan Sri Tajudin.
Suasana di tingkat atas bangunan Sri Holdings kini berubah menjadi medan mesyuarat yang tidak putus-putus.
"Tan Sri, pelabur dari Singapura mahu slot jam 2 petang. Dan wakil dari Dubai pula sudah menunggu di bilik VVIP," lapor setiausaha Tan Sri Tajudin.
Tan Sri Tajudin terpaksa mengutamakan mesyuarat-mesyuarat besar ini. Walaupun dia sibuk dengan pelabur, dia tetap memastikan Zizah dan Faid terus diberikan kuasa penuh untuk menguruskan operasi di bawah. Dia tidak lagi ragu-ragu untuk menyerahkan projek-projek bernilai ratusan juta kepada mereka berdua.
"Zizah, Papi akan serahkan urusan pelaburan baru ini pada Papi. You dan Faid fokus pada lima bangunan itu.”

“Pastikan jangan ada satu pun yang tercicir," pesan Tan Sri Tajudin dalam satu pertemuan ringkas di antara waktu mesyuaratnya yang padat.
Zizah hanya mengangguk tenang.

Dia tahu, ini adalah peluang keemasan untuk dia mengukuhkan kedudukan Faid. Dia sengaja meletakkan Faid sebagai Wajah Utama dalam setiap perbincangan teknikal dengan pelabur yang datang meninjau ke tapak projek. Dia mahu semua orang nampak bahawa Faid adalah penggerak utama, manakala dia adalah perancang di sebalik tabir.

Share this novel

SeeT
2025-07-07 22:37:27 

tak paham jln cerita ni..cerita pasal ape ye


NovelPlus Premium

The best ads free experience