Completed
163108
Zizah mengeratkan pelukannya, menyandarkan dagunya di bahu Faid yang masih terasa kaku. Dia menghirup bauan pada leher Faid, bauan lelaki yang hampir menghancurkan hidupnya, namun kini lelaki itu sudah pun berada dalam genggamannya seperti tanah liat yang boleh dibentuk bila-bila masa.
"Biyy," bisik Zizah, tangannya mula merayap ke dada Faid, merasai degupan jantung lelaki itu yang masih belum tenang sepenuhnya.
"You tahu tak, Papi pernah pesan pada I... dalam dunia ni, kita tak boleh harapkan sesiapa. Tapi bila I jumpa you, I cakap pada Papi, Faid Azhari adalah pengecualian. I sanggup pertaruhkan segalanya untuk you."
Faid terdiam, rasa sebak memenuhi dadanya. Dia benar-benar percaya setiap bait kata Zizah. Dia tidak tahu, itu adalah skrip yang Zizah gunakan untuk membuatkan mana-mana "musuh" rasa kecil dan kerdil.
Zizah menjauhkan sedikit wajahnya, menatap mata Faid yang nampak sayu. "Sebab itu bila I nampak dokumen syarikat 'rahsia' you tu, I tak marah. I cuma sedih.”
“I fikir... adakah I tak cukup bagus untuk you sampai you rasa you kena bina jalan sendiri secara sorok-sorok? I rasa macam I gagal jadi kekasih you."
"Tak, Zizah! You tak gagal. I yang bodoh, I yang tamak..." Faid segera memintas, suaranya penuh dengan penyesalan. Dia hampir melutut lagi di depan Zizah kalau tidak kerana badannya yang masih sakit.
"I tahu you tamak, Biyy. Tapi I suka lelaki yang tamak. Sebab orang yang tamak macam you ni, bila dah 'kena kunci', you akan jadi yang paling setia sebab you takut hilang kesenangan yang I bagi," kata Zizah dalam nada bergurau, namun matanya tetap dingin.
Zizah bangun dan berjalan ke arah beg tangannya. Dia mengeluarkan sehelai dokumen baru. Dokumen yang sudah siap dicetak sejak dia berada di pejabat pelabur pagi tadi.
"I dah arahkan peguam I di Malaysia untuk satukan syarikat 'rahsia' you tu dengan firma peribadi I.”
“Mulai esok, you akan jadi Pengarah Urusan di situ. Tapi," Zizah berhenti sejenak, menoleh ke arah Faid dengan pandangan yang sangat tajam.
"Semua keputusan besar, aliran keluar masuk duit, dan kontrak... mesti melalui I. Secara mutlak." Zizah menghulurkan pen mahal itu kepada Faid.
"Tanda tangan ni, Biyy. Ini bukti yang you benar-benar nak tebus salah you pada I. Kita bina empayar ni sama-sama, tapi di bawah telunjuk I. You sanggup kan?"
Faid memandang dokumen itu. Ini bukan lagi soal cinta; ini adalah surat "penghambaan" secara rasmi. Namun, dengan rasa bersalah yang menggunung dan rasa takut kehilangan kemewahan serta "cinta" Zizah, Faid tidak berfikir panjang. Dia mencapai pen itu dan menurunkan tandatangannya dengan tangan yang masih sedikit bergetar.
Zizah mengambil semula dokumen itu, meniup dakwat yang masih basah dengan wajah yang sangat puas.
"Pintar..." puji Zizah pendek.
Dia kemudian melabuhkan satu ciuman di pipi Faid yang lebam. "Sekarang, 'Raja' I dah kembali ke tempatnya. Esok kita balik Malaysia, dan I nak you tunjukkan pada semua staf yang you adalah tangan kanan I yang paling berkuasa... walaupun hakikatnya, you adalah milik I sepenuhnya."
Zizah berjalan ke arah bilik air untuk membersihkan diri, meninggalkan Faid yang termenung sendirian. Faid rasa dia baru sahaja menyelamatkan hubungannya, tanpa sedar dia baru sahaja menyerahkan kunci lehernya kepada Zizah untuk selama-lamanya. Suasana di dalam bilik air yang dipenuhi wap panas itu terasa begitu berat dengan emosi. Zizah menyandarkan kepalanya di tepi bathtub, matanya yang separuh tertutup tadi terbuka perlahan-lahan apabila menyedari kehadiran Faid. Dia melihat Faid melutut di atas lantai marmar yang dingin, tepat di hadapan tempat dia berendam.
Air mata Faid jatuh satu demi satu, membasahi pipinya yang masih merah dan bengkak. Lelaki yang selama ini memegang ego setinggi gunung itu kini runtuh sepenuhnya.
"Sayang... I salah selama ni," rintih Faid, suaranya pecah di celah bunyi air yang menitis.
Zizah tidak terkejut. Dia sudah menjangkakan saat ini akan tiba saat di mana Faid akan menyerah kalah secara total bukan sahaja dari segi kontrak, tetapi dari segi jiwa. Zizah bangun perlahan-lahan dari rendaman air suam itu. Buih-buih sabun putih yang wangi masih melekat pada kulitnya yang putih menawan, menitis jatuh mengikut lekuk tubuhnya yang sempurna tanpa sebarang cela.
"Kenapa, Faid?" soal Zizah pendek. Suaranya tenang, hampir seperti bisikan dewi yang sedang menghakimi hambanya.
Faid mendongak sedikit, matanya yang basah menatap tubuh Zizah yang berdiri megah di depannya. "Selama ni I fikir bukan-bukan tentang you... tentang Papi you. I ingat you sama macam Sofia, cuma nak gunakan I.”
“Tapi I silap... You jauh lebih hebat. You lebih berkuasa jika nak dibandingkan dengan Papi you sendiri. You satu-satunya orang yang nampak potensi I walaupun I cuba khianat you..." Faid kemudian menundukkan kepalanya semula.
Dengan penuh rasa rendah diri dan pengabdian yang buta, dia memegang kedua-dua kaki Zizah yang masih basah. Dia meletakkan dahinya di atas kaki wanita itu, satu simbol penyerahan diri yang paling mutlak bagi seorang lelaki.
Zizah memandang ke bawah, melihat dahi Faid yang melekat pada kakinya. Dia merasakan getaran tubuh Faid yang sedang menangis teresak-esak. Di sebalik wajahnya yang nampak simpati, sudut bibir Zizah terjungkit sedikit. Dia berasa sangat puas. Inilah kemuncak yang dia mahukan—Faid bukan sahaja takut padanya, tetapi Faid memuja dan mengagungkan "kuasanya".
"I dah maafkan you, Faid," Zizah bersuara sambil tangannya yang licin dengan sisa sabun mengusap rambut Faid dengan penuh dominasi.
"Jangan bandingkan I dengan Sofia. Sofia tu cuma sampah yang tak tahu nilai permata macam you. I pula... I tahu macam mana nak jaga permata I, supaya dia sentiasa berkilat di bawah kaki I."
Faid mencium kaki Zizah dengan penuh rasa syukur. Dia rasa dia telah menemui "Tuhan" dalam hidupnya yang penuh gelap. Dia tidak sedar, dengan meletakkan dahi di situ, dia secara rasminya telah menyerahkan setiap inci maruahnya untuk dipijak oleh Zizah bila-bila masa sahaja wanita itu mahu.
"Bangun, Faid. Lap air mata you," perintah Zizah, namun nadanya tetap lembut menggoda.
"I nak you ingat rasa ni. Rasa bila you melutut di depan I. Selagi you ingat rasa ni, you takkan pernah buat salah lagi. Faham?"
"Faham, sayang... I faham," balas Faid sambil mendongak, matanya penuh dengan pengabdian yang tidak berbelah bahagi.
Faid berdiri perlahan-lahan, matanya tidak berganjak daripada susuk tubuh Zizah yang masih basah dan dilitupi sisa buih sabun yang harum. Di mata Faid, Zizah bukan lagi sekadar seorang wanita; dia adalah satu karya agung yang terlalu mahal untuk disentuh oleh tangan-tangan kasar.
Share this novel