Bab 41

Drama Completed 163108

Zizah mencapai telefonnya sekilas, menaip balasan ringkas kepada Fiona: "Let him find out. I'm busy gardening." Dia meletakkan semula peranti itu di atas meja batu bersebelahan kolam ikan koi yang tenang, lalu berlari anak menuju ke arah maminya yang sedang sibuk dengan baja organik.
Suasana petang itu sangat harmoni. Zizah yang biasanya dingin kini kelihatan seperti gadis remaja yang ceria. Dia berbual mesra, menceritakan hal-hal remeh sambil membantu maminya menggembur tanah. Sesekali, Sri Khatijah mengangkat tangannya yang sedikit kotor, mengusap lembut peluh yang merenik di dahi dan pipi Zizah dengan belakang telapak tangannya.
Maminya tiba-tiba memerhatikan pakaian Zizah—sehelai singlet ketat dan seluar pendek yang menonjolkan bentuk tubuhnya yang cantik.
"Anak mami ni, pakai seksi sangat ni kenapa? Nanti Papa Zara kat balkoni depan tu nampak, habislah kamu. Mengganggu ketenteraman jiran namanya tu," Sri Khatijah tergelak kecil, cuba mengusik anak perempuannya.
Zizah lantas membuat muka comel, sengaja mahu mengusik maminya kembali. Dia melentokkan kepalanya ke bahu maminya dengan nada suara yang sengaja dibuat-buat manja dan gedik.
"Alaa biarlah mami... lagipun Papa Zara tu duda anak dua, kan? Apa salahnya kalau Zizah jadi mak tiri budak-budak tu. Rezeki jangan ditolak, mami!" Zizah membalas dengan kerlingan mata yang nakal.
Sri Khatijah yang sedang memegang sudip tangan terus terhenti. Dia membesarkan matanya, memandang Zizah dengan riak wajah yang terkejut beruk.
"Ish kamu ni! Jangan macam-macam! Tak mahulah mami bermenantukan dia. Dah la sebaya dengan Papi kamu tu! Mami tak nak!!" jerit Sri Khatijah dalam nada protes yang lucu.
"Hahahaha!" Zizah tergelak lepas.

Suara tawa yang sudah lama tidak kedengarannya itu bergema di seluruh halaman rumah. Untuk seketika, dia benar-benar terlupa tentang Faid Azhari, terlupa tentang dendam Sofia, dan terlupa tentang segala beban yang dipikulnya di pejabat. Dia hanya mahu menjadi Zizah, anak manja maminya yang sedang mengusik tentang jiran mereka yang duda itu.
Ketawa itu adalah penawar buat hatinya yang berdarah, walaupun dia tahu, di sebalik tawa itu, dia sedang mengumpul kekuatan untuk menghadapi hari esok yang mungkin kembali kelam.
"Mami jangan risau, Zizah gurau je lah. Tak selera Zizah dengan Papa Zara tu," sambung Zizah sambil mencuit hidung maminya yang masih menunjukkan muka tidak puas hati.
"Kamu ni memang nak bagi mami serangan jantung!" balas Sri Khatijah, namun akhirnya dia turut tersenyum melihat kegembiraan anaknya.
Sementara itu, di sebuah hospital yang terletak di pinggir bandar, Faid Azhari sedang melangkah masuk dengan perasaan yang berdebar-debar. Dia telah berjaya menjejaki lokasi Sofia melalui maklumat yang diperolehinya. Bau antiseptik hospital itu membuatkan dia teringat kembali saat dia bangun dan melihat Zizah buat pertama kali dulu.
Dia sampai di hadapan sebuah wad kelas ketiga. Pintu dikuak perlahan.
"Sofia?" bisik Faid.
Langkah Faid terhenti serta-merta. Di atas katil itu, dia melihat seorang wanita yang seluruh wajahnya berbalut, tangannya bersimen, dan matanya hanya terbuka sedikit. Sofia nampak hancur. Bukan hancur kerana sakit biasa, tetapi hancur seperti baru sahaja dilepas dari "neraka".
"Faid..." suara Sofia keluar dengan sangat payah, hampir seperti bisikan maut.
Faid jatuh terduduk di kerusi sebelah katil. Kemarahannya terhadap Zizah yang tadi sudah mula reda, kini kembali meluap dengan seribu kali ganda lebih hebat. Dia yakin, ini adalah kerja Zizah. Inilah sebabnya Zizah begitu tenang menanam pokok di rumah—kerana dia sudah "menyelesaikan" musuhnya.
"Zizah... you memang melampau!" gumam Faid dengan tangan yang menggenggam penumbuk sehingga bergetar.

Sofia perlahan-lahan menggerakkan tangannya yang tidak bersimen dan merangkul lengan Faid dengan erat, seolah-olah Faid adalah satu-satunya pelampung di tengah lautan.
"Bukan salah Zizah... I rasa ni musuh Papa I, Faid," bisik Sofia dengan nada yang sangat meyakinkan. Dia memandang Faid dengan mata yang berair, menunjukkan riak ketakutan yang amat sangat.
Faid terdiam. Dia merenung jauh ke dalam anak mata Sofia, cuba mencari kejujuran di sebalik wajah yang hancur itu. "Betul ke? You jangan nak sorokkan apa-apa dari I, Sofia. Kalau Zizah yang buat, I akan..."
"Ya, betul. Sebab I rasa mereka nak cari Papa tapi Papa dah ke dalam... sekarang tinggal I sorang-sorang.”

“I dah tak ada rumah, Faid. I takut kalau mereka datang balik cari I kat sini," potong Sofia dengan suara yang semakin sayu, hampir tenggelam dalam esakan kecil.
Hati Faid yang sedia rapuh itu luruh melihat keadaan Sofia. Walaupun dia masih sangsi dengan Zizah, namun melihat Sofia yang sebatang kara dan tidak mempunyai tempat bergantung, naluri pelindungnya bangkit semula.
Faid duduk tegak dan mengeluh perlahan sambil memerhatikan lebam ungu di wajah Sofia. "I rasa you boleh duduk di rumah I untuk sementara waktu ni, Sofia. Lagipun adik-adik I duduk di asrama, mereka jarang balik ke rumah. Mak I pun ada, dia boleh tolong tengokkan you."
Sofia tersentak, ada sinar harapan pada matanya namun dia teragak-agak. "Tapi... Zizah tak marah ke? I tak nak jadi punca you bergaduh lagi dengan dia."
"Biarkan kalau dia nak marah. I takkan mengalah kalau dia serang you nanti. I dah penat nak ikut telunjuk dia," balas Faid tegas, walaupun dalam hatinya ada satu lubang kosong yang terasa pedih.
Dia teringatkan Zizah.

Sudah berhari-hari wanita itu tidak menghubunginya. Malah, pagi tadi dia cuba menghantar fail penting ke pejabat Zizah dengan harapan dapat berselisih atau sekurang-kurangnya mendengar suara wanita itu, namun Fiona hanya memaklumkan dengan nada profesional bahawa Zizah tidak akan hadir untuk beberapa hari.
Faid tertanya-tanya sendiri, apa yang Zizah sedang buat? Adakah dia benar-benar sedang berehat, atau dia sedang merancang sesuatu yang lebih dahsyat? Dia teringat kembali "hukuman" yang dia berikan pada leher Zizah tempoh hari. Adakah Zizah sedang merajuk? Atau Zizah sedang menanam dendam baru?
"Faid? You fikir apa?" tegur Sofia lembut, mematikan lamunan Faid.
"Tak ada apa. You kemas apa yang patut, I uruskan urusan keluar hospital you petang ni juga. You tak selamat kat sini kalau betul musuh papa you tengah cari you," ujar Faid.
Faid nekad. Dia akan membawa Sofia balik ke rumahnya. Dia mahu membuktikan kepada Zizah bahawa dia bukan lagi "buah catur" yang boleh digerakkan sesuka hati. Namun, dia tidak sedar bahawa tindakannya membawa masuk Sofia ke dalam rumahnya adalah seperti menjemput api masuk ke dalam timbunan jerami.

Suasana di ruang tamu rumah Faid terasa sangat tegang. Ibu Faid duduk di sofa tunggal, matanya tajam memerhatikan tangan Faid yang menggenggam erat jemari Sofia yang berbalut. Hati si ibu tidak tenang; dia tahu sejarah antara mereka, dan dia juga tahu betapa besarnya jasa Zizah dalam memulihkan hidup anaknya.
Tanpa pengetahuan Faid, ibunya telah menghantar mesej kecemasan kepada Zizah. Dia mahu Zizah ada di sini untuk menjernihkan keadaan—atau sekurang-kurangnya untuk menyedarkan Faid.
Tidak lama kemudian, bunyi enjin kereta berhenti di hadapan rumah. Zizah melangkah keluar dari keretanya. Sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah, Zizah terhenti seketika di muka pintu. Dia memandang cincin berlian di jari manisnya—tanda pertunangan yang tidak rasmi namun sangat bermakna antara dia dan Faid. Dengan nafas yang tenang, Zizah mencabut cincin itu, melihatnya buat kali terakhir, lalu menyimpannya ke dalam beg tangan.
Zizah masuk ke dalam rumah dengan penampilan yang sangat mempesona. Dia tidak memakai baju pejabat, sebaliknya hanya berbaju kurung moden yang ringkas, membuatkan dia nampak lebih matang dan tenang. Tiada riak marah, tiada jeritan. Malah, dia mengukir senyuman yang sangat manis sebaik sahaja melihat Faid dan Sofia di sofa.
"Zizah..." Faid tersentak, dia secara automatik mahu melepaskan tangan Sofia, namun dia mengeraskan diri. Dia mahu mencabar Zizah.
"Assalamualaikum, Mak Cik," Zizah menghampiri ibu Faid dan menyalami tangan wanita tua itu dengan penuh hormat.

Dia kemudian beralih memandang Faid dan Sofia. "Hai Sofia... I dengar you sakit. Teruk juga ya lebam tu."
Ibu Faid berdehem. "Zizah, mak cik panggil kamu sebab mak cik terkejut Faid bawa Sofia balik. Mak cik rasa tak manis, lagipun kamu dan Faid kan..."
Zizah memotong lembut dengan nada suara yang sangat lunak. "Tak apa, Mak Cik. Zizah faham. Faid seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Kalau dia rasa Sofia perlukan perlindungan di bawah bumbung rumah ni, Zizah sokong sepenuhnya."
Faid terpaku. Dia menjangkakan Zizah akan mengamuk, membaling barang, atau sekurang-kurangnya menghina Sofia. Tetapi Zizah yang ada di depannya sekarang nampak seperti seorang kakak yang sangat memahami.
"You tak marah, Zizah?" soal Faid, suaranya penuh keraguan.
Zizah duduk di kerusi berhadapan mereka, menyilangkan kakinya dengan anggun. "Kenapa I nak marah? Kita semua manusia, Faid.”

“I pun buat silap, Sofia pun mungkin mangsa. Kalau dengan cara duduk di sini Sofia boleh selamat, I sebagai orang luar... eh, maksud I sebagai rakan kongsi you, I setuju sangat apa yang mak cik cadangkan tadi."
Zizah memandang ibu Faid. "Mak cik, kalau mak cik rasa Sofia perlukan bantuan rawatan peribadi kat rumah ni, beritahu Zizah. Zizah boleh hantar doktor peribadi Zizah datang sini setiap hari. Percuma."
Sofia memandang Zizah dengan perasaan tidak sedap hati. Kebaikan Zizah ini terlalu luar biasa. Ia lebih menakutkan daripada kemarahannya.
"Terima kasih, Zizah... you baik sangat," bisik Sofia, suaranya bergetar.
Zizah tersenyum lebar, menampakkan barisan giginya yang putih. "Sama-sama, Sofia. I cuma nak yang terbaik untuk Faid. Dan kalau 'terbaik' itu adalah you berada di sini, I akan mudahkan segala-galanya untuk korang berdua."
Faid menghantar Zizah ke pintu dengan perasaan yang bercampur baur. Dia rasa menang, tetapi kenapa hatinya rasa lebih sakit melihat Zizah yang begitu tenang melepaskannya?
"Zizah, you okey?" tanya Faid di muka pintu.
Zizah berpaling, matanya bersinar tenang. "I sangat okey, Faid. I cuma baru sedar... yang I tak boleh paksa burung yang nak terbang bebas untuk terus duduk dalam sangkar emas I. Selamat pengantin baru... eh, I maksudkan, selamat menjaga Sofia."
Zizah masuk ke dalam keretanya dan memandu pergi. Sebaik sahaja keretanya hilang dari pandangan, senyuman Zizah terus mati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience