Bab 45

Drama Completed 163108

Menjelang tengah hari, keadaan di pejabat menjadi semakin huru-hara buat Faid. Tekanan yang ditanggungnya mula membuahkan hasil yang buruk. Kerana fikirannya bercabang antara cemburu terhadap Zizah, gangguan Sofia di rumah, dan amaran Tan Sri Tajudin tadi, Faid telah melakukan beberapa kesilapan kritikal dalam pengiraan bajet untuk empat projek terbengkalai tersebut.
Beberapa orang ketua staf dan akauntan senior terpaksa masuk ke biliknya dengan wajah yang serba salah namun tegas.
"Encik Faid, saya rasa ada kesilapan besar dalam pembahagian dana untuk Projek Melawati.”

“Encik terlepas pandang kos liabiliti lama yang Zizah dah sebut dalam memo kelmarin," ujar salah seorang akauntan sambil meletakkan fail di depan Faid.
"Dan lagi satu, Encik Faid... Encik belum tandatangan borang kelulusan bahan binaan untuk tapak baru.”

“Kontraktor dah bising kat bawah, mereka kata kalau tak ada tandatangan sekarang, bekalan takkan sampai esok," tambah seorang lagi penyelia tapak dengan nada yang sedikit tidak puas hati.
Faid meraup rambutnya, wajahnya nampak sangat kusut. "I dah buat tadi! Takkan hilang pula?"
"Encik tak buat lagi, Encik Faid. Tadi Encik cuma renung skrin komputer lama sangat, lepas tu Encik keluar pergi lobi," balas staf itu dengan berani.

"Maaf kalau saya cakap, Encik Faid... biasanya kalau Cik Zizah ada, benda-benda remeh macam ni takkan jadi masalah. Dia akan tapis semua sebelum sampai ke meja Encik."
Kata-kata staf itu seperti satu tamparan hebat buat Faid. Dia tersedar betapa besarnya peranan Zizah selama ini sebagai "perisai" dan "otak" di belakang kejayaannya. Tanpa Zizah yang menguruskan selok-belok pentadbiran yang rumit, Faid hanyalah seorang lelaki yang sedang lemas dalam lautan kertas kerja. Staf-staf itu keluar dari bilik dengan keluhan kecil, meninggalkan Faid dalam kesunyian yang menyesakkan. Dia melihat telefonnya—tiada panggilan daripada Zizah. Dia kemudian teringat Sofia di rumah yang mungkin sedang mencetuskan drama baru dengan Kak Siti.
Tiba-tiba, pintu biliknya terbuka sedikit. Fiona, setiausaha Zizah, menjenguk masuk.
"Encik Faid, Cik Zizah pesan... kalau Encik masih tak dapat selesaikan masalah bajet tu sebelum jam 5 petang ni, dia akan tarik balik kuasa menandatangan Encik dan serahkan pada pihak lembaga pengarah. Dia kata dia tak mahu syarikat rugi sebab Encik 'tak fokus'."
Faid tergelak sinis yang kedengaran sangat perit. "Dia memang nak tengok I melutut, kan Fiona?"
Fiona hanya menunduk diam. Dia tahu bosnya, Zizah, sedang memerhatikan setiap gerak-geri Faid melalui sistem pejabat.
Faid mencapai pennya dengan tangan yang menggigil. Dia tahu dia sedang tewas. Dia sedang tewas dalam kerjayanya, dan dia juga sedang tewas dalam permainan perasaan yang dimulakan oleh Zizah.

Dalam keadaan yang benar-benar terdesak dan kepala yang berdenyut hebat, Faid sudah tidak mampu lagi berfikir secara rasional. Bayangan jam yang berdetak menuju pukul 5 petang dan amaran keras daripada Zizah melalui Fiona tadi membuatkan dia panik.
Tanpa membaca satu persatu butiran yang ada, Faid mencapai pen di atas meja. Tangannya menggigil sedikit saat dia menurunkan tandatangan di atas timbunan kertas kerja yang belum disemaknya secara terperinci. Dia juga sekadar meletakkan angka-angka rawak pada kolum bajet untuk empat projek terbengkalai itu, asalkan jumlah keseluruhannya tidak melebihi lima juta—tanpa memikirkan sama ada peruntukan itu mencukupi atau tidak untuk kos bahan binaan dan gaji pekerja.
SRETT!

SRETT!
Bunyi pen itu menari di atas kertas, menandakan satu kesilapan yang mungkin akan memusnahkan reputasinya selama-lamanya.
"Nah, ambil ni! Beri pada mereka semua. I dah tandatangan," ujar Faid kasar sambil menghulurkan fail-fail tersebut kepada staf yang sedang menunggu dengan riak wajah yang penuh keraguan.
"Tapi Encik Faid... bajet untuk Projek Melawati ni macam terlalu rendah, dan yang ni pula macam..."
"I kata ambil, ambillah! I tahu apa I buat!" tengking Faid, melepaskan segala kemarahan yang terbuku di dadanya sejak pagi tadi.
Staf itu segera keluar dengan tergesa-gesa. Faid tersandar di kerusi empuknya, nafasnya turun naik. Dia tahu dia baru sahaja melakukan satu tindakan bunuh diri dalam kerjaya, namun dia terlalu penat untuk peduli. Dia mahu semua ini berakhir.
Beberapa minit kemudian, telefon peribadi Faid bergetar. Satu mesej ringkas masuk daripada Zizah.
Zizah: "I dah dapat salinan digital dokumen yang you tandatangan tadi. Wow, Faid... I tak sangka you begitu 'berani' ambil risiko dengan bajet macam tu. You baru saja gali lubang kubur untuk projek you sendiri. Anyway, thanks for making it easy for me."
Faid merenung mesej itu dengan mata yang merah. Dia sedar sekarang, Zizah bukan sahaja memerhati, malah Zizah memang menunggu dia melakukan kesilapan itu. Zizah tahu Faid akan panik, dan Zizah tahu Faid akan bertindak melulu.
Pada masa yang sama, satu lagi mesej masuk, kali ini dari ibunya.
Mak: "Faid, baliklah... Sofia dengan Siti bergaduh lagi kat dapur. Sofia baling pinggan, mak takut. Mak duduk dalam bilik ni, Faid."
Faid memejamkan mata rapat-rapat. Dia terasa seperti dunia sedang menghempapnya dari setiap sudut. Di pejabat dia dihancurkan oleh Zizah, di rumah dia diseksa oleh kerenah Sofia.
Faid mencapai kunci keretanya. Dia tidak peduli lagi tentang jam 5 petang. Dia mahu pulang, bukan untuk Sofia, tetapi dia mahu mencari jalan keluar dari kegilaan ini. Namun, saat dia melangkah keluar dari bilik, dia melihat di skrin televisyen lobi pejabat, kelibat Zizah sedang ditemu bual oleh seorang wartawan majalah perniagaan di sebuah restoran mewah, nampak sangat tenang dan bahagia bersama Roslan di sebelah sebagai "rakan perniagaan" baru.
Faid sedar, saat dia mula kehilangan segalanya, Zizah sedang membina empayar baru—dan Roslan adalah orang yang dipilih Zizah untuk menggantikan tempatnya.

Faid memandu pulang dengan kelajuan yang berbahaya, tidak mempedulikan lampu isyarat mahupun keselamatan dirinya. Fikirannya sudah mati rasa. Sampai sahaja di hadapan rumah, dia tidak sempat mematikan enjin dengan betul sebelum meluru masuk ke dalam.
BAM!
Pintu utama terbuka luas dan pemandangan di depannya benar-benar membuatkan jantung Faid seakan berhenti berdetak. Rumah yang dulunya menjadi tempat dia berehat selepas penat bekerja, kini hancur tunggang-langgang.
Pasu bunga kesayangan emaknya pecah berderai di lantai lobi. Ruang tamu bersepah dengan bantal-bantal hiasan yang terkoyak, dan di ruang makan, serpihan pinggan porselin bertaburan seperti kaca tajam yang menunggu mangsa. Bau sisa makanan yang tumpah menusuk hidung.
"Apa dah jadi ni?!" jerit Faid dengan suara yang menggegar seluruh rumah.
Sofia berdiri di tengah-tengah kekacauan itu dengan rambut yang kusut-masai dan nafas yang menderu. Kak Siti pula berdiri tenang di sudut dapur, memegang sehelai kain buruk, wajahnya tetap tanpa emosi seperti robot, yang membuatkan Sofia semakin hilang kewarasan.
"Faid! You tengoklah apa perempuan ni buat! Dia sengaja letak ubat dalam makanan I! Dia nak bunuh I, Faid!" jerit Sofia sambil menunjuk ke arah Kak Siti.
"Saya cuma beri ubat yang Doktor Imran bekalkan, Tuan Faid. Cik Sofia yang mengamuk dan baling semua barang bila saya minta dia makan ubat," celah Kak Siti dengan nada mendatar.
Faid melangkah perlahan ke arah Sofia, matanya tajam memerhatikan setiap inci kerosakan di rumahnya. Dia kemudian memandang ke arah bilik emaknya yang tertutup rapat—dia tahu emaknya sedang ketakutan di dalam.
Faid memegang kedua-dua bahu Sofia dengan kuat, memaksa wanita itu memandangnya. "Sofia, look at me! Look at this house! Apa yang you nak sebenarnya?!"
Sofia menangis teresak-esak, cuba memeluk pinggang Faid. "I nak you, Faid! I nak perempuan ni keluar! I tak nak bantuan Zizah! I nak kita macam dulu!"
Faid menolak Sofia perlahan tetapi tegas. "Macam dulu? You sedar tak, 'dulu' yang you maksudkan tu adalah masa I tengah terlantar dan Zizah yang jaga I? You nak kita macam dulu, tapi you hancurkan rumah mak I? You buat mak I takut dalam rumah sendiri?!"
"You tahu tak Sofia..." Faid berbisik di telinga Sofia, suaranya kedengaran sangat ngeri.

"Hari ni I dah hilang kuasa dalam syarikat. I dah buat silap besar yang mungkin akan buat I muflis. Dan semua tu sebab I sibuk fikirkan pasal you dan cemburu pasal Zizah."
Sofia terdiam, tangisannya mati serta-merta. "Mu... muflis?"
Faid tidak menjawab. Dia berpaling ke arah Kak Siti. "Siti, kemaskan semua ni. Dan beritahu bos awak... dia menang. Dia menang besar hari ni." Faid berjalan ke arah sofa yang terbalik, mendudukinya tanpa mempedulikan kekekalan di sekelilingnya. Dia mencapai telefonnya dan menghantar satu mesej terakhir kepada Zizah.
Faid: "I kalah, Zizah. Datanglah sini. Tengok apa yang bidadari I dah buat pada rumah I. You boleh ambil balik semuanya sekarang. I dah tak ada apa-apa lagi."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience