Completed
163108
Malam semakin larut, namun cahaya dari lampu meja di bilik kerja Zizah masih terang benderang. Bilik yang terletak bersebelahan dengan bilik tidurnya itu dipenuhi dengan fail-fail projek dan dokumen sulit. Zizah sedang meneliti setiap perincian pembentangan untuk esok hari. Dia bukan sahaja mahu memenangi kontrak tersebut, tetapi dia mahu memastikan setiap slaid yang dipaparkan menjadi duri dalam daging buat Dato’ Kamal dan Sofia.
Dia mahu membuktikan bahawa Faid yang mereka buang seperti sampah, kini adalah permata di bawah naungannya.
Tok! Tok!
Bunyi ketukan di pintu memecah kesunyian malam yang hanya ditemani bunyi baki hujan di luar.
"Siapa?" tanya Zizah tanpa mengalihkan pandangan dari skrin komputer ribanya.
"Mami ni, sayang," suara lembut maminya kedengaran dari sebalik pintu.
"Masuklah, mami. Pintu tak kunci," sahut Zizah sambil menyandarkan badan, melepaskan lelah seketika.
Maminya melangkah masuk dengan perlahan, membawa secawan susu panas di atas talam kecil. Dia meletakkannya di tepi meja Zizah, matanya memerhatikan wajah anak bongsunya yang nampak sangat tekad.
"Dah pukul satu pagi, Zi. Tak tidur lagi? Esok kamu ada mesyuarat penting, kan?" maminya bertanya dengan nada risau.
Zizah mencapai cawan tersebut, menghirup sedikit aroma susunya. "Zizah kena siapkan ni, mami. Esok bukan sekadar mesyuarat biasa. Esok adalah hari perhitungan. Zizah tak nak ada satu pun kesilapan."
Maminya mengeluh kecil, lalu duduk di kerusi bertentangan. "Mami tahu kamu marahkan Sofia dan keluarganya. Tapi mami nak tanya satu perkara... adakah kamu buat semua ni semata-mata sebab kamu cintakan Faid, atau kamu cuma jadikan Faid sebagai alat untuk balas dendam?"
Zizah terdiam sejenak. Dia memandang wajah maminya lama sebelum mengukir senyuman nipis yang penuh makna.
"Mula-mula, mungkin sebab kesian, mami. Tapi selepas apa yang kitorang lalui... Faid dah buktikan yang dia layak untuk disayangi. Dia lelaki yang baik, mami.”
“Dia cuma mangsa keadaan. Zizah cintakan dia, dan sebab Zizah cintakan dialah, Zizah takkan biarkan sesiapa pun pijak dia lagi. Sofia dah melampau, dan mami tahu Zizah takkan diam kalau orang yang Zizah sayang disakiti."
Maminya memegang tangan Zizah. "Mami faham. Tapi hati-hati, Zi. Papi kamu tu risaukan kamu sebenarnya. Dia cuma tak pandai tunjuk."
"Zizah tahu, mami. Don't worry, Zizah tahu apa Zizah buat. Esok, mami tengoklah berita.”
“Zizah akan pastikan nama keluarga kita tetap bersih, manakala keluarga sebelah sana... akan tunduk malu."
Zizah kembali berpaling ke arah komputernya, matanya kembali tajam. Di fikirannya, dia sudah dapat membayangkan wajah pucat Dato' Kamal apabila melihat Faid Azhari melangkah masuk ke bilik mesyuarat sebagai rakan kongsi strategik Zizah esok pagi.
Di sebalik pintu yang sedikit terbuka, Papi berdiri kaku, mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut anak bongsunya itu. Hatinya berbolak-balik. Zizah sudah mencecah usia 30 tahun, namun baginya, Zizah masih kelihatan seperti kanak-kanak yang nekad mahu membalas dendam apabila mainannya dirampas bezanya kali ini, 'mainan' itu adalah maruah seorang lelaki.
Papi mengeluh dalam diam. Dia memerhatikan ketiga-tiga anaknya. Anak sulungnya, seorang lelaki yang tenang dan penuh strategi dalam perniagaan. Anak keduanya, wanita yang lebih suka mengikut arus. Tetapi Zizah... Zizah adalah satu misteri. Dulu, Zizah sangat profesional. Dia tidak pernah mencampurkan urusan peribadi dengan kerjaya. Namun sejak Faid muncul dalam hidupnya, Zizah telah berubah.
Zizah bukan lagi sekadar gadis pejabat yang mengikut telunjuk; dia telah bertransformasi menjadi seorang wanita matang yang sedang mempertahankan 'wilayahnya'—iaitu cinta dan maruah lelaki yang digelar 'lelaki mandul' itu.
Papi memandang ke dalam bilik melalui celah pintu. Dia melihat Zizah kembali fokus pada skrin komputer, matanya yang tajam itu tidak menunjukkan sebarang tanda mahu mengalah.
"Dia betul-betul cintakan budak Faid tu," bisik Papi dalam hati.
Dia sedar, apa yang Zizah lakukan bukan sekadar membalas dendam, tetapi satu bentuk perlindungan yang luar biasa terhadap Faid. Faid bukan lagi mangsa yang lemah, tetapi telah menjadi nadi kekuatan Zizah. Papi sedar, jika dia cuba menghalang Zizah sekarang, bermakna dia bakal kehilangan anak bongsunya itu.
Papi berpaling dan berjalan perlahan menuju ke bilik tidurnya, membiarkan dua wanita itu terus berbual. Dia tahu, esok adalah hari yang akan mengubah segalanya. Dia perlu bersedia untuk menghadapi apa sahaja 'tsunami' yang bakal dibawa oleh Zizah ke meja mesyuarat.
Keesokan paginya, suasana di pejabat pentadbiran pusat terasa sangat tegang. Kereta-kereta mewah mula memenuhi petak parkir VVIP. Dato’ Kamal tiba awal dengan wajah yang pucat, terus menuju ke bilik mesyuarat tanpa memandang kiri atau kanan. Dia gelisah, matanya meliar mencari kelibat seseorang.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta Mercedes hitam berkilat berhenti di lobi utama. Pintu dibuka oleh pemandu peribadi. Zizah melangkah keluar dengan pakaian pejabat yang sangat tajam dan berkuasa, namun perhatian semua orang beralih kepada lelaki yang keluar dari pintu sebelah lagi.
Faid Azhari.
Dia mengenakan sut tiga helai (three-piece suit) berwarna kelabu arang. Wajahnya bersih, rambutnya dirapi kemas dengan gel, dan aromanya memenuhi ruang lobi sebaik dia melangkah masuk. Dia tidak menunduk lagi. Dia berjalan di sebelah Zizah, bahu ke bahu, dengan senyuman yang sangat tenang.
"You sedia, Faid?" bisik Zizah sambil mereka berjalan menuju ke lif.
"Lebih dari sedia, sayang. I dah tunggu saat ni lama sangat," balas Faid, suaranya dalam dan penuh keyakinan.
Apabila pintu lif terbuka di tingkat mesyuarat, semua mata tertuju kepada mereka. Di hujung meja panjang, Dato’ Kamal seolah-olah melihat hantu. Tangannya yang memegang pen menggigil hebat.
Zizah melabuhkan duduk di kerusi utama, manakala Faid duduk tepat di hadapan Dato’ Kamal.
"Selamat pagi, Dato’ Kamal. Kenal lagi dengan rakan kongsi strategik I ni?" sapa Zizah dengan nada yang sangat manis, namun cukup untuk membuatkan seluruh bilik itu terasa beku.
Zizah baru sahaja hendak melabuhkan punggung di sebelah kekasihnya, Faid Azhari, apabila dia merasakan satu tarikan kuat di lengannya.
Tanpa sempat dia bereaksi, Papinya sudah menariknya menjauh sedikit dari meja mesyuarat, membawa anaknya itu keluar dari pintu bilik dengan langkah yang tergesa-gesa. Faid hanya memerhati dengan kening yang terjungkit, namun dia kekal tenang di kerusinya.
Sebaik sahaja pintu bilik mesyuarat tertutup rapat, Zizah menyentak lengannya.
"Papi ada apa ni?" Zizah melepaskan tangannya dengan kasar. Wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati kerana diganggu di saat yang genting.
"Papi cuma nak kamu kawal kemarahan kamu, Zizah! Papi nampak semuanya... kemarahan di mata kamu tu sangat jelas!" Suara Papinya kedengaran serak basah, menahan rasa bimbang yang amat sangat terhadap tindakan drastik anak bongsunya itu.
Zizah menyilangkan tangan di dada. Dia memandang Papinya dengan renungan tajam yang tidak berganjak sedikit pun. "Papi ingat Zizah saja-saja nak bawa Faid datang sini?"
"Maksud kamu apa?" tanya Papinya, dahinya berkerut seribu.
"Maksud Zizah, Zizah nak Papi masukkan Faid di dalam syarikat kita. Dan Zizah nak kedudukan dia diletakkan lebih tinggi daripada Dato' Kamal tak guna tu!" Zizah melirik ke arah pintu bilik mesyuarat, membayangkan wajah lelaki yang telah menghancurkan hidup Faid berada di dalam sana.
"Zizah, kamu sedar tak apa kamu cakap ni? Papi ni cuma menteri, bukannya ada pangkat apa-apa untuk sesuka hati lantik orang! Dan pangkat itu tak perlu diukur dengan dendam, Zizah!" tegas Papinya, cuba membawa logik ke dalam fikiran anaknya.
Zizah tersenyum tawar, sejenis senyuman yang cukup dingin. "Baik. Kalau macam tu, Zizah takkan masuk ke mesyuarat hari ni. Dan fail penting di tangan Faid tadi? Zizah akan suruh dia buang terus ke dalam tong sampah. Kita batalkan semua projek ni. Okay, Papi?"
Zizah berpaling untuk melangkah pergi, namun langkahnya terhenti apabila Papinya menjerit kecil.
"Zizah, tunggu!!" Papinya mengeluh berat, bahunya kelihatan jatuh seolah-olah mengaku kalah.
"Okay, maafkan Papi. Tapi Papi tak boleh jamin Faid akan tersenarai terus dalam syarikat kita sebab kita tak kenal siapa dia, nak... tolonglah faham posisi Papi."
Zizah menoleh semula, bibirnya mengukir senyuman sinis yang sangat menyakitkan hati. Dia melihat bapanya seolah-olah lelaki itu adalah orang asing.
"Papi sebenarnya tak kenal... atau Papi sebenarnya takut dengan Dato' Kamal? Sudah lah." Zizah menunggu jawapan.
Share this novel