Completed
163108
Walaupun amaran Dato’ Kamal masih terngiang-ngiang di telinga, dendam dan rasa terhina Dato’ Salim serta rakan-rakannya jauh lebih kuat. Mereka memilih untuk mengabaikan amaran itu dan menganggapnya sebagai igauan seorang banduan yang sudah patah semangat.
Bagi mereka, Sofia adalah 'senjata nuklear' yang belum diledakkan. Jika Zizah terlalu bersih untuk dijatuhkan, maka mereka akan menyerang titik paling lemah dalam hidup Faid: sejarah silamnya.
"Kita tak ada pilihan lain. Zizah mungkin tahu kita jumpa Kamal, tapi dia tak tahu apa yang Sofia simpan dalam kepala dia," tegas Dato' Salim sambil masuk ke dalam kereta mewahnya.
Beberapa hari kemudian, melalui pengaruh politik dan aliran wang haram yang besar, mereka berjaya menguruskan "pembebasan bersyarat" untuk Sofia atas alasan kesihatan mental yang merosot. Sofia keluar dari pintu penjara dengan wajah yang sangat pucat, badannya kurus kering, dan matanya memancarkan kebencian yang amat dalam.
Di dalam sebuah vila rahsia milik Jeremy, Sofia diberikan layanan kelas pertama. Pakaian mahal, makanan mewah, dan rawatan doktor peribadi disediakan untuk memulihkan tenaganya.
"You nak apa sebenarnya dari I?" soal Sofia dingin kepada empat lelaki yang berdiri di depannya.
"I nak you buat apa yang you paling pandai buat, Sofia," balas Dato' Salim sambil meletakkan sekeping gambar Faid dan Zizah yang sedang tersenyum bahagia di majlis pelancaran projek mereka.
"Hancurkan kebahagiaan mereka. I nak you pergi pada media, buat pengakuan yang Faid sebenarnya memanipulasi you untuk jatuhkan Kamal, dan Zizah adalah dalang yang mengupah orang untuk belasah you sampai separuh mati."
Sofia menyentuh parut kecil di bibirnya, kesan daripada belasahan di gudang tempoh hari. Dia tahu itu kerja orang-orang Zizah. Dia tahu Faid kini sudah menjadi milik mutlak wanita itu.
"You ada bukti?" soal Sofia lagi.
"Kami akan 'cipta' bukti tu untuk you. Apa yang kami perlukan hanyalah air mata you di depan kamera dan keberanian you untuk tuntut 'hak' you sebagai mangsa kezaliman keluarga Tan Sri Tajudin," celah Encik Khalid.
Sofia mencapai gambar tersebut dan merenyukkannya dalam genggaman. "Faid... dia ingat dia dah boleh hidup senang selepas apa yang dia buat pada I? Dan Zizah... dia ingat dia boleh beli semua orang dengan duit dia?"
Sofia memandang mereka berempat dengan senyuman yang sangat ngeri. "I akan buat. Bukan sebab duit you, tapi sebab I nak tengok Zizah rasa apa yang I rasa... kehilangan segalanya dalam sekelip mata."
Rancangan besar itu kini bermula. Di satu sudut lain, Faid dan Zizah sedang merancang majlis perasmian mega projek ikonik mereka, langsung tidak menyedari bahawa hantu dari masa silam kini sedang bersiap sedia untuk muncul kembali di kaca televisyen seluruh negara dengan skrip yang boleh menghancurkan empayar Sri Holdings.
Dewan lelongan yang gah itu tiba-tiba sunyi apabila pengacara majlis mengumumkan bidaan telah ditutup. Empat orang pengarah musuh dalam selimut itu berdiri dengan megah di belakang Sofia, yang kini kelihatan sangat berbeza dengan pakaian berjenama mewah, seolah-olah dia telah kembali ke zaman kegemilangannya.
"Tiga juta ringgit untuk sebuah patung lilin vintaj tahun 1978! Dijual kepada Cik Sofia!" suara tukul berdentum memecah suasana.
Zizah yang duduk di barisan hadapan, terpaku seketika. Dia memusingkan badannya, memandang tepat ke arah Sofia dan empat orang rakannya. Mata Zizah bulat, seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku.
Sofia melangkah perlahan mendekati meja Zizah dengan gaya penuh angkuh. Dia berhenti tepat di hadapan Zizah, mempamerkan senyuman yang paling sinis pernah dilihat.
"Zizah... you dah miskin ke? I ingat empayar Sri Holdings tak ada tandingan, tapi nak bida patung buruk ni pun you dah mula terketar-ketar?" sindir Sofia, suaranya cukup kuat untuk didengari oleh tetamu VIP yang lain.
Zizah tidak terus membalas. Dia memandang Sofia, kemudian beralih arah memandang Dato' Salim, Encik Khalid, Tuan Ibrahim, dan Jeremy yang sedang tersengih kemenangan di belakang wanita itu. Zizah kemudian memandang semula ke arah katalog lelongan.
"Sofia... you sanggup habiskan tiga juta ringgit, duit 'pelaburan' mereka berempat ni, semata-mata nak beli patung lilin tahun 1978 ni? Serius?" soal Zizah, nadanya kedengaran hairan bercampur sinis.
Faid yang duduk di sebelah Zizah, tiba-tiba bangun. Dia meletakkan tangannya di atas bahu Zizah, seolah-olah ingin menenangkan kekasihnya itu. Wajah Faid nampak sedikit gusar dan dia menggelengkan kepalanya perlahan.
"Harga tu sangat tinggi Zizah, kita tak mampu bandingi mereka. Tiga juta untuk barang macam tu... I rasa kita patut lepaskan saja.”
“Kita tak boleh lawan 'kekuatan' baru mereka malam ni," ujar Faid dengan nada yang rendah, seolah-olah mengakui kekalahan mereka di hadapan musuh.
Melihat reaksi Faid yang nampak lemah dan 'mengalah', Dato’ Salim ketawa besar. "Betul tu Faid! Akhirnya you sedar diri. You dan Zizah mungkin ada projek lima juta, tapi kami ada 'rizab' yang jauh lebih besar untuk malukan korang di mana-mana sahaja!"
Sofia semakin galak. Dia merapatkan wajahnya ke telinga Zizah. "Ini baru permulaan, Zizah. I akan pastikan setiap barang yang you nak, I akan ambil. Setiap orang yang you sayang, I akan hancurkan. Sama macam mana you hancurkan hidup I dulu."
Zizah hanya mendiamkan diri, membiarkan Faid terus mengelus bahunya seolah-olah memujuknya untuk bersabar. Namun, jika sesiapa melihat dengan teliti ke dalam mata Zizah, ada satu kilatan cahaya yang sangat tenang—kilatan yang menandakan bahawa dia sebenarnya sedang menonton mangsanya masuk ke dalam jerat yang paling dalam.
Suasana di dalam dewan lelongan semakin membangit. Kemenangan Sofia dan empat sekawan itu sebentar tadi nampaknya telah membakar semangat mereka untuk terus membuktikan bahawa mereka kini lebih berkuasa daripada Sri Zizah.
Zizah kembali duduk tegak, tangannya menggenggam kemas katalog lelongan sehingga menampakkan urat-urat halusnya. Dia mengemam bibir, matanya tidak beralih dari pentas utama. Faid di sebelah masih mengekalkan wajah yang sedikit 'gusar', namun tangannya yang tadi mengelus bahu Zizah kini beralih memegang erat tangan wanita itu di bawah meja.
"Seterusnya, item yang paling dinanti-nantikan malam ini," suara pengacara majlis bergema, kali ini dengan nada yang lebih serius dan penuh prestij.
"Sebuah manuskrip asli dan set perhiasan diraja dari kurun ke-18 yang ditemui semula dalam simpanan peribadi seorang kolektor di Eropah. Nilai sejarahnya tidak ternilai, dan harga pembukaan bermula pada lima juta ringgit!"
Zizah menarik nafas panjang. Inilah barang yang dia tunggu-tunggu. Ini bukan sekadar patung lilin buruk; ini adalah aset yang boleh meningkatkan kredibiliti syarikatnya ke peringkat antarabangsa.
"Sepuluh juta!" tiba-tiba satu suara menjerit dari barisan belakang sebelum sesiapa pun sempat mengangkat papan bidaan.
Seluruh dewan berpaling. Dato' Salim berdiri dengan wajah bangga, manakala Sofia duduk bersandar sambil melirik tajam ke arah Zizah. Mereka sengaja melangkau bidaan kecil dan terus meletakkan angka dua kali ganda daripada harga pembukaan.
Zizah mengetap gigi, wajahnya kelihatan merah padam akibat 'marah'. Dia mengangkat papan bidaannya dengan tangan yang sedikit menggigil. "Sebelas juta!"
"Dua belas juta!" balas Jeremy dengan pantas.
"Tiga belas juta!" Zizah membalas lagi, suaranya kedengaran agak terdesak.
Faid menarik lengan Zizah, cuba menghalangnya. "Zizah, cukup! You nak bangkrutkan syarikat Papi you ke? Angka ni dah tak masuk akal!" bisik Faid yang sengaja dikuatkan sedikit supaya didengari oleh meja sebelah.
Sofia ketawa mengejek. "Kenapa Faid? Takut kekasih you jatuh miskin? Lima belas juta!" jerit Sofia dengan penuh angkuh, memotong bidaan Zizah tanpa belas kasihan.
Empat orang pengarah itu tersenyum lebar. Mereka rasa sangat puas melihat Zizah yang nampak semakin hilang punca dan Faid yang ketakutan. Mereka yakin, kali ini mereka akan mematahkan sayap Sri Zizah buat selamanya dengan memaksa wanita itu berbelanja di luar kemampuan atau menanggung malu kerana kalah bidaan di hadapan semua hartawan negara.
Zizah memandang Faid dengan mata yang berair, kemudian memandang semula ke arah Sofia. Dia seolah-olah sedang bersiap sedia untuk menjeritkan angka yang lebih gila.
Share this novel