Bab 01: Kebenaran Yang Meruntuhkan

Drama Completed 163108

Pusat membeli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, pada tengah hari itu benar-benar sesak, penuh dengan hiruk-pikuk manusia yang datang dari pelbagai latar belakang. Cahaya lampu neon yang terang-benderang memantul tajam di atas lantai marmar yang berkilat, manakala dengungan suara ribuan manusia bersilih ganti dengan muzik latar pusat beli-belah, mencipta suasana yang tidak pernah sunyi dari kebisingan kota.
Di satu sudut yang agak eksklusif berhampiran sebuah kafe mewah, sekumpulan wanita muda berdiri dalam bulatan kecil sambil berbual rancak. Ketawa mereka yang nyaring jelas kedengaran di celah-celah bunyi orang ramai, namun jika diperhatikan dengan teliti, isi perbualan mereka sebenarnya jauh lebih tajam dan gelap daripada sekadar gurauan santai seorang kawan.
Sofia, yang tampil paling menonjol dengan gaya angkuhnya, berdiri tegak sambil bercekak pinggang, mempamerkan jam tangan jenama mahal di pergelangan tangannya. Kaca mata hitam berjenama disangkut kemas di atas kepala, sementara bibirnya yang dicalit gincu merah pekat tidak lekang dengan senyuman sinis yang seolah-olah meremehkan segala-galanya.
“Serius lah, aku tak faham betul dengan perempuan tu. Pakai handbag Chanel, tapi kereta Saga je? Nak menunjuk sangat konon!” katanya dengan nada yang sengaja ditinggikan, langsung tidak menghiraukan pandangan serong orang sekeliling yang lalu-lalang di hadapan mereka.
Dayah yang berdiri di sebelahnya mula berasa tidak sedap hati lalu mengerutkan dahi, cuba memberi isyarat agar rakannya itu lebih berwaspada. “Sof… slow sikit lah suara tu. Ramai orang tengah tengok ni,” bisiknya perlahan.
“Alah, siapa peduli? Biarlah mereka dengar,” balas Sofia sambil ketawa kecil yang kedengaran angkuh. Dia kemudian merapatkan diri ke arah rakan-rakannya seolah-olah mahu berkongsi rahsia yang lebih besar.

“Lagi satu, kau tahu tak? Si Zura tu… konon tunjuk kat media sosial dia kahwin bahagia. Padahal realitinya, laki dia tu kaki perempuan. Semua orang dekat office dah lama tahu pasal ni.”
Bella mula menampakkan riak wajah yang tidak selesa, memandang ke arah lain seolah-olah mahu melarikan diri dari situ. Haris pula hanya mampu mendiamkan diri, matanya meliar memandang sekeliling tanpa berani mencelah perbualan panas itu.

Namun, Sofia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, malah dia kelihatan semakin rancak dan bersemangat.
“Belum kira lagi si Lina tu… berlagak macam suci sangat, kononnya jaga pergaulan. Padahal.”
“Aib orang sedap ya jadi bahan cerita?” Satu suara asing tiba-tiba mencelah dari arah belakang, memotong ayat Sofia dengan nada yang sangat tenang.

Suara itu kedengaran lembut, namun memiliki ketajaman yang cukup untuk mematikan semua suara dalam kumpulan itu serta-merta. Tanpa mereka sedari, seorang wanita sudah berdiri tidak jauh dari situ sejak tadi.

Dialah Zizah. Sejak awal lagi, dia sebenarnya sudah berada di kawasan tersebut duduk dengan tenang di dalam kafe sambil menikmati secawan kopi panas.

Namun, telinganya yang tajam tidak pernah terlepas daripada menangkap setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Sofia. Setiap hinaan, setiap fitnah, dan setiap ketawa sinis Sofia semuanya telah dirakam dalam ingatannya. Kini, dia sudah benar-benar muak mendengar segalanya.
Zizah melangkah keluar dari kafe dengan langkah yang tenang namun penuh kewibawaan. Penampilannya yang elegan dengan pakaian yang ringkas namun mahal membuatkan auranya terasa sangat kuat, sehingga beberapa orang di sekitar mula memperlahankan langkah untuk memandang. Dia berhenti tepat di hadapan kumpulan itu, memandang tepat ke arah Sofia.
“Hi,” sapanya ringkas dengan satu senyuman kecil yang terukir di bibirnya, namun senyuman itu tidak sampai ke mata.
Sofia terpinga-pinga, matanya membulat kerana jelas tidak menyangka akan ada orang luar yang berani masuk campur dalam perbualan mereka. “Who are you?” soal Sofia dengan nada yang cuba kedengaran berani.
Zizah memiringkan kepalanya sedikit, matanya kini tepat menikam anak mata Sofia dengan pandangan yang sangat dalam. “Orang yang dari tadi dengar semua cerita you,” jawabnya pendek.
Suasana di sudut itu terus bertukar tegang secara mendadak. Sofia cuba melepaskan tawa, tetapi ketawanya jelas kedengaran dibuat-buat dan gementar. “Oh please… kita borak-borak biasa je pun. Tak payah nak serius sangat.”
“Borak?” ulang Zizah perlahan, seolah-olah mempersoalkan maksud perkataan itu.

“You panggil tu borak?” Dia melangkah setapak lagi ke depan, mengecilkan ruang di antara mereka.

“Aib orang you buka satu-satu, siap tambah perisa lagi bagi sedap cerita. Seronok ya dapat jatuhkan maruah orang?”
Sofia mula rasa tidak sedap hati, peluh halus mula terbit di dahi namun egonya yang setinggi langit masih enggan mengalah. “Kalau benda tu dah betul, salah ke aku cakap?”
Zizah tersenyum nipis, namun kali ini senyuman itu kelihatan dingin dan berbahaya. “Kalau macam tu… memandangkan you suka sangat cakap pasal kebenaran, jom kita cakap pasal benda yang betul-betul terjadi juga.”
Sofia terdiam seribu bahasa, lidahnya tiba-tiba terasa kelu. Zizah mendekatkan lagi wajahnya, suaranya kini sengaja dikuatkan sedikit agar cukup jelas didengari oleh orang ramai yang mula berhenti untuk menyaksikan drama yang sedang berlaku di hadapan mereka.
“You suka sangat buka cerita orang… hari ni, depan kawan-kawan you dan semua orang kat sini, I buka cerita you pula.”
Sofia menelan air liur yang terasa berpasir. “Apa you merepek ni… jangan nak buat gila dekat sini,” katanya dengan suara yang mula menggigil.
“Siapa yang mandul sebenarnya, Sofia?”
BAM.

Perkataan itu bagaikan satu ledakan kuat di tengah-tengah kesunyian yang tiba-tiba melanda. Seolah-olah waktu berhenti berputar seketika. Wajah Sofia yang tadi kemerah-merahan kini bertukar pucat lesi, putih seperti mayat.
“Itu bukan cerita orang lain yang you selalu jaja. Itu cerita peribadi you sendiri yang you cuba sorokkan,” sambung Zizah tanpa belas kasihan.
Bisikan-bisikan halus mula kedengaran daripada orang ramai yang memerhati. Sofia menggelengkan kepalanya berkali-kali, langkahnya mula goyah ke belakang. “Jangan nak fitnah aku! Kau tak tahu apa-apa!” jeritnya dalam ketakutan.
“Fitnah?” Zizah ketawa kecil, satu ketawa yang penuh dengan penghinaan.

“Medical report tu masih ada dalam simpanan klinik, Sofia. You yang tak boleh terima kenyataan sampai bekas suami you sendiri pun you tuduh macam-macam punca penceraian korang.”
Air muka Sofia benar-benar runtuh, segala keangkuhannya tadi hilang dalam sekelip mata. Namun, Zizah masih belum selesai. Suaranya kini kedengaran semakin dingin dan berwibawa, setiap patah kata menusuk tepat ke jantung rahsia Sofia.
“And satu lagi benda yang you patut tahu I tahu…” Zizah berjeda seketika sebelum menyambung.

“Siapa yang hampir bunuh Faid Azhari dua bulan lepas? Kalau bukan you menjaja aib Faid Azhari!”
Orang ramai yang mendengarnya terus gempar. Suasana Pavilion yang tadinya bising kini dipenuhi dengan suara terkejut. Sofia tersentak kuat, tubuhnya seolah-olah terkena renjatan elektrik.

“Aku TAK BUAT! Kau jangan nak tuduh!” Sofia mengundur beberapa langkah, seluruh tubuhnya kini menggigil hebat. Wajahnya yang tadi angkuh kini dipenuhi dengan ketakutan yang teramat sangat.

“Aku… aku tak sengaja masa tu…” Ayat pengakuan itu akhirnya terlepas dari mulutnya tanpa sedar akibat tekanan emosi yang melampau.
Dan itu sudah cukup. Zizah hanya memandangnya dengan pandangan yang tenang, seolah-olah kemenangan itu memang sudah lama berada dalam genggamannya sejak awal lagi.
“Mulut tu… memang bahaya kalau tak dijaga. Ia boleh jadi senjata yang akan memakan diri you balik,” kata Zizah perlahan.
Satu demi satu rakan Sofia mula menjauhkan diri, termasuk Dayah, Bella, dan Haris. Tiada siapa lagi yang sanggup berdiri di sisinya selepas mendengar pengakuan tersebut. Sofia kini benar-benar keseorangan di tengah-tengah khalayak ramai dihimpit oleh pandangan sinis orang asing, bisikan tajam masyarakat, dan beban kebenaran yang baru sahaja terbongkar.
Zizah membetulkan sedikit rambutnya yang jatuh ke dahi sebelum berpaling untuk beredar.

“Lain kali… sebelum you sibuk nak buka aib orang lain, cermin dulu diri sendiri sama ada you tu cukup sempurna atau tidak.” Tanpa menoleh ke belakang lagi.

Zizah melangkah pergi dengan tenang, meninggalkan Sofia yang akhirnya terduduk lemah di atas lantai marmar yang sejuk itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience