Bab 07

Drama Completed 163108

Zizah melangkah dengan penuh wibawa ke hadapan meja mesyuarat, matanya yang tajam memerhati setiap wajah ahli lembaga pengarah seorang demi seorang. Dia nampak rasa kagum dan hormat pada mata rakan kongsi yang lain, namun apabila matanya beralih kepada Dato' Kamal, pandangannya berubah menjadi sangat jijik. Lelaki itu adalah parasit yang telah berkali-kali menyedut duit syarikat demi kepentingan peribadi dan gaya hidup mewah anaknya.
"Papi masih nak simpan Dato' Kamal sedangkan nama Papi bakal buruk disebabkan dia?" Zizah menuding jari tepat ke arah lelaki itu tanpa rasa takut.
"Sri Zizah, saya... saya boleh jelaskan. Itu semua salah faham perakaunan," Dato' Kamal cuba membela diri dengan suara yang terketar-ketar.
"Cukup Dato'!" suara Zizah memetir, mematikan terus kata-kata lelaki itu.

"Gelaran yang ada pada awak tak menjamin apa-apa pun! Malah awak menipu wang syarikat dan mengkhianati seluruh usaha yang kami bina selama ni. Apa semua ni?!"
Zizah berjalan mendekati Dato' Kamal, tangannya dihempas kuat ke atas meja.

BAM!

Bunyi itu membuatkan semua orang di dalam bilik itu tersentak.
"Dato', awak tak malu ke pada mereka yang baru dinaikkan pangkat ni? Mereka bekerja keras dengan integriti, tapi sekarang mereka memandang serong pada Dato' disebabkan penyelewengan sistem yang Dato' buat! Awak dah rosakkan kepercayaan syarikat!"
"Zizah, bawa bertenang," bisik Papinya, cuba meredakan suasana yang semakin panas.
"Papi, kita dah kerugian hampir 7 Juta! Papi masih nak kesiankan dia sedangkan dia tak pernah sedikit pun fikir tentang Papi atau masa depan syarikat ni!" Zizah membentak, enggan memberi muka lagi kepada pengkhianat.
Papinya terdiam. Angka 7 Juta itu bukan jumlah yang kecil. Dia mula berfikir lama, menimbang semula keputusan kenaikan pangkat dan kedudukan Dato' Kamal yang baru sahaja disebutnya sebentar tadi. Matanya kemudian beralih ke arah Faid Azhari.
Sepanjang kekecohan itu berlaku, Faid langsung tidak membuka mulut untuk menghina atau membahas isu peribadi sesiapa. Dia duduk dengan tegak, wajahnya tenang dan auranya sangat profesional. Perbezaan antara Faid dan Dato' Kamal sangat ketara bagaikan langit dan bumi.
Papinya sedar sekarang. Faid Azhari yang selama ini difitnah 'mandul', 'muflis', dan 'lemah' sebenarnya adalah seorang lelaki yang sangat jujur dan amanah. Dia tahu Faid tidak pernah membuat masalah di syarikat lama, sebaliknya kerjayanya sengaja disabotaj oleh Dato' Kamal dan Sofia hanya kerana Faid tidak mahu mengikut rentak penyelewengan mereka.
Papi Zizah menarik nafas panjang. Dia menutup fail Dato' Kamal dan mencampakkannya ke tepi.
"Dato' Kamal," suara Papinya kedengaran sangat kecewa.

"Berdasarkan bukti yang anak saya bentangkan, saya tidak ada pilihan lain. Jawatan awak dalam syarikat ini digantung serta-merta sementara siasatan polis dilakukan. Dan untuk jawatan Penasihat Utama..."
Papinya memandang Faid Azhari dengan pandangan yang baru pandangan yang penuh hormat.
"Encik Faid Azhari, saya tawarkan jawatan itu kepada anda. Saya perlukan orang yang jujur seperti anda untuk bersihkan kekotoran yang ditinggalkan oleh lelaki ini."
Dato' Kamal terduduk, wajahnya hancur. Sementara itu, Zizah tersenyum lebar. Dia berpaling ke arah Faid dan mengenyitkan mata, menandakan kemenangan mutlak mereka hari ini.

Selepas mesyuarat yang penuh drama itu berakhir, keputusan muktamad telah dibuat. Faid Azhari secara rasmi diterima masuk ke dalam syarikat sebagai Penasihat Utama, menggantikan kedudukan yang selama ini dipegang oleh Dato' Kamal. Kemenangan itu terasa sangat manis buat Zizah.
Zizah melangkah keluar dari bilik mesyuarat dengan penuh gaya. Dari jauh, dia melihat susuk tubuh Dato' Kamal yang berjalan lesu dengan bahu yang jatuh, menuju ke arah lobi.
"Dato'..." panggil Zizah dengan nada yang sengaja ditinggikan.
Dato' Kamal berpusing. Wajahnya yang tua itu nampak sangat tertekan dan penuh kebencian apabila bertembung mata dengan Sri Zizah. "Ada apa lagi, Sri?" tanya Dato' Kamal dengan suara yang bergetar menahan amarah.
Zizah merangkul lengan Faid yang berjalan di sebelahnya, lalu tersenyum manis yang dibuat-buat. "Dato', kenalkan... ini kekasih I. Dan I rasa you mesti kenal sangat dengan dia, bukan?"
Dato' Kamal memandang Faid dari atas ke bawah sebelum melepaskan tawa sinis yang kedengaran sangat pahit. "Lelaki mandul ni? Huh, apa sangatlah yang kamu banggakan, Sri? Dia ni cuma sampah yang saya dah buang dulu."
Mendengar perkataan "mandul" dan "sampah" keluar lagi dari mulut lelaki itu, darah Zizah terus mendidih. Dia tidak tahan lagi melihat kebiadaban orang tua itu yang masih mahu berlagak sombong walaupun sudah jatuh tersungkur.
Tangan Zizah sudah diangkat tinggi, hampir sahaja melayang ke pipi Dato' Kamal, namun dengan pantas Faid menyambar pergelangan tangan kekasihnya itu. Faid menggeleng perlahan, memberikan isyarat supaya Zizah tidak mengikut emosi.
Faid menarik lembut tubuh Zizah dan membawanya menjauh, menuju ke arah lif lobi.
"Biyy! Lepaslah! I nak ajar orang tua tak sedar diri tu! Mulut dia memang kena cili!" Zizah merengek geram, kakinya masih mahu berpaling ke arah Dato' Kamal sementara dirinya dipaksa melangkah oleh Faid.
Faid ketawa kecil melihat telatah Zizah yang begitu protektif terhadapnya. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam lif yang kosong, Faid merangkul pinggang Zizah dan merapatkan wajah mereka.
"Sayang... bawa bertenang," suara Faid kedengaran sangat lembut dan memujuk, jauh berbeza dengan ketegasannya di bilik mesyuarat tadi.

"I baru je dapat kerja ni, sayang. Takkanlah hari pertama kerja you dah nak buat Papi berhentikan I sebab gaduh depan orang ramai?"
Zizah memuncungkan bibirnya, masih tidak berpuas hati. "Tapi dia hina you, Faid! I tak boleh dengar!"
Faid mencium dahi Zizah lama. "Biarlah dia nak cakap apa pun. Hakikatnya sekarang, I duduk di kerusi dia, dan dia sekarang penganggur yang bakal disiasat polis. Itu lebih menyakitkan daripada sebuah tamparan, kan?"
Zizah akhirnya mengeluh dan tersenyum nipis, menyandarkan kepalanya di dada Faid. "You ni terlalu baiklah, Biyy. Tapi okaylah, demi kerjaya baru you, I lepaskan dia hari ni. Tapi kalau Sofia yang muncul depan I, I tak jamin I boleh sabar."
Faid tersenyum penuh makna sambil menekan butang lobi. Dia tahu, Sofia pasti tidak akan duduk diam selepas ini, namun bersama Zizah di sisinya, dia tidak takut lagi dengan sebarang ancaman.

Di sebuah pusat beli-belah mewah, Sofia berjalan dengan penuh gaya bersama rakan-rakan sosialitnya. Walaupun hatinya masih panas dengan video kiriman Zizah, dia cuba melupakan segalanya dengan terapi membeli-belah. Baginya, status dan kemewahan adalah segala-galanya untuk menutup rasa malunya.
"I nak yang ini, limited edition punya," kata Sofia kepada pelayan di kaunter wangian jenama antarabangsa. Dia memilih botol minyak wangi yang harganya mencecah ribuan ringgit—haruman yang dia harap dapat menandingi bau Amber Nuit pada tubuh Faid yang dihidu dalam video itu.
Pelayan itu tersenyum manis dan mengambil kad kredit platinum milik Sofia. Rakan-rakan Sofia memerhati dengan penuh rasa kagum, menanti Sofia membayar barang mewah tersebut.
Namun, selepas beberapa saat mesin itu berbunyi beep yang panjang, senyuman pelayan itu pudar. Dia mencuba sekali lagi, tetapi keputusannya tetap sama.
"Maaf, Cik Sofia. Transaksi ditolak. Kad kredit cik tidak boleh meluluskan bayaran ini," kata pelayan itu dengan nada yang cukup kuat untuk didengari oleh rakan-rakan Sofia yang berdiri di belakang.
Wajah Sofia berubah merah padam. "Apa? Tak mungkin! Cuba lagi sekali. Mesin you ni yang rosak kot!"
"Saya sudah cuba dua kali, Cik. Masalahnya daripada pihak bank," balas pelayan itu, kali ini lebih tegas.
Sofia merampas kadnya dengan kasar. Dia cuba menggunakan kad kreditnya yang lain, namun keputusannya tetap sama: Declined.
Sofia tidak tahu bahawa di pejabat tadi, sebaik sahaja jawatan bapanya digantung, akaun-akaun syarikat dan kad kredit tambahan yang dipegang oleh ahli keluarga Kamal telah disekat serta-merta oleh pihak pengurusan di bawah arahan Zizah untuk tujuan audit forensik.
"Eh Sofia, kenapa tu? Takkan kad limit kut?" tegur salah seorang rakannya dengan nada sedikit menyindir.
Sofia terasa dunianya berpusing. Malu yang tidak terhingga menyelubungi dirinya apabila melihat pandangan sinis pelayan dan bisikan rakan-rakannya. Dia yang tadi berlagak seperti permaisuri, kini berdiri di tengah-tengah butik mewah itu tanpa satu sen pun kuasa membeli.
"I... I rasa ada masalah dengan sistem bank I hari ni. I balik dulu!" jerit Sofia sambil meluru keluar dari butik itu, meninggalkan rakan-rakannya yang mula berbisik sesama sendiri.
Sofia terduduk di bangku luar butik, nafasnya sesak. Segala kemewahan yang dia banggakan selama ini telah ditarik balik, dan orang yang menariknya adalah lelaki yang dia hina sebagai 'sampah' dan 'mandul'.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience