QALISYA duduk sambil berpeluk tubuh di ofis Hud. Semalam dia sudah menunggu, dan lelaki itu rupanya sedang mengambil cuti. Dan hari ini juga sama, dia diberitahu dengan kru restoran yang Hud, suaminya sedang cuti.
"Sakit ke?" Soal Qalisya sambil membuka isi dompet itu.
"Kalau sakit pun, takkan dia tak ada nak guna duit untuk pergi ke klinik kan?"
Kad pengenalan Hud dibawa keluar. Wajah itu disentuh. Lupakah Hud pada janjinya?
"Patut ke kita pergi ke rumah dia, eh?" Soal Qalisya sambil memandang perutnya. "Kau mesti rindu bapak kau kan?"
Qalisya berjalan keluar daripada ofis dan turut sama mengambil cuti. Alamat rumah Hud yang tertera pada kad pengenalan suaminya itu dituju.
"Takkan ini rumah Hud, kut?" Soal Qalisya apabila keretanya berhenti di hadapan banglo besar itu.
Alamat itu ditekan sekali lagi pada skrin telefon dan anak panah itu masih lagi berhenti di tempat yang sama. Enjin keretanya dimatikan. Perlahan-lahan dia keluar daripada kereta. Perutnya yang sudah berbentuk itu disentuh.
Perlahan-lahan Qalisya berjalan menuju ke pagar. Skrin hitam pada tembok rumah disentuh sebelum mempamerkan gambar loceng di skrin.
"Cari siapa?" Qalista sedikit terpegun. Ada suara yang muncul di skrin hitam itu.
"Ini... ini rumah encik Hud ke?"
"Ya betul, ini rumah tuan muda Hud. Puan cari siapa? Tuan muda ke?"
"Tuan muda?" Soal Qalisya dengan perlahan sebelum kembali melihat rumah agam itu.
Skrin hitam itu kembali menggelapkan dirinya. Qalisya cepat-cepat menyenuh semula skrin itu.
"Ya betul, saya cari tuan muda Hud. Dia ada ke?"
"Ada, puan masuk guna pagar kecil tu ya." Balas suara wanita itu sebelum skrin kembali tertutup.
Qalisya menolak pagar itu dan terpegun sekali lagi.
"Hei, budak... betul ke ni rumah bapak kau? Jadi ketua chef je pun, takkan dia punya level kaya tu sampai macam ni?" Perlahan-lahan Qalisya menurunkan tangannya daripada menyentuh perut. Langkahnya diorak dengan perlahan, matanya tidak berkelip melihat kawasan rumah.
Dia melihat kereta yang bersusun di bawah garaj. Semuanya mewah-mewah. Kecuali satu. Kancil lama. Senyumannya terukir. Dia tahu itu kereta Hud kerana lelaki itu akan menggunakan kereta itu untuk ke hotel dan ke rumahnya. Mungkin ini adalah rumah keluarga suaminya itu.
Qalisya menanggalkan kasut dan meletakkannya di atas rak. Dia tidak habis-habis melihat seisi rumah itu. Sangat mewah. Hatinya jadi tertanya-tanya siapa empunya rumah ini.
"Puan duduklah dulu, saya akan panggilkan tuan muda sebentar."
"Bibik, tolong bawakan air suam dan kain lap. Saya nak mandikan Haura."
Qalisya tersenyum mendengarkan suara itu. Dia sudah bersiap untuk bangun. Hatinya rasa berbunga walaupun sekadar mendengarkan suaranya sahaja.
"Sekejap ya puan, saya siapin dulu perintah tuan muda."
Qalisya kembali melabuhkan punggung di sofa. Apabila pembantu rumah membawakan sebesen air suam dan kain lap, Qalisya terus menawarkan diri untuk membawakannya naik ke atas.
"Nak hantar ke mana? Biar saya hantarkan." Soal Qalisya.
"Tak apalah, biar saya je hantar." Balas wanita tua itu. "Nanti tuan muda marah pula."
"Tak apa, jangan risau. Tuan muda kenal siapa saya. Biar saya bawakan. Nak hantar ke mana?" Balas Qalisya.
"Hantar ke tingkat dua. Nanti terus jumpa bilik di sebelah tangga." Qalisya mengikut arah ibu jari wanita itu yang sedang ditujukan ke suatu tempat. Qalisya langsung menganggukkan kepala.
"Okey, terima kasih." Balas Qalisya yang sudah tersenyum hendak membawakan besen itu kepada Hud.
Perlahan-lahan Qalisya menaiki tangga. Perutnya disentuh. Bibirnya menguntum senyum. Pasti Hud akan terkejut dengan kehadiran dirinya. Mungkinkah Hud akan memperkenalkan dirinya di hadapan orang tuanya? Qalisya tersenyum kecil.
"Berangan je kau ni, Sya." Dia tertawa kecil. "Hei, budak, kau rasa... apa reaksi bapak kau lepas tengok kita nanti? Mesti dia terkejut, kan?" Dia mengusap perutnya lagi. "Tak sabar nak jumpa mak dan ayah Hud." Sambung Qalisya lagi.
Kakinya mencicah lantai di tingkat teratas. Pintu kamar yang sedikit ternganga dijenguk Qalisya. Dilihatnya Hud yang sedang menukar cadar.
"Jom kita suprise kan bapak kau nak?" Soal Qalisya dengan berbisik.
Pintu kamar diketuk Qalisya. Hud tidak membalas. Dia sedang sibuk memindahkan Haura ke atas katil.
"Hud, aku dat..."
Besen yang dipegang Qalisya langsung terjatuh ke lantai apabila dia melihat sekujur tubuh wanita yang sedang dicempung Hud di dalam kamar itu. Suaminya itu terus berpaling ke belakang. Haura diletakkan Hud di atas katil.
"Qalisya! Macammana kau boleh ada dekat sini?!"
Qalisya menekup mulutnya. Alangkah terkejutnya dia melihat sekujur tubuh yang tidak berpakaian itu. Hud juga turut sama tidak berbaju. Akalnya terus berfikir yang bukan-bukan.
Hud merentap kuat tangan Qalisya dan membawanya keluar daripada bilik. Terkocoh-kocoh Qalisya hendak menuruni tangga, hampir-hampir dia terlepas anak tangga.
"Siapa yang tunjukkan rumah ni pada kau?!" Hud menyoal keras. Qalisya masih terdiam kaku kerana terkejut. Dia memandang tingkat itu sebelum kembali memandang Hud.
"Aku tanya, siapa?! Siapa yang tunjukkan rumah ni pada kau?!"
Dompet itu diserahkan kepada Hud. "A... aku ikut alamat kau kat dalam ni, Hud."
"Siapa berani sangat bagi kau masuk ke dalam rumah ni?! Siapa?!" Soal Hud yang masih dalam keadaan yang marah.
"Hud... ." Qalisya ingin melepaskan tangannya.
Hud menjerit bagaikan kerasukkan ketika memanggil seseorang.
Dia kemudiannya terus berpaling ke belakang melihat pembantu rumahnya. "Saya dah kata kan? Jangan bagi orang luar masuk selain daripada nurse tu! Tak faham ke?"
"Hud... ." Panggil Qalisya lagi.
"Apa?! Apa lagi yang kau nak?!" Jerkah Hud sekuat-kuatnya.
"A... aku... aku..."
Hud terus menarik Qalisya keluar daripada rumah. Langsung tidak memberi ruang kepada Qalisya untuk mengambil kasutnya yang disusun di atas rak.
Qalisya menarik kuat tangannya apabila mereka mula berada di tengah-tengah halaman rumah. Dia mengumpul keberaniannya untuk bertanya tentang hal itu. "Siapa perempuan tu, Hud?"
"Siapa dia tu tak pentinglah, Qalisya. Kau tu! Penceroboh! Masuk ke rumah orang sesuka hati!"
"Jadi rupanya bukan aku soranglah mangsa pelampias nafsu kau, tapi ada perempuan lain lagi yang kau tiduri! Kau penzina rupanya, Hud! Kau kaki perempuan!"
Laju tangan Hud naik mahu melempang wajah itu. Mujur dia sempat menahan tangannya. "Kalau aku ni betul-betul kaki perempuan atau penzina, aku takkan pilihlah perempuan macam kau ni. Pengkhianat! Penipu! Kau ingat aku tak tahu ke siapa punya angkara Alamanda jadi macam tu?! Sebelum aku bertambah marah, baik kau keluar. Berambus!"
"Aku takkan berambus selagi aku tak jumpa perempuan tu, Hud!" Qalisya menggelengkan kepalanya. Dia sudah tekad. Dia mahu naik ke atas dan bertanyakan perihal itu kepada wanita tadi.
Hud merentap tangan Qalisya sekali lagi dan menyeret Qalisya keluar daripada situ. Tubuh Qalisya ditolak ke atas kereta milik wanita itu.
"Sekali lagi kau datang, aku tak teragak-agak untuk telefon polis!"
Pagar itu ditutup semula. Berkaca mata Qalisya. Perlahan-lahan dia meninggalkan rumah itu. Hatinya remuk. Hud tega melakukan perkara itu kepadanya. Sangkanya malam itu terjadi kerana tidak sengaja. Rupanya Hud sendiri yang merancang!
Surat itu diletakkan di atas meja Zarif. Perlahan-lahan Zarif menarik surat itu dan membacanya.
"Kenapa you nak resign, Sya?" Soal Zarif.
"I rasa... i dah tak boleh lagi nak bekerja. I perlukan rehat."
Zarif menolak semula surat itu kepada Qalisya. "You pun nak jadi macam Hud ke? Berhenti kerja bila ada rasa macam tu?"
Qalisya mengangkat wajahnya. "Hud?"
Zarif menganggukkan kepalanya. "Ya, Hud pun ada bagi i surat resignation. Tapi i tolak."
"I boleh bagi you cuti, Sya... tapi bukan untuk berhenti. Susah untuk i cari pengganti, nak kena training lagi... semuanya makan masa." Ujar Zarif.
Qalisya menutup pintu ofis Zarif. Langkahnya lemah. Dia tidak boleh berhenti fikirkan hubungan diantara suaminya dengan perempuan itu. Hatinya sangat terluka. Bahkan bertambah terluka apabila Hud sendiri yang menghalau dirinya daripada rumahnya.
Telefon Qalisya berdering. Nama Hud yang terpapar di skrin membuatkan dadanya sedikit berdebar.
"Kau boleh gugurkan budak tu sekarang. Aku dah tak nak ambil tahu lagi tentang anak haram tu dan kau mulai saat ini."
"Hud... ."
Qalisya melihat semula skrin telefonnya yang sudah cerah. Menandakan talian sudah dimatikan. Qalisya terus berlari masuk ke dalam ofisnya. Tangisnya dilepaskan sepuas-puasnya. Hatinya sekali lagi terluka dan terasa dengan kata-kata Hud walaupun dia tidak punya sebarang perasaan terhadap lelaki itu.
"Hei, budak. Kenapa bila aku dah mula sayangkan kau... bapak kau minta aku untuk buang kau?"
"Kau janganlah sedih, budak. Kau yang menangis, kenapa aku pulak yang kena alirkan air mata?" Tambah Qalisya sambil mengusap perutnya.
"Kau jangan risau, aku akan jaga kau. Okey? Kita akan pergi jauh daripada sini. Biar dia takkan kenal siapa kau. Biar dia menyesal!"
Perutnya tiba-tiba terasa peri yang amat sangat. Dia mengeluh kecil apabila rasa itu semakin kuat. Pandangannya semakin kabur. Kepalanya pula menghentam rasa sakit yang begitu kuat. Dua dalam satu. Akhirnya Qalisya terjatuh ke lantai.
Share this novel