QALISYA melangkah keluar daripada bilik dengan pakaiannya yang cantik berserta solekan di wajah. Dia mahu mencari buah tangan untuk diberikan pada insan-insan yang dikenalinya di Malaysia.
Hud yang sedang menghantar tukang penyelenggara sistem pemanas rumahnya di pintu terus menoleh ke belakang apabila Qalisya muncul.
"Kamsahamnida." Kata Hud kepada lelaki itu sebelum kembali melihat Qalisya. "Eh, eh, kau nak ke mana?"
"Nak keluarlah. Nak beli buah tangan untuk Ayla, untuk Zarif..."
"Sorang-sorang?" Soal Hud yang mula bercekak pinggang.
Qalisya menoleh ke kiri dan kanannya. "Ada orang lain ke selain kita berdua?"
Hud mengecilkan matanya melihat Qalisya. Cepat-cepat Qalisya menjongketkan bibirnya. "Sorang jelah. Dengan siapa lagi?"
"Sabar kejap, aku bersiap."
Cepat-cepat Qalisya menggoyangkan tangannya di hadapan muka Hud. "Tak payah, tak payah, bukan aku nak guna duit kau pun. Nanti kau komplen je apa aku nak beli."
"Kau nak aku ikut ke kau nak duduk rumah?" Soal Hud seraya membongkokkan tubuhnya ke arah Qalisya.
"Dasar..." ujar Qalisya sebelum mengacu penumbuknya pada perut Hud.
Rambut lurus Qalisya ditariknya dengan Hud untuk membalas. "Sakitlah!"
"Si bedebah ni!" Qalisya terus menendang kaki Hud kerana lelaki itu menarik rambutnya. "Cepatlah siap, lambat-lambat pulak!"
"Kurus-kurus pun kuat jugak eh kau ni." Nada Hud sinis. Rambut Qalisya dilepaskannya dengan perlahan sebelum dia berjalan masuk ke kamar.
"Cepat sikit!"
"Iya! Sabarlah." Balas Hud sebelum menutup pintu kamarnya.
Qalisya meletakkan begnya di atas meja ruang tamu. Biji kopi Arabica dituang ke dalam mesin kopi untuk dibancuh. Usai menyediakan kopi, dia membuat penambahan krim pula di atas kopinya.
Hidungnya mencium aroma wangi kopi sebelum menikmatinya dengan mata yang tertutup. Pinggangnya bersandar pada kabinet sambil dia meneguk kopi dan melihat telefon.
Sedar tak sedar, kopinya sudah licin dan Hud masih belum keluar lagi daripada kamar. Mug putihnya dibasuh sebelum dia melangkah ke kamar Hud.
"Hud cepatlah! Ni dah pukul 9 tau." Kata Qalisya dengn sedikit geram. Dia bimbang dia akan terlewat untuk membeli barang-barangnya. Sudahlah dia jarang berjalan di sini jadi dia tidak tahu dimanakah tempat yang boleh dia membeli belah ole-ole Korea.
Tiada sahutan daripada dalam. Qalisya mengetuk pintu sekali lagi. Masih sama, tiada jawapan.
"Si bedebah, tak guna tu!" Mata Qalisya sudah sepet memandang pintu.
Pisau cukur Hud dibasuh sehingga bersih. Kumis-kumis pada wajahnya sudah dibuang. Dia membelek-belek wajah sebelum terdengar bunyi pintu biliknya dibuka.
"Oi, Hud! Kau lama-lama mandi kat dalam buat apa, hah? Kau mandi guna shower ke kau mandi nak kena cedok anak sungai dulu?!" Qalisya menampar-nampar muka pintu bilik air Hud.
"Haih... minah ni. Tak menyabar." Balas Hud sebelum berdecit. Pintu bilik airnya ditarik. "Sabarlah, Seoul kau ni tak lari mana punlah."
"Ish, cepatlah... aku tak sukalah kena tunggu lama." Jawab Qalisya sambil berpeluk tubuh.
Hud mengemam mulutnya tatkala dia perasan akan sesuatu. Ada krim putih di atas bibir Qalisya.
"Sini jap." Panggil Hud dengan tangan bercekak sebelah pinggang.
"Apa? Tak nak aku." Balas Qalisya sambil menjeling tajam.
Hud berdecit. Tangan kirinya menarik lengan Qalisya agar mendekatinya. "Aku kata sini tu sinilah."
"Ei, apa kau nak?" Qalisya menjeling lagi.
"Sss... macammana nak buat ni?" Soal Hud dengan kepalanya yang sudah senget dan mata yang dikecilkan.
"Macammana apa?" Soal Qalisya yang masih tidak mengerti.
"Diam." Arah lelaki itu. Sekali lagi lengan Qalisya dipegangnya. "Jangan bergerak."
Qalisya terkebil-kebil melihat wajah Hud semakin mendekat. Kepalanya berlari sedikit demi sedikit. Tiba-tiba tangan Hud pula naik ke wajahnya.
"Hud! Apa ni?!"
"Naah... diam, jangan bercakap." Ujar Hud sambil melalukan pisau cukurnya di bawah hidung Qalisya. Buih-buih krim tadi ditariknya.
Hud tersenyum puas. "Dapat pun. Jenama apa ya pisau cukur ni? Bagus juga boleh tarik krim kat muka kau tu."
Air muka Qalisya berubah ketat. Mana tidaknya dia marah? Dia sudah siap bersolek, Hud pula melalukan pisau cukur pada wajahnya! Dasar si tak guna! Kalau ya pun ada kesan krim kopinya, bagitahu sajalah. Dia boleh lap dengan menggunakan tisu!
Lengan Qalisya dilepaskan Hud sebelum dia kembali masuk ke dalam bilik mandi.
Mulut Qalisya ternganga apabila Hud terus meninggalkannya sebegitu sahaja. Mujur Hud sudah bersiap.
Pisau cukur lelaki itu diletakkan di atas sinki dan Hud membelek wajahnya lagi. Dia mengangguk puas pada cukurannya sampailah dia keluar dari bilik air.
"Lah... kau dah kenapa ternganga besar sambil cekak pinggang macam tu? Tutup mulut sayang, nanti masuk lalat pulak... ." Mulut terbuka Qalisya ditutup rapat dengan Hud. Tangannya mengusap rambut Qalisya pula sebelum menarik isterinya untuk bergerak bersama-sama.
Ditendangnya Qalisya pada pelipat kaki Hud sampai terjatuh Hud ke belakang. "Argh! Sakitlah!"
"Itu balasan sebab kau rosakkan mekap aku." Jeling Qalisya kepada dirinya yang sudah terduduk di atas lantai.
Qalisya mencuci mekapnya dan menyolek semula wajahnya dengan solekan tipis. Hud mengintai Qalisya yang sedang bersolek di sebelahnya.
"Nak ke mana ni?" Soal Hud.
"Ke mana lagi? Pergilah mana-mana mall. Aku nak beli barang untuk Ayla dulu." Ujar Qalisya yang hendak memakai lipstik.
Hud tersenyum kecil apabila terfikirkan sesuatu. Cermin sisinya dicuri pandang sebelum dia menekan brek dengan kuat.
Qalisya terkebil-kebil apabila lipstik yang dipakainya sudah sampai ke pipi. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Hud.
Hud menahan bibirnya daripada mahu ketawa. "Bukan salah aku."
Jari telunjuk Hud dituju pada lampu merah di hadapan mereka.
"Argh! Aku benci kau! Aku benci kau!" Rambut Hud ditarik-tarik Qalisya dengan kuat. "Tadi pisau cukur, sekarang ni lipstik aku! Lepas ni apa pulak?!"
Mereka berdua berjalan masuk ke dalam sebuah pusat beli-belah terkenal di Korea. Ke mana Qalisya pergi, Hud akan ikut. Cadangnya Qalisya mahu membelikan barang-barang penjagaan muka buat Ayla. Perempuan. Tidak lari daripada mahu menambah kecantikan.
"Apa ni?" Soal Hud sambil memasukkan tangan ke dalam poket di dalam kot.
"Ini nama dia sheetmask. Untuk cantikkan muka."
Hud mengangguk faham. Dia berkerut kening apabila melihat Qalisya membuka aplikasi kalkulator di dalam telefon. Mengira harga-harga yang dipapar dan mengangguk-angguk.
Daripada satu rak, ke satu rak yang lain. Bakul yang dipegang Hud hampir penuh dengan barang penjagaan wajah.
"Alamak, macam tak cukup je." Qalisya menggigit bibir. Beberapa barang tadi Qalisya ambil semula daripada bakul. Tangkas Hud menahan tangan Qalisya.
"Apa yang tak cukup?" Soal Hud.
"Duitlah. Apa lagi?" Balas Qalisya yang mahu mengambil sebahagian daripada barang-barang di dalam bakul.
"Tak payahlah, aku bayar je semua ni. Ingat aku miskin sangat ke tak mampu nak bayar?"
Qalisya mendongak kepalanya ke atas. "Tak payahlah."
"Ambil jelah. Kau tu bini aku. Suka hati akulah aku nak belanja. Hak kau juga." Balas Hud sebelum berjalan melintasi Qalisya. Beberapa barang Hud ambil sehingga penuh sudah bakul yang dipegangnya.
Qalisya menunggu dengan penuh resah semasa suaminya sedang membuat pembayaran. Banyak juga barang yang dibelinya. Entah berapa ribu Hud sudah habis di situ.
Dua beg kotak besar dipegang dengan Hud usai saja membuat pembayaran.
"Hud, berapa total semua tu tadi?" Soal Qalisya yang sudah sedia dengan kalkulatornya.
"Adalah. Rahsia." Balas Hud sambil memasukkan dompet ke dalam poket.
"Ala... bagitahulah. Aku nak bayar balik ni." Ujar Qalisya.
"Ish, tak payah aku kata." Ujar Hud. "Simpan je kalkulator kau tu."
Qalisya menjongket bibir dan memasukkan telefon ke dalam poket. Jika Qalisya berhenti melihat baju cantik di kedai pakaian, Hud akan mengajaknya untuk masuk. Namun Qalisya hanya menggeleng walaupun sudah ditawar dengan lelaki itu. Wang simpannya sudah tidak banyak. Dia tidak mahu berbelanja banyak di Korea. Dia tahu, Hud sentiasa konsisten memasukkan duit ke dalam bank akaunnya dengan jumlah yang banyak. Namun satu sen pun tidak disentuh kerana dia tidak mahu terhutang budi pada lelaki itu walaupun Hud adalah suaminya sendiri.
Lebih kurang pukul 2 begitu, kereta mereka tiba di hadapan sebuah restoran. Qalisya telah hanyut dalam lenanya. Hud pula terus mengambil kesempatan tersebut untuk merenung lama wajah itu.
Tangannya membelai pipi mulus Qalisya. Alis itu. Hidung itu. Bibir itu. Semuanya tampak mempersonakan di matanya. Hatinya kecewa dengan kesalahan yang dibuat Qalisya. Namun separuh hatinya juga merindui pada wanita di sebelahnya.
Setahun mereka berjauhan, tidak pernah pun Hud melupakannya. Bukan Hud sengaja mahu membiarkan Qalisya harungi segalanya bersendirian. Cuma lelaki itu mahukan Qalisya sedar akan kesalahan-kesalahannya dan segera jalani kehidupan yang lebih tenang.
Salahkah apa yang dia lakukan? Dia hanya mahukan Qalisya cepat sembuh dari luka lamanya. Dia memberikan Qalisya masa untuk bertenang. Namun langkah yang diambil ternyata silap, dia hanya membuka ruang sepi diantara mereka berdua. Qalisya semakin menjauh daripadanya.
"I love you... Qalisya Irdeena."
Bibir Qalisya dikucup dengan perlahan sebelum dia kembali bersandar pada tempatnya.
Cukuplah dengan itu. Tidak mungkin Qalisya menyimpan perasaan terhadapnya sepertimana dia menyimpan perasaan kepada Qalisya. Daripada cara Qalisya melayannya juga sudah jelas betapa Qalisya tidak menganggap dirinya sebagai seorang suami.
"Hoi, bangun." Hud menolak kasar bahu Qalisya sehingga Qalisya terjaga. "Sedapnyalah kan kau tidur?"
"Ala kau ni, aku tidur kejap je pun." Balas Qalisya sambil mengeliat. "Dah sampai ke kedai makannya?"
"Taklah, sekarang ni kita kat kubur nenek aku." Perli Hud sebelum membuka pintu keretanya dan keluar.
"Tak tahu pulak abu nenek kau ada kat kedai makan." Balas Qalisya apabila mereka berjalan seiringan ke dalam kedai.
Usai makan malam, Qalisya membawa keluar semua barang-barang yang dibelinya. Disusun-susunnya dengan kemas ke dalam kotak. Ada dua buah kotak di situ. Satu buat Ayla manakala sebuah lagi buat Zarif.
Untuk Ayla, banyak barangan penjagaan wajah berbanding Zarif yang lebih kepada pakaian.
"Tak sabarnya nak balik Malaysia!" Qalisya mengangkat kedua-dua tangannya ke udara. Betapa gembiranya hati walaupun dia tidak tahu kapan Hud akan berjumpa dengan doktornya.
Dia melihat sisa-sisa barangan penjagaan wajah yang tinggal. Cukuplah untuk dirinya. Lagipun dia akan kembali ke sini lagi. Tidak perlu hendak risau.
Dia mencuci wajah dan menjalankan rutin penjagaan wajahnya seperti biasa. Topeng muka yang dibeli siang tadi ditaruh pada wajah.
Hud terus meletakkan buku bacaannya ke meja sisi katil selepas pintunya diketuk. Walaupun muka surat buku sedang terbuka, matanya sudah tertutup. Apa lagilah yang Qalisya seorang ini mahu? Sudah larut malam pula tu. Sistem pemanas rumah pun sudah baik.
"Hah, apa kau nak?" Soal Hud dengan riak muka kosongnya. Dia langsung tidak geli hati dengan topeng muka Qalisya.
"Tumpang lalu, doktor Qalisya nak masuk." Ujar Qalisya sambil membawa barang-barangnya masuk ke dalam kamar Hud dan menjatuhkannya ke atas katil Hud.
"Disebabkan kau dah tolong bayarkan semua barang-barang ni tadi, jadi aku rasa terhutang budi. Jadi, doktor falsafah jurusan pengangguran Qalisya Irdeena akan tolong anda untuk buat skincare routine."
Terus sepi bilik itu kerana Hud langsung tidak bersuara. Dia masih bingung dek kerana penat berjalan seharian.
"Ish, kau ni. Sinilah, Hud. Bam sini... bam sini..." ujar Qalisya sambil menepuk pahanya.
Pintu kamar ditutup. Langkah Hud penuh dengan malas-malas datang kepada Qalisya. Dia tidak minat dengan rutin penjagaan wajah. Leceh. Renyah.
"Ops, nanti dulu. Lupa. Kena cuci muka dulu." Qalisya tersengih-sengih apabila Hud mahu meletakkan kepalanya di atas ribaannya.
"Haih, malaslah. Esok-esok jelah buat. Ngantuklah." Bebel Hud yang bergolek ke bantal.
Terus Qalisya merentap lengannya. "Tak boleh, kita kena jaga muka kita ni. Kau tu dah umur dah 32, makin lambat kita jaga muka... makin cepat tau kedutan kat muka ni naik."
"Lantaklah nak berkedut pun. Masuk kubur kena makan ulat jugak." Balas Hud yang sudah memejamkan matanya.
Qalisya mengacukan buku limanya dekat dengan wajah Hud. Ikutkan hati, mahu ditumbuk saja wajah suaminya.
Lengan Hud sekali lagi direntap Qalisya. "Cepat bangun, kita kena cuci muka."
Hud mengusutkan rambut. Kantuk matanya sudah berat dan Qalisya pula memaksanya itu dan ini.
Hud hanya duduk sambil Qalisya mencuci wajahnya. Biarlah Qalisya sahaja yang buat. Dia malas.
"Encik Hud dah gosok gigi ke?" Soal Qalisya yang nadanya sepeti seorang doktor. Terkuap-kuap Hud menganggukkan kepala sebagai jawapan.
"Dah cepat bangun, saya nak kena tepek macam-macam benda kat muka awak ni." Ujar Qalisya yang masih berlagak seperti seorang doktor lagi. Hud berdecit.
Kepala Hud diletakkan ke atas ribaan Qalisya sekali lagi. Dia menikmati urut wajah yang Qalisya buat. Tebaknya Qalisya sangat bagus dalam hal itu, maka wajarlah kulit wajah Qalisya sangat bersih dan mulus.
Hud membuka matanya saat benda sejuk diletakkan pada wajahnya. Kini dirinya memakai topeng yang sama seperti Qalisya.
"Pandai kau buat semua ni." Pujinya apabila Qalisya kembali mengurut wajahnya. Selesa benar dengan urutan Qalisya.
"Of course, ini Qalisya ma..." balas si isteri. Hud jadi tertawa mendengarkan cara isterinya menjawab. Kepalanya bergerak-bergerak mengikut tangan Qalisya.
"Ini baru muka tau, belum rambut lagi. Eh, macam-macam benda lagilah nak kena buat." Sambung Qalisya.
"Yakah?" Hud bertanya. "Kalau bagus macam ni, bolehlah kau buka salon. Aku boleh bagi modal."
Qalisya menggelengkan kepalanya. "Tak nak aku. Nak kena ambil kursus apa semua. Tak rajin. Malas."
"Fine."
"Dah bangun. Aku nak check muka kau." Pinta Qalisya seraya menolak bahu Hud. Dibelek-beleknya wajah Hud. Tangannya sekali lagi mengurut wajah Hud agar cecair topeng muka tadi meresap masuk ke dalam kulit.
"Apa benda lagi yang kau letak kat muka aku ni?" Soal Hud apabila merasakan gel sejuk di wajah.
"Mosturiser. Ini untuk lembabkan kulit lepas pakai sheetmask tadi tu." Balas Qalisya sambil meratakannya pada wajah Hud. "Dah siap. So, encik Hud suka ke dengan rawatan penjagaan wajah yang doktor falsafah jurusan pengangguran Qalisya Irdeena buat tadi?" Soal Qalisya.
Hud ketawa kecil dan mengiyakan soalan tersebut. "Ya, suka. Terima kasih." Balas Hud sambil menatap wajah Qalisya. "No wonder kau cantik."
"Jongmal?"
Hud menganggukkan kepalanya sekali lagi.
"Kau pun. Kau pun handsome. Tak pakai skincare pun tetap handsome." Balas Qalisya sambil mengurut bahu Hud pula.
"Yakah?" Soal Hud dengan nada sangsi.
"Iya." Balas Qalisya dengan penuh bersemangat. "Kalau kau tak handsome, aku takkan halang kau daripada nak ceraikan aku dulu."
"Yakah?" Soal Hud lagi.
"Iya." Balas Qalisya sambil menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. Hud menelan liur. Kata-kata Qalisya bagaikan bisa ditangkap.
Mata mereka saling terkunci menatap satu sama lain. Rambut Qalisya dibelai-belainya. Raga Hud membisik-bisik sesuatu sehinggakan akalnya mula tidak waras.
Hud kembali tersedar ke alam nyata apabila Qalisya menegur sesuatu di pipinya.
"Eh, tertinggal pulak mosturiser kat pipi kau Hud." Qalisya ketawa sambil meratakannya. Sekali lagi seluruh wajah Hud dirut-urut dengan Qalisya.
Kalbu Hud kembali berbisik-bisik. Hanyut dengan pemandangannya. Dengan mata yang separuh terbuka itu, matanya bergerak melihat setiap sisi Qalisya. Qalisya pula mengawal perasaan apabila Hud tiba-tiba menggengam kedua-dua tangannya yang masih berada di pipi itu. Tubuhnya ditolak lembut dengan Hud.
Share this novel