"EH, apasal kau cakap aku ni adik kau hah? Aku ni suami kau, Qalisya!" Ujar Hud apabila mereka berjalan keluar daripada hospital. Bengang rasa di hati apabila Qalisya menggelarkan dirinya sebagai adik kepada isterinya sendiri.
"Aku dah kata kan? Aku tak nak kau ikut aku pergi appointment ni. Kau tu muka dah lah macam tu. Aku malu! Kau faham tak?" Soal Qalisya sambil menaikkan telunjuk ke wajah Hud. "Lagi satu, kan doktor nak cakap pasal badan aku tadi. Takkan aku nak biar kau dengar pulak?!"
Hud menarik lengan Qalisya dengan pantas. Soal itu lagilah dia bertambah panas.
"Aku ni suami kaulah, Qalisya. Apa yang kau nak malukan sangat? Bukan takat muka kau je aku boleh tengok, satu badan kau pun aku boleh tengok tanpa ada dosa. Aku cuma nak ambil berat pasal kau sebab kau tengah mengandungkan anak aku. Bukan sebab aku menggatal nak tahu pasal kau."
Qalisya menarik lengannya. "Kita kahwin bukan sebab ikhlas eh, Hud. Kita kahwin sebab nak selamatkan maruah budak ni sahaja. Badan aku, suka hati akulah aku nak bagi siapa pun tahu, siapa pun yang tengok, dan kau tergolong dalam kalangan orang yang dihalang untuk tahu tentang perkembangan semasa badan aku. Walaupun engkau tu suami aku! Suami yang aku tak pernah nak anggap sebagai suami aku sendiri!"
"Kalau kau nak sangat ikut appointment budak ni selepas ni, kau buang semua... kau buang semua benda-benda hodoh kat muka kau tu. Aku malulah nak anggap kau tu sebagai suami aku!"
Qalisya menolak Hud sebelum dia berjalan pantas ke keretanya. Langsung tidak difikirkan keadaan di sekeliling yang ramai dengan orang.
Qalisya mencampakkan bukunya ke tempat duduk belakang. "Benci betul aku tengok muka lelaki tu! Aku geli!"
Hud baru sahaja selesai memandikan Haura. Petang nanti akan ada doktor yang datang untuk memeriksa keadaan Haura. Sudah genap seminggu dia tidak datang ke Alamanda, Zarif juga tidak memarahinya. Mungkin kerana tiada kes-kes yang mustahak.
Haura di baringkan di atas katil. Kaki isterinya itu diurut-urut agar urat-uratnya mampu menyampaikan sesuatu ke otak Haura.
Wajah Hud berkerut. Dia masih lagi marahkan Qalisya. Sejak hari itu, dia sudah tidak datang lagi memasakkan makanan buat Qalisya. Khabar Qalisya juga tidak ditanyakan.
Hud berjalan ke cermin besar itu. Getah rambutnya ditarik. Jambangnya dielus-elus.
"Kalau kau nak sangat ikut appointment budak ni selepas ni, kau buang semua... kau buang semua benda-benda hodoh kat muka kau tu. Aku malulah nak anggap kau tu sebagai suami aku!"
Bulu-bulu jambangnya perlahan-lahan jatuh ke lantai. Rambutnya yang panjang mulai menjadi semakin pendek. Gunting itu diletakkan di atas meja.
Pisau cukurnya diseret pada wajah, menggugurkan helai-helaian halus di wajahnya. Rambut dibelek ke kiri, tangannya sedang sibuk bekerja.
Sesudah dia puas, mesin penggunting rambut itu diletakkan di sisi gunting tadi sebelum dia menghilangkan diri ke dalam bilik air untuk membersihkan dirinya.
Kot hitam terletak kemas pada tubuh Hud pagi itu. Tag namanya dipin di atas garis poket kot. Hari itu dia tidak akan memasak, kerana ada kerja di ofis yang perlu diselesaikan.
"Nanti bila miss Qalisya datang, awak bagi pada dia." Ujar Ayla seraya menyerahkan fail itu kepada gadis yang duduk di kaunter pendaftaran di lobi.
"Siapa tu?" Soal Ayla apabila melihat lelaki berkot hitam yang sama seperti dirinya. "Tak pernah nampak pun."
Ayla mengekori lelaki tadi yang sedang berjalan menghala ke restoran.
"Excuse me." Sapa Ayla.
Hud berpaling ke belakang. "Ya?"
"Oh my God! Hud? Is that you?" Ayla menekup mulutnya apabila melihat tag nama pada baju kot Hud.
Hud tidak membalas. Dia kembali berjalan dan meninggalkan Ayla yang termangu-mangu di situ.
"Handsome teruk! Berganda-ganda hensem dari tuan Zarif!" Ayla tersenyum-senyum di situ. "Tapi Hud tak kaya. Tapi dia lagi handsome daripada tuan Zarif!"
"Siapa tu?" Soal staf yang menjaga bahagian sarapan. Semuanya terpana melihat lelaki tinggi dan kacak itu lalu dihadapan mereka. "Hyun Bin Malaysia ke ni?"
Hud terus menoleh ke arah gadis-gadis itu apabila mereka menjerit kecil. Matanya disepetkan pada mereka. Semua terbuntang apabila membaca tag nama itu.
Qalisya memakai topeng mukanya sambil berjalan masuk ke lobi. Dia mahu melapik perutnya yang sudah kosong sejak beberapa hari. Bukan dia yang tidak makan, tapi akan ada yang menolaknya keluar semula.
Dia mahu menghubungi Hud. Mahu meminta lelaki itu memasakkannya sesuatu. Tetapi dia segan. Dia tahu dia sudah melampau kerana bertindak untuk melepaskan amarahnya di khalayak ramai.
"Tapi Hud tu yang salah. Dah kenapa nak tahu pasal aku? Tahu pasal budak ni je dah lah." Bebelnya dengan dahi yang berkerut.
Hari ini dia tidak memakai sebarang alat solek di wajah. Bau krim muka itu membuatkan hidungnya tidak tahan. Hidungnya terlalu sensitif. Begitu juga dengan tekaknya. Sudahlah pagi ini kepalanya pening-pening. Risau kalau dia hilang kawalan dirinya.
"Cik Qalisya."
Qalisya tidak jadi hendak menguak pintu ofisnya. Dia menoleh ke arah suara itu.
"Apa you nak, hah? Pagi-pagi dah datang ofis i." Bebel Qalisya seraya menolak pintu ofis.
Irfan turut berjalan masuk dan mengambil tempat di hadapan Qalisya.
"Saja nak melawat general manager Alamanda. Tak boleh?"
"Kalau tak ada apa-apa, tolonglah keluar Irfan. I ni banyak kerja. I tak ada masa untuk benda remeh-temeh ni." Balas Qalisya sambil menghidupkan suis komputer sebelum menarik sebuah fail di sisinya.
"Kenapa hari tu cik Qalisya boleh pitam, ya?" Soal Irfan.
"Kan i demam. Satu Alamanda ni tahu yang i demam panas."
"Takkan sebab tu je? I pun pernah juga kena demam panas tapi taklah sampai pitam."
Qalisya merenung tajam. "Manalah i tahu. I ni manusia je. I bukan Tuhan, ke you nak i tanya pada Tuhan?"
Irfan tergelak sinis. "Cik Qalisya pandai bergurau rupanya."
"Sebelum i report pada tuan Zarif yang you ni suka mengular, baik you keluar. Sebab i tak suka ada virus yang satu ni dekat dalam Alamanda. Virus yang bahaya dan tak diperlukan pun, bahkan perlu dibuang." Jawab Qalisya dengan penuh sindiran. Dia berpaling ke belakang untuk mengambil fail di dalam kabinet.
Tiba-tiba rambut Qalisya direntap Irfan. "I nak ingatkan you untuk jauhkan diri you daripada chef Hud mahupun tuan Zarif. You fikir you layak ke untuk diaorang berdua?"
"Lepaslah!" Qalisya cuba melepaskan rambutnya daripada digenggam Irfan, tapi sayangnya lelaki itu lebih kuat merentapnya pula. "Kau ni dah kenapa?!"
"I tak main-main, cik Qalisya. Jauhkan diri you daripada mereka berdua."
Rambut Qalisya dilepaskan Irfan. Lelaki itu terus melulu keluar daripada ofis. Topeng muka Qalisya dibuka. Dia sudah berasa lemas. Ubat di dalam beg tangannya di ambil.
"Gila. Apa masalah dia tu?" Bebel Qalisya selepas menelan ubat.
Hud meletakkan pen di atas meja. Kepalanya disandarkan pada kerusi. Tangannya mencapai telefon keluar daripada poket. Dia mahu tahu apa khabar terkini Qalisya memandangkan isterinya itu langsung tidak memberitahu tentang apa-apa pun masalah.
"Mungkin dia dah okey kut." Ujar Hud sambil mengetuk lembut telefonnya ke dahi.
Pintu ofisnya diketuk. "Masuk." Arah Hud.
"Chef Hud, cik Qalisya ada dekat sini. Dia tengah buat pemantauan."
"Dia cari aku ke?" Soal Hud. Lelaki di muka pintu itu menggeleng.
"Kalau dia cari nanti suruh dia masuk ofis je. Aku ada banyak kerja daripada nak kena melayan dia kat dapur."
"Okay baik, chef." Balas lelaki itu sambil menutup semula pintu ofis.
Qalisya mengenakan semula topeng mukanya sebelum masuk ke dapur. Dia sebenarnya bukanlah mahu membuat pemantauan itu, tapi ingin mencari Hud. Dia mahu Hud memasakkannya sesuatu.
"Cik Qalisya cari ketua chef ke?" Soal lelaki tadi apabila dia perasan Qalisya asyik menjinjangkan lehernya bagaikan sedang mencari seseorang.
Qalisya menggelengkan kepalanya sebelum keluar semula daripada dapur.
"Cik Qalisya!"
Hud terus melihat ke arah pintu ofisnya. Nama itu tidak jelas tapi bisa diteka. Qalisya. Pantas dia berlari keluar.
Qalisya dipeluk oleh seorang kru perempuan dan mula dikerumuni oleh kru-kru restoran yang lain.
"Ke tepi!" Hud menarik bahu-bahu yang 'melindungi' Qalisya. Matanya terbuka luas apabila melihat Qalisya sedang terbaring lemah di dalam dakapan kru perempuannya.
"Qalisya!" Hud terus mencempung Qalisya masuk ke dalam ofisnya. Tubuh Qalisya diletakkan di atas sofa. Gelas di atas meja dituang air kosong sebelum dihulurkan kepada Qalisya.
"Slow slow..." pesan Hud kepada Qalisya. Rambut Qalisya dibelai-belai sehingga air itu habis diteguk Qalisya.
"Thank you." Balas Qalisya seraya meletakkan gelas tadi ke atas meja. Dia mengalihkan kepalanya daripada disentuh lelaki itu.
"You ni siapa? Mana Hud?" Soal Qalisya sambil menoleh ke arah kerusi kosong itu. Belum pernah lagi dia melihat wajah lelaki kacukan cina atau korea itu di sini. Pelik juga di manakah Hud sekarang ini. Dia tahu Hud tidak masuk ke Alamanda sejak seminggu yang lalu, tapi takkan sudah berhenti kerja?
"Hud mana?" Soal Qalisya dengan mata yang berkaca. Tangannya naik menyentuh lengan lelaki itu.
Lelaki itu tidak menjawab. Qalisya menyentuh perutnya. "I lapar sangat, tapi i tak boleh nak makan. Boleh tak kalau you tolong carikan Hud? Minta dia untuk tolong masakkan i sesuatu?"
"I lapar sangat, tapi i tak boleh nak makan." Ucapnya dengan ayat yang sama tetapi kali ini disertakan dengan air mata.
Lelaki itu menganggukkan kepalanya dan membaringkan Qalisya di sofa.
"I tak nak masakan orang lain, you kena tolong i cari Hud dan minta dia masakkan sesuatu untuk i." Ujar Qalisya sebelum meringkuk di atas sofa.
"Hud..." Qalisya menangis sekali lagi. Bukanlah sebab rindu pun dia menangis, dia cuma mahu makan masakan daripada lelaki itu.
Hud menyinsing lengan bajunya. Mee pasta itu dicelur ke dalam air yang sudah menggelegak. Apron yang dipakai tertulis namanya sendiri bahkan apron itu wujud kerana pemberian Haura sewaktu dia mula menjadi ketua chef di Alamanda.
Kulit udang galah itu dikopeknya sedikit untuk disiang, kemudian tangannya mencapai dua potong dada ayam sebelum dipotong lebih kecil. Tangannya laju mencampakkan potongan ayam tadi ke dalam tepung sebelum menggorengnya. Selepas seminit, ayam itu sudah selesai digoreng.
Dia berpeluk tubuh sambil melihat sos itu menggelegak sesekali dia akan mengacaunya sehingga dia puas hati dengan hasilnya.
Mee pasta tadi diambil dengan garfu sebelum meletakkannya di pinggang dengan cara memusingkan garfu tersebut. Kuah sos tadi dituang ke atas pasta sebelum dia meletakkan udang yang dimasak bersama-sama sos tadi ke atas mee pasta. Potongan ayam tadi diletakkan secara bertabur.
Bontot garfu tadi dicelupkan ke dalam sos sebelum menulis namanya diatas pinggan itu.
Buah beri beku yang sudah dicelurkan bersama-sama air panas dimasukkan ke dalam blender sebeum dituang ke dalam gelas tinggi yang sudah diisi dengan ais. Air buah lemon yang sudah diperah sambil dia memasak tadi turut dituang ke dalam gelas sebelum dia mengacau menggunakan straw.
Apronnya ditanggalkan. Kedua-dua minuman dan makanan itu diletakkan ke atas dulang yang hendak dibawa ke ofis.
Qalisya masih terbaring di situ dengan mata yang sudah terpejam.
"Hud..."
Hud menggelengkan kepalanya selepas mendengar nama disebut-sebut Qalisya yang bungkam.
"Sya, bangun. Aku dah bawakkan makanan untuk kau ni." Panggil Hud seraya mengusap bahu Qalisya.
Terpisat-pisat Qalisya membuka matanya. Dia merenung wajah lelaki itu sebelum memandang makanan dan minuman yang sudah disediakan.
"Hud mana?" Soal Qalisya.
Hud menarik tangan Qalisya dan menyerahkan sudu dan garfu.
"Kau ni, suami kau sendiri kau tak kenal ke?" Balas Hud sambil berpeluk tubuh.
Qalisya terus melompat jauh. Dia melihat Hud dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.
"Jangan main-main. Hud mana?" Soal Qalisya dengan kening yang hampir bercantum.
"Ya Allah... aku lah Hud. Hud suami kau tu!"
"Yakah?" Soal Qalisya sebelum perlahan-lahan mendekati Hud. Hidungnya mencium-cium bau Hud sambil memandang wajah itu tidak lepas. Dagu Hud ditariknya ke kiri dan ke kanan sebelum dia bertindak untuk duduk di atas ribaan Hud. Terkejut Hud dengan tindakan spontan Qalisya itu. Apabila Qalisya mendekati wajahnya, dia terus menutup mata. Jari Qalisya pantas membuka kedua-dua kelopak matanya, anak matanya hampir menyentuh anak mata Qalisya.
"Oh, kau rupanya." Qalisya kembali turun daripada duduk di atas ribaan Hud.
Hud menghembus nafas lega. Takut dia dibuatnya dengan gelagat spontan Qalisya. "Iya, akulah Hud."
"Bungkus je semua ni." Ujar Qalisya sambil berpeluk tubuh dan menghadap dinding, membelakangi Hud.
"Apa pulak nak bungkus? Penat aku deko makanan kau ni, kau minta bungkus?"
"Bukan aku yang nak, anak kau yang nak." Jawab Qalisya.
"Kalau kau nak bungkus, kau bungkus sendiri. Aku ada banyak lagi kerja nak buat. Bukan nak kena layan tekak kau je." Hud bangkit daripada sofa dan menuju ke kerusinya.
"Fine!" Qalisya menghentak sofa. Dia terus membawa keluar dulang tadi untuk dibungkus. Dia sebenarnya kaget. Kaget dengan rupa Hud. Bimbang jika dia makan di situ, dia akan tertangkap kerana mengintai Hud. 'Kacak! Terlalu kacak sehingga bisa membunuh raga!'
Share this novel