BAB 19

Drama Series 41228

'CEPAT bangun Qalisya! Cepat!' Hatinya menjerit sekuat-kuatnya. Dia mahu menggerakkan tangannya tapi tidak berdaya. Matanya tidak berkelip memandang Hud. Pipinya yang ditampar lembut dengan Hud tidak terasa, ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya hari ini.

"Qalisya! Hei, kau dengar tak aku panggil ni?"

Kalaulah Hud tahu betapa dia sedang menjerit-jerit di dalam hatinya sendiri bagi menjawab pertanyaan si suami.

"Jangan main-mainlah, Qalisya!" Hud menggoncangkan bahu Qalisya namun isterinya itu masih lagi tidak memberikan respon. Tiba-tiba dia merasakan bahang panas pada tubuh Qalisya sebelum isterinya menutup mata.

'Wake up, Qalisya... wake up!'

Hud terus membawa Qalisya keluar daripada rumah. Qalisya diletakkan dibelakangnya. Saat tangannya mahu menarik pemegang pintu, ada suara lemah yang memanggilnya.

"Hud... jangan." Qalisya bersuara halus.
"Jangan apanya, Qalisya? Kau tahu tak tadi kau tu tak sedar? Kita terus je pergi ke hospital."

Qalisya tidak kuasa mahu menghalang Hud. Dia juga tahu dia akan kembali hilang kawalan terhadap dirinya sendiri lagi.

"Dalam phone... doktor..."

"Qalisya?" Hud terus meletakkan tubuh kecil itu di atas sofa. Sudah dia agak bahawa Qalisya kembali tidak sedarkan dirinya.

Telefon Qalisya dibawa keluar daripada poket kirinya. Mencari-cari nama doktor yang dimaksudkan isterinya.

"Ya, Qalisya?" Soal wanita itu.

"Saya suami Qalisya, doktor kat hospital mana?"

Imbasan MRI itu ditampal dengan Hazwani pada lampu baca rontgen. Perlahan-lahan dia duduk di kerusi dan memandang Hud yang kebingungan melihat gambar imbasan tersebut. "Dah lama puan Qalisya tak jumpa saya sejak saya dapat tahu yang dia keguguran."

"Sepatutnya puan Qalisya kena datang jumpa saya selepas dia dah sembuh, tapi dia tak datang." Sambung Hazwani lagi.

"Kenapa isteri saya kena datang jumpa doktor? Dan ini imbasan apa?" Hud menyoal. Didalam kepala Hud penuh dengan tanda tanya tentang Qalisya.

"Untuk kita bincang soal pembedahan yang akan dibuat. Puan Qalisya kena cepat-cepat jalani pembedahan tu, kalau tak kita tak boleh nak teruskan ke rawatn yang seterusnya." Balas Hazwani yang semakin menambah kekeliruan pada Hud.

"Pembedahan? Kenapa kena buat pembedahan? Isteri saya cuma sakit kepala yang biasa."

Hazwani menggelengkan kepalanya. "Puan Qalisya menghidap sakit barah otak, encik. Stage three."

"Barah otak?!" Gambar imbasan itu direnung lama dengan Hud.

"Ya betul. Kalau sebelum ni puan Qalisya mungkin cuma alami sakit kepala dan sering berasa mual sahaja. Tapi kali ni..."

Hud beralih pandang ke arah Hazwani. "Tapi apa?"

"Otak dia dah mula hilang keupayaan untuk kawal diri dia." Kata Hazwani. "Sebab tu puan Qalisya jadi macam itu, tak boleh nak beri respon bila encik panggil dia."

"Macammana nak sembuhkan isteri saya doktor? Saya akan bayar semua kos rawatan dia." Tangan Hud menggeletar. Baru dia teringat pada botol-botol ubat yang dijumpainya semalam.

Hazwani mengeluh kecil. Dia tidak tega untuk memberitahu tentang itu kepada lelaki di hadapannya.

"Doktor cakap je berapa yang doktor nak, saya akan bayar."

Hazwani mengangguk perlahan. "Pertama sekali, untuk rawat sel kanser tu puan Qalisya kena jalani pembedahan. Sel kanser isteri encik berada di tempat yang sukar untuk dicapai kalau pembedahan secara manual dibuat. Satu-satunya cara, dengan melakukan pembedahan melalui pisau gamma. Cumanya di Malaysia masih lagi belum ada mesin pisau gamma yang boleh mengecutkan sel kanser isteri encik. Tapi, kita mungkin perlu buat rawatan susulan seperti kemoterapi untuk pastikan yang sel kanser tu dah tak aktif."

"Kalau encik bersetuju, saya akan carikan hospital di luar negara yang ada slot kosong untuk puan Qalisya."

Perlahan-lahan Qalisya membuka matanya. Dia menarik tangannya yang sedang digenggam oleh lelaki itu. Hud menjerit kuat apabila Qalisya memula tangannya. "Berani kau pegang-pegang tangan aku, kan?!"

"Hei, Qalisya! Lepas! Lepaskan tangan aku!"

"Lelaki yang suka ambil kesempatan memang layak untuk terima balasan macam ni!" Sambungnya seraya memula tangan Hud dengan lebih kuat. "Kau siapa, hah?! Bak sini ic kau! Aku nak buat report police!"

"Aku Hudlah! Suami kau! Kau dah kenapa?" Hud lantas menarik kuat tangannya daripada seksaan Qalisya.

"Suami? Bila masa aku kahwinnya? Baik kau cakap, kau siapa?!" Soal wanita itu sambil berpeluk tubuh.

"Aku... suami kau! Haih, ni mesti sebab wayar kat otak kau ada yang putus."

Qalisya menggeleng-gelengkan kepalanya. "Dah gila agaknya lelaki ni, bila masanya entah aku jadi bini dia."

"Meh sini telefon kau, aku nak call bini kau." Tambahnya lagi.

"Hah, call lah... call. Kau tu lah bini aku!" Telefonnya diberikan kepada Qalisya namun ditolaknya semula.

"Hei, jantan gatal. Ini nombor akulah, terang-terang ini nama aku . Qalisya Irdeena. Kau jangan main-main dengan aku, eh? Sekali aku panggil security guard..."

"Macammana aku boleh ada dekat sini? Ini hospital. Bukan aku kat Alamanda ke tadi?" Soal Qalisya berserta dengan tangan di dagu. "Alamanda... Zarif tak guna!"

Tiba-tiba dia mencengkam kedua-dua belah bahu Hud dengan kuat untuk menyampaikan rasa geramnya.

"Aku akan pastikan... yang Alamanda tu akan jatuh suatu hari nanti! Aku akan racun semua guest kat hotel tu, biar tak ada orang lagi yang nak datang ke sana."

Raut wajah Hud terus berubah. Nada Qalisya tidak main-main.

"Siapa yang minum air sampailah ais tu cair, dialah yang akan kena sakitnya. Lepas tu, semua orang akan takut nak datang lagi ke Alamanda." Sambung Qalisya sambil tertawa kecil melihat ke arah tingkap, walaupun tangannya masih lagi menggenggam bahu Hud.

"Alamanda juga perlu rasakan derita yang aku alami, aku takkan pernah maafkan diaorang. Orang-orang yang dah membunuh keluarga aku."

"Disebabkan nak bina hotel bodoh tu, diaorang sanggup robohkan rumah aku. Pembinaan Alamanda tu dah tercalit dengan darah-darah insan yang tak berdosa macam kami sejak dari awal lagi!"

"Sebab hotel tu, ayah mati. Sebab hotel tu, mak mati. Dan sebab hotel tu juga, adik aku Malis... mati."

Air mata Qalisya terus jatuh ke pipi. Betapa berat rasa di dada setiap kali dia perlu melangkah ke neraka itu. Kalau ikutkan hati, dia mahu meletakkan racun yang lebih kuat pada semua makanan dan minuman agar tiada siapa lagi yang hidup selain daripada dirinya.

Botol-botol kaca bersusun-susun di tepi dinding ditenung Qalisya sambil anak kecil itu mendakap kuat lututnya. Dia hanya melihat ayahnya meneguk minuman itu tanpa henti sehingga licin isinya. Sudahlah bau minuman itu pula sangat menusuk hidung.

"Abang, janganlah minum depan anak-anak kita. Diaorang kecil lagi." Kata Wati sambil mahu mengambil minuman-minuman haram tersebut daripada tempatnya. Dia tidak berani melawan suaminya. Sejak daripada insiden rumah mereka dirobohkan, suaminya itu jadi kaki botol dan kaki judi. Sikap lemah lembut di dalam diri suaminya itu juga sirna.

Qalisya menekup telinga apabila Badrul menempik kuat kepada ibunya. Sebaknya ditahan-tahan. Tangisnya tetap dikawal walaupun ketika dia terpaksa melihat ibunya sedang dipukul dan ditendang-tendang dengan bapanya sendiri. Apabila Malis mula merengek di sebelah, terus dia menekup mulut adiknya. Dia sudah serik dipukul oleh bapanya. Sedangkan Malis anak kesayangan Badrul juga turut kena pukul. Bapa mereka jadi baran jika mendengar tangisan dari mulut mereka berdua. Semakin kuat Malis menangis, semakin kuat dia menekup mulut itu. Dia hanya melihat saja Badrul yang sedang memukul Wati.

Beberapa bulan kemudian, Badrul pergi meninggalkan mereka bertiga. Mulalah episod yang lebih mencabar dalam hidup Qalisya apabila sikap ibunya berubah. Wanita itu hanya mahu mati kerana terlalu rindu pada suami. Sudahlah ibu mereka jadi begitu, tuan rumah pula menghalau mereka kerana tidak membayar sewa.

"Mak... mak janganlah sakit." Ujar Qalisya yang tidak berhenti-henti menangis. Bubur yang disua ke dalam mulut ibunya langsung tidak ditelan.

"Ayah kau mana?" Soal Wati yang bergilir-gilir dengan batuknya.

"Mak, kan ayah dah tak ada." Balas Qalisya yang comot wajahnya. Dia menepis-nepis air matanya.

"Dah tak ada?" Soal Wati sebelum menangis. "Abang... "

"Kita makan bubur ni ya, mak? Ada orang bagi tadi."

Wati menggeleng-gelengkan kepala sambil menangis. "Biarlah mak mati. Mak nak pergi dekat ayah kau."

Qalisya menoleh ke arah Malis yang turut sama menangis dan terbatuk-batuk. Dahi Malis disentuhnya. Panas.

"Adik pun makan ya bubur ni?" Kesan comot pada wajah adiknya digosok-gosok supaya hilang.

Malis menggelengkan kepalanya. "Kalau mak nak mati, adik pun nak ikut mak."

Qalisya tidak kuasa hendak menahan tangis. Usianya baru hendak masuk lima tahun.

"Abang... tunggu Wati, abang."

"Mak, mak janganlah mati. Adik nak mak." Ujar Malis.

Batuk Wati menjadi semakin kuat. Qalisya jadi tidak tenang dan terus melihat ke kiri dan ke kanan mereka. Hujan turun dengan lebat pada petang itu, dan paras air meningkat. Mujur air itu masih belum mencecah lantai di bawah jambatan yang mereka guna sebagai tempat berlindung.

Dalam hujan lebat itu Qalisya berlari mendapatkan bantuan buat si ibu yang semakin tenat.

"Mak cik, tolong saya... ibu saya... "

"Tepilah!" Qalisya terjatuh di atas jalan selepas ditolak wanita itu.

Kemudian dia berlari lagi pergi mencari bantuan dan hasilnya masih sama. Semua orang menolak untuk memberikan bantuan meskipun sudah dia pujuk-rayu.

Pakaiannya basah kuyup ketika dia kembali semula ke tempat perlindungan mereka.

"Mak..." Qalisya terduduk di situ apabila Malis menjerit kepadanya.

Malis menangis teresak-esak di tepi kubur ibu mereka berdua. Qalisya sahaja yang tidak menangis. Dia mahu menangis namun jiwanya tidak bisa melepaskan air mata. Fikirnya jika dia menangis, siapa yang akan menjadi kuat diantara mereka berdua? Rambut Malis dielus-elusnya.

"Adik nak mak..." ujar Malis yang sedang menangis di ribaan Qalisya. "Adik tak nak duduk kat rumah tu!"

Tidak sempat Qalisya membalas, telinga mereka berdua sudah ditarik kuat oleh seseorang.

"Amboi! Amboi! Sedap duduk kat sini, ya? Main drama air mata pulak?! Kain kat rumah tu siapa nak jemur, hah?"

Qalisya terus menggigit tangan wanita yang sedang mempiat telinga Malis. Selepas ditampar barulah dia melepaskan gigitannya.

"Nanti kitaorang baliklah!" Jerit Qalisya. Dia menarik Malis masuk ke dalam pelukannya.

Pipi Qalisya ditampar dengan wanita pemilik rumah anak yatim itu. "Wah.... dah pandai menjawab?"

"Bagusnya mulut, kecil-kecil dah pandai menjawab." Balas wanita itu sebelum menampar pipi Qalisya lagi. "Balik sekarang!"

"Sabarlah! Nak baliklah ni, perempuan tua! Ahli sihir!" Balas Qalisya sebelum meludah ke kaki wanita itu.

"Kurang ajar!"

"Kakak!"

Darah pekat mengalir deras dari kepala Qalisya apabila batu itu ditampar kuat ke sisi kepalanya. Langsung Qalisya pengsan di situ.

Qalisya hanya berubat sendiri, tidak dibawa ke hospital mahupun ke klinik. Kepalanya dituam dengan air suam oleh gadis yang usianya sedikit tua daripadanya.

"Kakak, janganlah buat macam tu lagi." Kata Malis. Dia meletakkan kepalanya pada tangan Qalisya.

"Awak jangan berani sangat tau. Ahli sihir tu bahaya." Ujar Nurin. Salah satu penghuni rumah anak-anak yatim itu.

Qalisya menggelengkan kepalanya. "Kau tunggu nasib kau, ahli sihir."

Suara gelak tawa itu membuatkan Qalisya terjaga di tengah malam. Dia segera meninggalkan kamar dan memerhatikan sekeliling yang sudah kelam sebelum mencapai peti kecemasan yang berada di atas meja.

Botol yang menyimpan minyak gamat itu diambil dan digenggam erat.
Dia berjalan ke arah dapur dan mengintai wanita itu dengan suaminya sedang makan yang enak-enak. Dia menutup matanya apabila mereka berdua sedang bercumbuan sebelum berlari masuk ke dalam kamar.

Menjinjit kakinya hendak menuju ke meja makan. Tutup botol itu dibuka dan dituangnya minyak gamat tadi kedalam kedua-dua pinggan yang terisi dengan kuah mi sizzling sehingga licin botol minyak tersebut.

Apabila dia terdengar suara-suara itu, cepat-cepat dia melarikan diri.

"Kau yang letak benda tu kat dalam makana aku, kan?" Soal wanita pemilik rumah anak yatim itu.

"Letak apa? Qalisya tak fahamlah makcik." Balas anak kecil itu.

"Qalisya tak fahamlah makcik." Nada itu menjengkelkan telinga Qalisya apabila diputar semula dengan wanita di hadapannya. "Kau jangan tunjuk pandai ya budak, silap hari bulan... mati adik kau aku racun!"

Keesokkan paginya dia menemui mulut Malis berbuih-buih. Dia menjerit kuat apabila tubuh adiknya sudah sejuk. Seisi rumah itu terkejut dengan jeritan Qalisya sehingga wanita itu juga datang menjenguknya. Wanita itu membelek wajah Malis yang sudah biru. "Hei, Qalisya! Kau bunuh adik kau sendiri ke? Kau dah gila, eh?"

"Makcik tu yang gila! Makcik yang racun adik saya!" Balas Qalisya dengan wajahnya kemerah-merahan. "Semalam makcik cakap makcik nak racun adik saya!"

"Bila masa aku cakap macam tu? Bila masa aku racun adik kau? Kau ni, badan je kecil. Tapi otak kau boleh tahan ya?"

"Memang padanlah muka kau, Malis mati. Kalau aku yang dewasa ni pun kau berani nak racun, apatah lagi adik kau si Malis ni!"

Qalisya terus mencekik leher wanita itu sekuat hati. Tubuhnya masih kecil dan tenaganya tidak banyak, jadi mudah saja untuk wanita itu menolak Qalisya semula. Kepala Qalisya dihentak ke dinding berulang kali sehingga dia tidak sedarkan diri. Darahnya melekat pada dinding putih bilik itu.

"Ini balasannya kalau nak lawan makcik. Kalau kauorang semua berani nak lawan makcik, kauorang semua akan terima balasan yang sama macam Qalisya!"

Anak-anak kecil itu saling berpelukan antara satu sama lain kerana ketakutan. Darah Qalisya mengalir deras.

Dia akhirnya terpaksa membesar bersendirian tanpa Malis di rumah itu. Diantara semua anak yatim rumah itu, Qalisyalah yang terpaling bijak dan berani. Tambahan pula, kecantikannya kian menonjol apabila meningkat dewasa sehingga membuatkan dia hampir dirosakkan oleh suami wanita tersebut. Mujur dia tangkas membela dirinya sendiri, dan dia adalah satu-satunya gadis yang tidak pernah diperkosa mahupun dicabul dengan lelaki kepada pemilik rumah anak-anak yatim itu. Semua gadis-gadis di situ pernah ditiduri oleh lelaki itu ketika isterinya tiada di rumah.

Usai sahaja dia menamatkan zaman persekolahan, dia terus melarikan diri daripada rumah durjana itu dan memulakan kehidupan yang baru dengan bekerja di beberapa tempat sebelum menyambung pelajarannya di peringkat Matrikulasi. Selepas menggenggam ijazah sarjana muda pada usia 22 tahun, dia terus mencari hotel Alamanda yang sentiasa tersemat diingatannya. Tekadnya mahu menghancurkan Alamanda tidak pernah terputus.

Hud menggenggam buku limanya dengan kuat sambil melihat ke luar. Penjelasan Qalisya yang secara tidak sengaja itu tadi telah membuatkan rasa marahnya meluap-luap.

"Aku takkan biarkan kau mati, Qalisya. Kau patut tanggung apa yang kau dah buat selama ni." Ujar lelaki itu sebelum menumbuk dinding di sebelah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience