BAGASI Qalisya melintasi Qalisya yang terpaku di hadapan pintu masuk. Hud memberi petanda agar pembantu rumah memberi ruang untuk mereka berdua sementara Haura masih di atas. Wanita itu menggigit bibir. Apabila Hud meletakkan tangannya pada bahu Qalisya, wanita itu terkejut seperti disergah hantu.
"Masuklah." Jemput Hud sebelum menarik tangan Qalisya dan membawa dirinya duduk di sofa. "Kau ni dah kenapa nak takut-takut? Dah macam nampak jembalang aku tengok."
Lengan Hud disentuh Qalisya. "Hud, aku tak selesalah dekat sini."
Hud menyandarkan kepalanya di atas bahu Qalisya. "Kenapa? Kau rasa macam nak mati ke?"
Qalisya angguk mengiyakan soalan.
"Samalah. Aku pun. Rasa macam bakal berhadapan dengan guru besar waktu sekolah dulu." Sambung Hud lagi. Kepalanya sudah disandarkan pada bahu Qalisya.
Kepala Hud terus ditolak Qalisya apabila matanya menangkap tangan Haura yang sudah memegang pemegang di tangga. Mereka berdua sama-sama membulatkan mata.
"Pergilah tolong bini kau tu!" Qalisya membisik. Hud lantas bangkit dan pergi menuju ke arah isterinya yang sudah hampir tiba di tingkat bawah. Sebelah tangan Haura berada di pinggang dan sebelah lagi dipimpin Hud. Bahunya juga didakap Hud.
Melihat perut Haura, menjadikan fikiran Qalisya kembali mengimbau kenangannya bersama-sama dengan Najmi. Kalau Najmi masih hidup, pasti anak kecil itu sudah boleh berlari.
"Lama dah sampai?" Wajah Haura menyelit senyuman yang tidak berapa manis. Hanya ala kadar.
Biarpun Haura memberinya senyuman yang tidak ikhlas, sebagai adik dia perlu menabur bunga. Kalau bukan kerana dia, rumah tangga Hud dan Haura pasti tidak akan apa-apa.
"Baru 5 minit. Tak lama pun." Sambut Qalisya.
Hud melabuhkan punggungnya disisi Haura. Matanya sempat bertentangan dengan Qalisya beberapa saat.
"Saya minta maaf, sebab terpaksa buat awak menunggu. Maklumlah, tengah mengandung kan? Badan ni... letih. Tak tahu nak cakap macammana. Awak pun mesti faham kan rasa dia macammana?" Haura meletakkan tangannya di pinggang dan kemudian menoleh kepada Hud. "Sayang, pinggang saya lenguhlah."
Seperti lembu dicucuk hidung, apa yang Haura adukan pasti akan ditunaikan Hud. "Rasa tak, sayang?"
"Rasa. Thank you, sayang." Haura melagakan hidungnya pada hidung lelaki itu. Memang niatnya ingin membuat Qalisya cemburu!
"Eh, lupa pula yang Qalisya ada kat sini. Awak tak kisahkan kalau saya dan Hud macam ni depan awak? Yalah, kauorang berdua kan kahwin bukan sebab cinta? Rasanya tak patut pun kan ada rasa cemburu tu?"
Qalisya hanya tersenyum nipis dan mengangguk perlahan. "Saya dengar Hud cakap dia kahwin dengan awak just because you are pregnant at that time. Saya tahu husband saya orang yang macammana. Kami bercinta sejak sekolah lagi, he is very gentleman. Buktinya, walaupun awak dah keguguran... dia masih nak biaya bil kanser otak awak."
"Betul." Jawab Qalisya. "Tuan muda Hud cuma kesiankan saya je, tak lebih daripada tu pun." Qalisya menjeling Hud.
Haura bangun perlahan-lahan dan kemudian mengambil tempat di sisi Qalisya. Tangan Qalisya ditarik dan diletakkan di ribaannya.
"Sebenarnya saya yang minta awak untuk pindah masuk kat rumah ni. Sekarang ni kan kita dah jadi satu keluarga dan baby dalam perut ni pun kira anak awak jugalah,kan? Jadi awak kenalah duduk kat sini. Hud selalu balik lambat, jadi saya tak ada teman. Mulai sekarang, Qalisya adalah kawan baik saya tau!"
Hud tersenyum memandang Haura. Berasa kagum pula Haura boleh menyatakan yang demikian. Dia tahu, Haura memang seorang yang pemaaf. Dia sangat-sangat tahu sikap Haura yang sebenar.
Qalisya mengangguk dan juga mengukir senyum. Namun hatinya tidak enak. Senyum dan nada suara Haura riang namun anak matanya tidak seiring dengan mulut itu.
"Aku tak sedap hatilah, Hud." Qalisya mengeluh panjang sebelum duduk di birai katil. "Takkanlah Haura nak sangat aku duduk sini? Macam pelik je madu suruh madu tidur serumah. Kalau aku jadi Haura, dah lama kena halau madu aku tu. Memang tidaklah aku nak ajak duduk sama atau nak berjumpa. Ke si Haura tu lesbian?"
"Amboi, mulut tu kan... ." Mulut celopar Qalisya ditampar lembut dengan Hud. "Salah ke permintaan dia tu? Lagipun okey apa? Boleh jumpa tiap hari. Ya tak?"
Qalisya menjongket bibir. Tangannya laju menarik kolar baju suaminya. "Baik kau bagitahu aku, apa yang kau cakap kat Haura hari tu sampaikan dia boleh suruh aku duduk sini sebumbung dengan kauorang?"
"Kau sendiri dengarkan yang dia tahu tentang masa silam kita. Kau tak peka ke tadi, Sya?" Hud menjongket kening kirinya sambil mencuit hidung Qalisya.
Perlahan-lahan kolar baju Hud dilepaskannya sebelum nafasnya kembali dihela panjang. "Aku tak sedap hatilah, Hud."
"Tak sedap hati... tak sedap hati. Macam-macamlah kau ni. Aku tengok Haura tu baik je layan kau. Siap tuangkan nasi dan lauk untuk kau lagi waktu lunch tadi. Jangan dilayankan sangat perasaan kau tu."
ESOK MALAMNYA, mereka bertiga didatangi Sophie ke rumah. Selepas sahaja Sophie tahu yang Qalisya duduk serumah dengan Hud dan Haura, terus wanita tua itu datang menyerbu rumah. Qalisya ketika itu sedang membantu pembantu rumah untuk menyediakan juadah makan malam. Dia tidak tahu di mana Hud dan Haura berada ketika ini. Mulutnya pun tidak berani dibuka ketika berada di rumah itu.
"Mummy! Mummy apa khabar? Sihat?" Suara Haura kedengaran dari tangga tingkat dua. Mummy? Sophie?!
Qalisya mahu kekal bertenang. Dijamunya lambat-lambat makanan di atas meja. Pembantu rumahnya disuruh masuk ke bilik untuk berehat dan membersihkan diri.
"Apa yang you buat dekat sini?!" Herdik Sophie yang membuatkan Qalisya sangat terkejut. Hampir terlepas mangkuk berisi kari kepala ikan itu daripada tangannya. Cepat-cepat Qalisya meletakkan mangkuk tadi di atas meja sebelum meluru kepada Sophie dan Haura yang berada di sempadan ruang tamu dan dapur.
Qalisya menanggalkan apronnya dan bersiap sedia hendak menarik tangan Sophie untuk dicium. Namun terjadi perkara lain pula. Tamparan Sophie membuatkan Qalisya terjatuh ke lantai.
"I tak faham perempuan macam you ni, Qalisya! Dah sedap tidur dengan jantan lain, sampai bunting perut tu. Tiba-tiba anak I yang you jadikan kambing hitam?! Perempuan low class tahap apa you ni?!"
Qalisya memandang wajah Sophie dengan rasa keliru. Maksudnya, Sophie tak tahu pun kebenaran tentang tu?
"Mummy, benda tu kan dah lama berlalu? Lagipun Haura dah reda dengan apa yang dah terjadi. Hud memang lelaki yang sangat baik." Haura mengusap belakang Sophie yang naik hantu. Qalisya masih lagi berada di lantai dan hanya mendiamkan diri. "Sebenarnya, Haura yang ajak Qalisya untuk duduk sama-sama kat sini. Haura kesian... sebab dia sakit. Lagipun sekarang kan dia adik Haura juga?"
"Kalau bukan disebabkan Haura, memang mati I kerjakan you! Memang mati!" Sambung Sophie lagi. "I datang sini hanya untuk nak ingatkan you ya, Qalisya. You jangan cuba-cuba nak goda Hud. Kalau I dapat tahu you mengandungkan anak Hud, memang I bunuh anak you. I jijik nak terima cucu I daripada perempuan tak ada mak bapak, perempuan lorong macam you ni! Jijik, Qalisya!"
Qalisya mengangguk laju sambil memandang wajah Sophie dan Haura silih-berganti. "Baik, mummy."
"Jangan panggil I mummy! Bila masa I reda you jadi menantu I?" Soal Sophie sebelum melangkah ke meja makan. "Buanglah semua lauk-lauk ni, jijik betul dengan air tangan perempuan lorong macam you ni. Tekak I... tak boleh nak terima masakan kaki penyondol macam you ni. Entah apa yang you bubuh, habis satu famili ni kena bomoh! Bibik!"
Qalisya cepat-cepat menghalang Sophie daripada hendak hendak membuang segala makanan di atas meja. Kaki Sophie didakapnya.
"Datin, jangan buang makanan tu. Semua masakan tu bibik yang masak. Bukan Sya yang masak. Sya cuma tolong sikit-sikit je."
"Betul tu, datin. Saya yang masak. Qalisya cuma tolong sikit-sikit je." Jawab pembantu rumah.
Sophie mendengus kasar. "You bangun sekarang! Bangun!"
Terkocoh-kocoh Qalisya hendak berdiri apabila Sophir menariknya untuk bangun. Nasi yang berada di dalam mangkuk kaca diambil sedikit sebelum dipaksa masuk ke dalam mulut Qalisya. "Makan! Kau sayang sangat dengan makanan ni, kau makan!"
"Makan, aku cakap!" Terbata-bata Qalisya hendak mengunyah dan menelan makanan dalam satu masa. Semua makanan di atas meja disuap masuk ke dalam mulut Qalisya. "Kalau aku tak bagi kau makan, nanti kau mengadu kat suami Haura! Makan!"
Bunyi pintu utama dikuak membuatkan keadaan di dapur terus bertukar senyap-sunyi. Haura yang bercekak pinggang turut haru dengan kepulangan Hud. Cepat-cepat dia menarik Sophie untuk pergi.
"Aku tak nak tengok muka kau waktu makan. Kalau aku nampak muka kau, siap! Jangan sampai aku jadi lagi kejam daripada ni, Qalisya. Ingat!"
Qalisya mengangguk kepala untuk mengiyakan arahan Sophie.
"Mummy?" Hud menyoal sambil meletakkan sejadah yang terletak di bahunya ke atas sofa. Pemandu kereta ibunya ada luar rumah, takkan ibunya tidak ada.
"Sayang!" Haura mendepakan lengannya. Berharap agar mendapat pelukan daripada Hud.
Hud melemparkan senyumnya dan memberikan pelukan kepada Haura sebelum menggosok perut Haura. "Sayang, mummy datang ke?"
"Awak rasa?"
"Balik dah anak mummy?" Soal Sophie sambil berpeluk tubuh dan tersenyum.
Hud tersipu malu hendak mendekati ibunya. Beberapa minggu lepas mereka bergaduh, sampaikan Sophie tidak ingin menganggap dirinya sebagai anak. Jadinya Hud ingin mengambil kesempatan ini untuk meleraikan hubungan dingin mereka.
Hud terus mendakap tubuh Sophie dengan kemas. "Hud sayangkan mummy. Hud... Hud..."
Sophie mengelus belakang kepala Hud sambil menganggukkan kepalanya. "Mummy maafkan Hud."
"Hud serba salah sangat sebab mulut Hud terlepas cakap. Hud minta maaf, mummy. Mummy adalah mummy Hud, dunia dan akhirat."
"Iya... mummy tahu. Hud pun anak mummy dunia dan akhirat ya, anakku?"
Kali ini Hud pula menganggukkan kepalanya. Pelukan mereka berdua dileraikan dan lelaki itu terus mengucup tangannya. "Thank you, mummy. I love you so much! And I will take care of you just like what daddy did."
Sementara mereka semua sedang asyik, Qalisya mengambil kesempatan tersebut untuk menghilangkan diri ke atas.
"Mummy pun sayangkan Hud juga." Balas Sophie. "Sebenarnya mummy datang ke sini sebab mummy ada dengar khabar angin tak elok kat Alamanda."
"Mummy, Hud..."
"Haura dah ceritakan semuanya pada mummy. Mummy tahu, Hud takkan berani nak cerita pada mummy kan? Kalau bukan Haura yang bagitahu, sampai kiamatlah mummy tak tahu." Sophie menjeling Hud.
Hud mencapai tangan Sophie. "Hud tahu yang Hud dah ketepikan mummy dalam hal ni. Tapi Hud harap, mummy maafkan Hud."
"Hud anak mummy, mestilah mummy maafkan." Kata-kata Sophie membuatkan Hud tersenyum sekali lagi. "Hud beruntung tau dapat Haura sebagai isteri. Baik sangat sampai sanggup nak ajak madu duduk kat rumah ni sama-sama. Kalau mummy, memang lumat-lumat dah budak tu kena."
Hud berdecit. "Dah lah tu, mummy. Apa kata kita dinner sama-sama? Mummy pun mesti tak dinner lagi, kan? Sebab tu sanggup datang ke sini."
Bahu Hud dicubit Sophie. Mereka bertiga berjalan seiringan ke dapur untuk menjamah makan malam.
"Haih... mummy ni ada dua orang menantu, tapi sorang je yang datang turun jemput mummy... layan mummy... yang sorang lagi? Terperap kat atas macam tuan puteri."
Haura dan Hud saling berpandangan. "Qalisya mana?"
Haura mengangkat bahu. "Tak tahulah. Tadi saya dah panggil dia sebab mummy datang, nak kenal-kenal dengan dia... tapi dia kata dia tak nak turun. Tak suka mummy katanya."
"Apa? Qalisya cakap macam tu?" Soalan Hud dibalas dengan anggukan kepala Haura. "Mummy, Hud naik atas kejap... panggil Qalisya."
"Pergilah... kesian dia kat atas tu lapar."
Hud menarik nafas sebelum menolak dedaun pintu bilik yang dihuni Qalisya. Kelihatan isteri mudanya itu sedang duduk termenung di balkoni kamarnya.
Bahu Qalisya disentuh oleh seseorang. Dalam kesamaran cahaya malap di balkoni, dia mengangkat wajah dan merenung wajah suaminya.
Hud membelai rambut Qalisya. "Jom makan? Mummy dan Haura dah tunggu kau kat bawah tu. Kau pun belum makan lagi."
Qalisya menolak tangan Hud yang berada di atas rambutnya dan kembali merenung ke luar.
"Kenapa ni, sayang? Merajuk sebab aku keluar tak bagitahu kau ke? Aku pergi surau, solat maghrib... solat isyak... doakan yang terbaik untuk rumah tangga kita berdua."
Qalisya masih membisu. Perlukah dia jujur saja pada Hud tentang apa yang Haura dan Sophie lakukan padanya tadi? Kepalanya menoleh memandang Hud yang masih tidak berganjak daripada memandangkan.
"Aku... aku..."
"Kenapa, Sya? Kau tak sedap badan? Dekat mana yang sakit tu, sayang?"
Soalan Hud membuatkan mata Qalisya kembali berkaca.
Lutut Hud terus duduk ke lantai. Wajah Qalisya dipegang dengan kedua-dua tangannya. "Hei, kenapa ni? Kat mana yang sakit tu? Kepala kau ke?"
Qalisya mengangguk sambil menangis. Kata-kata Sophie sangat memilukan hatinya. Dia mahu jujur, tapi nanti Hud pula yang akan bergaduh dengan Sophie. Mereka berdua baru saja berbaik tadi.
Tanpa banyak bicara, Hud terus menggendong tubuh Qalisya dan meletakkannya di atas katil. "Nanti aku bawakan makanan naik ke atas. Kau kena makan, kalau tak macammana nak lawan sakit?"
Qalisya menggeleng. "Tak apa, Hud. Aku tak lapar pun."
"Mana boleh tak makan? Kena makan. Esok aku bawa kau pergi klinik ya?"
Soalan Hud tidak dijawab Qalisya. Selimutnya ditarik habis sehingga menutup seluruh anggota tubuh.
Share this novel