BAB 18

Drama Series 41228

RASA peri umpama dihentak-hentak pada bahagian kepala telah mengganggu lena Qalisya di tengah malam itu. Tangan Hud yang masih setia terletak di atas pinggang dialihkannya perlahan-lahan, dengan penuh berhati-hati dia melangkah badan Hud dan kemudian duduk di atas lantai.

Kedua-dua tangannya saling menekan kepala yang terlalu sakit. Terlalu sakit sampaikan dia mahu menjerit. Bibirnya digigit kuat, dia bimbang jeritannya akan terlepas dan rahsianya pula terbongkar.

"Qalisya, kau kenapa?" Suara itu memeranjatkan Qalisya dengan tangannya masih lagi sedang menekan kepala. Hud terus menggenggam tangan Qalisya. "Kepala kau sakit ke?"

Qalisya menolak tangan Hud seraya mengukir senyum. "Sakit sikit je."

"Sure?" Soal Hud. "Atau kau nak makan ubat? Aku ambilkan."

Qalisya mengiyakan pelawaan Hud sebelum merintih sekali lagi. Rasa sakit bagai hendak pecah kepala!

"Ubat aku kat bilik, dalam laci ada botol putih."

"Tidur bilik terus jelah."

Qalisya tidak kuasa mahu membantah, mahupun menganggukkan kepalanya. Dia hanya memegang kepalanya sahaja.

Melihat Qalisya langsung tidak memberi jawapan, automatik tangan Hud bergerak laju mahu mengendongnya. Perlahan-lahan dia meletakkan Qalisya di atas katil dan keluar semula untuk mengambil segelas air.

Laci meja sisi katil Qalisya ditarik dan dia melihat berderet-deret botol putih dan kesemuanya belum pernah dibuka kecuali yang dihadapan kanan sekali.

"Nak ambil berapa biji ni, Sya?"

"Ambil dua."

Hud mengambil tempat di birai katil dan membangunkan Qalisya. Pil itu kemudiannya diberikan kepada Qalisya. "Kenapa banyak sangat botol ubat dekat dalam laci kau? Kau sakit ke?"

Qalisya meletakkan gelas tadi di atas meja sebelum menggelengkan kepalanya. Tangan Hud ditariknya. "Mana ada aku sakit. Kalau aku sakit, aku dah duduk hospital dah."

"Sya, botol tu banyak gila kut. Kau cakap betul-betul dengan aku sekarang." Hud bernada serius. Rambut isterinya dielus-elus. "Dengan tadi kau sakit kepalanya, takkan tiba-tiba sakit kepala tak tentu pasal?"

"Sebenarnya Hud... aku... memang sakit."

Automatik lengan Qalisya disentuh dan dibelai-belai dengan Hud. "Sakit apa, Sya? Macammana? Bila?"

Qalisya menoleh ke arah lain, matanya berkaca. "Doktor cakap aku sakit... aku ada masa dua ke tiga tahun saja lagi."

Hud menggoncangkan tubuh Qalisya. "Cepatlah bagitahu! Kau sakit apa sebenarnya?"

Qalisya menarik tangan Hud dan meletakkan di dadanya. "Doktor kata aku sakit... rindukan kau."

Mendengarkan jawapan Qalisya terus Hud menarik hidung Qalisya. "Kau main-main kan dengan aku?"

Rancak Qalisya mentertawakan Hud yang masih bengang dengan jawapannya. Mana mungkin dia berani memberitahu Hud tentang sakitnya? Sudahlah Haura dalam keadaan yang macam itu, dia tidak mahu membebankan sesiapa untuk menjaga dirinya terutama sekali Hud.

"Dah lah kau, pergilah tidur. Esok kau kerja. Aku cuti lagi tak apalah." Balas Hud sambil menolak dahi Qalisya. Dia mahu Qalisya baring.

"Bertuah, kau!" Bebel Qalisya seraya menggosok-gosok dahinya.

Jari telunjuk Hud diletakkan pada bibir Qalisya. "Shh... tidur, tidur. Esok kerja ma... ." Kemudiannya dia menarik selimut buat Qalisya pula.

"Selamat malam." Ucap mereka berdua sebelum Hud kembali melelapkan mata di atas sofa.

Bunyi bising di dapur menjadi jam penggera kepada Hud untuk dia bangun menunaikan solat subuh. Tangannya menggosok-gosok mata sebelum dia mengeliat. Cahaya suram di dapur berserta bunyi bising itu membuatkan dia mahu ke arah situ.

"Sya." Panggil Hud dengan mata sebelah tertutup. Jam di dinding ditenung lama. Sudah pukul 6:30 pagi.

"Bangun dah? Eloklah tu, pergi solat subuh dulu lepas tu terus datang sarapan."
Hud menggumam sambil menggosok-gosok matanya lagi. Sudah banyak kali dia menggosok mata, namun kantuknya masih lagi berat di mata. Dengan mata tertutup dia berjalan perlahan ke arah Qalisya yang sedang memasak sesuatu. Dagunya disangkut pada bahu Qalisya. "Lapar."

Pipi Hud diusap Qalisya. "Iya tahu, cepatlah solat lepas tu boleh terus makan."

"Lapar." Kata Hud lagi. Dagunya juga masih tersangkut di bahu Qalisya.

Qalisya langsung meletakkan sudipnya. Badan Hud dipalingnya ke belakang dan ditolak Qalisya hingga masuk ke dalam kamar. "Solat cepat! Lepas tu boleh makan."

"Tolaklah lagi, penatlah nak kena jalan sendiri." Hud berkata. Qalisya mendengus kasar dan memegang kedua-dua belah bahu Hud. Dia betul-betul menolak Hud untuk berjalan sehingga sampai di hadapan pintu bilik air. "Ngantuklah, nak tidur dulu."

"Biar betul?!" Qalisya bercekak pinggang apabila Hud bertindak untuk baring di atas katilnya. Meringkuk-ringkuk tubuhnya. Mata lelaki itu juga kembali terpejam. Pantas tangan Qalisya mencubit lengan Hud. "Hud Ukasyah Arman, bangun sekarang. Solat dulu!"

Hud berdengung panjang. Qalisya menggoncang bahunya sehingga dia mengubah posisi baringnya kepada menelentang.

"Hud, bangunlah. Dah pukul 6:40 lah." Bebel Qalisya lagi sebelum dia ditarik Hud ke dalam pelukan lelaki tersebut.

Mata mereka jadi saling bertemu dan hidung mereka pula bersentuhan. Belum sempat Hud berbuat sesuatu, hidung Qalisya mencium sesuatu bau.

"Nasi goreng aku!" Jerit Qalisya sebelum menghantukkan dahinya kepada dahi Hud.

"Ak!" Terus si suami melepaskan dakapannya. Qalisya langsung memecut ke dapur meninggalkan Hud yang sedang menanggung sakit di dahi. Diusap-usap bahagian tersebut agar hilang rasa sakitnya.

"Habis nasi goreng aku, Hud punya pasallah ni!" Sudip di tangannya sengaja dipukul-pukul di kuali tanda protes. Jadi berkerak kualinya kerana nasi yang sempat hangus tadi.

Nasi itu kemudian dituangnya ke atas sepiring pinggan dan diletakkan di atas meja. Dia melihat kembali jam di dinding, mulalah tangannya bercekak di pinggang.

"Nak solat subuh ke nak solat jenazah? Dua rakaat je pun." Kakinya mula menuju ke kamar. Marahnya hilang selepas pintu dikuak. Bibirnya tersenyum apabila melihat Hud yang sedang berdoa. Perlahan-lahan dia duduk di birai katil untuk menunggu lelaki itu.

"Apa kau?" Soal Hud yang membuatkan senyuman Qalisya mati. Dia sedikit kaget Qalisya sedang memerhatikan dirinya, langsung tidak sedar kapan isterinya itu masuk semula ke dalam bilik.

Qalisya menjongket bibir sambil berpeluk tubuh. "Tu. Aku dah buatkan sarapan, makanlah."

"Malaslah, confirm tak sedap." Jawab Hud sebelum dia menghempas tubuh ke katil. Mulalah Qalisya nak naik marah, katilnya dipanjat dan dia duduk bersimpuh di hadapan Hud.

"Kau tak rasa pun nasi goreng tu lagi, kan?! Berani kau cakap tak sedap?!"

"Memang tak sedap pun, tengok cara kau potong bawang semalam pun aku dah tahu." Jawab Hud yang menambah baran Qalisya.
Qalisya menumbuk perut suaminya itu berulang kali. Hud pula ketawa terbahak-bahak kerana Qalisya tidak mahu menerima pendapatnya.

"Ei, aku benci kau Hud!" Ujar Qalisya yang masih mahu menumbuk abdomen Hud.

"Aku pun benci kau jugak." Balasnya dengan cara ejekan, lagilah bertambah rengekan Qalisya. "Aduh, sakitlah."

"Kau kena makan dulu! Barulah boleh komen!"

"Tak nak, aku kata aku dah tahu dah rasa dia memang tak sedap. Aku ni chef masakan tau." Lontar kata Hud yang berselang-seli dengan tawa. Qalisya pula masih sedang emosi.

Qalisya menggenggam kuat kedua-dua buku limanya dan diangkat setinggi-tinggi yang boleh. Dia memang mahu menumbuk Hud dengan lebih kuat. Sampai hati cakap masakannya tidak enak walhal masih belum rasa?!

Tangan Qalisya yang sedang dihayun kuat kepada Hud sempat ditahan lelaki itu sebelum dia terbaring dihimpit Hud.

Anak mata mereka bergerak-gerak mengekori satu sama lain. Dia tidak mampu merasakan detak jantung Hud namun dia merasakan jantungnya ingin pecah kerana berdegup sangat laju.

Matanya terpejam rapat bila Hud mula mencium hidungnya dan kembali merenung sesama mereka. Terlalu lama sangat berbalas mata, akhirnya mereka sama-sama tertawa.
"Cepatlah makan, aku dah penat tau masak." Ujar Qalisya sambil menoleh ke sisi. Dia tidak mahu bertentang mata dengan Hud lagi.

"Yalah... yalah... walaupun aku dah tahu memang tak sedap, aku makan jugalah." Perlahan-lahan dia menuruni katil dan menarik Qalisya untuk bangun sekali.

"Ish, rasalah dulu!" Lengannya ditepuk Qalisya. Mereka sama-sama melabuhkan punggung tika di dapur. Pinggan itu ditolak lembut ke arah Hud. "Rasa cepat!"

Sudah menjadi kebiasaan Hud untuk mengambil bau dahulu sebelum makan kerana dari situ derianya akan memberitahu apa benda yang kurang daripada masakan itu. Hatinya mulai tidak enak selepas mencium bau, namun dia hanya tersenyum kepada Qalisya.

"Sedap tak bau dia?" Soal Qalisya dengan perasaan gementar bercampur girang. Hud hanya mengangguk dan tersenyum sekali lagi. "Kalau macam tu, cepatlah rasa."

Terkebil-kebil mata Hud saat tangannya mula menyuakan nasi ke dalam mulut. Matanya yang terbuka luas mendatangkan tanda tanya pada Qalisya.

"Kenapa, Hud? Tak sedap ke?" Air muka Qalisya mulai berubah. Perlahan-lahan dia menjauhkan diri daripada Hud. Dia cuma mahukan masak yang sedap-sedap untuk suaminya sendiri namun lelaki itu pula tampak tidak minat dengan masakannya. "Kalau tak sedap tak payahlah habiskan, nanti kau sakit pulak."

Hud menahan Qalisya yang mahu mengambil pinggannya. Kalau dia berterus-terang sudah tentu Qalisya akan terasa hati.

"Sedap... . Sedap. Sedap. Pandai kau masak." Balas Hud yang sedang mengunyah nasi goreng yang teramat manis dan mempunyai pelbagai rasa rempah yang tidak cukup. Pipi Qalisya dicuitnya. "Letak apa je tadi?"

"Bawang putih, bawang merah, cili kisar, halia, mentega... "

Terangkat kening Hud mendengar semua bahan masakan nasi goreng Qalisya. Dia hanya mengangguk-angguk bagaikan juri. Walaupun perit tekak mahu menelan air tangan Qalisya, tapi tidak tega pula mahu membuangnya di hadapan Qalisya. Dia hanya mampu menelan tanpa mengunyah.

"Lepas tu aku tumis, aku masukkan nasi. Kacau.... kacau... letak garam lima sudu lepas tu... siap dah!" Balas Qalisya yang tersenyum menyungging.

Hud berdengung panjang. "Oh... lima sudu garam. Sedap. Sedap."

"Yakah Hud nasi goreng aku ni sedap?! Kau nak aku masakkan lagi tak?" Soal Qalisya yang teruja sekali lagi.

Hud menghabiskan suapan terakhirnya dan meneguk segelas air kosong. Sempat dia intai sinar mata Qalisya yang penuh dengan kegembiraan itu.

"Tak apalah, lagipun aku dah nak balik dah ni. Memanglah bibik dah balik rumah malam semalam, dan nurse akan datang sekejap lagi, tapi... aku risaukan Haura." Hud membalas. "Kau pun nak masuk ofis, kan?"

Sekali lagi ekspresi wajah Qalisya berubah. Kepalanya tertunduk. "Kau guna tu sebagai alasan sebab masakan aku tak sedap ke, Hud?"

Hud menampar dahinya. "Bukan... . Kan aku dah kata aku kena balik dan kau pula nak kena masuk ofis. Nanti kau penat. Lagi dua jam je lagi nak masuk ofis."

Qalisya mengerling jam di dinding. "Tak apalah, kau baliklah dulu."

"Okay... okay... masaklah cepat. Aku tunggu."

Terus Qalisya berlari ke peti ais, dan membawa keluar bahan-bahan yang dia senaraikan tadi. Hud sudah menekup mulutnya menahan sebak. Bagaimana dia hendak menelan nasi goreng pelik itu? Terlalu pelik dan aneh!

Bawang yang digenggam Qalisya terjatuh ke lantai. Tangannya memegang kuat pada pintu peti ais. Pantas Hud bangun dan mendapatkan Qalisya.

"Sya, kau okey tak ni?"

"Kepala aku... sakit lagi."

Qalisya dibawa Hud untuk duduk di kerusi. Pucat lesi wajah Qalisya. Hud mengambil tempat di sebelah Qalisya, kepala isterinya dibawa bersandar pada bahu.

"Itulah kau, dah tahu diri tu tak sihat buat lagi kerja berat. Rehat jelah." Bebel Hud. "Mana yang sakit? Meh aku picitkan."

"Kat sini, Hud." Qalisya menggerakkan tangan Hud ke belakang kepalanya.

"Selalu sangat ke kau sakit kepala?" Soalan Hud hanya dibalas dengan dengungan Qalisya. Naik risau pula jika selalu sangat isterinya itu sakit kepala. "Kalau selalu sangat, kita pergi jumpa doktorlah. Biar kita dengar apa doktor cakap."

"Tak perlu, Hud. Sekejap je sakitnya, tak lama pun." Jawab si isteri.

"Aku tak boleh nak tinggalkan Haura, tapi kau pun macam tak okey."

"Kau ambillah cuti hari ni, ikut aku balik rumah aku. Nanti bila kau dah sihat, aku hantar kau balik sini."

Qalisya tidak menjawab. Dia hilang keupayaan untuk berkata-kata. Seluruh anggota tubuhnya merasakan kebas.

Memandangkan Qalisya tidak memberi respon, Hud mengangkat kepala Qalisya dan menyandarkannya pada kerusi. Dia mahu mengambil barang-barang keperluan Qalisya.

'Hud!' Qalisya memanggil-manggil nama itu di dalam hati. Dia mahu bersuara namun ada sesuatu yang menyekat. Anggota tubuhnya terlalu kebas dan kaku untuk bergerak sehinggakan dia mula terjatuh ke lantai.

'Hud, tolong aku Hud!' Jerit batinnya dengan sangat kuat. Namun dia tahu suaminya itu tidak mampu pun mendengarkannya.

"Ya Allah, Qalisya!"

Hud terus mengangkat Qalisya yang sudahpun berada di lantai. Puas dia memanggil Qalisya namun wanita itu tidak memberikan sebarang respon. "Qalisya!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience