ALUNAN suara iqamat yang dilaungkan oleh lelaki berbaju t-shirt kolar biru itu menghening wad hospital. Bibir Haura tersenyum bangga, pertama kalinya dia mendengar suaminya melaungkan lafaz pendek yang sering berbunyi sebelum mendirikan solat. Matanya memerhati bibir Hud yang akan senyum setiap kali bait-bait itu berakhir.
"Ya Allah, jadikan anak kami anak yang solehah dan hamba yang patuh pada arahanMu dan yang gemar meninggalkan laranganMu." Hud mendekati telinga si kecil yang dikendongnya. "Jadilah anak yang baik pada papa dan mama ya."
"Amin." Sambut Haura.
"Amin." Qalisya juga menyambut doa lelaki itu. Betapa bahagia hatinya apabila Hud tidak berhenti tersenyum. Akhirnya, hajat yang ditunggu-tunggu untuk dimakbulkan semenjak 7 tahun lalu telahpun mereka berdua terima.
Hud mendekati Haura dan kemudian duduk di sebelah isteri pertamanya itu. Qalisya masih tersenyum di belakang. Beg tangannya dicapai, langkahnya dihayun ke pintu tanpa pamit pergi.
SEBULAN LALU,
"Saya minta maaf, puan Qalisya.... encik Hud. Proses IVF ini tak berjaya. Mungkin kesan daripada rawatan kimoterapi dan radioterapi puan Qalisya yang dulu telah membuatkan rahim puan Qalisya merasakan zigot yang hendak menempel itu satu ancaman kepada tubuh." Doktor wanita itu memandang Qalisya dan Hud bersilih-ganti.
Hud terus memandang wajah Qalisya. Dia sayu mendengarkan jawapan yang keluar. Sejujurnya dia agak kecewa kerana keputusan itu negatif sedangkan keadaan isterinya sangat-sangatlah lembik dalam beberapa hari ini. Mereka berdua sudah menyangka bahawa ada nyawa kecil di dalam rahim Qalisya bila Qalisya asyik mual saban waktu. Rupanya tanggapan mereka termeleset. Ditambah pula dengan punca kenapa proses IVF itu gagal, membuatkan jiwanya kecewa.
Bukan Hud kecewa dengan Qalisya, tapi dia kecewa kerana Qalisya yang kecewa. Berhari-hari menanggung letih, mual, dan sensitif pada bau hanya untuk benda yang berada di dimensi khayalan, bukan di alam realiti. "Love, love okey tak?"
"Maksud doktor, saya memang betul-betul mandul?" Seisi bilik itu senyap. Wajah kosong Qalisya hanya mengalirkan air mata tidak berhenti.
Bungkam mulut doktor wanita itu. Walaupun sudah biasa dia melalui episod ini, tapi entah kenapa wajah Qalisya tanpa ekspresi namun air mata tetap jatuh tak henti itu membuatkan hatinya sayu.
"Kalau kita lihat dari sudut perubatan dan rawatan yang kita dah beri... ya, puan Qalisya mandul."
Air mata Hud turut mengalir apabila ayat itu dibicarakan.
Qalisya memandu Volkswagen Beetle keluar dari kawasan parkir bawah tanah hotel Alamanda. Hujan turun dengan lebat di kala senja seiring dengan air matanya.
"Tapi selagi puan ada rahim, puan tak boleh mengalah. Peluang masih ada."
Kata-kata doktor wanita itu berjaya membantun perasaan sedih dari hatinya setiap kali perasaan itu tiba.
Tangannya diletakkan ke atas rahimnya seperti yang sering dilakukan. "Aku ingin anak, ya Allah. Biarpun hanya seorang. Berikan aku peluang untuk menjadi seorang ibu, berikan aku peluang untuk melihat cahay mataku sendiri." Mata Qalisya menatap langit yang masih menemaninya menangis. "Tolong jangan biarkan aku duduk dalam kehampaan lagi, ya Allah."
Qalisya menutup kelopak matanya dan merembeskan air matanya sekali lagi. Lampu trafik masih lagi berwarna merah ketika kelopak matanya diangkat. Sebuah motor yang lalu dicelah laluan itu menarik perhatian Qalisya.
Sepasang suami isteri yang sudah agak berusia itu duduk di atas motor. Diantara mereka ada seorang anak kecil yang memakai baju hujan. Mata Qalisya bergerak lagi memerhatikan baju sang ibu yang sudah lencun di semua sisi. Begitu juga dengan si bapa. Walaupun begitu, tangan wanita itu tidak pernah lepas daripada mendakap anaknya yang dalam lingkungan usia 5 ke 6 tahun itu.
Kemudian Qalisya melihat keadaan dirinya yang serba-serbi lengkap dan mewah. Kereta yang dipandunya juga bukanlah kereta klise. Dia juga punya tempat berteduh yang sangat besar, selesa dan mewah. Kerjayanya bukan semua bisa memiliki. Nikmat mana lagi yang kamu hendak dustakan? Sesungguhnya Allah, Tuhan yang Maha Adil. Disebalik kekayaan yang dimiliki, ujian hidupnya hanyalah seorang madu dan kemandulannya sahaja. Namun, jika ditelusuri kehidupan pasangan tadi, masalah kewangan merupakan akar utama masalah keluarga. Betul, duit tidak mampu membeli kebahagiaan namun semua benda memerlukan duit. Lihatlah adegan tadi, bagaimana jika ibu bapa si kecil tadi jatuh sakit? Siapakah yang akan menjaga anak kecil yang masih memerlukan sokongan dan bantuan untuk hidup di atas dunia yang penuh pancaroba ini?
Lampu trafik bertukar ke warna hijau. Qalisya menukar arah jalan kebiasaannya untuk melencong ke tempat lain sebelum dia pulang ke rumah.
Apabila Qalisya sudah sampai di rumah, dia terus membersihkan diri dan mendirikan solat. Usai, dia terus menarik keluar beberapa helai tudung bawal dan selendang yang mempunya pelbagai warna.
"Macam ni ke cara nak pakai dia? Macam salah je."
Sejak masuk ke alam sekolah menengah, Qalisya tidak pernah mengenakan tudung sekolah. Kali terakhir dia memakainya adalah sewaktu umurnya 12 tahun.
Klik!
Bunyi tombol pintu yang diputar-putar itu membuatkan Qalisya kabut hendak mencabut tudungnya. Lekas tangannya mencampakkan tudung tadi dan plastik ke bawah katilnya. Rambutnya yang serabai disimpul dengan pin sebelum dia melangkah ke pintu.
"Kenapa love kunci pintu?" Hud menyoal dengan sedikit bunyi prasangka.
"Love tak tahu pun abang nak balik." Jawab Qalisya.
Hud terus menapak masuk dan merebahkan tubuhnya di atas katil. "Love betul-betul busy ya malam ni. Abang call tak angkat, mesej pula tak balas. Is there something happened?"
Laju Qalisya menggelengkan kepalanya. Pintu biliknya ditutup. "Love tertidur lepas solat tadi, phone pula silent... jadi love tak perasan. Love minta maaf, abang."
"Hm... okey." Hud menatap siling. Dia juga keletihan kerana perubahan mendadak dalam kehidupannya. Seminggu dia bertapa di rumah mertua kerana mak mertuanya mahu menjaga isterinya, Haura disepanjang tempoh berpantang. Hud pula kurang gemar untuk menetap di rumah orang lain terlalu lama meskipun di rumah Sophie. Terasa seperti semua tingkahnya akan diperhati dan membuatkan langkahnya terbatas.
Qalisya juga melompat ke atas katil. Tangan kiri Hud yang terletak di atas dahi diambil Qalisya. Lelaki itu memejamkan mata ketika tangannya diurut.
"Abang dah makan?"
"Dah, kat rumah mak Haura. Love dah makan ke belum?"
"Sebelum balik tadi love dah makan kat restoran sebab ada farewell sorang staff ni. Diaorang semua paksa love join dinner tu, love join jelah sebab fikir abang pun kat rumah sana. Bibik pun baru je nak start cuti panjang, tak ada orang nak masak kat rumah."
Hud mula mengiringkan tubuhnya menghadap Qalisya yang sedang duduk bersimpuh. "Tu lah, abang cakap dah. Tak payah nak suruh bibik balik kampung. Kalau abang kat sana, at least love tak bersendirian kat sini. Suka berdegil."
"Ala... kita jarang sangat dapat momen berdua, bang. Sekali-sekala apa salahnya? Lagipun bibik last balik kampung masa hari raya hari tu je." Kata Qalisya. "Abang balik sini sekejap je ke? Lepas ni abang pergi ke sana semulalah ya?"
Kepala Hud menggeleng kecil. "Kalau ikutkan hati, abang nak rotate. Seminggu kat Sabak, seminggu kat KL." Jawab suaminya.
"Lah, kenapa nak kena rotate? Love okey jelah kat sini. Lagipun, baby Nayla mesti perlukan papa dia. Abang, love tak nak baby Nayla tak dapat kasih sayang seorang papa hanya disebabkan love. Love tahu macammana perasaan seorang anak yang hidup tanpa cukup bekalan kasih seorang bapa. Love tak nak Nayla rasakan benda yang sama."
Hud membuka matanya dan merenung wajah jelita Qalisya. Wajah yang akan menjadi kegilaan ramai lelaki di luar sana jika Qalisya terlepas dari genggamannya. Tangan yang diurut Qalisya tadi kini mula mengelus pipi wanita itu.
"Cause I can't live without you." Jawab Hud. "Macammana abang nak stay lama dekat sana sedangkan nyawa abang tertinggal kat sini?"
"Tapi, abang..."
"Perjalanan Sabak Bernam ke KL akan ambil masa 2 jam untuk sampai, dan abang tak boleh nak tinggalkan Alamanda dalam waktu-waktu macam ni. Zarif akan pindah ke cawangan kita di Langkawi, dan tempat dia akan kosong. Kita masih tak ada pengganti, macammana abang nak biarkan Zarif handle both of our branches? Love jangan risau, abang takkan abaikan Nayla. Setiap weekend abang akan pergi tidur kat sana."
Qalisya membalas senyuman suaminya. Apabila bibirnya dikucup, terus Qalisya memejamkan matanya.
Entah kenapa fikiran Qalisya tidak berada disitu sedangkan Hud cuba melakukan sesuatu terhadap dirinya. Sibuk benar dirinya di akhir-akhir ini sampaikan dia terlupa tentang perkara tersebut, Ayla dan Zarif akan dipindahkan ke Langkawi. Jadi siapa yang akan isikan tempat itu? Qalisya tidak lagi gilakan kedudukan di Alamanda, bahkan dia sudah cukup bersedia jika Hud memintanya untuk mengundurkan diri dan berkhidmat sebagai suri rumah. Tapi, hatinya kurang senang selagi tempat itu masih kosong.
Qalisya memegang bahu suaminya. "Abang, abang ada terfikir ke nak lantik Irfan untuk gantikan tempat Zarif?"
Hud membuka matanya. "Kenapa love nak bincang pasal kerja pula waktu-waktu macam ni?"
"Abang, kalau abang ada terfikir nak lantik Irfan sebagai pengganti... love tak setuju." Qalisya memalingkan dirinya.
"Love, itu kerja abang. Abang yang akan nilai semua tu? Kalau love nak sangat jawatan tu, abang boleh bagi. Sekarang ni we need to fill this moment with ours."
Qalisya menggeleng laju. "Abang, love tak nak pun jawatan tu. Tapi love juga tak suka kalau abang nak bagi jawatan sepenting itu pada budak mentah tu."
"Kenapa love macan anti sangat kat Irfan tu? You guys sebaya, you did a great job and him too."
"Irfan buat kerja dengan baik? Abang, memanglah kerja dia tu nampak baik dan smooth... sebab love dah tolong sempurnakan tugas dia. Even sejak dulu lagi. Dan love tak suka abang nak lantik sesiapa daripada keluarga tu untuk gantikan tempat Zarif. None of them layak."
Kata-kata Qalisya ibarat satu tamparan bagi Hud. Hilang hatinya yang bercinta dengan Qalisya pada malam ini.
"Love, love tahu kan? Abang tak suka orang lain masuk campur urusan abang? Memang love lebih berpengalaman daripada dia, abang tak nafikan pun. Tapi dia tu adik ipar abang. Dan satu lagi, abang juga tak gemar bila love cakap tak ada seorang pun dalam keluarga mereka yang layak untuk gantikan tempat Zarif. Bukan ke Haura pun sebahagian daripada keluarga tu? She's my first wife." Cakap suaminya membuatkan wanita itu bungkam.
Tangan Hud dicapai Qalisya. "Abang, love tak niat macam tu. Love minta maaf."
"It's okay." Kini ubun-ubun Qalisya dibelai-belai suaminya.
Apabila Qalisya mahu kembali melayan suaminya, lelaki itu pula yang menolak. "You're not in the mood, love. Jangan paksa diri."
Pipi Qalisya dicium Hud sebelum Hud kembali merebahkan diri dan menarik selimut membaluti tubuh. "Tutup lampu, love."
Lambat-lambat Qalisya menghayun kaki ke arah suis lampu.
Keesokkan paginya, tangan Qalisya meraba-raba ruang kosong disebelah. Matanya terus terbuka seiring dengan laungan azan subuh.
"Mana abang?" Qalisya menyoal sebelum tertoleh ke arah nota yang diletakkan di atas meja.
'Love, abang mungkin kena bermalam buat beberapa hari lagi di Sabak. Nayla kerap menangis malam tadi jadi abang kena temankan Haura. I'm sorry for leaving you, love.' - Abang.
Qalisya meletakkan nota itu kembali di tempatnya dan mula meninggalkan katil. Usai mengambil wuduk, sejadahnya dibentang.
"Betul ke apa yang aku nak buat ni, ya Allah? Macammana kalau aku tak mampu untuk istiqamah? Aku takut aku akan mempermainkan agamaMu kerana aku gagal untuk istiqamah," tangan yang ditadah itu terketar-ketar perlahan. Buat pertama kalinya setelah sekian lama, dia ingin mengenakan hijab. Memang dia tidak memberitahu kepada Hud tentang perkara tersebut. Dia bimbang jika suaminya tidak suka dengan perubahannya.
Ketika tiba di papan penggosok, Qalisya bingung. Hendak menggosok skirt atau seluar panjang dan tudung?
Share this novel