TUBUHNYA direbahkan ke atas katil dan matanya perlahan-lahan bergerak menatap siling. Senyuman lelaki itu terlihat mekar. Kotak baldu merah digenggamannya dielus-elus.
"Kalau Zarif memang betul-betul dah suka pada dia, masuklah meminang." Zarif mendongak ke atas. Wajah Sophie ditatap lama. Macammana kalau Qalisya tidak punya perasaan terhadap dirinya?
Anak angkat datin Sophie itu menggaru-garu kepala. Hendak berterus-terang tentang perasaannya pun dia belum berani, apatah lagi hendak melamar anak orang. "Zarif tak beranilah mummy. Lagipun, Zarif tak tahu sama ada Qalisya tu dah berpunya atau belum."
Sophie tersenyum halus. "Kalau ikutkan cerita Zarif, dari segi tingkahlaku dia sehari-hari... mummy rasa dia masih belum berpunya."
Zarif gagal menahan senyum. "Betulkah mummy?"
Sophie mengiyakan. "Orang perempuan, Zarif... memang betul ada yang kuat bekerja kerana minat, tapi bila datang soal cinta... bila dia betul-betul cintakan lelaki itu sepenuh hati... dia sanggup, untuk ketepikan kerja dia asalkan lelaki tu bahagia."
Pipi Zarif kemerah-merahan menahan malu. Patutkah dia meluahkan saja perasaannya kepada Qalisya?
Zarif mula berperangai seperti cacing kepanasan. "Mummy, Zarif tak pernah bercinta. Jangan katakan bercinta, nak tackle anak orang pun Zarif tak reti. Macammana ni mummy?"
"Hm..." Sophie berdengung. "Firstly, Zarif kenalah bagi sesuatu yang dia suka. Kalau dia suka bag, Zarif kena bagi bag. Hah, macam tu. Jadi... apa yang bakal menantu mummy tu suka?"
Soalan Sophie membuatkan Zarif terdiam. Dia tidak pernah pula menyoal Qalisya tentang apa yang disukai oleh gadis itu. Qalisya pula tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap sesuatu. Perlahan-lahan Zarif mengangkat bahu.
"Lah... Zarif tak tahu ke? Macammana nak kahwin kalau benda simple macam tu pun Zarif tak tahu." Omel Sophie yang akhirnya tertawa kecil.
Melihat perubahan pada riak wajah anak muda itu, Sophie cepat-cepat berdeham dan memukul lembut bahu Zarif. "Ala Zarif ni... mummy bergurau je. Tak apa, soal minat... soal nak bercinta... boleh buat lepas kahwin. Sekarang ni, mummy rasa Zarif kena beli cincin. Bagi pada dia. Kalau dia setuju, barulah kita boleh merisik dia."
Zarif mengubah posisi baringnya kepada mengiring. Ruang kosong dihadapannya disentuh.
"Macammanalah kehidupan kita lepas kahwin nanti kan, Sya? Berapa orang anak pula yang kita nak?" Tersengih-sengih Zarif menyoal sendirian. Hatinya berdoa agar Qalisya dapat menerima dirinya untuk dijadikan suami.
Kotak baldu merah berbentuk hati tadi diletakkan di atas meja sisi katil. "Goodnight, sayang."
Qalisya yang tersedak air sedang terbatuk-batuk di ruang tamu rumahnya. Dadanya diusap-usap.
"Siapa pulak sebut-sebut nama aku malam-malam buta gini? Tak guna betul. Haish... sakit tekak aku." Bebel Qalisya sambil membawa mug ke sinki. "Ini tak lain tak bukan mesti si Hud bedebah tu. Dia tu memanglah... tak pernah puas hati dengan aku. Entah-entah, dia tengah bomoh-bomohkan aku sebab dia masih lagi tak puas hati."
Qalisya menjatuhkan kedua-dua tangannya ke atas kabinet sinki. "Dear Hud Ukasyah Arman, I'm really really really hate you so much! Aku doakan kaki kau akan terpeleot waktu nak turun tangga! Dasar lelaki tak guna!"
"Argh!" Hud terjatuh ke lantai saat menuruni anak tangga yang terakhir. Cuai pula kali ini dia menuruni tangga. Selalunya dia yang akan berbuih mulut mengingatkan si Haura setiap kali isterinya itu mahu turun ke bawah, kali ini dia pula yang cuai.
Mujur kakinya tidak terseliuh, hanya sikunya sedikit peri kerana terhentak di lantai.
Hud memeriksa keadaan sikunya yang terkena kesan kemalangan tadi. "Ini mesti si Qalisya tengah cakap bukan-bukan pasal aku kat Zarif ni. Sukalah tu dapat attention lelaki lain."
"Hud, kau jangan ingat aku akan senang-senang maafkan kau. Kau faham?!" Ujar Qalisya seraya menghentak kabinet dapurnya.
Hud tersenyum sinis. "Setakat Zarif, aku tak hairanlah. Kau tu yang rugi sebab Zarif tu bukannya bagus sangat pun. Aku lagi bagus!"
"Astaghfirullahalazim, kenapa awak ni duduk kat lantai? Bercakap sorang-sorang pula tu." Haura membantu Hud untuk bangun. Melihat Hud asyik memegang sikunya dari tadi, kali ini Haura pula memeriksa siku suaminya.
"Tak ada apa, saya saja nak duduk kat lantai. Nak rasa sedap tak baring atas jubin." Balas Hud yang bernada merajuk. Dia masih lagi terasa dengan ucapan Haura pada pagi tadi.
"Awak tak bolehlah nak baring kat sini. Nanti badan awak sakit-sakit. Jom kita naik atas? Dah lewat malam dah ni." Ujar Haura. Dia sedar atas ketelanjurannya pada pagi tadi, dan kini Hud sedang rajuk dengannya.
Hud menolak tangan Haura yang berada di lengannya. "Awak naiklah dulu. Saya nak membaca."
Tanpa menunggu respon Haura, Hud lekas meninggalkan isterinya dan menghilang ke dalam bilik bacaan di rumah itu.
Haura mengeluh kecil sebelum naik ke atas, tentulah Hud sedang merajuk dengannya. Hud sendiri tidak pernah mengungkapkan perkataan itu kepada dirinya jika dia tidak pandai sesuatu perkara sekali pun. Tapi dia...
"Apa yang tuan muda risaukan sangat tentang diri saya ni? Sejak isteri tuan muda sedar... bukan ke tuan dah buang saya dan tak ingin saya muncul lagi dalam hidup tuan?"
Hud menatap siling dan mengeluh panjang. Betulkah Qalisya akan pergi jauh dari sini dan meninggalkan dirinya bersama-sama dengan Haura? Hud menelan liur. "Beriya betul sampai nak balik semula ke Korea tu dah kenapa? Sebab nak lari daripada aku? Atau kau sebenarnya nak mula bercinta dengan Zarif?"
Kunci di dalam kotak rahsia berupa seperti buku lama diambil dan kemudiannya dicucuh ke tempat kunci pada sebuah laci.
Sekeping gambar lama itu diambil dan kemudiannya direnung lama.
"Aku takkan izinkan kau untuk kembali semula ke Korea, Qalisya. Aku akan cari apa sahaja jalan untuk kau tak pergi. Kalau kejadian tu berulang semula dan kau mengandung, kau takkan boleh pergi dari sini." Bibirnya tersenyum sinis.
Zarif menghirup secawan kopi sebelum kembali menikmati sarapan paginya di hotel. Pagi tadi dia sudah mengajak Qalisya untuk menyertainya namun gadis itu belum membalas.
Bibir lelaki itu menguntum senyum. Qalisya dilihatnya sedang melangkah masuk ke dalam kafe. Gadis itu memeriksa hidangan dan dapur sebelum dia mengambil sarapan paginya. Senyuman Zarif yang masih tidak lekang dibalas Qalisya.
"Tuan Zarif, sorry... I tak perasan pula mesej tuan pada saya." Ujar Qalisya sambil meletakkan pinggannya di meja. Kot bajunya dibuka sebelum dia melabuh punggung di kerusi.
"Tak apa, it's my fault. Lagipun I ajak last minute, untuk perempuan workaholic macam you ni manalah suka... invitation last minutes ni, kan?" Zarif berbicara sambil tersenyum. Qalisya berikat rambut pada pagi ini. Mata Zarif asyik melihat keindahan dihadapannya.
'Cantiknya kau, Qalisya.' Pujinya di dalam hati. Di alam realiti, dia sudah menongkat dagu.
"Tak apalah, tuan Zarif... lagipun, saya rasa saya pun dah lama tak ambil heavy breakfast. Pagi-pagi masuk je... saya terus minum coffee." Qalisya menyambut soalan tadi. Keningnya berkerut melihat Zarif yang sedang berkhayal. Tangannya digoyang-goyang di hadapan wajah lelaki itu. "Tuan Zarif okey ke? Nak saya ambilkan panadol?"
"Eh, tak! Tak perlu. Erm... I just tengah tengok ada pasangan kat belakang you tadi. Romantik."
"Tapi belakang I ni dinding. Belakang dinding ni baru ada meja lain. Mata tuan Zarif boleh tembus dinding ni ke?" Soal Qalisya yang bingung.
Wajah Zarif merona merah menahan malu. "Aa... maksud I ada pasangan kat belakang tu tadi. Kalau betul-betul belakang you, memang patut pun I tak nampak sebab ada dinding je, kan?"
Zarif mengambil cawan berisi kopi tadi untuk mengalih perhatian gadis itu. Dia berhasrat mahu menunggu Qalisya sehingga gadis itu habis menjamah makanan. Kemudian barulah dia mahu menyerahkan kotak cincin itu.
Selepas suapan pertama, Qalisya terus bertanya kepada Zarif tentang tujuannya lelaki itu mengajaknya bersarapan bersama-sama.
"Sebenarnya, ada apa tuan panggil saya join tuan sarapan pagi ni? Tuan nak bincang tentang prestasi saya ke?"
Zarif membetulkan tali lehernya sebelum berdeham. Senyumannya kelat. Kalau Qalisya sudah bertanya, bagaimana dia hendak berterus-terang?
Zarif meraba poket di dalam kotnya. Baru sahaja dia hendak mengeluarkannya, tiba-tiba Ayla dan Hud meletakkan pinggan mereka berdua di atas meja itu.
"Morning, tuan Zarif!" Sapa Ayla dengan penuh bersemangat sebelum matanya beralih kepada Qalisya, bibirnya menjongket. "Morning, Qal."
Hud tanpa segan silu mengambil tempat disebelah Qalisya.
Melihat Hud yang terus duduk di sisi Qalisya, Ayla pula mengambil kesempatan untuk duduk di kerusi sebelah Zarif. Lengan Zarif didakapnya sebelum kepalanya dilentokkan pada bahu lelaki itu pula. 'Kau jangan ingat yang kau boleh rampas future husband aku, Qalisya. Aku takkan benarkan.'
"Qalisya, lupa pula saya nak ambil kopi. Boleh tak you tolong ambilkan kopi untuk I?" Nada lelaki itu sengaja ditekankan pada 'you' dan 'I' .
"Tak apa, Hud. Aku ambilkan." Ujar Zarif.
"Tapi encik Zarif..." tahan si Ayla.
"Sit down, Zarif. I'm asking it from Qalisya." Balas Hud yang sedikit tegas. "Miss Qalisya, please do my favor."
Qalisya mengelap mulutnya dengan tisu sebelum bangun dan pergi ke meja buffet. Zarif menggeleng kecil sebelum memandang Hud.
"Dah lah tu, Hud. Sampai bila kau nak buli dia?"
"Tuan Zarif, how could you say that in front of me?" Ayla mencelah.
Zarif menolak tangan Ayla yang berada dilengannya. "Please lah, Ayla... kita kat hotel with our uniforms, kut. Respect lah sikit siapa I."
Hud mengalih matanya kepada Ayla. "Yes, I agree with Zarif. I don't care if you nak menggedik with Zarif or someone else, but not with Alamanda's uniform on."
Ayla mengetap bibir dan menjeling Zarif di sebelah. Makanannya terus dijamah tanpa bismillah.
"Oh my God, my fork." Hud lekas bangkit untuk pergi mengambil garfunya, namun serentak dengan itu, tiba-tiba...
Alunan lagu Aku Cinta Padamu nyanyian oleh Dato Siti Nurhaliza bermain di cafe 'kena' ketika tangan Hud pantas bergerak mahu menyambut tubuh Qalisya. Saat Hud berdiri tadi, dia langsung tidak perasan yang Qalisya sedang mara kepadanya. Dalam sekelip mata sahaja mereka berdua sudah berlanggaran dan efeknya membuatkan kaki Qalisya gagal mengawal kestabilan diri.
Mata Hud dan Qalisya masing-masing tidak mengerdip. Cawan yang berada di tangan Qalisya tadi masih dipegang kemas.
Suasana di situ juga semakin menyepi, masing-masing terpegun melihat Qalisya dan Hud yang masih berkeadaan sama.
"Be... lum puas ku menikmati kesan kasih sayang, kau terpaksa pergi."
Selepas sahaja lirik itu berlalu, Hud terus menarik Qalisya untuk berdiri. Namun dua pasang mata itu masih lagi tidak mahu beralih. Masih asyik merenung wajah dihadapan mereka.
"Katakanlah... kau cinta padaku."
Zarif mengambil cawan yang berada di tangan Qalisya lalu 'merampas' Qalisya yang dipinggangnya masih dipeluk tangan Hud.
"Sya, are you okay?" Soal Zarif seraya membantu Qalisya untuk duduk.
"I... iya. I'm okay." Qalisya memberi respon. Hud memalingkan wajahnya ke arah lain apabila Zarif terlalu menyibuk dalam urusan mereka berdua.
Hud kembali melabuhkan punggungnya. Qalisya meneguk minumannya sebelum kembali bangun.
"Saya ada kerja kat atas, tuan muda Hud... tuan Zarif... saya pergi dulu ya?"
Hud melihat garfu Qalisya yang masih tidak bersentuh. Diambilnya garfu itu dan terus dia menjamah makanannya.
"Ei, bodohnya kau Qalisya... cuai betul!" Qalisya mengetuk dahinya dengan telefon. Geram dengan dirinya sendiri. Mujur kasut tumit tingginya tidak patah. Ish!
Share this novel