PINTU kamar Qalisya diketuk lembut dengan tangannya. Jam pada waktu itu sudah menunjukkan pukul 11 malam. Makanan sudah terhidang di atas meja. Setengah jam sudah dia menunggu Qalisya untuk keluar daripada kamar untuk makan malam bersama-sama, namun isterinya itu tidak memunculkan diri.
"Sya..."
Pintu kamar itu dibuka Qalisya. Empat mata mereka bertembung. Mata sembap Qalisya menghentak kalbu lelaki di hadapannya.
"Ya?" Lembut suara Qalisya menyoal.
Hud berdeham. "Kau tak nak makan ke? Tak lapar? Dari pagi tadi kau tak makan. Nanti kau sakit."
Qalisya tersenyum nipis. "Aku memang tak makan banyaklah sekarang. Jadi aku tak senang lapar."
"Kalau kau ikutkan rasa lapar perut kau tu, macammana kau nak sembuh? Jom, kita makan. Aku dah masak dah tu." Ujar Hud seraya menyelak rambut Qalisya ke belakang telinga. "Jom?"
Perlahan-lahan Qalisya mengangguk setuju. Matanya mengekori Hud berjalan pergi ke dapur dan kemudian dia mengikut sama.
Hud menarik kerusi untuk Qalisya. Dia menarik Qalisya untuk melabuhkan punggung di atas kerusi tadi. Walaupun setahun sudah berlalu, namun dia masih dapat merasakan ada perubahan ketara pada tubuh Qalisya. Qalisya sudah semakin kurus!
Qalisya membiarkan sahaja suaminya meletakkan lauk-pauk ke atas pinggannya tanpa dia sedari bahawa dirinya sedang diperhatikan Hud.
Rambut blonde nya sudah bertukar hitam, rambut beralunnya sudah kembali lurus, mukanya yang terbentuk indah sudah menjadi cengkung. Hud tertanya-tanya di dalam hati. Apa Qalisya tidak menjalani kehidupan seperti orang normalkah di sini? Duit bulanan yang dihantar kepada Qalisya bukanlah sedikit amaunnya. Setiap bulan dia memberikan sepuluh ribu kepada Qalisya kerana dia mahukan Qalisya menjalani kehidupan dengan serba-serbi sempurna di sini. Bukan untuk melihat perubahan ketara yang menggusarkan raganya.
Dia dan Qalisya hanya menjamah makanan tanpa berbual. Hud tidak bersuara, Qalisya juga tidak bersuara. Jika Qalisya hendak menambah makan, Hud cepat-cepat mengambilkannya buat Qalisya.
Segelas air kosong diteguk Qalisya sehingga licin sesudah selesai dia menjamah makanan. "Hud."
Hud tidak membalas, dia hanya mahu Qalisya meneruskan ayatnya.
"Boleh ke kau izinkan aku untuk balik Malaysia esok?"
Soalan Qalisya membuatkan lelaki itu putus selera untuk makan. Matanya kembali dingin merenung Qalisya.
"Tak reti nak respect orang masa makan ke?" Dingin soalan itu menyapa gegendang telinga Qalisya. Mug putih itu ditarik dan Hud meneguk air putih di dalamnya.
"Tapi aku nak balik Malaysia, Hud."
Tersentak bahu Qalisya tatkala mug putih itu dihentak kuat dengan Hud.
"Tak faham bahasa ke? Kan aku dah kata, aku kena jumpa doktor kau dulu. Kalau okey, baliklah. Kalau tak okey, kau kena duduk sini lagi."
Qalisya menggigit bibirnya. Sejak berada di Korea, dia berubah menjadi seorang yang rapuh. Dia bukan lagi wanita yang kuat seperti dahulu walaupun kesihatan dirinya semakin bertambah baik. Kata-kata suaminya itu seperti menembak hatinya. Sakit.
"Okey, Hud. Aku faham. Sorry." Balas Qalisya bersama-sama dengan anggukan kepala. Pinggan Hud yang sudah kosong ditarik untuk dibawa bersama-sama ke sinki. Sambil mencuci pinggan, air matanya dibiarkan mengalir.
Hud masih lagi duduk di meja makan. Dia masih lagi terasa dengan tindakan Qalisya. Semasa ketiadaan Qalisya, dia membuat pemeriksaan secara senyap-senyap daripada pengetahuan pihak lain. Hatinya bagai dirobek-robek melihat bukti-bukti pengkhianatan wanita yang dia sayangi itu.
Qalisya dibiarkannya masuk ke dalam kamar. Tinggal dia seorang sahaja di situ. Matanya termenung jauh. Apakah Qalisya punya perasaan terhadap dirinya? Masih berpeluangkah lagi untuk bibit cinta wujud diantara mereka selepas setahun sudah berlalu? Atau Qalisya akan minta untuk dilepaskan sejurus selepas mereka pulang ke Malaysia?
Percayakah Qalisya pada penafian hatinya setahun yang lalu?
Qalisya mendakap kemas gambar lama keluarganya sebelum menangis sendirian. Jiwanya kosong dan sunyi. Ada perasaan rindu yang mendalam di dalam hati. Permintaannya cumalah satu, dia ingin sekali melawat kubur ahli keluarganya dan jika selepas itu dia perlu pulang semula ke Korea, dia akan pergi.
Kepalanya menoleh ke arah yang bertentangan. Pintu kamarnya dilihat. Mengapa Hud masih bersikap dingin dengannya sedangkan sudah genap setahun mereka berdua berjauhan? Lupakah Hud pada kenangan manis yang sudah mereka cipta sehingga sanggup Hud membuat luka pada dinding kalbunya?
Qalisya tertawa kecil apabila terkenangkan kata-kata lelaki itu setahun yang lalu. Rupa-rupanya hanya dia. Hanya dia sahaja yang menaruh perasaan di dalam perkahwinan itu, sedangkan Hud langsung tidak punya perasaan terhadapnya. Mungkin kerana itu Hud tidak punya rasa serba salah kerana melayannya dengan cara yang menyakitkan ini.
Hatinya tertanya-tanya apakah akan jadi pada perkahwinan mereka? Apa akan kekal hubungan mereka dengan bentuk yang sebegini atau mereka akan terpisah kerana tidak tanpa mampu membalas cinta?
Asyik dengan fikiran, Qalisya mula tersedar dengan sesuatu. Rumah itu terasa sangat sejuk. Dia lekas menarik telefonnya untuk memeriksa suhu terkini bumi Seoul. Terlalu rendah sehingga mencecah negatif sepuluh!
"Ini mesti house heater rumah ni rosak lagi." Ujar Qalisya dengan nada resah. Baru dia teringat yang ada suatu hari itu dia membawa keluar semua selimut di dalam almari kamar utama rumah itu dan membawanya masuk ke kamarnya. Semua kerana alat pemanas rumah ini rosak.
"Hud kesejukkan ke hah dalam bilik tu?"
Hud menyarungkan semua pakaian musim sejuknya apabila tulangnya merasa amat sejuk. Stokinnya dipakai dengan pantas.
"Err... sejuk betul! House heater rumah ni rosak ke?" Bebel lelaki itu sambil menarik selimutnya di atas katil. Puas dia mencari selimut di dalam kamarnya untuk diberikan kepada Qalisya. Entah di manalah ibunya menyimpan semua selimut di rumah itu.
Walaupun cuma sehelai selimut sahaja yang dia punya, dia tetap mahu memberikannya kepada Qalisya. Dia bimbang Qalisya akan sakit pula kerana cuaca sejuk ini. Biarlah dia sahaja yang sakit.
Pintu biliknya ditarik dengan pantas dan Hud terus menjerit terkejut apabila Qalisya berdiri di hadapan pintu kamarnya dengan membawa beberapa tingkat selimut di tangan.
"Hud, nah selimut. Hari tu heater rumah ni rosak jugak, itu yang aku ambil semua selimut kat dalam bilik ni." Ujar Qalisya sambil menyerahkan selimut di tangannya kepada Hud.
Dengan penuh kemas Hud menyambut selimut dari tangan Qalisya. Dia menahan hidungnya daripada bersin.
Qalisya menahan rasa geli di hati apabila melihat Hud memakai sweater dan stokin. 'Tak tahan sejuklah tu!'
"Okey, thank you."
Suara lelaki itu sudah berubah menjadi lebih garau. Seperti orang yang tidak sihat. Terus rasa geli itu sirna dan muncul rasa bimbang di hati Qalisya.
Tanpa mahu menunggu jawapan daripada Qalisya, Hud menutup pintu dengan kakinya. Sebenarnya tubuh Hud sedang tidak enak, perubahan cuaca yang terlalu drastik membuatkan suhu badannya naik mencanak.
Dia kembali menukar pakaiannya sebelum merebahkan diri di atas katil dan membalut tubuhnya dengan selimut.
"Hud tak sihat ke?" Soal Qalisya yang masih berdiri di hadapan kamar Hud.
Dia berjalan ke dapur dan memanaskan air untuk dibancuhnya teh. Pintu rak kabinet ditarik dan kemudian tangannya mencapai beberapa keping pad pemanas.
Tuala bersih di dalam laci dibawa keluar dan diletakkan di atas dulang bersama-sama dengan mangkuk kecil yang berisi air suam. Dulang tadi kemudian dibawa ke kamar Hud.
Hud sudah tertidur nyenyak. Mulut suaminya itu sedikit ternganga, mungkin disebabkan hidungnya tersumbat. Berlari lagi Qalisya ke dapur untuk mengambil sesuatu.
Sesudah kembali di dalam kamar, Qalisya terus menyelak semua selimut yang membalut tubuh Hud. Digoncangnya beberapa pad pemanas sebelum diletakkan pada kedua-dua genggaman tangan dan bawah lengan Hud. Mulut Hud yang sedikit terbuka itu ditutup rapat dan ditampalnya plaster di hidung lelaki itu.
Hud bergerak-gerak ketika merasakan sesuatu yang lembab diletakkan di atas dahinya. "Sya?"
Suara garau itu kembali menyapa telinga Qalisya. Halus namun cukup garau untuk ditangkap Qalisya.
"Tidurlah. Aku dah buatkan teh untuk kau kat dalam termos tu. Nanti-nanti kau minum, boleh kurangkan rasa sejuk kat badan kau." Ujar Qalisya. Baru saja dia mengangkat punggung, Hud menariknya dengan lembut untuk duduk semula di situ.
Tangan sejuk Qalisya diberikan pad pemanas tadi. "Jangan sakit."
Hud kembali masuk ke alam lenanya. Kuat pula demam yang dialaminya kali ini. Memang sering dia demam jika pulang ke Korea di musim sejuk, cuma kali ini dia kecundang.
Qalisya melihat Hud yang sudah baring mengiring membelakanginya. Dia tahu Hud tidak selesa baring mengiring tanpa memeluk bantal, dengan penuh berhati-hati dia mengalihkan selimut dan meletakkan bantal silinder ke dalam pelukan lelaki itu. Sedetik pun lelaki itu tidak berganjak, betul-betul terbenam didalam mimpi.
Sofa berangka satu di kamar itu menjadi tempat untuk dia melenakan diri. Bimbang pula jika Hud memerlukan bantuan daripadanya, jadi lebih elok dia bermalam saja di sofa.
Pinggang Qalisya yang terasa lenguh menjagakan Qalisya daripada tidurnya. Terkebil-kebil matanya dibuka.
Wajah yang ditenungnya dengan lama mengundang rasa getar di jiwa. Sudah lama mereka tidak bertentangan mata.
Pipinya disentuh tangan hangat itu tanpa mata mereka beralih daripada satu sama lain. Jika bebola matanya ke kiri, mata itu akan mengekorinya. Jika bebola matanya ke kanan, mata itu juga akan ikut ke kanan.
Plaster kecil di atas hidung itu ditarik Qalisya dengan penuh kelembutan sebelum mereka kembali merenung satu sama lain.
Mereka berdua sama saling terkejut apabila telefon Hud berbunyi. Cepat-cepat Hud menarik tangannya yang diletak pada pinggang Qalisya dan bangun mencapai telefonnya sebelum keluar daripada kamar.
"Haura apa?" Soal Hud tika berdiri di ruang tamu. Suara lelaki itu sudah kembali normal.
Qalisya hanya mengintai suaminya di tepi pintu kamar. Nada gembira Hud memancing senyumannya.
Apabila panggilan sudah tamat, Hud menekup wajahnya sambil tersenyum. Betapa dia gembira apabila Haura sudah mampu menggerakkan tangannya. Fikirnya mungkin dia tidak akan lama berada di Korea, kerana dia mahu melihat kejadian tersebut di depan matanya.
Dia kembali berjalan ke kamar dengan perasaan berbunga. Namun senyumannya mati apabila dia dan Qalisya kembali bertembung di pintu.
Selimut di tangan isterinya itu ditenung sesaat dua sebelum dia kembali melihat wajah Qalisya.
"Apa pandang-pandang?" Soal Qalisya sebelum menyambung langkahnya yang mahu kembali semula ke kamarnya.
"Haura dah boleh gerakkan tangan, aku rasa tak lama lagi dia akan sedar." Ujar Hud sambil melihat belakang Qalisya.
Langkah Qalisya terhenti. Perlahan-lahan dia memalingkan diri untuk melihat Hud.
"Congrats, then." Balas Qalisya. "Aku doakan dia cepat sedar."
Senyuman Qalisya sekali lagi menghentak kalbu Hud. Bukan rasa berbunga namun perasaan yang sebaliknya.
Perlahan-lahan Qalisya mendekati Hud sambil menggaru belakang kepalanya. "Aku cadang nak balik Malaysia lepas kau dah jumpa doktor. Cuma untuk seminggu dua je. Lepas tu, aku akan datang ke sini semula. Selama-lamanya pun boleh. Tak apa kan macam tu?"
Hud melarikan matanya daripada memandang Qalisya. Liurnya ditelan. "Boleh."
Dia terkejut apabila mendengar Qalisya tertawa kecil. "Terima kasih!"
Buat pertama kalinya dia melihat Qalisya tertawa semenjak mereka berdua ketemu semula. Tawa dan senyuman itu telah menambah seri pada wajah Qalisya sehinggakan dia juga turut tersenyum. Qalisya tidak berhenti tersenyum lebar sampailah dia menghilang ke dalam kamar.
Hud melangkah dekat dengan pintu itu. Tangannya sudah sedia memegang tombol pintu. Dia mahu memberitahu sesuatu yang penting namun hasratnya dibatalkan apabila dia dapat menangkap suara gembira Qalisya di dalam bilik.
Share this novel