Amara sedang menyembunyikan motosikalnya dengan kotak-kotak yang ada di lorong tepi bangunan sebuah hotel bajet.
Terpaksa bermalam di hotel terpencil buat masa sekarang ini, dia risau kehidupan Bun terjejas disebabkan hal ini. Tapi macam mana…siapa yang beritahu mereka tentang Bun?
“Bun…Bun?” Amara membeliak mata risau bila Bun hilang dari pandangannya. Bun tadi dia duduk di bangku tepi hotel sementara nak sembunyikan motosikal, tapi sekarang hilang pula.
Amara menurunkan penutup telinga sambil menjerit panggil Bun, lorong ini kecil saja dihiasi pula dengan gantungan lampu tanglung merah disebabkan sekarang musim perayaan Tahun Baru Cina.
Dia memandang sekeliling, Bun tu masih dalam keadaan mamai disebabkan dadah yang diberikan oleh Bon Long petang tadi.
“Cik, ada nampak lelaki pakai kot putih tak lalu sini?” tanya Amara pada salah seorang tuan kedai runcit yang berbangsa India.
Wajah tuan kedai itu nampak marah sambil susun inai yang bertaburan di lantai ke raknya semula, “Oh, kawan kau ke? Dia tadi mabuk teruk, masuk sini habis langgar saya punya kedai!”
Amara menepuk dahi rasa tak percaya, “Maaf pak cik, saya ganti rugi…”
“Tak payah! Saya sudah halau dia ke sana,” jawab pak cik itu dengan nada garang.
Amara sekali lagi memohon maaf lalu menuju kearah yang pak cik tadi tunjukkan, rupanya si Bun ni tengah duduk mencangkung sambil satukan Bunga Siantan menjadi tiara dan cincin yang dipetiknya depan kedai orang. Amara segera mendapatkannya, nak marah tapi kasihan pada masa yang sama.
“Bun,” lembut dia memanggil.
Bun mendongak pandang, dia bangun dengan pantas buat Amara terkejut. Tubuh Bun bergoyang ke kanan dan ke kiri tak mampu nak menyeimbangkan badan disebabkan penglihatannya yang samar-samar dan masih dalam kebingungan, tapi dia tahu dihadapannya sekarang adalah Amara.
“Nnnn Nah!” hulur Bun akan cincin dan tiara dari Bunga Siantan itu, bangga saja wajahnya berjaya menyiapkan cincin Bunga Siantan itu tadi.
Sudahlah cermin matanya hilang, gelap pula tu memang bersungguh dia satukan bunga-bunga kecil tersebut untuk Amara.
Amara tak faham akan sikapnya, dia ambil. Tapi disebabkan tiara dan cincin itu tidak disatukan dengan baik, ia putus buat Bun mendengus lalu menghentakkan kakinya ke tanah tanda protes.
Kelakuannya tak ubah seperi kanak-kanak buat Amara terkebil-kebil,
“Dr. Bunyamin, jom balik,” pujuk Amara lagi sambil menghulurkan tangannya.
Dia risau kalau-kalau ada musuh di seketar kawasan ini.
Bun nafasnya turun naik rasa nak nangis bila niatnya tak difahami oleh Amara, tiara dan cincin dia ambil dan campak ke semak-samun buat Amara tercengang. Bun kemudian ambil stetoskopnya lalu dihulur lagi pada Amara.
Amara pandang stetoskop kemudian pandang Bun yang dalam keadaan separa sedar itu, mesti Bun malu kalau dia tahu perangainya macam keanak-anakannya malam ini.
Bun memang dah dewasa, tapi dalam sudut hati dia masih dirinya. Dirinya sendiri yang disembunyikan oleh orang lain selain daripada Amara dan Mak Ros.
Amara mengambil stetoskop itu sebelum berjaya menangkap pergelengan tangan Bun agar dia tak kemana-mana dah.
“Dah jom,” kata Amara sambil mengusap kepala Bun. Bun tersenyum puas bila stetoskopnya di terima oleh Amara.
Bun ditarik heret oleh Amara kembali ke hotel bajet, berjalan dengan terhuyung-hayang macam zombi. Sampai saja depan hotel, dia terpaksa memapah Bun yang dah mula rasa mengantuk balik.
“Kau dah besar Bun,” Amara merintih disebabkan tubuh Bun yang tinggi itu lalu mengangkat kedua-dua kaki Bun dan mendukungnya sebagaimana dia dukung Bun waktu kecil dulu. Yang ini lebih mudah.
Dia menekan loceng kaunter dan memesan sebuah bilik bawah, usai bayar dan dapat kunci dia bergegas ke bilik tersebut.
Sampai saja ke bilik, Bun dibaringkan atas katil.
Termengah-mengah Amara nak bawa ‘kayu balak’ mabuk ni ke sini, dia periksa keadaan Bun. Mata sedikit terbuka, asyik bergumam dari tadi macam mengigau.
“Maaf Bun, aku tak tahu kau akan terlibat sekali secepat ni,” kecewa nada Amara.
Dia bangun lalu membetulkan posisi Bun agar tidur dengan selesa, kasut Bun dia tanggalkan lalu di susun atas rak bersama kasut butnya.
Penghawa dingin dia hidupkan, setiap tingkap yang ada dibilik ini dia periksa ketahanannya. Bilik bawah lebih mudah untuk dia dapatkan motosikal dan larikan diri dengan Bun nanti, setelah diperhatikan keadaan di luar tiada apa-apa yang mencurigakan lalu tingkap dikunci dan langsir ditutup.
Hanya lampu meja saja yang mencerahkan bilik itu, walaupun sedikit malap cukuplah sekadar untuk Amara nampak Bun di katil.
Dia menghempas duduk di sofa empuk berhadapan dengan katil, mudah untuk dia perhatikan Bun. Beg galas dia letak atas lantai, senjatanya masih ada tapi tak tahulah cukup atau tidak untuk musuh jika berjaya mengesan mereka. Pak Jeff pula tak bagi mesej apa-apa lagi, terpaksalah dia tunggu esok hari disebabkan rasa letih yang amat.
Barang-barang disimpan semula lalu menyarung beg je tubuh sebelum baring merehatkan badan, masih terfikir tentang kata-kata Bon Long tadi.
‘Selain aku, ada pengkhianat lain. Aku dah berjaya buat Tuan Deris fikir semua Keluarga mengancamnya, hanya lagi tinggal 3 Keluarga yang aku patut bunuh sekarang. Kalau Deris ambil alih semua urusan 20 keluarga tu dengan segera, lagi cepatlah aku boleh bunuh dia. Semua yang ada kena mengena dengan Deris patut musnah,’ matanya mula layu walaupun dia cuba untuk tahan.
‘Tapi siapa…siapa yang arahkan diorang untuk buru Bun? Pak Jeff, dia lindung Bun sebab memang betul dia sahabat baik arwah Tuan Sujama ke?
Tapi apa gunanya dia lindung Bun, dia takkan dapat apa-apa…’ mata Amara mengalah.
Dalam kemamaian nak menuju ke alam mimpi, tiba-tiba dia terdengar bunyi bising.
Macam bunyi jatuh, dan bunyi golekan di lantai. Dia buka mata bila rasa jari-jemarinya terasa sejuk, bila lihat atas katil Bun tak ada.
‘Bun?!’
Waktu dia nak bangun sebab gelabah Bun tak ada atas katil, tiba-tiba rasa meremang sebab ada benda yang terbaring atas lantai sedang bermain-main dengan jari-jemarinya.
Dia memberanikan diri pandang ke bawah, “BUN!”
Mahu tercabut jantung Amara bila Bun rupanya elok terbaring di lantai sambil memicit inai ke jari-jemarinya, “Shh!” Bun menyuruhnya senyap sambil tersenyum lebar.
“Aduh, Bun!” keluh Amara sambil menepuk dahi. Nasib baik kat tangan tak pegang senjata, kalau tak melayang dah nyawa Bun.
“Mana kau dapat ni, kau curi kat kedai tadi ye?!” Amara merampas inai picit dari Bun.
Bun tergamam bila Amara merampasnya dengan kasar, matanya berkaca mula menangis tersedu-sedan.
Amara mengerut dahi, dia mula bangun duduk. Merenung Bun yang sedang menekap kedua-dua belah mata dengan belakang tapak tangan, “Bun kau…” tak terkata Amara dengan perangai aneh Bun sekarang ni. Dia pandang jari jemari kanannya yang dah comot inai.
Dia mengeluh panjang, berbaring semula dan memulangkan inai picit, “Suka hati kau lah. Asalkan kau tak kemana-mana.”
Setelah Amara kata begitu terus Bun berubah gembira dan sambung hias jari Amara dengan inai. Pelik-pelik saja dia malam ini, memberinya tiara dan cincin dari Bunga Siantan, stetoskop, dan kali ini jarinya pula jadi mangsa conteng Bun.
Dia tak larat, dia biarkan saja buat benda-benda pelik malam ini asalkan tak lebih dari itu.
“Hei Bun,” panggil Amara.
“Hmmm?” jawab Bun, dia masih fokus menginaikan jari Amara kasi nampak macam betul-betul jari pengantin.
“Kenapa kau nak kahwin dengan aku?” tanya Amara sambil merenung ke siling, matanya tadi layu jadi segar sikit sebab gelabah dek kehilangan Bun tadi.
“Sebab…” Bun seakan-akan berat nak menjawab soalan itu. “Deris…”
Amara memejam mata, sedarlah dia yang Bun diselubungi rasa bersalah atas apa yang menimpanya sekarang ini.
“Bun, kau tak bersalah...” beritahu Amara, Bun mula menjebik.
“Dalam keluarga, aku yang paling tak guna. Aku redha apa yang jadi kat aku sebab aku akhirnya aku berguna juga untuk kita semua,” kata Amara seakan-akan sudah lelah dengan apa yang terjadi pada dirinya.
“Kau jangan salahkan diri kau Bun, sebab bukan kau yang buat semua tu. Dan aku pun buat semua ni atas jasa budi mak kau bela aku sampai aku dapat berdikari. Tanpa dia, aku mana ada usaha pun, Bun. Aku tak ada apa-apa,” tambahnya lagi agar Bun faham dan menerima keadaan sebenar.
Bun tak menjawab sebaliknya buat muka merajuk, sebab dia masih terasa hati dengan Amara yang pergi tanpa kata apa-apa. Dan masih menganggapnya sebagai budak yang takt ahu apa-apa.
‘Aku hanya perlu hapuskan jejak aku dengan Deris, kemudian hapuskan Deris. Barulah semua akan hidup dengan tenang, tapi aku, aku tak rasa aku hidup selepas semua itu bakal terjadi,’ rintih hati Amara.
“Deris…musnahkan…Kak Am..mara…balik,” Bun mula menggumam sendirian dan Amara malas nak layan.
Share this novel