Bun akhirnya bertemu kembali dengan Hj. Marzuki dan Kak Mira, rumah mereka dah pindah terletak berdekatan dengan ladang tebu senang Hj. Marzuki nak bekerja.
Bun terus singgah ke warung milik Kak Mira yang menu utamanya terdiri daripada Mi Calong, Mi Celup dan Laksa.
“Uish, besar dah kau Bun oiii! Siap dah berkereta bagai!” Hj. Marzuki berseloroh, Bun sekadar tersenyum.
Seorang pelayan lelaki menghidangkan mereka secawan kopi, secawan tebu ais dan sepinggan bebola sata.
Pelanggan ramai juga dalam warung ini, kebanyakannya pelanggan tetap.
Bun terpandang kearah pelayan lelaki tadi, Bun mengecilkan mata rasa macam pernah nampak. Bun membuntang mata rasa tak sangka, Fakhrul!?
Fakhrul yang dari awal perasan akan kelibat Bun asyik menyembunyikan wajahnya, malang sekali Bun perasan cepat-cepat dia masuk dapur balik.
“Kenapa? Oh, tu penjaga ladang pak cik. Amara yang bawakan budak ni bekerja sini,” beritahu Hj. Marzuki.
“Amara? Bawa dia ke sini?!” Bun terlopong mendengarnya.
“Iye! Bagus budaknya, rajin dan amanah! Sejak dia kerja kat ladang pak cik, semuanya selamat! Ahahahaha!” Hj. Marzuki tertawa bangga.
Bun sekadar mengangguk kemudian sempat menjeling pada Fakhrul yang dah melarikan diri menuju ke traknya untuk sambung kerja.
“Err, pak cik. Pak cik ada nombor fon Amara tak?” Bun berterus-terang sahaja dan hal itu didengari oleh Kak Mira yang sibuk di kaunter pembayaran.
“Nombor Amara? Dengan Bun, dia tak ada telefon ke?” Hj. Marzuki tanya pelik.
“Tak, ”
Terus Hj. Marzuki menarik muka masam, kopi dia teguk sekali.
Bagaikan ada satu bara yang menggelegak di hatinya buat Bun kebingungan.
“Tak tahulah aku dengan dia tu, kami ingat dengan kami aje. Dengan kau pun dia senyap sekali!” nada tak puas hati diberikan.
“Kenapa pak cik, apa jadi?” soalan dari bun buat Kak Mira tertunduk sebak. Rasa bersalah menjalar di hatinya.
“Amara, tiba-tiba cakap nak kerja kat bandar. Dia suruh aku dengan kakak dia sendiri jangan telefon dia dah selagi dia yang tak telefon. Balik pergi sesuka hati aje, dia ingat kalau dia bagi aku pekerja macam si Fakhrul ni aku suka?!” bentak hati Hj. Marzuki.
Bun mengerut dahi, nampaknya Amara buat benda yang sama pada mereka.
“Kenapa dia buat macam tu?”
“Entahlah aku! Lantaklah ke dia, asal aku tahu dia hidup sudah. Ni dah sebulan dia tak datang sini, dah lupa agaknya jalan balik rumah! Dia ingat aku nak sangat duit gaji dia?! Tiap-tiap bulan isi dalam akaun aku, ingat aku ni papa kedana? Aku yang menyara dia pergi sekolah, masuk Giatmara sampai besar macam ni!” nada merajuk diberikan oleh Hj. Marzuki.
Bun sedikit kecewa, seperti Amara sengaja berbuat demikian. Apa yang Bun perasan, keluarga Amara memang tak keluar sayang dari mulut, keras kepala dan pantang ditegur. Tapi hati mereka ikhlas setiap apa yang mereka beri dan lakukan.
“Pak cik, berilah Bun nombor dia,” mintanya sekali lagi.
“Huh, yang kau nak sangat jumpa budak tak kenang budi tu dah kenapa? Kalau tak mak kau bela dia, ingat dia ada duit sendiri ke?!” Hj. Marzuki masih tak habis membebel, tangannya mengeluarkan fon pintar dari dalam poket baju mencari nombor Amara untuk diberikan pada Bun.
“Bun nak bawa dia jumpa umi, jumpa keluarga sekali.”
Setelah mendengar pengakuan Bun terus dua beranak itu terkedu.
Dan kali ini Kak Mira mengalih pandangan penuh pada Bun. Budak yang pernah dia suapkan makanan ketika kecil dulu, yang pernah main sama-sama dengan Musa dulu. Arwah Musa.
“Amara?” Hj. Marzuki memastikan lagi niatnya.
“Hehe, takkan Kak Mira pula. Dia dah kahwin,” Bun berjenaka namun dua beranak itu masih serius wajah mereka.
Hj. Marzuki terus meletakkan fonnya atas meja, memaparkan nombor Amara pada skrin.
“Bun, Amara tu. Amara bukannya macam bekas kekasih kau,” akhirnya Kak Mira menyampuk.
“Ya, tahu.” Pendek jawapannya, menandakan yang dia tekad.
Usai Bun menyalin dan menyimpan nombor Amara, terus Hj. Marzuki makan secucuk bebola sata.
Hati Hj. Marzuki masih dalam kekeliruan, memanglah bukan kali pertama anak orang lain meminang anaknya tetapi kali ini 'Amara'. Dia risau tapi pada masa yang sama dia percaya pada Bun.
“Tapi Bun, jumpa Amara dulu baru dengar keputusan dia macam mana. Sebab bukan pak cik yang tentukan keputusan, tapi dia,” jawab Hj. Marzuki menandakan yang dia merestui akan niat Bun.
Bun mengulit senyuman terus mengangguk suka.
Dan selepas itu, dia menemui Fakhrul pula di ladang tebu.
“Sumpah, aku memang datang secara aman!” kata Fakhrul dengan ketakutan, ingatkan Bun datang nak menyerangnya sebagaimana yang dia lakukan pada Bun dulu.
“Kau kata Amara yang bawa kau kan? Dari mana kau sebenarnya? Macam mana boleh jumpa dia?” tanya Bun bertubi-tubi sambil menyilang tangan seakan-akan seorang ayah yang menyoal anaknya kenapa balik lewat.
“Bun, sabar! Ya Allah, kenapa kau tinggi sangat daripada aku ni!? Berapa tong susu kau minum ni?” Fakhrul terkejut juga dengan perubahan kedewasaan Bun.
“Bagi fon kau,” minta Bun.
“Ah aku…malulah, telefon aku lama.” Sengih Fakhrul tak memahami permintaannya,
Bun menghela nafas panjang, dia mula menyeluk ke poket baju dan seluar Fakhrul menyebabkan Fakhrul ketawa geli.
“Bun sabar Bun! Jangan macam ni, aku tahu aku bersalah dulu tapi janganlah sampai noda aku macam ni!” teriak Fakhrul rasa seram.
Bun tak mengendahkan suaranya, sebuah fon jenis lama dia berjaya jumpa. Fakhrul membeliakkan mata rasa gundah-gulana, dia cuba merampas fonnya kembali namun disebabkan ketinggian Bun dia terpaksa melompat-lompat dengan terdesaknya.
“Bun, jangan Bun! Mati aku kalau Kak Mar tahu!” beritahu Fakhrul cuba memanjat tubuh Bun yang tinggi.
Bun menariknya turun terus ditolak tubuh Ardi ke dalam stor, dengan pantas mengunci Fakhrul yang dah menggelupur ketakutan itu.
“Bun! Aku sepatutnya tak boleh beritahu sesiapa pasal ni Bun, sumpah Bun! Aku memang datang berniat nak jaga keluarga Kak Mar saja, aku tak minta gaji tapi bapak dia yang nak bagi!” rayu Fakhrul rasa nak menangis.
Bun pelik kenapa cara Fakhrul penuh terdesak sekali, dia mencari informasi di dalam fon Nokia 6101, siapa je lagi yang guna fon jenis ini?
“Beritahu aku macam mana kau jumpa Amara, aku janji aku takkan beritahu sesiapa.” Kata Bun.
Dia menekan fail simpanan senarai nombor, hanya ada dua nombor dan semuanya menggunakan digit sebagai nama pemanggil.
Dia cuba tekan stor mesej, dan dapat!
“Kak Mar selamatkan aku. Dengan cara bekerja dengan bapak dia je aku boleh bersembunyi,” Fakhrul mengaku dengan nada sayu.
Bun tersentak, “Selamatkan kau dari apa?”
“Aku…aku berhutang. Aku tak dapat nak bayar jadi organ akulah pengerasnya. Keluarga aku ingat aku dah mati, keluarga Kak Mar ingat aku anak yatim piatu yang datang cari kerja tetap,” sedih nada pengakuannya.
Bun memang rasa puas hati akan karma yang telah terjadi pada Fakhrul, tapi dia masih hidup bererti Allah SWT masih memberikannya peluang kedua.
“Macam mana dia selamatkan kau?” tanya Bun lagi.
“Erm, mula-mula tu aku kena culik. Aku sedar aku kat dalam van sekali dengan penghutang-penghutang lain yang aku tak kenal, tapi aku ingat lagi ada seorang dokter tu dia bedah dan keluarkan organ-organ penghutang untuk jual kat pasar gelap. Aku ingat aku dah nak mati, Sumpah aku menyesal. Dan waktu tu lah aku jumpa Kak Mar,” kata Fakhrul sambil terduduk masih tersisa rasa penyesalannya.
“Dengan siapa kau berhutang?” Bun tanya lagi setelah menyalin nombor fon.
“Bon Long, dia pengurus kelab malam. Dia yang culik dan hantar ke Hotel Buana Deris,” jawab Fakhrul.
Bun tersentak apabila nama itu disebut, “Kau ulang sekali lagi.”
“Hotel…erm, aku dapat tahu nama tempat tu pun daripada Bon Long. Kat situlah semua penghutang Bon Long berkubur lepas organ diorang dikorek jual.”
Bun tersandar lelah, setelah sekian lama nama itu muncul lagi. Tak sangka mimpi ngeri dia dan umi tidak pernah berakhir sama sekali.
“Err, bukalah pintu ni. Aku banyak kerja lain ni,” pinta Fakhrul sambil mengetuk-ngetuk pintu stor dari dalam.
Share this novel