“Ayah jangan!” teriak Bun pada ayahnya yang sedang memukul Mak Ros.
“Kalau aku tak kahwin dengan kau bapak aku takkan halau aku!!! Ni semua sebab kau, dasar malang!!” Deris mengherdik kuat sambil menyepak dan memukul isterinya.
Bun hanya mampu memeluk kaki ayahnya dan merayu, habis satu rumah bersepah dek amukan Deris yang tiba-tiba datang dengan hasrat ingin merampas Bun dari Mak Ros.
“Jangan! Cukuplah anak aku seorang dah diambil, tinggalkan Bun! Bun, lari Bun!” teriak Mak Ros sambil memegang perutnya yang terasa sakit.
Bun cuba menarik ayahnya agar jauh dari ibunya namun dibalas dengan tendangan pula, Bun fikir mungkin nyawa ibunya bakal melayang hari ini. Bukan sekali, tapi tiap kali ayahnya pulang setelah menghilang lama pasti rumah ni jadi tunggang terbalik.
‘Tolong…tolonglah hentikan. Aku tak nak hidup dalam keluarga macam ni, kenapa aku dilahirkan dalam keluarga begini!’ nangis Bun dalam hati. Apa yang ada dalam kepalanya waktu itu hanyalah mati, dia tak mahu dirinya serta ibu hidup dalam dunia yang gelap dengan masa depan.
“Woi!” teriakan seseorang mengejutkan Bun. Dia menoleh kearah seseorang di pintu luar rumahnya.
Amara yang baru balik dari perlawanan sukan hoki antara sekolah terkejut bila dengar bunyi bising dari rumah Mak Ros. Asalnya nak melawat sekejap sebab pagi tadi dia tak menolong Mak Ros di gerai. Tapi nampaknya gerai tak buka harini.
“Kau siapa?!” teriak Deris bertanya.
Amara menjelirkan lidah mencabarnya sambil kaki berundur 4 tapak kebelakang.
“Kurang ajar!” Deris berlari ingin menyerang Amara, malang sekali Amara dengan pantas membelasahnya dengan kayu hoki.
Bun terkebil-kebil lihat Amara pukul ayahnya yang menakutkan itu cukup-cukup, dia mendapatkan Mak Ros. “Ibu..Ibu tak ap…Kenapa ada darah?! Ibu? Akak! Akak, ibu berdarah!!!”
Mak Ros dimasukkan ke wad kecemasan, hari yang buruk buat seorang ibu apabila bayinya gugur didalam kandungan.
Share this novel