Hari demi hari, Amara sudah terbiasa dengan kerjanya.
Penceroboh atau perompak yang memecah masuk kedalam rumah tak pernah berjaya keluar dari rumah ini. Dalam masa sebulan banyak kali jugalah Van Jenazah Dr. Adrian datang melawat.
Dokumen yang selonggok menjadi senaskah, tangannya sudah terbiasa menghayunkan senjata ke arah mangsa tanpa mempedulikan jeritan dan rayuan mereka.
Dia mula memakai earmuff yang dihadiahkan oleh Pak Jeff dek sensitif terhadap bunyi letupan.
Dia menutup telinganya dari mendengar bisikan dunia, seraya itu memudarkan emosinya di hati.
Setahun lebih dia tinggal di rumah itu, akhirnya Tuan Deris berpuas hati. Amara dijemput ke majlis pembukaan hotel Tuan Deris yang telah dinamakan sebagai Hotel Buana Deris.
Pak Jeff memandu agak laju, dia intai Amara yang senyap merenung kosong ke luar tingkap. Earmuff tak lekang di telinga, legalah dia bila Amara menggunakan hadiahnya itu dengan baik. Sampai saja ke destinasi, Amara agak terkejut dengan perubahan drastik hotel ini.
Dulu hotel ini nampak lama dan terbengkalai dari luar kini diubah reka seakan-akan sebuah hotel lima bintang.
Masuk saja kedalam, ruang lobi nampak sangat menarik. Hotel ini temanya melayu tradisional dan berkonsepkan Wayang Kulit.
Setiap sudut hotel ini nampak eksklusif hiasan dan rekaannya, uniform staf juga telah ditukar warna. Logo juga telah ditukar, simbol seorang lelaki tua botak berkain batik memegang anak panah belok di belakang tubuhnya.
Itu watak Pak Samad dalam cerita Wayang Kulit. Wataknya tak terlalu popular berbanding watak utama yang lain namun itulah kegemaran Tuan Deris.
Tetamu di hotel ini kebanyakannya rakan niaga Tuan Sujama yang lama, rakan niaga baru milik Tuan Deris pun ramai juga. Ada juga tokoh awam yang menghadiri majlis ini dari awal pagi lagi.
‘Tak sangka, lepas kau jahanamkan hotel bapak kau tanpa rasa malu kau syok sendiri bina yang baru.’ Gertak Hari Amara.
Dia dan Pak Jeff masuk ke dalam lif, butang nombor 19 ditekan.
Amara melepaskan earmuff tatkala di tempat yang sunyi tanpa orang ramai.
“Hari ini adalah hari jadi Tuan Deris, dia nak cik keluar waktu persembahan wayang kulit nanti,” beritahu Pak Jeff.
Persembahan Wayang Kulit diadakan sebelum penutupan majlis.
Amara menoleh padanya dengan kerutan dahi, “Sebab?”
“Sebab itu yang dia mahukan,” jawapan Pak Jeff buat Amara menjeling kearah lain.
Pintu lif terbuka, Amara terkesima melihat perubahan pada tingkat 19 yang dulunya bagaikan sebuah koridor yang mengalami bencana alam kini berubah.
Koridor ini berlantaikan batu kerikil merah jambu lutsinar dan dindingnya bercorak mawar merah, hiasan bunga-bunga mawar membuatkan Amara seolah-olah sedang berjalan di dalam terowong taman bunga.
“Tingkat 19 untuk Cik Amara, Tuan Deris yang berikan sempena usaha Amara selama ini, gunakan saja ruang ni untuk apa-apa yang Amara nak.” beritahu Pak Jeff dapat agak reaksi Amara.
‘Apa yang ada dalam fikiran orang tua tu?’ malas Amara nak fikir banyak, satu tingkat ini menjadi milik Amara.
Bilik tidurnya dihias serupa bilik seorang tuan puteri, tapi apa yang buat Amara garu kepala adalah dia rasa Tuan Deris ingat semua perempuan sukakan merah jambu dan bunga.
“Err, siapa yang hias bilik ni?” tanya Amara pelik.
Pak Jeff tertunduk sambil berfikir lama sebelum menjawab, “Kami.”
“Huh?!” Amara terkebil-kebil.
“Kami berdua tak pernah ada anak perempuan, antara kami Tuan Deris sajalah yang pernah berumah tangga. Dan apa yang ada dalam bilik ni berdasarkan minat bekas isteri Tuan Deris sendiri. Dan sebelum dia bertemu dengan isteri dia, Tuan Deris ada banyak teman wanita. Jadi…” Pak Jeff membuka sebuah almari berisi penuh dengan barang kemas sebagai jawabannya.
Pak Jeff menarik satu demi satu laci berisi pelbagai jenis barang kemas untuk ditunjuk padanya.
Daripada perhiasan di kepala sampailah ke kaki. 20 utas jam tangan semuanya dari jenama yang berbeza. Dan tiara, siapa yang pakai tiara zaman sekarang ni?!
Amara membeliak matanya, sinaran emas padu dari barang kemas itu buat matanya silau.
“Ok, kejap,” Amara menutup kembali pintu almari tersebut sakit mata dibuatnya. “Kau orang tak pernah ada isteri atau anak perempuan sebelum ni, lepas tu pakai hias aje bilik ni?”
“Kalau cik nak ubah semula bilik ni kami boleh…”
“Tak! Tak payah,” Amara memicit-micit dahinya rasa penat dengan perangai kekok orang tua dihadapannya ini. Apatah lagi Amara perasan Pak Jeff melayannya seperti budak-budak.
Pak Jeff dah risau kalau-kalau Amara kecewa dengan ideanya dan Tuan Deris dengan bilik ini. 3 hari 3 malam jugalah mereka berbincang macam mana nak hias bilik Amara. Jadi inilah hasilnya.
“Boleh tak beritahu Amara, tujuan sebenar dia bawa Amara kesini? Dia takkan jemput Amara tanpa sebab,” tanya Amara curiga.
Pak Jeff tahu yang Amara bukanlah lurus bendul sangat, “Sebab cik akan ada tugas baru.”
Amara terdiam, dia tahu mimpi ngerinya belum berakhir. Menjadi raksasa di rumah berpuaka yang dahagakan manusia segar itu bagaikan sebuah kisah seram. Tapi inilah realitinya, dia tak membunuh tetapi menjurus kepada pembunuhan. Sebab setiap nyawa yang menceroboh masuk ke dalam rumah sewa palsu itu tak akan pernah keluar sama sekali.
Mumcul dua orang staf datang membawa sehelai kebaya labuh warna hitam lengkap dengan barang kemas sebagai persiapan untuknya.
Malam itu, sedang Tuan Deris bergembira meraikan hari jadinya, Amara terkurung di dalam bilik sambil dipersiapkan oleh dua pembantu. Wajahnya disolek, rambutnya diikat rapi dan berbusana indah.
Amara terasa diriinya seperti sebuah patung, dia tak mampu nak lihat refleksinya di dalam cermin. Nampak macam bukan dirinya, macam orang lain. Amara yang dulu dah tak ada di matanya sendiri.
Dia tak boleh nak menyesal atau patah balik, apatah lagi Tuan Deris mengotakan janjinya. Pernah dia melawat keluarganya serta Mak Ros dari jauh, mereka semua hidup dalam keadaan baik.
Dia juga ada hantarkan wang ke dalam akaun bank ayahnya, itu duit yang dia kerja di salon. Dia guna MMS untuk melaporkan keadaannya pada keluarga, begitu juga dengan Mak Ros yang pada mulanya curiga akan keputusannya untuk bekerja di bandar.
Amara yakin mereka dua beranak masing-masing dah boleh hidup berdikari, dia tak mahu mengganggu kehidupan keluarga itu lagi.
Tepat pukul 10 malam, Amara diarahkan untuk turun ke dewan makan. Sedang Tuan Deris memberi ucapan di pentas sebelum persembahan Wayang kulit dimulakan, dia memperkenalkan Amara sebagai anak angkatnya pada semua tetamu dengan nada bangga.
Semua bertepuk girang, terutama sekali tetamu lelaki sebab mereka fikir ada peluang untuk jadi menantu Tuan Deris suatu hari nanti.
Amara tahu yang dirinya hanyalah sebuah alat untuk Tuan Deris kesan siapa kawan dan siapa lawan.
Anak matanya diangkat memandang kearah tetamu, tatapannya tajam memandang satu demi satu manusia-manusia yang telah menjadi iblis bertopengkan manusia.
Sesiapa sahaja yang berada di dalam hotel milik Tuan Deris ini, telah melakukan kejahatan di luar sana.
Mereka adalah 20 buah puak atau lebih dikenali sebagai 20 Keluarga, yang telah menyokong tindakan Tuan Deris untuk merampas hotel ini dengan meragut nyawa Tuan Sujama.
Bukan itu sahaja, jenayah mereka tak pernah diketahui oleh sesiapa selain sesama mereka sendiri.
Usai memperkenalkan Amara pada tetamunya, dia dan Amara duduk bersama-sama di tempat duduk paling depan.
Lampu dewan dimalapkan, Tok Dalang memulakan ceritanya diiringi oleh dendangan muzik.
Amara tak selesa bila dia ditenung oleh beberapa tetamu, fahamlah dia kenapa.
Tuan Deris ini dikenali dengan sebagai kaki perempuan. Tiba-tiba kahwin, cerai dan bawa anak palsu tanpa mereka ketahui cerita sebenar.
Amara perasan yang Tuan Deris benar-benar obses dengan konsep tradisional melayu. Lihatlah caranya menonton wayang kulit ini, siap bertepuk tangan bergelak ketawa. Tetamu yang lain pun sama, mungkin sebab faktor umur.
“Tengok, aku suka watak yang itu,” bisik Tuan Deris padanya sambil menunjukkan kearah satu karakter. “Pak Samad.”
Amara mula mengambil perhatian pada wayang, pertunjukan menunjukkan sebuah adegan di mana Pak Samad terkena sebatang anak panah diraja di belakang badannya namun dia tak Luka atau mati sebab dia orang kebal.
Amara tak faham, kenapa dia suka? Tuan Deris bukannya kebal pun.
Tamat majlis, Amara diarahkan untuk ke pejabat bersama-sama dengan Pak Jeff, tak sangka pejabat saja yang kekal rekaannya. Tak diubah satu pun termasuklah posisi perabot.
Tuan Deris duduk di kerusi yang dahulunya milik Tuan Sujama, lagatnya seperti seorang raja yang sombong.
“Amara, betullah kata orang tua-tua yang perempuan ni bawa untung,” kata Tuan Deris sambil merenung gadis yang tak berkata sepatah pun padanya itu. Paling dia suka, gadis ini mengotakan janjinya.
Pak Jeff membawa sebuah kotak baldu yang panjang lalu dihulurkan pada Tuan Deris, kotak itu dibukakan oleh Tuan Deris pada Amara. Sebilah keris panjang terisi didalamnya, Amara memandang Tuan Deris penuh tanda tanya.
“Ini, untuk kau.” Kata Pak Deris sambil tersenyum lebar.
Amara tak mengerti, ini bukan hadiah yang biasa-biasa. Dia perlu menggunakan senjata itu untuk sesuatu.
“Angkatlah. Aku tempah khas untuk kesesuaian kau,” jemput Tuan Deris lagi seakan-akan mendahagakan Amara untuk memegang senjata itu.
Amara akur, dia mengangkat keris tersebut lalu menarik sarungnya.
Ini bukan senjata untuk membela diri, ia lain daripada keris biasa. Dia memandang Pak Jeff yang dari tadi tertunduk tak mahu memberi hubungan mata dengannya.
Pak Deris tersengih suka, “Ini Keris Alang. Kalau kau nak tahu, ini khas untuk hukuman penderhaka raja zaman melayu dulu.”
Amara membeliak matanya, apa ini tugas yang dimaksudkan oleh Pak Jeff?
Pak Deris bertindak menarik Amara kedakapan, seolah-olah Amara memang benar anak kandungnya.
Amara menggenggam keris tersebut rasa nak bunuh saja Tuan Deris sekarang. Tak puas dia dijadikan umpan untuk penceroboh dan perompak, Tuan Deris nak dia jadi penghukum pula? Dia Yang patut dihukum!!
“Kau tahu kenapa aku tunjukkan kau pada diorang tadi?” tanya Tuan Deris dengan nada lembut sambil mengusap rambut Amara.
Begini rupanya pelukan seorang anak perempuan yang setia, dia tak sempat nak merasa pelukan seorang ibu atau ayah.
Pelacur-pelacur yang memeluknya selama ini hanya mahukan duitnya.
Pelukan indah buat kali pertama dia rasa adalah dari seorang wanita yang bernama Rosmawati. Dan wanita itu telah mengecewakannya.
“Sebab sesetengah dari diorang, akan merasa keris ini di tubuh mereka…”
Amara terkebil-kebil, pengakuan itu buat Amara gelisah. Semua tetamu yang diberikan layanan istimewa hanyalah diumpan dengan madu, akhirnya diberi racun.
Tamak, dia memang tamak. Dia bukan saja dah penggal kepala bapanya sendiri, malah orang sekelilingnya juga.
Keris Alang sebagai tanda kepercayaan Tuan Deris terhadap kesetiaannya, samalah seperti tujuan keris itu diwujudkan oleh orang pada zaman dahulu. Untuk pengkhianat yang menderhaka pada raja mereka.
Dan Tuan Deris, menganggap dirinya sebagai raja manakala Amara adalah kuasa kekebalannya.
Setiap pengkhianat yang ditangkap oleh Tuan Deris akan merasa tusukan Keris Alang menembusi jantung pengkhianat.
Dan Amara yang seperti diberikan ‘kuasa pembesar’ ditugaskan untuk menjalankan hukuman itu depan Tuan Deris, sebab dia suka.
DIA SUKA LIHAT WAJAH PERIT PENGKHIANATNYA DALAM KEDAKITAN SEBELUM MATI.
Tuan Deris makin hilang kewarasannya.
Dan Amara tak mampu nak melarikan diri, sebab Tuan Deris telah mengotakan janjinya.
Review any comments, saya terima seadanya, thanks membaca ?
Share this novel