Bab 2

Action Series 305

Cucur labu yang hampir masak di gaul dalam minyak panas hingga sebati gorengannya, Rosmawati atau Mak Ros yang mengandung 3 bulan itu sibuk berniaga di gerainya.
Dari pagi berniaga sampai ke petang sentiasa penuh dengan pelanggan yang datang nak beli cucur labu dan air tebu.

“Mar, tebu banyak lagi?” tanya Mak Ros pada anak kepada pembekal tebu yang membantu di gerainya.

“Tinggal dua batang,” jawab Amara yang berusia 17 tahun itu sibuk mesin tebu untuk menghasilkan airnya.
Tugas asalnya hanyalah tolong Mak Ros mesin tebu buat air saja, tetapi hari demi hari sudah menjadi tugas harian untuk dia membantu Mak Ros lepas pulang ke sekolah.

“Mar, kasi aku cucur labu RM2! Air tebu satu,” pesan seorang pakcik yang khusyuk main Dam Aji dengan kawannya.

“Ok, pakcik!” jawab Amara.

Mesin tebu dia hentikan setelah tebu terakhir habis dimesin, dia mengambil dua pinggan kecil lalu masing-masing diisi dengan lima ketul cucur labu.
Peti sejuk dia buka, sebotol air tebu sejuk dia ambil. Kebanyakan tebu tak diisi ais, dah siap-siap letak dalam peti sebab lebih enak diminum tanpa ketul ais.
Dia hidang pada pakcik itu, pelanggan lain pula yang terdiri daripada budak-budak sekolah baru balik dari padang memesan makanan.
Gerai ini berhadapan rumah Mak Ros sahaja, berekatan antara masjid dan sekolah. Memang tempat strategik untuk dapatkan pelanggan tetap.

Kadang-kadang kalau ada apa-apa acara seperti merentas desa memang ramailah yang datang, tak menang tangan Mak Ros mujur Amara dan kakaknya rajin membantu.

Kedatangan dua budak lelaki naik sebuah basikal membuatkan Mak Ros dan Amara memandang mereka serentak, “Makcik! Basikal Bun rosak lagi!” teriak Ardi.

Bun menampar lengan Ardi yang suka mengumumkan hal kecil pada semua orang, termasuk kali ini dah 3 kali dah rantai basikal Bun rosak. Manakan tidak, basikal itu sajalah kenderaan mereka dua beranak kalau nak kemana- mana. Mujurlah Ardi, rakan sekelas Bun ni selalu tolong, mereka masing- masing berusia 16 tahun.

“Lah, dah mana basikalnya? Tinggal kat sekolah?” Mak Ros tanya sambil suruh Bun masuk dalam rumah untuk mandi.

“Ha ah, pak jaga kata dia cuba baikikan. Tapi tak tahulah boleh elok atau tak.” Kata Ardi sambil curi dua ketul cucur yang terhidang diatas talam anyaman.

Mak Ros nampak aje, terus dia bungkuskan satu untuk Ardi bawa pulang.
“Nah, kata kat mak terima kasih ya hantarkan cekodok haritu.” Pesan Mak Ros.

Plastik cucur labu bertukar tangan, “Ok makcik, esok saya datang ambil Bun!”

“Tak payahlah Di, rumah kau jauh. Akak hantarkan nanti, Kak Mira dah naik bas nanti ke tempat kerja.” Kata Amara, kakak sulungnya lepas SPM terus dapat kerja kat pekan. Biasanya naik bas saja, dia tak berani nak guna motosikal sebab jumlah kenderaan beroda empat lebih banyak di pekan berbanding di kampung ini.

Hari makin senja, pukul 6:30 petang Amara dah bergerak pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Hj. Marzuki pula kebetulan baru balik dari ladang tebunya, Hjh. Maria pula sedang duduk di buaian bersama anak bongsu bernama Musa. Dia sedang mengajar Musa gesek biola.

“Eh, kakak tak balik lagi ke?” tanya Hj. Marzuki sambil dukung Musa yang tadi berlari lalu memeluk kearahnya dengan manja sekali.

“Kakak kata balik lambat harini, dia nak keluar dengan kawan dia.” Kata Amara sambil duduk di buaian bersama ibunya untuk makan cucur sama-sama.

“Amboih, mentang-mentang kat pekan sana ada hiburan sampai lupa dah jalan balik rumah sendiri?” Hj. Marzuki bercekak pinggang.

Musa pula tak habis-habis merayu minta babahnya bawa naik motosikal pusing satu kampung.

“Alah babah ni, ni baru kerja kat pekan. Kalau kakak kena kerja kat bandar pula nanti macam mana?” Soal Amara, babah ni memang mengongkong sikit. Maklumlah, anak dara ada dua. Yang anak jantan pula kecil lagi.

“Anak awak nak keluar dengan kawan-kawan sekejap, takkanlah tak boleh. Pekan tu pun bukannya ada apa sangat, tak ke FunFair mesti pergi beli-belah. Hari gaji kan,” pujuk Hjh. Maria.

“Tengoklah anak awak tu, dah ada duit sikit pergi berhibur! Lepastu bawa balik macam-macam, bukannya nak simpan pun untuk masa depan pun!” bebel Hj. Marzuki lagi sambil menghidupkan semula enjin motosikal buruknya. Memang dah rutin hariannya nak bawa Musa jalan-jalan kampung pada waktu petang.

“Daripada anak awak keluar dengan entah mana-mana lelaki, hah, pilih mana satu nak?” tegas Hjh. Maria buat Hj. Marzuki mencebik kalah.

Tinggallah Amara dan ibunya, “Amara, main. Ibu nak dengar,” minta Hjh. Maria.

Anak sulungnya tak minat muzik, tapi dia masih nak turunkan kemahiran bermain biolanya pada anak-anak.

Amara pula, dia lambat belajar. Bila berlatih main kakakknya tak suka, bising katanya.
Tu yang setiap petang lepas balik sekolah, Amara akan ke bukit belakang sekolah untuk berlatih main.

Amara angguk, dia memposisikan biola dengan betul. Gesekan dimulakan, sebuah lagu Seniman P.Ramlee berjudul Jangan Tinggal Daku dimainkan. Hjh. Maria memejam mata cuba fokus dalam setiap gesekan Amara, adalah sumbang sikit sebab dia pun tak mahir sangat.
Habis saja satu lagu, Hjh. Maria menepuk tangan tanda puas hati terus Amara memeluk ibunya erat sambil mengucup wajah Hjh. Maria.
Dia kemudian baring, kepala diletakkan atas riba ibunya.
“Amara nanti lepas SPM nak masuk mana? Universiti, Giatmara?” Hjh. Maria tanya ingin tahu.

“Nak kerja sajalah, Amara malas belajar.” Jujur dia.

“Hmm, asalkan ada duit sendiri. Tapi kalau masuk universiti pun tak apa juga, ambil kemahiran pun boleh.” Hjh. Maria mencadangkannya. Risau juga dengan Amara ni, takut tak ada tujuan.

Sebab dari kecil Amara memang tak minat bab-bab belajar ni. Lebih suka sukan Hoki dan bekerja.

Malam itu, rutin harian Amara adalah menyikat rambut Hjh. Maria.

Sedang Amara menyisir, dia tersenyum. Sebab rambut ibunya dah kembali tumbuh setelah menjalani rawatan kemoterapi.

“Meh sini, ibu sikat rambut Amara pula.” Kata Hjh. Maria terus Amara menghulurkan sikat lalu duduk di lantai.

Dia menyisir rambut Amara yang paras leher itu. “Rambut Amara pun dah panjang, cepat aje tumbuh.” Pujinya.

Kak Mira dan Amara, ketika dapat tahu Hjh. Maria perlu menjalani rawatan kemoterapi terus dua beradik ini potong rambut pendek. Sampailah Hjh. Maria habis jalani rawatan barulah mereka biarkan rambut mereka sama-sama tumbuh.

Air mata mengalir, terasa sebak di hati. Dia mengemam bibir tak mahu Amara mendengar tangisannya, hatinya lega namun risau kalau-kalau kehilangannya di dunia bakal mengubah sesuatu didalam keluarga ini

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience