Seorang lagi pengkhianat mati dikeris Amara, siapa sangka staf yang bertugas di lobi selama ini adalah pengikut salah seorang dari 3 Keluarga yang dianggap setia.
“Dah naik lemak rupanya diorang ni!” marah Tuan Deris sambil memijak-mijak si pengkhianat yang dah mati itu.
“Nampaknya, mereka hanya berpura-pura untuk taat setia. Tuan, rasanya rancangan yang tuan impikan tu patut dilakukan,” kata Pak Jeff tanda bersetuju.
Tuan Deris mengangguk suka, sejak dulu lagi dia dah beritahu hal ini pada Pak Jeff tetapi tak disetujuinya sebab terlalu berisiko.
Dia ingin mengaut semua keuntungan 20 Keluarga menjadi miliknya, dan dia sendiri yang akan memilih orang untuk menjaga urusan 20 Keluarga tersebut.
Fikirannya jauh berbeza dengan bapanya yang lebih suka menguruskan hal hotel berbanding urusan lain yang mampu memberinya keuntungan banyak.
Dia mengalih pandangan pada Amara yang sedang menyarungkan kerisnya semula ke sarung sambil mengeluarkan kunci motosikal dari dalam poketnya, pengkhianat tadi telah dibawa oleh dua pengawal kepada Dr. Adrian.
“Nak ke mana?” Tanya Tuan Deris.
Disebabkan Amara tak dengar, Pak Jeff jawabkan, “Harini hari Amara berhibur”
Tuan Deris mengangguk faham, dia memegang bahu Amara untuk mengambil perhatiannya. Amara menoleh dan memandangnya penuh tanda tanya.
“Harini, aku ikut kau,” arah Tuan Deris.
Dan hal itu membuatkan Pak Jeff mengerut dahi, dia yakin Tuan Deris masih tersisa rasa keraguan terhadap Amara setelah hilang selama 3 hari. Dia juga mula memerhatikan gerak-geri Amara walaupun hidup sebangunan dengannya.
“Helmet,” arah Amara.
Tuan Deris tersenyum lebar, dengan motosikal Kawasaki Ninja H2R yang dihadiahkan oleh Tuan Lucas mereka keluar dari kawasan hotel bersama-sama buat pertama kalinya.
Bagi Tuan Deris sebagai pembonceng, laju juga budak Amara ni bawa. Macam manalah Pak Jeff yang kurus keding itu tak terbang jadi pembonceng Amara hari itu?
Tuan Deris tak tahu apa rancangan Amara pada hari ini, tetapi dia ingin tahu apa helah Amara.
“Kejap, apa ni?” hairan Tuan Deris setelah kuku tangannya nampak berkilat sihat.
Terkedu juga dia bila Amara memutuskan untuk pergi ke sebuah spa dan menerima rawatan kuku serta urutan tangan dan kaki. Tuan Deris tak jangka yang Amara akan ke tempat seperti ini, tup-tup dia pun sertai sekali.
“Kerasnya kaki encik,” komen pengurut yang sedang menyapu minyak pada kaki Tuan Deris.
Tuan Deris berdecit lalu berbisik pada Amara yang duduk di sebelahnya, Amara tak memakai pelindung telinga di sini sebab fungsi spa dah memang direka aman untuk pengunjung menenangkan fikiran. “Dekat hotel aku kan ada spa. Kenapa datang sini pula?”
“Sini aman, sana tak.” Pendek jawapannya.
Tuan Deris tak membalas apa-apa, sebab ada betulnya juga.
Habis saja rawatan, mereka ke panggung wayang. Ada jugalah beberapa orang yang pandang Tuan Deris pelik sebab mata sebelahnya memakai penutup.
Amara dah dapat agak pandangan orang luar terhadap Tuan Deris jadi dia buat biasa saja. Nak kata ayah dan anak, jauh berbeza muka mereka. Jadi Amara anggap tengah buat kerja kebajikan, teman orang tua nyanyuk.
Amara nak memesan makanan untuk dibawa ke panggung wayang, Tuan Deris menolaknya ketepi lalu memesan banyak untuk mereka berdua.
3 bertih jagung, 4 minuman, dan 4 mangkuk kentang putar semuanya bersaiz jumbo. Amara malas nak menegur, dah orang tua ni kata nak ikut dia layankan saja.
“Hei ni apa punya cerita kau tengok ni? Ni cerita kartun ni!” Tuan Deris tak puas hati akan filem yang dipilih oleh Amara.
Disebabkan suara komplennya terlalu kuat, ada ibu-ibu yang menyuruhnya diam siap buat muka garang lagi. Dia pandang Amara nak mengadu, tapi Amara juga menyuruhnya diam.
“Telinga aku sensitif, kartun ni tak guna bunyi kuat sangat.” Beritahu Amara.
Mulanya Tuan Deris membentak rasa bosan dengan filem yang dipaparkan ke skrin, tapi selepas tamat saja filem dia menangis teresak-esak dan Amara terpaksa memangkulnya keluar dari panggung.
Bukan dia saja, ibu bapa yang lain pun lebih sebak berbanding anak-anak mereka.
Amara membawanya duduk ke sebuah bangku jauh dari orang lain, dia menghela nafas panjang akan perangai Tuan Deris sekarang ini.
“Aku nak pergi tempat lain pula ni, kalau kau nak balik awal pergilah dulu.” Kata Amara sambil menghulurkan tisu padanya.
Tuan Deris merampas tisu itu dari tangan Amara sebelum mengesat matanya, “Apahal manusia tu tinggalkan raksasa tu macam tu aje? Kenapa tak bawa je dia balik bumi?!” bentak Tuan Deris tak puas hati.
Amara menggaru-garu kepalanya, secara jujurnya dia tak boleh fokus langsung dengan filem itu tadi sebab sibuk pujuk Tuan Deris dari menangis kuat.
Dan baginya cerita tu tahyul semata-mata. Pasal manusia jaga bayi raksasa dan terpaksa tinggalkan raksasa itu ke tempat asalnya semula. Ringkas saja ceritanya tapi Tuan Deris dan ibu bapa dalam panggung tadi menangis macam wujud saja raksasa itu.
‘Kau baru tadi suruh aku menyalang pengkhianat kau depan mata, dah kenapa pula kau boleh lembut hati pada makhluk CGI pula?!’
“Kau nak ke mana lepas ni, aku ikut!” kedegilan Tuan Deris tak mampu Amara nak halang.
Disebabkan menyampah tengok muka sedih Tuan Deris, Amara membawanya ke kafe kucing untuk makan tengah hari.
“Woi, macam mana aku nak makan ni?” tanya Tuan deris bengang bila ada beberapa ekor kucing duduk diatas riba , bahu dan kepalanya.
Pengunjung lain yang nampak tersenyum rasa comel dan lucu, Amara tak tahu pula yang Tuan Deris ni ada sifat lembut hati pada binatang. Terpaksalah dia yang suapkan Tuan Deris makan.
Selepas itu mereka ke Kelas Seramik di mana mereka akan belajar cara nak buat pinggan mangkuk daripada tanah liat.
“Err, ayah awak makan apa piring besar sangat tu?” tanya cikgu yang mengajar Amara.
Amara yang sedang mengecat cawan seramiknya terus menoleh pada Tuan Deris, dia sedang menguli sebuah bulatan besar dan tebal siap ukur ikut saiz kepalanya lagi.
Tak lain tak bukan itu untuk kepala pengkhianat-pengkhianat yang akan digantung pada dinding pejabat sebagai trofi.
“Telur burung unta goreng,” jawab Amara dengan lesu terus membiarkan cikgu itu tergamam sendiri.
Share this novel
Deris ni makin lama makin mengada plk dah HAHAHAHAHA