Bab 30.1 : Deris dan Ros

Action Completed 1933

PANTAI

Tuan Deris menawarkan diri untuk membeli aiskrim. Sekali dia beli aiskrim kon 5 tingkat untuk mereka berdua. Amara tak tahu nak marah ke, nak bersyukur. Dia dapat lihat ada budak-budak yang cemburu tengok aiskrim mereka bukan main tinggi lagi.

“Huh, apalah yang sedap sangat ubat gigi tu? Lain kali ambil macam aku, perisa biskut!” komen Tuan Deris.

Dia betul-betul benci tengok aiskrim kegemaran Amara iaitu Cip Coklat Pudina. Dia pernah cuba rasa, tapi tak sesedap aiskrim perisa Cookies and Cream.

‘Jangan nak hina aiskrim aku lah orang tua!’ bentak Amara dalam hati.

Mereka berjalan seiringan di tepi pantai sambil menikmati langit senja, angin menderu kuat menolak ombak yang tenang.

Tuan Deris perasan, yang Amara tak memakai earmuff sejak mereka keluar dari tadi. Atau hanya dia yang perasan, Amara hanya pakai di hotelnya saja.
Dia tersenyum sinis, punya satu akal untuk Amara.

“Macam ni ke cara perempuan berhibur? Heh, aku ingatkan kau pergi ke kelab Bon Long,” kata Tuan Deris buat Amara mencampakkan pandangan ke arah laut.

Tahu lelaki itu saja nak cari pasal dengannya.

Aiskrim terpaksa dia habiskan cepat sebab makin mencair, apatah lagi sampai 5 skop aiskrim bertingkat satu kon macam ni memang comotlah tangan.

“Ke kau memang simpan anak ikan senyap-senyap?” fikir Tuan Deris buat Amara melontarkan pandangan yang tajam padanya.

Tuan Deris tertawa galak, dia lebih suka kalau Amara bertindak balas begini berbanding senyap macam patung.

“Apa salahnya, guna aje nama aku nanti Bon Long kasilah kau anak-anak ikan percuma. Ke kau dah ada pakwe?” soal Tuan Deris sambil anak mata menatap Amara yang wajahnya kosong saja dari tadi.

‘Kekasih?’ nak saja Amara ketawa terbahak-bahak di sini. Kalau boleh dia tak nak langsung ada keturunannya sendiri setelah terjerumus dalam dunia Tuan Deris.

Lepas dia hapuskan Tuan Deris dan musnahkan apa yang dibina oleh lelaki ini, kalau bertuah dan masih hidup dia akan pergi dari sini selama-lamanya.

‘Malang bagi kau Deris, anak dan bini kau nak aku hidup. Lebih tepat lagi anak kau merayu untuk aku hidup. Jadi sekarang, nyawa kau sebenarnya ada di tangan aku.’

“Biar aku cerita kat kau pasal aku dengan Ros,” kata Tuan Deris sambil menjilat aiskrimnya sebelum bercerita. Amara memasang telinga setelah nama Mak Ros disebut.

Cerita Tuan Deris, dia bertemu dengan Mak Ros ketika hujan lebat. Dia baru habis bergaduh dengan beberapa orang samseng yang pernah dia buli ketika di sekolah dulu.

Dia hampir-hampir kehilangan nyawa, habis satu badan luka. Dia berjaya melarikan diri dan berehat di sebuah taman permainan.

Disebabkan terlalu letih, tersengguh-sengguk dia menahan ngantuk apatah membiarkan diri basah dengan hujan dingin.

Ketika itu dia tak berani nak pulang, sebab Tuan Sujama sedang menghukumnya halau dari hotel lepas dapat tahu yang dia cari pasal dengan anak dari salah seorang kliennya.

Dan ketika itulah, muncul seorang wanita bergaun merah jambu corak bunga mawar memayunginya.

Diberikan juga sebungkus cucur labu dan air mineral padanya, ditinggalkan payung untuk Tuan Deris sebelum beredar pergi.

Hatinya berputik buat pertama kali, siapa sangka ada manusia yang masih bersangka baik padanya. Tanpa mengetahui identiti sebenar Tuan Deris, wanita itu sanggup basah lecun demi memayungi orang yang tak dikenali.

“Aku ikut dia, dia dah ada suami tauke kedai bunga. Dan satu hari aku dapat tahu dia mengandung, sakit hati aku,” cerita Tuan Deris selamba.

Hati Amara mula berdebar-debar, dia rasa tak sedap hati nak mendengar cerita dari lelaki yang penuh ego dan tiada rasa simpati ini. Seakan-akan dia sudah tahu penghujungnya.

“Ros tak sama macam perempuan lain yang suka merayu pada duit aku. Tapi Ros, dia anak kaya tau! Mestilah kau tahu kan, kau jiran dia ahahaha!” tawa Deris buat Amara tak selesa. “Satu hari aku tekad, aku nak dia.”

Amara menggenggam tangannya, menahan diri dari nak menyerang Tuan Deris di khalayak ramai. Dia perlu berpura-pura tak endah, dia perlu buat Tuan Deris fikir yang dia dah selayaknya menjadi boneka setianya.

“Aku upah pengawal, untuk letupkan suami dia.”
Gugur jantung Amara rasa, aiskrim yang tak dijamah semakin cair menitik ke pasir sepanjang perjalanan mereka dan dibiarkan comot ke tangan. ‘Aku nak bunuh dia, aku nak bunuh dia…’ itu saja yang ada dalam fikiran Amara sekarang.

“Aku ingat aku dah miliki dia, rupa-rupanya aku cuma pengganti suami dia,” kecewa nada Tuan Deris. Hatinya masih sakit mengingatkan Rosmawati.
Apatah lagi bila bapanya langsung tak bersetuju akan perkahwinan mereka dan bertindak menghalaunya serta-merta dari hotel.

“Lepas ni kita nak kemana?” tanya Deris mula berubah ceria.

Amara terkebil-kebil, dia cuba menenangkan diri dari rasa barannya pada lelaki ini. Mahu saja dia humban Tuan Deris ke laut dan melemaskannya, tak pun menyerangnya sekarang dengan pisau belati yang terselit pada kasut but.

Dia boleh guna apa cara sekalipun untuk menamatkan riwayat Tuan Deris sekarang, namun tak kesampaian. Dia perlu ikut perancangan.

“FunFair,” pendek jawapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience