Bab 6

Action Series 305

Ardi dan Bun masing-masing duduk bersila merenung pada sepucuk surat dengan pelekat hati diatas lantai dari tadi.

Subuh tadi, balik saja dari masjid terus Ardi laju berbasikal ke rumah Hj.Marzuki untuk menemui Bun. Sebab, Bun dapat surat cinta dari Bella.

“Kau yakin ke?” tanya Bun pada Ardi yang dah mengeluh panjang rasa tak percaya.

“Ya Allah, Bun! Betul, Bella sendiri yang suruh aku hantarkan surat ni untuk kau! Ni bau bedak wangi ni, konfem dia suka kat kau ni! Cepatlah buka, aku nak tengok!” Ardi menggoncang-goncangkan tubuhnya.

“Kejaplah, aku nak bukalah ni!” Bun berdebar-debar, sebaik saja surat itu ada ditangannya terus rasa senak di perut tak tahu kenapa.

“Ya Allah! Cepatlah buka!” Ardi menggesanya sambil tangan nak tolong bukakan. Tindakannya buat surat itu terkoyak kuat terus debu bedak wangi bertaburan ke udara dan lantai.

Mereka terbatuk-batuk, separuh wajah Ardi terkena bedak buat Bun terselit senyuman. Mereka baca isi dalam dan masing-masing memandang sesama sendiri rasa tak percaya, hati masing-masing dah berdebar teruja.

“Oh, surat cinta ek!” terjah Amara melalui tingkap yang dipanjatnya membuatkan Bun dan Ardi menjerit ketakutan.

Jeritan mereka buat Amara memaksa mereka untuk diam, “Oi! Diam ah sikit! Nanti babah dengar!”

Ardi mengusap dadanya yang rasa nak tercabut jantung manakala Bun dan sembunyikan surat itu bawah punggungnya, Amara yang nampak segala-galanya dari tadi sekadar sengih nakal.

“Kak Mar! Kak Mar buat apa kat tingkap tu, dah macam langsuir dah!” marah Ardi.

“Hehe, langsuir eh,” mata dialih pada Bun dengan bengang. “Oi, apasal kau tak bukakan pintu untuk aku hah?! Kan aku cakap, sebelum Subuh bukakan pintu untuk aku!”

Bun menjeling kearah lain, disebabkan surat cinta dari Bella dia terlupa.

Amara malam semalam nak keluar dengan kawan baiknya Morgana untuk ke pekan. Nak lepak kat FunFair. Kalau dah lepak sampai malam sah-sahlah bapa mereka berdua tak bagi, jadi dia dan Morgana senyap-senyap keluar.

“Oh, akak keluar malam lagi ek!” Ardi menuding-nuding jari tersengih nakal.

“Kau diamlah! Tepi sana, aku nak panjat masuk!” arah Amara sambil memanjat nak melompat masuk kedalam. Mujurlah rumah ni tak tinggi sangat untuk dia panjat.

“Pakc…HRMMM!!” tak sempat Ardi nak mengadu jerit, mulutnya dah ditekup oleh Amara.

“Kalau bukan sebab kau ni anak tok imam dah lama aku campak kau ke luar tingkap ni tau! Nah!” ugut Amara sambil menghulurkan dua kotak mainan kereta Dash untuk mereka.

Ardi mengangguk faham, dia ambil barang rasuah itu lalu masuk dalam poket seluar.

Mulanya Ardi nak ambil mainan milik Bun sebab Bun mana suka kereta, tapi disebabkan Bun nampak kerakusan Ardi dia terima saja mainan itu.

“Eh, apa cerita? Bella tulis apa?” Amara duduk meninggung ingin tahu kisah selanjutnya.

Ardi tertawa mengekek, “Bella minta Bun balas balik surat kalau setuju jadi pakwe.”

Bun menampar betis Ardi, wajahnya merah merona apatah lagi tawa mengekek mereka menambah malunya. Hatinya rasa sakit bila disakat, “Pakcik!!!” teriak Bun buat Amara membeliak mata terus menekup mulutnya.

Malang sekali, Hj. Marzuki dengar.

Amara akhirnya dibebel oleh ibu dan babah atas kelakuannya, dahlah guna motosikal Hj. Marzuki keluar rumah. Pulang lewat pula tu. Tapi dia tak menyebut nama Morgana. Sebab sebelum ini tak pernah terkantoi.

Mata dijegil pada Bun yang sedang menyorok di balik pintu, Bun terjelir kemudian masuk bilik dan mengunci pintu.

Tindakannya buat Amara terkejut, Bun yang pendiam dan sentiasa serius wajahnya itu boleh pula berkelakuan begitu padanya.

Entah kenapa, hatinya tak jadi nak rasa marah. Kali pertama dia nampak Bun yang normal daripada sebelum ini senyap macam robot.

Waktu sarapan, keadaan tenang sedikit sebab masing-masing lapar. Ardi ikut bersarapan bersama mereka.

“Ros ingat nak pindah ke pekan minggu depan,” pengumuman itu buat semua terkejut.

Amara mencuri pandang pada Bun, tangannya yang menggeletar disembunyikan. Dia tak suka akan perubahan secara tiba-tiba. Dia juga baru menyesuaikan diri di rumah Hj. Marzuki yang tenang ini.

“Eh, tapi macam mana dengan Bel..Hurp!” mulut Ardi disumbat dengan donat oleh Bun yang wajahnya tak menunjukkan apa-apa reaksi. Memang mulut tak boleh nak tutup budak ni.

“Dah fikir masak-masak ke Ros? Awak tu baru lepas habis pantang,” risau Hjh. Maria.

“Dah kak, rumah pun saya dah jumpa. Kawan saya ada sewakan tapak untuk saya berniaga dekat-dekat dengan asrama pelajar. Sekolah Bun pun dekat, mudahlah jarak kami nanti,” beritahu Mak Ros lagi.

Masing-masing berat hati, namun kalau sudah keputusan Mak Ros begitu mereka tak mahu campur tangan.

Mak Ros pula tak mahu menambah budi yang tak mampu dia balas sejak dulu lagi. Cukuplah menumpang, dia malu dengan jiran yang lain sebab asyik minta perolongan dari keluarga Hj. Marzuki saja.

“Kiranya nanti, tak ada cucur labu lagilah?!” kata-kata Amara buat yang lain tertawa.

“Sehari seminggu babah hantarlah bekal tebu untuk Ros nanti,” pelawa Hj. Marzuki pula.

“Tak, jangan. Jauh sangat dari pekan, Ros ingat cukuplah cucur labu saja.” Mak Ros menolak.

“Eh, janganlah macam tu. Naik kereta tak jauh mana pun,” pujuk Mak Ros.

“Tak pun suruh si Mar ni ikut tolong kerja sekali, tak adalah membuta saja kat rumah ni,” cadang Kak Mira buat yang lain pun bersetuju.

“Uish, jauh tu nak ulang-alik,” Mak Ros rasa serba salah. Dia betul-betul tak nak menyusahkan keluarga ini lagi.

Mendengarkan cadangan itu, Bun menyembunyikan wajah lega. Sesungguhnya, dia tak percaya kalau mereka berdua boleh berdikari di tempat baru.

“Ha, daripada kau merayap malam-malam buat kerja entah apa-apa di luar baik kau tolong Mak Ros,” tambah Hj. Marzuki lagi.
Amara tak balas apa-apa, tak pernah kisah.

Hadirnya Morgana dengan tercungap-cungap membuatkan mereka terkejut, “Kenapa kau ni Morgana? Masuklah sarapan dulu,” ajak Hjh. Maria.

Amara dah risau, kantoi juga ke?

“Tak, tak apa makcik. Nak kasi ni aje!” Morgana menarik nafas dalam-dalam, tangan menghulurkan sepucuk surat pada Amara.

Amara bingkas bangun dan tergamam bila tahu surat itu datangnya dari mana. PLKN!?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience