Bab 23 : Kisah Ros Dan Deris

Action Series 305

RUMAH POHON BERINGIN
Ardi mengetuk pintu bilik uminya yang sedang ralit baca novel lamanya, dia datang membawa dulang berisi sepinggan cucur labu dan dua cawan teh bunga raya. Mak Ros membalas dengan senyuman, rasa bangga melihat anak tunggalnya dah besar panjang.

Dulang itu Bun letak atas meja berdekatan dengan jendela, dia berbaring diatas katil tepi Mak Ros menyertai Mak Ros baca novel juga.

Mak Ros mengusap rambut Bun, dah besar panjang tapi manjanya masih ada. “Macam mana kerja?” pelik juga Mak Ros bila Bun yang sering sibuk di klinik sampai tiada masa untuk datang melawat ke Resort Serambi.

“Ok je, umi pula kafe macam mana?” dia memulang soalan.

“Sarah ada, kedai cucur umi pun nasib baik umi jumpa pengurus yang boleh harap.” Jawab Mak Ros bersahaja, dia tahu Bun sedang berat hati dengan sesuatu.

Setelah Pohon Beringin menjadi milik Mak Ros semula, tempat ini dijadikan pondok hobi mereka dua beranak. Sekadar tempat persinggahan, sebab Mak Ros tinggal Di sebuah apartmen berdekatan tempat kerja ya manakala Bun ada rumah sewa di bandar.

“Umi."

“Hm?”

“Amara mana?”
Mak Ros tersentak, “Amara?”

“Ya,” Bun bingkas bangun menatap Mak Ros penuh riak tanda tanya.

“Bun dah tak nampak dia lepas majlis arwah.”

“Jadi selama ni Bun tak pernah contact dia?” Mak Ros menyoalnya kembali dengan rasa pelik.

Bun terdiam sejenak, “Tak.” Kendur nadanya.

Mak Ros ragu-ragu akan soalan anaknya yang ganjil ini. Mak Ros meletakkan novelnya ketepi lalu menyilang tangan, “Bun tak pernah contact dia selama ni lepastu tiba-tiba cari. Kenapa?”

Bun tertunduk, mengelak hubungan mata dengan uminya.

Dia tahu dia tak boleh menipu akan wanita yang telah mengandungkannya selama 9 bulan ini. Gerak hati seorang ibu amatlah kuat.

“Sebab…”

“Sebab Bun ada Bella?” Mak Ros menyampuk.

“Tak, mana ada! Umi, kan Bun dah cakap Bun dengan Bella berpisah secara baik!” Bun mendengus geram terus turun dari katil dan duduk di kerusi tepi jendela, secawan teh dia teguk minum.

Mak Ros tersengih, “Ya, umi tahu. Bella pun dah nak kahwin dah pun, Bun bila lagi?” soalan perangkap diberikan.

Bun senyap, berteleku memandang ke luar jendela. Mak Ros melebarkan senyuman lalu merenung Bun yang mula mengelamun jauh itu.

“Umi, macam mana umi jumpa Deris?” tanya Bun dengan nada yang mendatar.

Giliran Mak Ros terdiam sejenak, tak sangka pula dia yang Bun akhirnya nak bertanya. Sangkanya Bun dah tak peduli apa dah pada ayah kandungnya.

“Kenapa, Deris jumpa Bun ke?” nada gelisah diberikan.

“Tak, saja tanya,” pendek jawapan masih tak pandang Mak Ros seolah-olah dia sedang merajuk.

“Oh, erm…Dia, pelanggan tetap ayah Abang Syam,” Mak Ros mula bercerita dan Bun menoleh.

“Pelanggan?”

“Umi pernah cakap kan, suami pertama umi dulu buka kedai bunga. Suatu hari Deris datang nak beli bunga, waktu tu hujan habis basah kuyup satu badan. Suami umi pergi ambil stok waktu tu, jadi umi yang jaga kedai waktu,” Mak Ros seolah-olah berat nak membuka kembali mimpi ngeri yang dah lama dia kunci itu.

Tetapi disebabkan sifat ingin tahu Bun, dia berhak mengetahuinya.

*****************************
Dia ketika itu sedang mengandungkan Syam’un yang baru berusia 5 bulan.

Kehidupan mereka gembira saja setiap hari walaupun sederhana, Rosmawati yang masih muda ketika itu tak mahu membebankan suaminya jadi dia menolong dalam pembalutan bunga yang dibeli oleh pelanggan.

Dan ketika hujan turun dengan lebatnya, Deris datang sebagai pelanggan menyatakan yang dia ingin membeli sejambak bunga untuk ibunya.

Deris tak tahu menahu tentang hal ini jadi dia suruh Rosmawati pilihkan saja. Dia memilih bunga mawar, sebab baginya mawar banyak khasiatnya. Dia siap tuliskan nota untuk ibu Deris tentang cara memanfaatkan bunga mawar.

Sejak dari hari itu, mawar selalu habis sebab dibeli oleh Deris.

Bukan itu sahaja, Deris juga menjadi teman berbual dengan suaminya dan mula bersahabat baik.

3 tahun hubungan mereka suami dan isteri amat baik dengan Deris, Derislah yang selalu menjaga Rosmawati tiap kali ada samseng atau perompak datang menceroboh di kedai mereka.

Suatu hari, kedai itu meletup.

“Apa?!” Bun mencelah, tergamam dengan hal yang rasa tak lazim itu.

“Ya, meletup. Ada yang kata sebab perbuatan aniaya pekedai yang lain, tapi tiada bukti. Bila pihak polis siasat, puncanya daripada litar pintas elektrik. Umi pun tak faham sangat waktu tu, sebab umi sampai-sampai kedai dah separuh terbakar. Abang Syam pula... ada dalam kereta.”

Bun tergamam mendengarkan hal itu, dia segera memeluk uminya erat. Tak boleh bayangkan bagaimana situasi itu terjadi padanya, bagi Bun umi kuat. Terlampau kuat.

Mak Ros sekadar tersenyum kelat, dia dah penat menangis dan memujuk diri. Cukuplah apa yang dia usahakan selama ini berhasil membesarkan Bun hingga capai impiannya sebagai seorang veterinar.

“Abang Syam selamat, sebab ayah dia tinggal kat dalam kereta sementara dia periksa suis dalam kedai. Kedai cuti waktu tu, dan sepatutnya Syam sambut hari lahirnya yang ke-3. Tapi tak sempat,” tambah Mak Ros lagi dan Bun mula mengusap-usap belakangnya agar dia berhenti.

Sudah cukup informasi yang diberi, tak perlulah Mak Ros mengulang kisah yang selebihnya. Dia tak mahu uminya bersedih lagi akan kisah silam.

“Umi tak sepatutnya ikut kata hati, umi…”

“Shhh,” Bun memujuk agar Mak Ros tak menyalahkan dirinya lagi.
Mak Ros menyembamkan wajahnya kedada Bun, lega dia mendengar degupan jantung anak yang pernah dia berniat untuk tinggalkan dahulu.

“Umi, Bun nak bawa pulang Amara ke Pohon Beringin,” akhirnya Bun mengungkap apa yang tersirat di hatinya.

Mak Ros mendongak pandang Bun dengan rasa tak percaya, tetapi hal itu buat hatinya damai. “Jadi sebab itu ke Bun…”

“Ya,” tegas nadanya. “Umi kata Pohon Beringin akan jadi milik Bun suatu hari nanti kan, dan suatu hari itu mungkin akan jadi kenyataan.”

Mak Ros mengusap kepala Bun, dah besar panjang rupanya dia.

Wajah comel macam bayinya dah tiada, tangannya juga tak mampu Mak Ros genggam penuh dah.

Tetapi Bun kini mampu menggenggam penuh menghangatkan kedua-dua belah tangannya ketika dingin. Bun tak lagi mendongak pandang uminya tiap kali nakkan sesuatu, tetapi kali ini giliran Mak Ros pula terpaksa mendongak pandang Bun yang dah tinggi darinya.

“Tapi Bun, umi pun tak tahu dia kat mana,” kecewa nada Mak Ros.

“Apa? Tapi kenapa?” Bun kecewa.

“Kali terakhir umi jumpa dia, dia kata kat umi jangan hubungi dia selagi dia tak hubungi dulu. Dia kata dia akan sibuk menyara diri, umi tak pernah tukar nombor telefon sebab nak tahu dia macam mana. Tapi sampai sekarang…umi ingat, dia marah umi lah,” Mak Ros terkilan.

“Kenapa pula?"

“Sebab, entahlah. Umi rasa ni salah umi, Amara tak pernah macam ni, umi sepatutnya teman dia sebagaimana ibu dia teman umi dulu.”

“Umi, Amara tak akan buat macam tu. Bun nak cari dia,” tegas nadanya.

“Kalau macam tu, cuba tanya Hj. Marzuki. Umi tahu keadaan Amara dari dia juga,” beritahu Mak Ros.

Bun memandang Mak Ros dengan mata yang ceria, seakan-akan ada harapan untuk dia bertemu dengan Amara. Mak Ros rasa, Amara ada sebab kenapa tak mahu dia dihubungi. Cukuplah dia tahu yang Amara masih menghubungi keluarganya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience