Bab 26.2 : Pertemuan Yang Janggal

Action Series 305

Sepanjang perjalanan ke Pasar Melayu, Syam asyik bercerita tentang patung kucing yang dihadiahkan oleh Bun. Dia juga banyak bercerita tentang Pohon Beringin yang menerima banyak perubahan daripada Bun.

Sampai di Pasar Melayu, Amara dapati tempat ini juga banyak perubahannya. Kawasannya lebih luas berbanding dulu, ditambah pula gerai-gerai yang menjual pelbagai kraftangan Melayu, dan makanan Malaysia. Terbina juga sebuah pentas persembahan, warung lama, dan karnival permainan.

Peniaga dan tetamu yang hadir semuanya memakai baju tradisional dan ada juga yang memakai busana zaman P. Ramlee. Dah macam kembali ke masa lalu.

Setelah beca berhenti, terus Amara berlari meninggalkan Syam masuk ke dalam pasar yang dibanjiri oleh pengunjung di situ.

‘Ah sudah, tempat ni pun dah makin memluas. Waktu kali pertama aku datang sini, tak lah besar mana kawasan. Sekarang dah tak kenal jalan,’ bisik Amara risau takut tersesat.

“Cik, bebola sata percuma untuk cik!” kata salah seorang peniaga di situ padanya sambil menghulurkan secucuk bebola sata.

Dia terpinga-pinga, tapi rezeki jangan ditolak. Dia ambil dan makan, ah rindunya!

Selama dia hidup dibawah naungan Tuan Deris, dia dah muak makan bufet dan makanan mewah yang dia tak ingat akan namanya. Tak sangka makanan seperti ini adalah pengubat rindu lidah kampungnya.

“Urhh…” Amara menekup telinga rasa bingit akan bunyi dunia yang menyerang telinganya secara tiba-tiba.

Dah terlalu lama telinganya ditutup dari bisingnya dunia sampai sensitif deria pendengarannya.

Dia berniat nak cari mana-mana kedai yang jual fon kepala, tapi disebabkan jantungnya mula berdegup kencang terus dia terduduk di sebuah bangku berdekatan.

Amara cuba menenangkan dirinya, “Ini cuma suara manusia. Manusia, cuma suara manusia.” Amara memujuk diri, dan bila dia perlahan-lahan membebaskan telinga terdengarlah sebuah suara mensyairkan sebuah irama merdu.

Ada seorang pensyair wanita sedang membaca sebuah syair yang bertajuk Selendang Delima, dia juga terdengar bunyi muzik dari lagu Aiya Cik Siti, bunyi orang bersorak kegembiraan, dan bunyi tawa kanak-kanak. Ini bunyi dunia, dunia yang aman.

Amara tersandar, jantungnya perlahan-lahan tenang. Dia selamat, dia berada di zon yang selamat. Dia tak dikelilingi oleh anak-anak buah Tuan Deris atau musuh-musuh Tuan Deris yang sering membawa senjata merbahaya. Mereka semua tiada ancaman baginya, yang di pegang mereka hanyalah makanan, minuman dan tangan manusia yang mereka sayangi.

Amara bingkas bangun, menggenggam kedua-dua tangannya sambil melangkah laju mencari jalan keluar.

Entah kenapa dia rasa peniaga-peniaga di sini seolah-olah mengenali wajahnya, untuk elak dari menerima apa-apa makanan lagi dia menundukkan wajah. Dah macam hantu berjalan pun ada, tak semena-mena ada kanak-kanak lelaki terlanggarnya.

“Oh, akak ok?!” tanya adik itu risau.

Amara kaku, mata membeliak. Dia tak rela nak memandang kanak-kanak lelaki itu, sebab mirip seseorang yang pernah dia kehilangan dulu.

Tanpa membalas apa-apa, dia membelok pergi masuk ke kawasan karnival permainan.

“Wah!” Amara terlopong bila tempat ini bukan saja telah dinaik taraf malah di tambah pula dengan gerai permainan, Roda Ferris, dan Rumah Hantu.

‘Gila, banyak betul perubahan yang dah aku tertinggal selama ni. Hj. Salleh menang loteri ke?’

***********************************
POHON BERINGIN

Naufal mengejutkan Naura yang tertidur di gazebo itu tanpa Amara disampingnya.
“Dik, Cik Amara mana?” tanya Naufal setelah menyandarkan Naura yang dah memegang
lehernya rasa lenguh.

“Aduh…Cik Naura? Eh, kuda pun hilang?!” Naura membeliak mata cuak.

“Kuda ada kat sini, abang nampak tengah merayau kat kebun. Habis dia makan sayur kat situ. Cik Amara mana?” Tanya Naufal lagi yang masih kebingungan dengan situasi adiknya terbaring di sini.

Naura tak pernah letih sebegini sampai tertidur di gazebo seorang diri melainkan dia datang bulan.
“Cik Amara…dah lari,” beritahu Naura sambil menatap abangnya yang dah mengucap panjang.

Dua beradik itu bergegas ke bilik CCTV, ternyata Amara telah melompat keluar dari benteng dengan pertolongan kuda. Dan dia kini berada di Pasar Melayu sekali dengan Syam. Mereka pun ke sana, dalam keramaian pengunjung tempatan dan luar payah nak cari Amara.

“Dah beritahu En. Bun?” tanya Naura sambil masuk ke dalam pondok CCTV Pasar Melayu.

“Dah, nanti dia datang. Nampak dia kat mana?” tanya Naufal pada pengawal di situ.

“Kejap ya, ramai sangat orang hari ini. Hrmm, kali terakhir nampak dia dekat rumah contoh. Rumah Serambi Pahang,” beritahu pengawal terus mereka bergerak ke sana.

Mereka tiba di rumah pameran tersebut terus masuk ke dalam, ternyata Amara sedang mencuri sebuah fon dari seorang pengunjung yang dah terbaring pengsan ke lantai. Mereka bertatapan, Amara menjegil pada mereka sebelum melompat keluar dari jendela.

Naufal dan Naura yang terkejut dengan tindakannya turut keluar dan mengejar.

Amara sekali lagi masuk ke tempat yang dibanjiri orang ramai. Naura dan Naufal terpaksa berpisah mencari Amara.

Pada masa yang sama, Amara yang bersembunyi di sebuah warung berpura-pura sedang memesan kopi.

“Cik nak makan apa?” tanya pelayan wanita yang berbuasana tradisional dan berselendang itu.

“Buatkan aku Mi Rebus,” minta Amara dan pelayan itu pun mengangguk sebelum beredar.

Dari sini, dia dapat dengar suara tapak kaki Naura dan Naufal yang termengah-mengah mencarinya.

Dia hanya perlu keluar sini, dan hubungi Pak Jeff luar dari kawasan resort.

Apa yang menghairankannya, kenapa dua beradik ini terlalu beria-ria sangat nak mencarinya?

“Itu dia!” teriak Naura membuatkan Amara tersentak terus berlari masuk ke dalam dapur dan keluar mengikut pintu belakang.

Malang sekali Naufal berjaya menangkapnya, tapi dengan pantas dia memaut lengan Naufal lalu menarik dan menjatuhkan tubuh Naufal ke tanah sebelum menyusup masuk ke celah-celah gerai.

“Abang ok?” tanya Naura risau.

“Tak apa, tak sakit pun. Kejar je dia,” jawab Naufal tanpa membersihkan dirinya terus mengejar Amara.

Seperti apa yang En. Bun katakan, Amara tak akan menyakiti mereka dan bertindak hanya sekadar nak mengelak saja.

Di dalam pasar, hanya dia saja yang bertempiaran lari diekori oleh Naura dan Naufal berbanding pengunjung yang lain terpusu-pusu nak membeli-belah.

‘Budak-budak ni tak penat ke hah?!’ bentak hati Amara terus membelok masuk ke sebuah ruang tempat menyimpan barang.

Naura dan Naufal terlepas pandangan, mereka cuba periksa di setiap sudut di ruang penyimpanan barang itu takut-takut Amara ada bersembunyi di sekitar mereka.

Malang sekali, Amara awal-awal dah memanjat keluar dari situ bersama sebatang payung kertas warna merah. Dia kalini berjalan dengan tenang agar nampak sama seperti pengunjung yang lain, tadi dia terlalu cemas dan terus berlari menyebabkan dirinya mudah dikenali.

Lagi beberapa langkah saja untuk dia sampai ke gerbang keluar, dia rancang nak curi salah satu kereta ATV yang berada di situ untuk keluar dari kawasan ini.
‘Sikit lagi…sikit lagi!'

PUK!

Dia terlanggar dengan seseorang yang tiba-tiba berdiri dihadapannya, “Maaf.” Ucap Amara kemudian beralih ke tepi nak sambung jalan namun lelaki yang melanggarnya tadi menghalangnya buat Amara berkerut dahi.

“Kau nak ke mana, Amara?” tanya lelaki yang suaranya Amara kenal.
Itu suara Mohd. Bunyamin Bin Deris.

Amara terpaku, apatah lagi setelah mendengar niat Bun membawanya ke sini terus dia rasa tak keruan.
Dia tak mahu berhadapan dengan lelaki ini, dia tak tahu apa nasib lelaki ini jika Tuan Deris mengetahui di mana dia berada sekarang.

Amara buat pekak terus berjalan, Bun tersengih bila dia tak diendahkan.

Tangan Amara yang memegang payung, Bun genggam sebelum tangan yang sebelah lagi merampas payung itu dari Amara.

Amara tercengang dengan tindakannya terus merenung kearah budak lelaki yang pernah dia sering selamatkan dari pembuli dulu.

Renungannya dibalas dengan tatapan rindu oleh budak yang kini sudah menjadi seorang lelaki dewasa, dibawah payung itu Bun akhirnya berjaya menatap wanita yang dah lama dia cari untuk dibawa ke Pohon Beringin sebagai maharnya.

‘Tak…ini bukan Bun yang aku kenal, kenapa dia macam ni?’ Amara keliru.

‘Di mana Amara aku?’ bisik hati Bun yang luluh akan perubahan besar pada diri Amara.

Dia tak faham kenapa Amara mengelak, kenapa Amara nampak sedih, dan kenapa Amara memganggapnya sebagai budak yang tak tahu apa-apa.

Di mana Amara yang dia kenali selama ini, yang sering tersenyum tak kira suka atau duka?

Amara menarik tangannya dari genggaman Bun, Bun terpinga-pinga. Amara tak mempedulikannya terus melangkah pergi, Bun tak mahu mengalah terus mengekorinya dari belakang sambil pegang payung Amara tadi.

Amara perasan dia diekori, apa tujuan Bun pun dia tak tahu yang pasti dia nak keluar dari sini.

“Dapat!” teriak Naura yang muncul dari tepi bersama-sama dengan Naufal.

Amara mengetap gigi geram bila dia sedar telah di perangkap dari depan dan belakang, Naura menyilang tangan bengang, sanggup Amara memengsankannya sebelum meninggalkannya sendirian tadi di gazebo manakala Naufal dah tertawa bila Amara akhirnya berjaya ditangkap.

Sedangkan Syam pun dia sering main kejar dan sembunyi sejak kecil inikan pula Amara yang baru tahu selok-belok Pasar Melayu ini.

“Amara, jom balik.” Ajak Bun dengan nada memujuk.

‘Kejap-kejap! Bun cakap dia nak kahwin dengan aku kan?’ Amara mula dapat satu akal. Dalam keadaan yang terdesak dia terpaksa berpura-pura seperti apa yang bermain difikirannya sekarang. Ini demi melepaskan diri!

Amara berpusing menghadap Bun, lalu memeluknya erat sambil berkata dengan nada yang dipaksa manjakan.

“Nanak bayik! Nak duduk ini ame-ame! (Tak nak balik, nak duduk sini lama-lama)” dia sekalikan dengan kaki terhempas-hempas ke tanah macam budak kecil.

Hal itu membuatkan Naura dan Naufal ternganga terlalu terkejut akan perubahan Amara yang mendadak itu. Orang sekeliling pula ada yang ketawa, berbisik-bisikan, dan menahan muntah.

‘Huh, kau nak kahwin sangat kan? Terimalah Kuasa Kegedikan Andartu,’ Amara bermonolog yakin rancangannya berjaya.

Dia kenal dengan Bun sejak sekolah rendah lagi, Bun memang tak akan layan mana-mana perempuan yang berperangai sebegini. Berbeza sekali dengan perwatakan Bella yang matang, kekasih pertama Bun dulu.

Amara dapat rasakan, jika hal ini tersebar sampai ke telinga Hj. Salleh mungkin niatnya akan terbatal.

Bun merendahkan sedikit payung untuk menutup serangan hendapnya pada Amara, CHUP!

Ubun-Ubun Amara dia kucup membuatkan wanita itu melepaskannya dengan cuak sambil berjalan berundur ke belakang hinggalah Naufal dan Naura berjaya menangkapnya.

Amara terpempan akan taktik kotor Bun, bermakna serangan hendap murahannya gagal!

‘Tak mungkin…Bun! Kau…Kau!!!’ matanya menajam pada Bun yang dah tersenyum nakal tanda kemenangan.

Dia cuba melarikan diri namun dua beradik itu kali ini tak akan melepaskannya dengan begitu mudah.

Bun berjalan kearahnya sambil memutar-mutar payung rasa puas hati, wajah Amara yang masih cemas dia tenung. Dia dapat lihat pipi Amara yang merah merona akibat serangan hendapnya tadi.

“Dah lama sangat kau kat sini, balik.” Nada Bun tegas seakan muktamad.

Dengan kereta pedati kerbau, mereka kembali ke Pohon Beringin. Tambah satu lagi masalah bila Amara berkeras tak mahu turun dari situ sambil memberikan kata-kata carutan pada Bun.

“Tadi bukan main mengada lagi kau kat En. Bun, ni kau biadap pula dengan dia?” Naufal menyilang tangan rasa tak puas hati.

“Encik, macam mana ni? Dia tak nak turun,” kata Naura risau.

Bun yang sedang menolak buka pintu pagar Pohon Beringin menoleh sekilas pada si Amara yang sedang menambat dirinya pada kerbau tak mahu berganjak.

Apatah lagi kata-kata carutan Amara tak langsung menyinggah ke hati.

“Biarkan dia, nanti dah penat heret dia masuk,” kata Bun sebelum masuk ke dalam.

Amara bengang bila mogoknya tak diendahkan, Naufal dah beredar mencari Syam manakala Naura dan dua dayang dah mengawalnya.

‘Cis, kau dah pandai ye Bun!’ Amara mengetap bibir

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience