Bab 40 : Mahar Amara

Action Completed 1933

Majlis Persandingan diadakan dengan meriah sekali, Bun dan Amara yang berbusana pengantin itu diarak dengan tandu beramai-ramai menuju ke pentas pelamin ditaburi oleh bunga rampai yang wangi.

Tiada kompang atau muzik kuat, hanya gesekan biola, gambus dan seruling.

Tuan Lucas turut datang bersama ibunya sedang menjamu selera di meja tetamu.

Sampai saja ke pentas pelamin, mereka duduk bersanding mula sesi salam-bersalaman. Waktu Mak Ros menyalami Amara, hati Amara mula sebak. Saat mencium tangan Mak Ros, seolah-olah sedang mencium tangan arwah ibunya.
Sesekali dia lihat kanak-kanak yang mengelilingi pokok bunga telur, sedang menunggu giliran untuk mendapatkannya.

Dia berharap, Musa ada disitu.

Sewaktu sesi pemotongan kek, Amara bertindak menusuk kek itu sebagaimana dia lakukan ketika Keris Alang ada ditangannya dulu. Apatah lagi dengan wajah tanpa emosi buat semua tetamu terdiam rasa seram.

Bun terkebil-kebil, yang lain pandangnya aneh.

Tuan Lucas yang perasan terus menepuk tangan kuat seraya itu diikuti oleh orang lain yang mula menepuk gemuruh dan bersorak sambil mengucap tahniah atas perkahwinan mereka.

‘Habit dia tak habis lagi,’ bisik hati Tuan Lucas.

Mana tidaknya, di majlis ini hanya dia dan Bun saja tahu tentang Amara yang membunuh Tuan Leon dengan cara tusukan itu.

***********************************
3 Hari Kemudian

Bun mengintai sekilas pada Amara di tepinya yang dari tadi asyik merenung ke luar tingkap, perjalanan memakan masa selama 2 jam untuk ke rumah baru mereka yang terletak di sebuah pekan kecil.

Tempat itu dikelilingi oleh alam semulajadi, udara lebih segar berbanding di bandar.

Mereka singgah di sebuah kedai piza tema retro berdekatan dengan kawasan sekolah menengah, sebab itu kedai ini dipenuhi dengan pelajar yang masih berunifom.
Hal itu juga membuatkan Amara menggamit kenangannya ketika di sekolah dulu, setiap kali pulang sekolah sempat dia, Morgana dan Kak Mira lepak di warung makan Cendol dan Mi Calong.

“Amara, makan,” ajak Bun setelah meletakkan dulang berisi dua piza berbeza perisa, dua cawan Teh O Ais Limau dan Sup Krim Cendawan bersama Roti Bawang Putih. Dia memimpin bacaan doa makan sebelum menjamu selera.

Amara perasan budak-budak sekolah yang duduk tak jauh dari meja mereka sedang berbisik tentang mereka. Dia tersengih akan perbualan budak-budak itu.

“Kenapa?” Bun tanya bila Amara tiba-tiba tersengih sendiri.

“Tak, just… Budak-budak tu, tak sangka aku macam diorang dulu,” beritahu Amara dengan nada suara rendah tak mahu budak-budak itu terdengar.

“Kenapa, kau tak selesa ke?” tanya Bun risau.

“Eh tak lah,”

“Macam korang dulu, maksud kau gossip-gosip ke?” teka Bun dan Amara mengangguk.

“Kami dulu suka perhatikan mana-mana couple yang datang kat warung, lepas tu teka diorang akan lepak mana lepas ni. Kampung dulu bukannya ada apa sangat, tak ke pantai dah sah-sahlah ke padang bola sepak. Paling jauh pun, ke pekan,” cerita Amara.

Bun senyum, sebab Amara makin lama dah makin banyak berbual dengannya. Respon pun makin normal. Dia hanya perlu bersabar, sebab dia ingin tinggal di pekan kecil ini bersama Amara pun supaya Amara sembuh dari traumanya yang dulu. Dia yakin dengan cara ini mereka akan hidup Bahagia sebagaimana yang dirancangkan.

“Kau ok ke nak lepaskan Pohon Beringin?” Amara tanya ingin tahu, sebab Pohon Beringin di Resort Serambi kini menjadi pondok perpustakaan untuk kanak-kanak. Siap viral di media sosial lagi sebab keunikan tempatnya yang dijadikan pondok membaca.

“Hrm, ya. Sebab aku dah ada Pohon Beringin yang baru untuk kau,” beritahu Bun buat Amara terkunci kata.

Amara sekadar mengangguk, kurang faham akan ayatnya. Pohon Beringin yang baru?

Usai makan, mereka singgah ke pasar mini berdekatan. Taklah terlalu ramai orang, dan pasar mini ini cukup keperluannya.

“Kau nak beli apa?” Amara tanya sekadar mengikutnya dari belakang sambil mencubit hujung baju Bun.

“Air tin, rumah tu tak ada perabot lagi. Aku nak kita beli perabot sama-sama nanti, bilik tidur aje ada katil sebuah. Kau punya barang mandi cukup tak?” Bun tanya sambil meletakkan sekarton minuman dalam raga.

Disebabkan Amara tak memberi respon, dia menoleh dan Amara tiada disisinya. Hatinya mula cuak, “Amara?!”

Dia mula berlari satu kawasan kedai tercari-cari kelibat Amara, fon dia lekas ambil dari poket seluar lalu menelefon Amara.

Bila talian diangkat, “Amara, mana kau? Kenapa kau tinggal aku?” marah nadanya dengan hati yang sebak.

“Aku kat sini, Bun,”
Suara Amara dari belakang membuatkan tubuhnya terus memusing secara refleks, Amara yang sedang memegang pencuci muka memandangnya penuh tanda tanya. Macam hilang intan dan berlian saja reaksi ya.

Talian dimatikan, Bun terus mendakapnya erat dengan lega. “Kalau nak ke mana-mana beritahulah aku dulu. Janganlah pakai lesap aje,” rayunya.

Amara kekok bila Bun memeluknya di tengah-tengah pasar ini, mujurlah terlindung dengan segunung beras yang menghalangi mereka dari pandangan orang ramai.

Dia menolak perlahan tubuh Bun, “Kenapa kau ni? Aku pergi kat tempat perempuan,”

“Dah beritahulah, apa masalahnya? Jom,” terus Bun menarik tangannya tetapi diberhentikan Amara.

“Kau belilah barang makanan, aku beli barang mandi. Singkat sikit masa,” cadang Amara.

Bun menjebik, tetapi dia ada satu idea. Dia senyap-senyap beli belon dari seorang adik yang lalu-lalang di luar kedai tadi lalu dia ikat tali belon itu pada tag baju Amara.

Dengan itu, mudahlah dia nak tahu di mana lokasi Amara.

Amara hairan, kenapa ada budak atau orang yang berjalan melepasinya memandang pelik.

Usai membeli barang keperluan, mereka akhirnya tiba di sebuah rumah diatas bukit.

Terlopong Amara melihat keindahan rumah dua tingkat tersebut seakan-akan sebuah rumah kotej. Terdapat laman yang luas, sesuai untuk menanam pokok-pokok berpasu.

“Weh, mana kau dapat rumah ni?” tanya Amara sambil membawa seplastik makanan bungkus manakala Bun membawa kotak barang keperluan mereka buat sementara waktu.

“Ni rumah pensyarah aku waktu aku intern sini dulu, tempat yang aku nak kerja nanti tempat aku intern dulu lah. Rumah ni aku banyak renovate, supaya jadi Pohon Beringin kita,” beritahu Bun buat Amara tersipu-sipu malu tak jangka yang Bun akan buat begini untuknya.

Rumah ini mempunyai satu bilik di bawah, dan tiga bilik di tingkat atas masing-masing mempunyai bilik air sendiri.

Masuk saja dalam rumah, Amara dah membayangkan susun atur perabot dalam mindanya.
“Serius ah, pensyarah kau bagi?” tanya Amara sekali lagi.

“Bagi apanya, jual lah. Kalau bagi saja, dengan si Ardi tu sekali nak berebut dengan aku,” jawab Bun sambil menyusun barang di dapur.

Amara pula dah melapik tikar mengkuang yang diambil dari belakang pintu, Nasi Minyak bungkus dan air tin dia hidang.

Bun duduk bersamanya, membacakan doa makan sebelum menjamu selera.

“Berapa kau beli?” Amara tanya lagi.

“Janganlah tanya, mahar aku untuk kau ni halal,” kata Bun meyakinkannya.

“Tanya aje, tapi, kenapa bilik tidur je yang ada perabot? Sempat pula kau beli untuk bilik tidur,” Amara tanya lagi.

“Aku selalu ulang-alik kemas rumah ni, dah alang-alang aku beli jelah katil terus. Habiskan makanan, ke kau nak aku makan kau,” amaran Bun buat Amara merenungnya tajam. Tapi dia akur, menghabiskan Nasi Minyaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience