Bun terjaga, kaki Musa yang berada diwajah dia tolak ketepi perlahan-lahan.
Sambil menguap dia ambil kain tuala kemudian ke dapur. Bau Nasi Goreng Belacan buat dia terliur, kelihatan keluarga Hj. Marzuki sudah awal pagi bangun Dan berkumpul di dapur.
“Bangun dah? Meh makan sarapan,” ajak Kak Mira sambil menutup api dapur lalu mangkuk berisi nasi goreng dia letak atas meja makan.
“Babah, kopi.” Jemput Amara setelah menuangkan secawan kopi untuk Hj. Marzuki sebelum mencedokkan nasi goreng ke dalam pinggan.
“Basuh muka dulu, lepastu makan jom!” pelawa Hj. Marzuki pula sambil membaca surat khabar.
Musa pula bangun berdiri di tepi Bun, menguap sambil menggaru-garu perutnya yang boroi itu. “Akak, shucu...”
“Mandilah dulu sebelum minum susu, lampin dah penuh tu,” kata Amara sambil dukung Musa masuk bilik mandi.
Suasana sebenar rumah ini buat hati Bun rasa sayu, jauh berbeza dengan rumahnya yang sunyi.
Hanya bising dengan duka sahaja.
Usai cuci muka, dia duduk makan bersama. Dia perasan, Hjh. Maria tiada sebab sibuk jaga Mak Ros.
Setakat ni Mak Ros tak nak jumpa sesiapa kecuali Hjh. Maria sebab dia malu dengan jiran-jiran atas apa yang menimpanya.
Saat dia nak menyuap makan nasi, bibirnya terasa sakit sebab kesan tumbuk ayahnya tempoh hari. Hj. Marzuki dan Kak Mira saling berpandangan, tak mahu nak bercakap apa-apa lagi buat masa ni.
“Err, kakak tak kerja harini?” Hj. Marzuki bertanya.
“Kakak kerja syif malam, kakak tumpang rumah kawan harini.
Esok baru balik,” jawab Kak Mira bersahaja.
“Babah, Mar nak pinjam motosikal dalam garaj tu boleh?” minta Amara sambil mengeringkan Musa yang dah siap dimandikan.
“Kau nak kemana?” Hj. Marzuki tanya.
“Ngai! Ngai!” teriak Musa keseronokan.
“Lah, nak pergi sungai. Bahayalah, Mar. Kau tu lepas SPM tak nak kerja ke?” tanya Kak Mira.
“Lah, kenapa bahaya pula? Tempat kita selalu pergi kan,” Amara bernada rayu, tangan sibuk memakaikan Musa seluar.
“Sungai sekarang cetek, baru haritu akak dengar dari orang kampung, biawak dan buaya selalu lalu situ.” Beritahu Kak Mira.
“Pergi pantailah, bawa Bun ni sekali.” Beritahu Hj. Marzuki, Bun terkebil-kebil.
“Ok aje, yeyeh-yeyeh pergi pantai!” Amara menari-nari diikuti oleh Musa. Memang apa yang Amara buat Musa akan ikut sekali, sekali dengan benda-benda merepek dia ajarkan.
“Tapi bukan dengan motosikal babah tu, dengan motosikal yang satu lagi tu,” beritahu Hj. Marzuki.
Ternyata motosikal yang dimaksudkan adalah, motosikal beroda tiga.
Lepas zuhur, mereka bertolak.
Mulanya Bun menolak sebab malu duduk atas gerabak dengan Musa. Orang lain bawa kelapa, Amara bawa orang. Bun walaupun sorok muka, ada jugalah orang-orang kampung yang kenal menegur mereka.
Amara singgah ke sebuah warung terlebih dahulu, “Kak Mar, kita buat apa kat sini? Kata nak pergi pantai!” bisik Bun takut-takut ada rakan sekelas ternampaknya.
“Kita makanlah dulu, Cendol kat sini sedap tau.” Pujuk Amara sambil bukakan topi keledar Musa dan Bun.
Masuk saja kedalam, ramai jugalah yang menegur mereka. Mujur orang-orang tua, soalan biasa diberikan dan mula menjadikan Deris sebagai topik perbahasan.
“Dah masuk penjara dah pun pakcik, budak ni nak makan tak lalu dia nanti asyik cakap pasal bapak dia.” Tegur Amara terus yang lain menukar topik lain.
“Tak apa kak, Bun dah biasa.” Bisik Bun.
Amara mengeluh panjang, Bun ni bila bercakap rendah sungguh suaranya. Kadang-kadang tu terpaksa dia dekatkan telinga pada Bun agar dapat dengar dengan lebih jelas dengan apa yang Bun ingin katakan.
Datang seorang remaja perempuan berklip rambut bunga merah jambu dan comel molek wajahnya datang ke meja untuk mengambil pesanan.
“Akak nak makan apa?”
“Akak nak…eh, Nabila! Bella!” teruja nada Amara saat melihat budak ahli kelab hokinya disini.
Bun yang perasan akan Bella, si penolong kelas yang digilai ramai pelajar lelaki terus berpura-pura menghadap kearah lain. Siapa sangka pelajar perempuan paling cantik ini akan dia temui diluar sekolah dengan keadaan begini. Dia tak mahu Bella nampak luka Dan lebam di wajahnya.
“Ya, Kak Mar. Bella kerja sini, ni warung pak saudara Bella,” lunak manja saja suaranya apabila berkata-kata.
Biarpun wajahnya comel manja, tetapi dia satu-satunya pelajar perempuan yang berjaya menjaringkan gol di padang hoki berkali-kali. Amara pula hebat dalam menjaga gol. Dia saja yang mampu bergerak lincah dalam baju pelindung hoki.
Tengah Amara dengan Bella rancak berbual, Bun bertindak memeluk Musa sebab matanya asyik nak pandang Bella saja.
Amara memesan, satu Mi Calong, satu Mi Celup Daging, satu Cendol dan satu ABC.
Bun lebih suka daging berbanding ikan, apatah lagi dia alah pada makanan laut.
Kalau keluarga Amara ni bedal saja mereka, tapi Amara sendiri memang suka Mi Calong.
Musa kalau makan memang comot, tisu banyak Amara guna untuk dia seorang saja.
Usai makan dan bayar, mereka ke motosikal semula dan masing-masing kenyang.
Amara sempat mengelap mulut Musa yang masih ada saki-baki comot, “ Jangan nak buat-buat mengantuk pula. Pantai kita tak pergi lagi ni,” Amara memberikan amaran pada Musa Yang buat- buat nak tidur itu.
Bun dah sarungkan topi keledar lalu duduk di gerabak, tak perasan ada comot di bawah Amara tolong lapkan.
“Kau ni pun satu, makan dengan mulut ke muka?!” ejek Amara.
Nak terteleng kepala Bun sebab cara Amara lap agak kasar, tapi Musa pula dah biasa.
“Akak!” panggil Bella sambil datang menuju kearah mereka sambil membawa topi keledar. Kehadirannya buat Bun tertunduk rasa malu.
“Hah, jom!”
‘Jom!? Kak Mar gila ke?! Mana muat duduk dalam ni!’ hati Bun berdebar-debar, entah masa bila Amara ajak Bella ikut sekali pun dia tak tahu.
Bella duduk bersama dalam gerabak, Musa duduk ditengah-tengah antara Bella Dan Bun. Sempat dia tersenyum pada Bun yang dah mengalih pandangan ke tempat lain.
“Duduk elok-elok, jom!” teriak Amara diikuti oleh Musa dan Bella. Bun pula sorok muka dari tadi.
Dalam 3 minit, mereka dah boleh nampak pantai, budak-budak yang duduk digerabak mula teruja. Bun anak matanya perlahan-lahan memandang kewajah Bella yang disapu angin pantai dek motosikal yang dibawa agak laju. Rambut yang panjang melambai-lambai dek deruan angin.
Sungguh, kalau beritahu Ardi ni mesti dia tak percaya. Lagipun, waktu Tingkatan 1, Bella orang pertama yang melaporkan hal Bun kena buli pada Amara.
Kebetulan saja dia melalui stor sukan sebab nak simpan barang, ternampak beberapa budak kelas lain membuli untuk mendapatkan duit dari Bun.
Di pantai, Amara dan Bella lincah bermain Bola Pantai manakala Bun dan Musa bina istana pasir.
Entah kenapa Bun rasa, dua orang ini gila sangat dengan aktiviti lasak sebegini. Ardi ajak main bola sepak pun dia malas, lebih suka main dengan kucing di rumah atau membaca komik.
Perlawanan tamat,7-1.
“Yahuuuu!!! Bella belanja aiskrim!!” teriak Amara riang, Bella memucungkan mulut dan masing-masing mengah akibat perlawanan yang sengit tadi.
“Akak tak malu ek minta duit dengan orang yang lebih muda?” bengang Bella. Tahu sangatlah dia akan perangai Amara dalam kelab sukan mereka di sekolah.
“Lah, Bella kan kerja. Akak baru aje lepas habis SPM, kasilah akak rehat sekejap dari nak melangkah ke alam dewasa. Hehe…” Amara tersengih suka.
Bella menggeleng kepala, dia lalu mengeluarkan dompet untuk beli aiskrim untuk mereka.
“Akak nak askrim dua tingkat tau!” pesan Amara sebelum menyertai Musa dan Bun bina istana pasir.
“Ni apa ni?” tanya Amara sambil menyentuh istana pasir terus roboh membuatkan Musa dan Bun merungut marah.
Mereka pulang lepas Asar, tengah Amara mandikan Musa, Bun terus ke bilik Mak Ros diiringi dengan muzik biola.
Nampaknya Mak Ros nampak sihat sikit, namun kesan lebam dan luka di wajah masih belum pudar. Dia melompat duduk diatas katil lalu memeluk uminya, Hjh. Maria sekadar tersenyum lalu menyambung gesekan biolanya.
Ada juga budak-budak kampung datang sekadar nak mendengar gesekan biola Hjh. Maria.
Mak Ros mengucup dahi Bun banyak kali sebelum mengusap belakangnya tanda rasa selamat di rumah ini, lega dia bila Bun wajahnya nampak ceria sikit.
Sekurang-kurangnya keterpaksaan wajah ceria dapat diberikan agar Bun tak terjebak didalam kesedihannya.
Bun masih muda, dia rasa bersalah pada Bun yang membesar di suasana yang hingar-bingar.
Terdengar seseorang memberi salam, Mak Ros kenal akan suara itu. Suara kakaknya Melati dan ibunya Hjh. Kalsom datang melawat.
Sejujurnya, keluarga Amara terkejut juga akan kehadiran mereka, sebab tak pernah tahu akan salasilah keluarga Mak Ros.
Lagipun, waktu Mak Ros datang ke kampung ini dia tak pernah beritahu apa-apa tentang keluarganya, hanya Deris dan Bun saja wujud.
Amara dan Kak Mira sekadar memasang telinga di dapur, Bun pula tengah main dengan Musa di bilik.
Perbualan mereka dua keluarga kurang jelas, tapi apa yang pasti isu mereka sekarang adalah bapa Mak Ros.
“Diorang cakap apa?” tanya Kak Mira kurang jelas, lebihan keropok losong dia kunyah makan.
“Mak Melati kata ayah Mak Ros tak nak datang melawat, tapi diorang bagi duit banyak kot dalam sampul!” jawab Amara.
“Ha ah, akak nampak. Diorang hulur duit banyak dekat Mak Ros, kakak rasa Mak Ros ni anak orang kayalah,” tegas Kak Amira.
“Uish, takkanlah? Tapi kenapa dia jadi macam ni?” tanya Amara hairan masing-masing menatap sesama sendiri dan mula fokus dengan perbualan mereka di ruang tamu.
“Kalau saya tak kahwin dengan Deris, ayah mungkin tak akan marah…” kata Mak Ros.
“Hah, betullah!” serentak dua beradik itu mengiyakan apa yang ada difikiran mereka selama ini.
Disebabkan bising sangat budak berdua ni, Hjh. Maria menghalau mereka masuk dalam bilik Bun agar main sama-sama dengan Musa. Bun pula disoal siasat oleh mereka, dah macam detektif tanpa lesen.
“Atuk Bun kerja apa?” Kak Mira tanya.
“Erm, Tokwan ada chalet. Tapi Bun tak pernah pergi, ibu tak nak cakap pasal tu.” Kata Bun dengan berat hati.
Tapi nampak wajah dua beradik ini macam nak terkamnya kalau tak bicara. Lagipun, mereka jugalah yang tolong dia dari dibuli sejak dulu.
“Syelek? Tokwan kau tukang kayu ke?” teka Amara buat Kak Mira terpaksa luku kepala adiknya yang bengap itu.
“Syelek dengan chalet kau memang tak boleh nak beza ke? Err, nama apa chalet tu?” Kak Mira sambung soalan.
Bun jongket bahu, dia tak pernah tengok langsung datuknya. Mak Ros memang dah awal-awal cerita pada Bun, hubungannya dengan Deris memang tak direstui oleh keluarga namun kerana mengikut kata hati dia kahwin juga dengan Deris.
Mak Ros fikir, dengan mengahwini Deris hatinya yang terluka setelah kematian suami pertamanya akan dirawat.
Malang sekali, nasib tak menyebelahinya, mulanya Mak Ros tak bersetuju untuk berpisah dengan anak pertamanya namun hikmah disebaliknya buat dia lega.
Bun pandang Musa yang ralit main lego dan kereta mainan, cemburu dia akan kehidupan Musa yang mempunyai keluarga lengkap dan bahagia. Dia beralih pandangan pada Amara pula, tengah rancak sembang dengan Kak Mira pasal topik yang sama.
Kalau Amara tak datang awal, mungkin saja niatnya yang lama terpendam akan meletus begitu saja.
Setiap kali Deris datang kerumah, hatinya membuak-buak nak melakukan sesuatu yang jahat pada ayah kandungnya namun dia tak sanggup melihat kekecewaan diwajah ibunya.
‘Jangan jadi macam ayah, ibu faham Bun darah daging ayah tapi jangan jadi macam ayah. Jangan tersilap macam ibu,’ pesan ibunya terngiang-ngiang di kepala.
Teringat ketika dia berusia 10 tahun, Mak Ros bagai orang tak keruan. Dia pernah meminta Bun untuk keluar dari rumah dan cari keluarga lain, bukan niat di hati tetapi fikiran Mak Ros meracau ketika itu.
Bun percaya bulat-bulat, sebab dia fikir ibunya akan tenang jika dia mencari keluarga lain. Mujur Hj. Marzuki dan Amara menemuinya, ketika itu sedang mengumpulkan tebu yang telah ditebas untuk bawa pulang.
Bila Bun pulang Mak Ros macam orang gila memeluknya erat bagai hari dah kiamat akan kehilangannya sehari.
‘Aku takkan jadi macam dia, dia binatang.’
Share this novel