Bun terkejut bila dia dapati dirnya dibedung dengan kain selimut macam bayi dan diikat dengan wayar seterika. Kepalanya separuh berpinar, mulut menguap luas. Entah kenapa, dia rasa itulah tidur yang paling lena dia pernah dapat.
Amara keluar dari bilik air setelah cuci kepala, muka dan berus gigi. Sedang dia mengeringkan rambut dengan kain tuala, Bun ternampak tangan kanan Amara berinai terus berjerut dahi.
‘Aku…semalam…?’ entah kenapa dia rasa jika ingatannya yang semalam kembali dia akan rasa malu.
Sebab dia bermimpi semalam, dia telah menghadiahkan Amara sebentuk cincin dan tiara sebagai hantaran. Dia juga memberikan stetoskop kesayangannya pada Amara sebagaimana yang babah cerita dulu padanya, di mana lelaki zaman dahulu sebelum bergelar suami akan menghadiahkan bakal isterinya sebilah keris sebagai tanda perlindungan.
Dia juga bermimpi yang dia tolong inaikan tangan Amara waktu majlis Malam Berinai. Dalam mimpilah, tapi…betul ke mimpi?
Amara mendekatinya, Bun cuak terus terkebil-kebil keliru dengan keadaan mereka sekarang yang berada sebilik.
“Kau..."
“Ya?” jawab Bun terpinga-pinga.
“Ingat tak macam mana kau kena culik?” tanya Amara sambil meleraikan bendungan Bun yang mengelakkannya dari merayau.
“Oh, aku…aku keluar dari klinik nak beli makanan tengah hari. Lepastu ada orang serang dari belakang,” cerita Bun. Yang itu dia masih ingat, tapi selepas dia rasa ada sesuatu yang menyuntik di lengannya terus dia tak sedar apa-apa.
“Dekat klinik?” Amara tanya risau, bendungan dibuka buat Bun secara refleks menutup tubuhnya seolah-olah Amara cuba berbuat sesuatu yang tidak baik.
“T…tak, luar kawasan klinik,” jawabnya dengan malu-malu lalu menarik kain selimut menutupi dirinya semula.
Amara berdecit dengan kelakuan malu-malu kucingnya, “Jauh ke dari kawasan klinik? Kira tak nampaklah siapa yang tangkap kau?”
Bun geleng, “Kedai tu jauh, jauh dari kawasan klinik.” Dia tak tahu kenapa Amara bertanyakan hal kawasan klinik itu dua kali.
Amara duduk di bucu katil sambil berfikir, Bun pula cepat-cepat tarik selimut sambil bangun turun dari katil.
Amara menoleh padanya dengan wajah meluat, “Kau tak payah nak mengada boleh tak? Bukannya aku boleh buat apa-apa pun kat kau,” kata Amara.
“Kenapa tak boleh?” Bun tanya bersama nada kecewa yang disembunyikan.
Amara tercengang mendengar pertanyaannya, tapi wajah Bun nampak serius. ‘Budak ni meminta dah kenapa?!’ bengang Amara.
“Kau pergi mandilah Bun, baju aku dah beli. Ada dalam bilik air,” arah Amara malas nak bertekak pagi-pagi buta ni.
Bun melepaskan selimut lalu melangkah masuk ke dalam bilik air manakala Amara dah periksa mesej dari fon pintarnya, 5 minit yang tadi baru Pak Jeff membalas. Banyak persoalan yang bermain dimindanya, lebih-lebih lagi untuk Pak Jeff tentang Bun.
“Akak!!!” teriakan Bun mengejutkan Amara, tangannya dah pegang belati yang berada di dalam poket seluarnya.
Bun menguak pintu bilik air luar dengan cuak, “Ni apa ni? Siapa buat?!” tunjuk Bun pada kaki kirinya yang berinai siap bercorak bunga matahari lagi.
Amara memandangnya sambil mengangkat sebelah kening, “Dah ni? Kau rasa siapa yang buat semalam?” tanya Amara sambil menunjukkan jari-jemari tangan kanannya yang habis comot merah macam darah saja.
Bun berfikir sejenak, dia cuba mengumpul kembali ingatannya semalam tapi tak jadi. Tapi, mengikut riak wajah Amara, itu salahnya.
Dia yakin itu bukan mimpi, wajahnya mula merah merona terus masuk semula dalam bilik air sambil menghempas pintu.
Usai mandi, dia keluar berbaju baru yang dibeli di kedai sebelah oleh Amara sebelum dia bangun tadi.
“Dah siap? Makan,” arah Amara. Dia sedang duduk bersilang kaki di sofa sambil tangan bermain fon, entah mesej dengan siapa pun dia tak tahu.
Bun pandang ke arah troli makanan yang menghidangkan segelas air masak dan bubur berlauk. Dia juga nampak mangkuk berisi ikan bilis yang telah diasingkan oleh Amara waktu dia mandi tadi. Mata menatap Amara, wanita itu telah melakukan sesuatu yang buat hatinya berdebar-debar lagi tanpa dia tahu.
Dia duduk makan, sempat mengerling pada Amara yang tak lekang dengan fonnya. Matanya pula tak lekang dari inai di jari kakinya, kedua-dua ibu menyentuh antara satu sama lain sebab rasa malu.
‘Sunyi,’ bisik hati Bun.
Diantara mereka tak sama seperti dulu, dia tak lagi dengar suara Amara yang selalunya akan borak apa saja walaupun dia tak menjawab hanya sekadar mendengar.
Dan sekarang, mereka masing-masing membisu. Tiada yang mula, tiada yang mengakhiri.
“Aku hantar kau balik kat klinik,” beritahu Amara.
Dia angguk. Ya, sunyi.
Dengan motosikal, Amara menunggang bawa Bun pulang ke kliniknya semula.
Dia mula-mula risau akan Amara yang tak pakai topi keledar sebab beri padanya. Tapi wajahnya nampak tegang saja sepanjang masa, entah kenapa dia rasa macam terkena balik.
Macam mana Amara masih boleh berbual mesra dengannya dulu yang tak pernah menjawab apa-apa?
“Dah sampai, kerja macam biasa. Jangan lapor polis lagi, sentiasa jalan berteman. Balik jangan lewat,” pesan Amara sebagaimana dia berpesan pada Bun sebelum hantar ke sekolah dulu.
Bun angguk, dia nak tarik topi keledar dari kepalanya tapi tersekat pula.
Amara kemudian bantu, habis serabai rambut. Bun memicit-micit leher rasa nak tercabut sekali dengan topi keledar.
“Siapa yang culik aku? Deris ke?” tanya Bun dengan wajah yang berpura risau.
“Tu kau tak payah fikir, kerja je macam biasa,” kata Amara sambil menghulurkan beg berisi pakaian dan stetoskop Bun. “Dan kalau kau nampak lelaki ni,” dia memaparkan gambar seorang lelaki beruniform pengawal keselamatan di skrin fonnya.
“Baru kau lapor pada polis.”
Bun tengok gambar itu, dia berkerut dahi lalu memandang semula pada Amara penuh tanda tanya.
“Err, kenapa dengan lelaki ni?” Bun tanya sambil mengosok mata dan menguap masih tersisa rasa mengantuk.
“Dialah punca, punca kepada letupan yang terjadi. Dan aku yakin, Deris nak badan kau meletup juga,” jawab Amara membuatkan Bun terdiam kaku.
Amara memakai topi keledar sebelum beredar pergi dari situ.
‘Lelaki tu…’ Bun nampak, baru-baru ni dia nampak kelibat pengawal keselamatan yang sering datang melawat ke klinik.
**********************************
Hotel Buana Deris
“Ok, saya setuju!” ucap Syamsul selepas mendengarkan rancangan Tuan Deris itu tadi.
“Bagus. Jeff! Kau jemput 6 Keluarga tu datang ke hotel khamis nanti, ajak baik-baik. Cakap elok-elok,” arah Tuan Deris.
“Baik, tuan.”
“Ha, Amara pula tolong Dr. Adrian sediakan apa yang patut.
Syamsul, ada banyak lagi aku nak bincang dengan kau.” Tuan Deris menepuk-nepuk bahu Syamsul yang tersenyum bangga itu sebab terasa dialah paling penting dalam kalangan mereka.
Amara ke Bilik Bawah Tanah, dia tak tolong sekadar lepak tengok Dr. Adrian buat kerjanya sendiri.
Dr. Adrian suka buat kerjanya sendiri dan tak suka barng-barangnya disentuh orang lain. Amara sekadar menjadi pendengar yang baik saja untuk Dr. Adrian yang kuat mengumpat dan gosip ni.
“Benzodiazepine ke zolpidem?” tanya Dr. Adrian sambil tunjuk dua plastik berisi penuh ubat tidur.
Amara matanya bergerak pada plastik berisi zolpidem.
“Tepat pilihan kau! Mudah larut dalam air teh untuk tetamu nanti. Hrm, tapi pahit pula rasa nanti, cakap kat budak catering tambahkan madu atau gula ya nanti untuk tutup rasa pahit teh,” kata Dr. Adrian sambil mendekatkan lesung batu untuk hancurkan ubat-ubat ini nanti.
Amara sekadar angguk sambil membelek-belek tengkorak manusia sebagai hiasan di bilik farmasi itu, “Hei, hei! Hati-hati, jangan patahkan tangan tunang aku!” tegur Dr. Adrian.
“Kau kata tulang tunang kau dah dibakar,” hairan Amara.
Dr. Adrian menoleh padanya dengan terkejut, “Kau bercakap? Akhirnya, setelah bertahun-tahun!” puji Dr. Adrian kemudian sambung menghancurkan ubat-ubat sampai jadi serbuk.
Amara menghela nafas panjang, matanya memandang kotak-kotak ubat serta botol-botol berisi cecair yang berbeza tersusun rapi dalam rak berkaca, disitu juga tersimpan alat-alat perubatan.
Patutlah Dr. Adrian, si doktor yang telah ditarik lesennya sebab kantoi jual organ ini setia sangat dengan Tuan Deris. Dia dapat segala-galanya yang dia perlukan di sini.
“Weh, kau tak rasa was-was ke dengan Pak Jeff tu?” Dr. Adrian mulakan perbualannya.
Tangannya masih ralit menghancurkan ubat tidur sebelum dipenuhkan ke dalam botol yang kemudian akan diberi pada pihak katering nanti.
“Was-was macam mana?”
“Yalah macam, dia pula yang beria nak buat semua ni. Dalam kepala aku lah kan, kalau dia tu pembelot dah sah-sahlah sebab dia nak bolot semua harta-harta Tuan Deris! Kau tak fikir ke, Tuan Sujama tu kan bestfriend Pak Jeff, entah-entah dia sendiri yang hasut Tuan Deris pancung kepala bapak dia sendiri. Hah, lepas bapak dah mati dia sasar anak dia pula,” panjang lebar Dr. Adrian buat sinopsisnya sendiri.
“Kenapa kau risau sangat? Kalau betul Pak Jeff nak ambil alih hotel ni, tempat kau bukan berubah pun,” komen Amara.
“Hish, kau ni Amara! Cuba serius sikit, dengarlah keluhan senior kau ni dulu. Memanglah pangkat aku sama aje, tak naik dan tak turun. Siapa je lagi yang diorang nak percaya selain aku yang dah bertahun-tahun dengan diorang ni, tapi aku risau hotel ni berantakan lagi macam dulu!” keluh Dr. Adrian.
“Kalau sejarah berulang lagi, ada apa-apa perubahan ke kat hotel ni?” Amara tanya ingin tahu.
“Hrm, aku jujur sajalah dengan kau. Sebelum Tuan Deris, mana ada urusan jual organ ni. Tapi lepas Tuan Deris ambil alih, gaji aku untung 4 kali ganda daripada yang sebelum ini. Mana tahu, Pak Jeff akan tutup balik bilik operasi aku,” Dr. Adrian memuncungkan mulut.
Fahamlah Amara, dia dan Tuan Deris sama saja. Tamak. Asal duit cepat masuk, tak kira dah baik ke buruk.
Amara malas nak layan, yang penting lepas Tuan Deris berjaya bunuh Keluarga yang terakhir maka selangkah sajalah kejayaannya nak mengakhiri riwayat lelaki itu. Dr. Adrian, maaf. Kau pun akan mati tak lama lagi.
Share this novel