Jantung Amara berdegup kencang, dia dapati dirinya berada di bilik mewah yang penuh dengan barang berharga. Dia kenal akan bilik itu, bilik tidurnya di tingkat 19 di Hotel Buana Deris.
‘Apa aku buat disini? Tempat ni sepatutnya dah musnah!’
Dia dapati dirinya memegang Keris Alang yang berlumuran darah, apatah lagi bau minyak kasturi menusuk ke hidungnya buat memorinya makin galak menerjah minda.
‘Kenapa aku kat sini? Bun, mana kau Bun?!’
“Amara, tugas kau harini macam biasa,” suara Tuan Deris yang seakan-akan bergema di telinga buat dia terus menekup telinga.
“Kau dah mati, mana kau?!” herdik Amara sambil menghunuskan keris ke hadapan.
Kakinya melangkah keluar dari bilik itu, tercari-cari di mana kelibat Tuan Deris dengan baran.
“Pastikan kau bawa darah segar untuk aku, lebih-lebih lagi Pak Jeff. Aku nak kau bunuh dia, tanda kesetiaan kau pada aku!” kata Tuan Deris lagi, suaranya bergema tak dapat nak dikenal pasti lokasi punca bunyi itu.
“Mana kau, jangan jadi pengecut!” teriak Amara dan tatkala dia menoleh kebelakang, koridor yang berdindingkan kertas merah corak bunga mawar itu tiba-tiba berputar seolah-olah ia hidup.
Kelibat Tuan Deris akhirnya muncul, tangannya memegang sepucuk pistol menghala kearahnya. Apa yang mengerikan lagi, mata kanannya tercacak Badik Sengat Pari sebagaimana yang pernah dia lakukan dulu pada Tuan Deris.
“Kau khianat aku, Amara. Aku sayang kau macam anak aku sendiri,” kata Tuan Deris dengan suara mendatar sebelum melepaskan sedas tembakan tepat ke jantungnya.
Amara terjaga dari mimpi ngeri itu, matanya membeliak dan jantungnya berdebar kencang selari dengam bunyi guruh yang kuat di luar akibat hujan lebat.
Dia juga perasan, beg berisi wangian Bun terletak di meja tepi katil berdekatannya.
Dan dari situlah dia tercium bau minyak kasturi.
Segera botol minyak kasturi itu dia ambil lalu diletak dalam laci terus ditolak rapat, dia memusing kearah Bun yang sedang lena tidur.
Sedikit lega dia apabila mimpi ngeri itu betul-betul sebuah mimpi dan bukannya sebuah kiasan untuk hidupnya yang dulu.
Bunyi guruh berdentum membuatkan dirinya terbaring meringkuk ke dakapan Bun, Bun yang masih dialam mimpi terus memeluknya erat, bunyi degupan jantung Bun buat Amara tenang.
‘Dia hidup, dia ada dekat dengan aku dan dia hidup.’
Hari demi hari mereka mendiami rumah baru itu, Amara perubahannya tak banyak, tak macam yang Bun inginkan.
Dia masih memakai pelindung telinga, bunyi dentuman masih menjadi musuhnya. Tiap kali guruh dan kilat menyambar langit pasti dia akan berbaring meringkuk di katil mendiamkan diri.
Risau Bun kadang-kadang nak tinggalkan Amara sendirian nanti bila masuk kerja, seminggu ini hanya untuk membeli perabot dan menyelesaikan urusan rumah sahaja.
“Nak makan apa?” Bun tanya pada Amara yang sekadar menatap kosong di hadapan, mereka dalam perjalanan nak ke sebuah restoran berdekatan setelah membeli dua set cadar katil.
Disebabkan Amara tak dengar akibat telinga pelindungnya, dia mencubit lembut bahu lengan Amara hingga memberi perhatian padanya.
“Ha?”
“Nak makan apa? Bukalah tempat telinga tu, dalam kereta ni,” kata Bun.
Amara akur, telinganya taklah sensitif sangat macam dulu cuma dia takut kalau-kalau datang bunyi dentum secara tiba-tiba membuatkan tubuhnya secara refleks pengsan. Dia tak mahu menyusahkan Bun, dia juga sedang cuba menyembuhkan diri.
“Rasa nak makan benda bersuplah,” beritahu Amara.
“Oh, boleh.”
Mereka singgah ke sebuah warung berdekatan dengan sebuah taman permainan usang, Bun memesan Nasi Goreng USA bersama Teh Ais manakala Amara memesan Mihun Celup Daging bersama telur separuh masak dan Jus Lobak Susu.
Mereka memerhatikan kawasan taman permainan yang kosong dengan budak-budak membuatkan mak cik yang berniaga di situ perasan akan kebingungan mereka.
Dia tahu mereka adalah penduduk baru di kawasan ini, “Dulu banyak budak-budak dengan ibu-bapa datang situ waktu petang, sekarang kosong.”
“Kenapa?” Bun tanya.
“Dah jadi tempat lepak perokok dan samseng, ibu-ibu yang datang dengan anak pun diganggunya,” adu mak cik itu lagi.
“Tak lapor polis?”
“Dah lapor pun diorang datang lagi, sekarang tak siapa berani datang situ. Kalau tak, adalah budak-budak lepak kat warung mak cik ni beli jajan,” cerita mak cik itu. Kecewa dia sebab dulu banyak snek laku keras dijual dan sekarang terpaksa dihentikan.
“Tapi, situ kan tadika,” tunjuk Amara pada lorong dengan gerbang nama sebuah tadika distu.
“Ya, betul. Sebab tu sekarang guna bas dah, dulu memang normal budak-budak pergi ke tadika jalan kaki ramai-ramai. Memang kami jiran-jiran jaga diorang, tapi nak melawan samseng tahi kucing tu memang tak mampulah.”
Bun dan Amara tertunduk kekecewaan, kasihan pun ada pada nasib mereka. Apatah lagi lokasi ini memang sesuai untuk mengisi zaman kanak-kanak untuk anak mereka di suatu hari nanti.
Pulang saja kerumah, mereka duduk di sofa melepas lelah. Masing-masing ada sesuatu yang bermain difikiran tapi tak mampu nak mengungkapnya.
“Amara,”
“Hrm?”
“Kita dating nak esok?”
“Hah?” Amara memandangnya dengan kerutan dahi.
“Tinggal lagi 3 hari aku cuti, esok lepas aku solat Jumaat kita keluar.”
Amara menggaru-garu kepala yang tak gatal, tapi ada betulnya juga.
Dia mana pernah ada pengalaman bercinta sebelum ini macam Bun. Pengalaman sembelih dan pancung orang adalah.
Amara juga berfikir, dia sendiri yang berniat untuk memulakan hidup baru setelah menghapuskan Tuan Deris dah tentunyalah dia perlu usahakannya.
Lama dia berfikir, mungkin idea bernas Bun tu mampu memulakan corak kehidupannya dan Bun.
“Ok,” pendek jawapannya buat Bun tersenyum lebar.
Bun perasan yang Amara nampak gementar tak semena, dia tahu Amara tengah berfikir untuk esok.
“Kita mula esok, Amara. Anggap aku ni teman lelaki kau, tapi versi halal. Hihihi,” tawa Bun macam orang tua gatal.
Amara sekadar meleret senyuman, ini ke yang dikatakan bercinta selepas kahwin?
Share this novel