Bab 15

Action Series 305

Baru dua minggu Deris menjalankan tugas, Tuan Sujama dah dapat macam-macam berita buruk. Tugasnya hanyalah meminta semula duit hutang dari mana-mana klien yang meminjam dari Tuan Sujama, memanglah dapat balik duit tapi semuanya cedera parah dan ada yang melayang nyawanya. Alasan Deris adalah, mereka yang mula dulu.
Pintu pejabatnya diketuk empat kali sebelum pak Jeff masuk membawa sekotak cucur labu dan air tebu.

“Kita makan sekali di sofa, Jeff.” Arahnya dengan suara yang lemah lalu mereka sama-sama duduk di sofa depan meja kerjanya.
Cucur labu kegemarannya, memang Pak Jeff beli dari orang yang sama untuk Tuan Sujama sebagai jajanan harian.

“Jeff, aku tak pernah sangsi dengan kesetiaan kau pada aku sejak dulu. Hotel ni pun berdiri atas nasihat kau juga, anak aku pun kau mengasuh lepas bini aku meninggal lepas bersalin. Jujur pada aku, kau tak ada keluarga sendiri tanpa pengetahuan aku ke?“ soalan Tuan Sujama kedengaran seperti satu gurauan namun dia serius.

“Kita dulu sama-sama binatang, sekurang-kurangnya kau punya sifat penyayang pada seorang wanita. Dan kau tahu, dosa yang aku tanggung ini buat diri aku hidup sendirian di dunia ni,” jawab Pak Jeff bersahaja sambil berkongsi minuman dengan Tuan Sujama.

Tuan Sujama tertawa kecil, “Dosa? Jeff, dulu kau curi makanan untuk kenyangkan perut yang dah kosong selama 3 hari. Sedangkan aku dah dilahirkan dengan semua dosa ini, aku hanya penerus hotel ini. Aku hanya waris dan tiada pilihan selain jadi penerus hotel ini. Dan mungkin disebabkan masa yang Tuhan bagi untuk aku berubah tak digunakan, aku dapat Deris.”

Pak Jeff terdiam sejenak, nama itu benar-benar buat hati mereka dua sahabat susah hati. Masing-masing dah dimakan usia, dan mereka tak percaya akan keupayaan orang luar untuk mengambil alih posisi Tuan Sujama.

“Jeff, kalau masa boleh diputar apa yang kau akan ubah?” tiba-tiba nada Tuan Sujama ceria, mungkin sebab makan jajan kegemarannya.

Pak Jeff tersentak dengan soalan itu, fikirannya hanya terisi satu saja perubahan yang dia inginkan namun tak terucap pula.

“Kalau aku lah kan, aku nak musnahkan hotel ni.” Kata-katanya buat Pak Jeff tergamam tapi dia sekadar mendengar. “Aku musnahkan 20 buah puak yang dah bekerjasama dengan moyang aku dalam perniagaan haram dulu, baru aku musnahkan hotel ini. Dan bila semua dah musnah, aku bina balik.”

Pak Jeff anak matanya menatap sahabat lamanya, sahabat yang telah mengutipnya dari gelandangan dan memberikan kehidupan baru untuknya.

“Aku nak bina semula perniagaan aku tapi secara sah, lepastu kahwin dan ada anak sampailah ke cucu. Entahlah kalau aku ada cicit mungkin aku tak hidup dah waktu tu,” dia bercerita dengan senyuman tahu akan angan-angannya adalah khayalan belaka. “Aku nak mati berbatu nisan, Jeff.”

Pak Jeff tertunduk sayu, dia hanya mampu mendengar. Mati berbatu nisan, di dalam dunianya setiap musuh yang datang menempah darah akan mati katak saja. Tak pun dimakan oleh anjing liar, dibakar menjadi debu atau dicampak ke mana-mana belukar. Paling bertuah pun jika mayat ditemui secara sempurna.

Kerja yang mereka lakukan ini bahaya, sebab itu Pak Jeff tak rasa dia layak mewujudkan sebuah keluarga kalau dah dirinya terlibat di dalam dunia penuh kejam dan gelap ini.

“Jeff, bawalah aku ke kedai tempat kau beli cucur ni. Teringin pula aku nak tengok,” pinta Tuan Sujama.

Pak Jeff pun memandu ke kedai yang dimaksudkan, dari dalam kereta Tuan Sujama sekadar memerhati. Ramai juga pelanggan muda berbanding orang tua, mungkin sebab cucur labu susah nak dapat yang sedap.

Dan tiba-tiba ada sebuah kereta Perodua Bezza parkir di hadapan kedai, keluarlah seorang wanita yang buat Tuan Sujama terpempan. Reaksinya ditangkap oleh Pak Jeff, dia tahu hati orang tua itu dibelenggu rasa bersalah sejak dulu. Sejak Deris menyatakan hasratnya untuk mengahwini wanita yang tidak bersalah itu.

“Kau…tahu pasal ni Jeff?” tanya Tuan Sujama dengan nada tegas.

“Tahu,”

“Jadi kenapa…?” mulanya Tuan Sujama rasa nak marah sebab terasa dirinya dikhianati oleh sahabatnya sendiri. Tapi, dia tahu Pak Jeff ada niatnya sendiri.

“Kau tanya pada aku tentang kenapa aku tak berkeluarga,” anak mata Pak Jeff beralih pada wanita itu yang sedang berbicara dengan pelanggannya dengan mesra sekali dengan senyuman manis. Seolah-olah hidupnya yang lara dulu telah hilang diingatan.

“Berapa lama dah, berapa lama kau perhatikan diorang?” tanya Tuan Sujama membuak-buak ingin tahu.

“Lama,” Pak Jeff menghidupkan enjin kereta. “Sejak budak tu lahir.”

Tuan Sujama tercengang, “Budak tu hidup?!”

“Yang mati tu adalah anak kedua dia, punca Deris masuk penjara. Tapi anak pertama, hidup.”

Informasi yang diberi oleh Pak Jeff membuatkan menyinarkan harapan di hati Tuan Sujama. Terus saja dia melekaskan Pak Jeff kembali ke hotel tersembunyinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience