Bab 14

Action Series 305

4 TAHUN KEMUDIAN

Sebuah kereta hitam berhenti di hadapan sebuah lot kedai usang dan teruk fizikalnya dek kesan kebakaran dan letupan beberapa tahun yang dulu.

Ada seorang lelaki berbaju ungu dan berseluar trek hitam duduk di tangga hadapan sebuah kedai yang dah hancur tersisa debu saja, yang dulunya sebuah kedai bunga. Dia mengulit senyuman sebaik saja tingkap kereta diturunkan.

“Deris,” kata lelaki tua berkemeja hitam dan berkaca mata itu. Ditenungnya lelaki yang mempunyai senyuman jahat sejak dia lahir, di mana sifat liar dan bengis bagaikan tersemat di dalam darah lelaki itu sejak azali.

“Pak Jeff, ehehehehe!” tawa sinis diberikan lalu dia masuk kedalam perut kereta.

Hari yang di nantikannya tiba, setelah 3 tahun dipenjara kini dia bebas. Dan kali ini dia akan pastikan rancangannya berjaya.
Kereta dipandu agak laju, Pak Jeff telah bersama Deris sejak dia lahir lagi. Bekerja di bawah naungan bapanya Tuan Sujama. Mengambilnya dari lokap sudah menjadi rutin Pak Jeff. Tapi kalini, buat pertama kali Deris masuk penjara.

“Ayah macam mana?” tanya Deris dengan nada sinis, dia tersandar melepaskan selipar untuk duduk bersila.

“Sihat macam biasa,” pendek jawapan Pak Jeff. Dia mula memutar stereng masuk ke sebuah lorong rahsia yang gelap-gelita itu.

“Memang liat nyawa orang tua tu. Tapi tak apa, aku agak kau jemput aku ni mesti sebab ayah dah nak mati kan? Dia sakit apa?” tanya Deris selamba.

“Dia tak sakit, dia cuma bagi kau peluang,” jawab Pak Jeff dan hal itu membuatkan Deris tertawa galak macam orang kurang siuman.

“Peluang?! Sebab apa? Sebab dia campak aku dari rumah lepas aku kahwin dengan perempuan bukan pilihan dia? Hei Pak Jeff, dia tu cemburu dengan aku. Bonda mati awal sebab dia tu pembawa malang,” kata Deris dengan lagaknya.

Pak Jeff menjeling, “Deris, bapak kau makan garam dulu daripada kau. Kau hanya mempergunakan perempuan tu untuk dapat waris demi pangkat. Tahniah sebab kau dah buat ayah kau mengubah peraturan keluarga kau sendiri Deris.” Sindiran Pak Jeff buat keningnya berkerut tajam, tangan mengepal menahan diri dari rasa nak bunuh Pak Jeff.

Dia cuba menenangkan diri sebaik mungkin, 3 tahun di penjara buat dia belajar erti kesabaran.
Lagi pun selama ini memang benar dia sering bertindak melulu. Perkahwinannya dengan Rosmawati tak direstui oleh kedua-dua belah keluarga, tapi dengan mulut manisnya dia berjaya mendapatkan kepercayaan Rosmawati. Dia fikir jika dia ada anak sebagai pengukuh waris, ayahnya akan beri dia ambil alih segala-galanya.

“Betul, salah aku dulu. Kalau aku tak biarkan perempuan tu masuk dalam hidup aku, mungkin ayah takkan biarkan aku masuk penjara,” kata Deris buat Pak Jeff mengeluh panjang.

Bagi Pak Jeff, Deris ni memang perangainya takkan berubah. Jenis tak mengaku salah sendiri. Dia tak pernah hidup susah sejak dulu, diberi segala-galanya dan diajar oleh Tuan Sujama segala-galanya. Malang sekali nafsu dan keegoan merosakkan dirinya sendiri.

“Jadi, ayah nak aku buat apa? Ambil hutang orang? Jaga kelab malam? Rindu pula aku pada Bon Long, dia macam mana sekarang?” tanya Deris, rindu dia nak lepak kelab malam bawah tanah yang dimiliki oleh kawan lama ayahnya Bon Long.
Bon Long punya kelab malam dibina di bawah tanah, hanya orang tertentu saja yang tahu akan lokasi tersebut. Deris pula memang pelanggan tetap sehingga menjadi tetamu VVIP Bon Long.

“Deris, aku pesan awal-awal pada kau jangan cari pasal. Jangan campur urusan kawan-kawan ayah kau semata-mata nak kuatkan pengaruh. Ikut sajalah cara Tuan Sujama, cara kau akan memakan diri kau,” nasihat Pak Jeff.
“Ok,” pendek jawapannya membuatkan Pak Jeff menatapnya melalui cermin pandang belakang. Ok. Ok yang memberikan seribu makna, Pak Jeff mula rasa tak sedap hati.
Dia bagaikan sedang membawa bom masa untuk Tuan Sujama, sahabatnya sejak muda dulu. Tapi apakan daya, dia hanyalah pekerja bawahan yang diberikan sedikit keistimewaan saja.

Selama 15 minit kereta kereta akhirnya keluar dari lorong yang gelap itu. Mereka berada di kawasan yang berbukit-bukau dan hutan tebal. Tempat ini hanya orang tertentu saja yang tahu, kalau nak masuk pun ada kata laluan yang berbeza.
Setibanya mereka di sebuah bangunan 20 tingkat, kereta bergerak masuk ke dalam sebuah garaj yang penuh dengan kereta-kereta mewah.
Pintu dibukakan oleh seorang lelaki berkaca mata tebal dan berkot putih labuh, “Selamat kembali, Tuan Deris.”

“Dr. Adrian, farmasi kau macam mana?” tanya Deris bersalaman dengan doktor peribadi mereka.

“Ada orang jaga, saya lebih selamat bertugas kat sini sajalah tuan,” adu Dr. Adrian sambil mengiringinya ke bilik kesihatan. Bilik kesihatan ditempatkan di garaj sebab mudah nak bawa masuk bekal ubat-ubatan. Disitu juga bilik bedah untuk penjualan organ berlaku.
“Engkau ni, aku tak tahulah. Atas meja bedah bukan main handal lagi kau pegang pisau, bila berhadapan dengan musuh terus lemah lutut,” sindir Deris.

Dr. Adrian tersenyum dan mula menjalankan pemeriksaan kesihatan pada Deris, “Saya bedah orang yang tak sedar, kalau musuh tu tak sedar tak apalah juga.”
Usai menjalankan pemeriksaan kesihatan, dia bersama Pak Jeff masuk kedalam lif naik ke tingkat 19.

Tingkat satu adalah lobi, tingkat 2 pula ruang bufet dan dewan serbaguna, tingkat 3 sampai 18 adalah bilik hotel dan tingkat 19 hingga 20 dimiliki oleh Tuan Sujama dan Deris.

Hotel ini berfungsi sebagai penginapan sementara untuk rakan-rakan bisnes Tuan Sujama sama ada untuk aktiviti perniagaan atau perlindungan.

Untuk perlindungan adalah, jika mana-mana rakan Tuan Sujama adalah orang yang dikehendaki oleh pihak polis disinilah tempat mereka bersembunyi buat sementara waktu, dah tentunyalah proses untuk menyembunyikan jenayah mereka di sini tinggi bayarannya.

Di tingkat 19, Deris tersenyum lebar saat masuk ke biliknya yang dah lama ditinggalkan. Dia buka bilik pakaian, masih sama susunannya. Koleksi jam berjenama, kasut dan pakaiannya tak disentuh sama sekali.

Dia mempersiapkan dirinya, memakai kemeja ungu, seluar slack hitam. Rambut dia gel dan rapikan, seutas jam tangan Vacheron Constatin klasik dia sarung ke pergelengan tangan kanan. Kasut bertapak merah dia sarung ke kaki dan bersedia untuk menemui ayah tersayangnya
Bila pandang cermin, dia tersenyum bangga. Deris. Tuan Deris. Sungguh dia menggilai panggilan itu dari semua orang yang mengenalinya. Tapi sekarang, dia perlu mengambil langkah pertama.
Deris diiringi oleh dua pengawal peribadi dan Pak Jeff naik ke tingkat 20 lalu ke bilik pejabat Tuan Sujama.

Bila pintu kayu ujian motif bunga raya dikuak luas, seorang lelaki tua beruban penuh, berjanggut nipis dan berbaju melayu cekak musang warna hijau zamrud dah menunggunya di sofa. Orang tua itu memegang tongkat berkepala harimau yang mengaum untuk menampung tubuhnya yang sudah tua.

Tak tak seperti dulu lagi. Kalau tengok lukisan potret Tuan Sujama pada dinding pejabat ini 30 tahun yang dulu, keperibadiannya langsung menutup pekerjaan kotornya jika tak kenal.

Mata orang tua itu menatap kecewa pada satu-satunya anak yang dia ada, tak sangka anak yang pernah dia jaga sejak lahir dari arwah isteri yang disayanginya pernah menghunus pedang dilehernya semata-mata ketamakan diri.

“Ayah,” ucap Deris sambil memeluk sebelum menyalamnya lama.

“Deris,” balasnya dengan nada yang berat. Sebab dia masih ragu-ragu akan keputusannya membawa Deris masuk semula ke hotel wilayahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience