Bab 13

Action Series 305

Hari yang dinantikan tiba, majlis tertutup diadakan.

Tetamu yang hadir adalah saudara-mara dan teman rapat Hjh. Salleh dan Hjh. Kalsom. Semuanya berbusana klasik, mengekalkan tema yang sepatutnya setiap tahun.

Kerusi dan meja tetamu berada di tengah-tengah, kanan dan kiri adalah sederetan gerai-gerai pelbagai jenis makanan manakala pentas berada dihadapan. Muzik ghazal dimainkan sebagai alunan penyambut tetamu.

Bun yang berbaju melayu Teluk Belanga warna merah itu sekadar duduk diam di meja khas keluarga, dia tahu sanak-saudara memerhatikannya dengan aneh.

Sebab tak pernah nampak, tapi mereka tahu akan identitinya. Dia harap Amara ada ditepinya sekarang ini, biarlah mereka bersama-sama dipandang pelik oleh tetamu.

“Adik! Jom makan!” kecoh suara Syam yang berbaju melayu cekak musang sewarna dengannya.

Naufal meletakkan sepinggan Nasi Minyak atas meja, “En. Bun, tolong suapkan nasi untuk Syam. Saya nak ke kandang kejap,” beritahu Naufal sebelum meninggallan Bun yang dah terkebil-kebil.

“Cepatlah, orang lapar ni! Dah baca doa dah ni!!!” marah Syam bila perutnya yang lapar tak dipedulikan.

Nak tak nak, Bun terpaksa suapkan abang tirinya makan nasi. Kekok, tapi dia juga rindu akan Syam. Syam memang tangan tak duduk diam disebabkan oleh derianya, wajah Bun dia usap-usap. Main songkok, main rambut itu dah memang kebiasaannya.

Kali pertama jumpa, waktu Bun umur 5 tahun Mak Melati datang bersama Syam jumpa senyap-senyap di luar tanpa pengetahuan Hj. Salleh. Syam banyak kali memeluk dan mengucupnya, menganggap Bun masih bayi. Bun tak suka sangat orang selain uminya pegang-pegang. Apatah lagi bila Syam memeluk umi, terus dia menolak Syam hingga terjatuh. Tapi Syam tak marah, dia lagi peluk Bun adalah.

“Eh Bun!” Mak Ros menegur, tersenyum dia lihat Bun menyuap Syam. Sampai comot pun tak diendahkan.

“Umi,” lega Bun bila penyelamat dah sampai.

“Biar umi suapkan, Bun makanlah dulu.” Kata Mak Ros sambil mengelap wajah Syam yang comot dengan kuah Ayam Masak Merah.

“Kak Mar mana?”
“Tu, atas pentas.” Tunjuk Mak Ros terus Bun menoleh kehadapan.
Amara berkebarung putih dan berkain batik coklat, kepalanya dipakaikan tengkolok bulang dan berkasut terompah. Dia naik kepentas membawa biola, duduk dikerusi bersama-sama dengan pemain muzik yang lain.
Muzik Gurindam Jiwa didendangkan, apabila Amara mula menggesek biola terus alunannya menambat hati pengunjung.

“Itu siapa tu kak?” tanya salah seorang pengunjung pada Hjh. Kalsom.

“Pekerja anak saya tu, anak saya si Ros tu kata dia pandai main biola. Satu sekolah dengan cucu saya,” Jawabnya dengan nada bangga.

“Tu ke cucu kau,” tanya salah seorang rakan Hj. Salleh.

Hj. Salleh yang dari tadi terpikat dengan alunan biola Amara buat dia tersedar dari lamunan, “Hmm bukan, cucu aku punya kawan.”
Tamat saja persembahan, terus tetamu bersorak meminta lagi muzik dimainkan. Kecoh benar keluarga ini, memeriahkan lagi keadaan.

Amara yang tak menyangka orang akan minta lebih terus pandang Hj. Salleh, Hj. Salleh mengangguk memberinya keizinan.

Amara mengangguk tanda terima kasih, dia menggesek biola dan kalini mengalunkan muzik dari lagu Isabella membuatkan yang lain bersorak gembira. Ada juga yang ikut menyanyi ala-ala Amy Search, mujurlah tetamu tak dibenarkan bawa telefon atas peraturan Hj. Salleh sendiri.

Syam pula dah ajak Bun menari-nari, terpusing sampai pening dan hal itu entah kenapa buat Bun geli hati. Dia ikutkan saja abangnya menari, entah tarian apa pun mereka tak tahu asalkan ada langkah.

Saat yang lain fokus pada pentas, Mak Ros dah membasahi wajah dengan air mata melihat dua anaknya bergembira. Dia tak sangka hari yang dinanti-nantikan akan tiba juga, Mak Melati datang memeluknya agar dia tenang.
Hanya dia saja yang tahu akan duka satu-satunya adik yang dia ada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience