Bab 36

Action Completed 1933

Bun bawa Amara bertemu dengan Mak Ros dulu, lebih sejam jugalah Mak Ros memeluknya erat sambil menangis teresak-esak akan nasib Amara selama ini. Mereka tumpang tidur di rumah Mak Ros dulu sebelum esok berangkat ke rumah keluarga Amara pula.

“Kenapa dia pakai benda tu?” tanya Mak Ros yang duduk minum teh bersama Bun di ruang tamu, dia memerhatikan Amara di bilik tidur yang sedang menghantar mesej pada Kak Mira tentang kedatangan mereka esok.

“Telinga sensitif. Letupan yang jadi waktu tu beri kesan pada dia sampai sekarang. Umi jangan beritahu hal ni kat keluarga Amara pula, cakap saja Amara ada trauma di tempat kerja,” pesan Bun.

“Tahulah umi,” nada Mak Ros penuh serba salah lalu menghirup tehnya. “Tapi, Amara tu tak apa ke?”

“Maksud umi?”

“Bun tak nak bagi dia tenang dulu ke? Bagi dia rehat sekejap dari apa yang jadi kat dia selama ni, kalau dia sendiri dah bersedia barulah kita bincang hal itu,” kata Mak Ros.

“Kami baru tunang, asalkan Amara ada depan mata Bun,” jujur Bun pada uminya yang khuatir kalau-kalau Amara masih belum bersedia akan perubahan kehidupannya nanti. Dia kenal Amara dah lama, bukan sehari dua kenal.

Keesokannya, seperti yang dirancang mereka menuju ke rumah keluarga Amara dengan kereta Bun.

Mereka bertolak selepas subuh, dan Mak Ros perasan Amara banyak termenung ke luar tingkap berbanding berbual dengan mereka seperti selalu. Dia senyap, tak banyak bergerak. Seperti seekor kucing jalanan yang baru dikutip buat bela.
Penutup telinga kuningnya tak pernah dibuka. Tapi kalau tanya apa-apa dia faham saja, sebab tiap kali bercakap mata Amara memandang kearah gerakan bibir mereka.

Mereka singgah ke warung Kak Mira dulu, “Eh, Mak Ros! Bun! Masuklah dulu…Mar,” Kak Mira terlopong sambil menekap dadanya yang jantung terus bergetar kuat.

Perasaan lega dan risau bercampur-baur, apatah lagi satu- satunya adik yang dia ada nampak lain.
Sangat-sangat lain, bagaikan itu bukan adiknya yang seperti dulu. Sebab tatapan wajahnya kosong.

Macam boneka.

Dua beradik itu masing-masing rindu yang amat namun tubuh tak bergerak nak melepaskannya. Kak Mira tertunduk, mengesat mata berpura-pura ada habuk lalu menatap Amara semula.

Mak Ros tersenyum sambil menepuk bahu Kak Mira agar menahan dirinya dari nak marah Amara manakala Bun dah usap belakang Amara agar dia tenang menjanjikan keamanan untuknya.

“Masuk makan,” jemput Kak Mira sambil menahan diri dari rasa sebak. Kalau boleh dia nak marah, nak tengking, dan pukul budak Amara ni cukup-cukup sebab buat perangai tak semena. Tapi dia yakin Amara ada sebabnya sendiri.
Dia hanya ada Amara saja sebagai adik sekarang ini. Mereka hanya ada sesama sendiri setelah kehilangan Musa.

Amara tertunduk kepalanya lalu berjalan masuk ke warung, duduk semeja dengan Mak Ros dan Bun.

Tengah Amara makan Mi Calong, Bun menerangkan pada Kak Mira tentang situasi Amara.

“Hrm, sibuk sangat kerja sampai macam-macam jadi. Akak tak kisah, bagitahu babah lah nanti,” itu saja ayat Kak Mira . Dia perasan yang Amara senyap saja dari tadi, sedap sangat kot Mi Calong. Makanan kegemarannya pula tu.

“Tak apalah, nanti umi yang cakapkan. Lagi satu, nanti umi beritahu tarikh bila kami sekeluarga nak datang pula,” tambah Mak Ros.

“Ok, Mar. Kau dah sedia ke nak jadi bini orang?” tanya Kak Mira pada Amara yang tidak merespon hanya sekadar merenung. “Amara?”

Kak Mira menarik pelindung telinganya kebawah bila dia tak menjawab.

Tiba-tiba bunyi tayar motosikal meletup menyebabkan Amara merespon secara mengejut, terus dia berdiri lalu mencampakkan garfu kearah bunyi tersebut hingga tercacak tepat ke batang pokok pisang menyebabkan orang sekeliling tergamam.

Pemilik motosikal yang tayarnya meletup tadi terduduk ketakutan, sikit lagi nak terkena matanya.

“Ya Allah! Amara! Pak cik, maaf pak cik!” Mak Ros tergopoh-gapah bangun menuju kearah pak cik yang terketar-ketar kakinya itu lalu membantunya untuk bangun.

Bun pula dah mendudukkan Amara semula lalu menyuapnya makan buat tak tahu dengan tenungan pelanggan yang ada di sekeliling mereka manakala Kak Mira dah terkebil-kebil rasa tak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi.

“Kau kot ye pun tak puas hati dengan aku, janganlah bunuh pelanggan aku,” jegil Kak Mira pada Amara yang cuba menenangkan dirinya dari tadi.

Amara tak boleh nak duduk diam tiap kali ada bunyi kuat yang datang tiba-tiba seperti letupan tadi sebab badannya sering merespon sebagaimana dia dibawah arahan Tuan Deris dulu. Sikap berjaga-jaganya dah sebati, dia tak tahu bagaimana nak mengawalnya.

“Tak kak, dia gurau,” Bun membela sambil membetulkan pelindung telinga Amara semula.

Selesai makan, mereka ke rumah Hj. Marzuki. Mulanya disambut dengan mesra, sekali nampak muka Amara terus Hj. Marzuki masam mencuka. Mak Ros segera mengajak Hj. Marzuki berborak dalam rumah, Bun dah menemani Amara duduk di gazebo depan rumah.

Amara duduk merenung kawasan tebu yang segar tersusun rapi, Bun tak tahu apa dalam fikirannya sekarang.

Mata Amara pula asyik membeliak seakan-akan dalam keadaan berjaga-jaga, dia masih rasa kalau-kalau pengawal Tuan Deris sedang mengawasi mereka walaupun dah nampak kesemuanya hangus tanpa jejak. Traumanya masih melekat. Hatinya tak boleh nak tenang, dia takut kalau-kalau orang yang dia sayangi diragut begitu saja.

“Akak,” panggil Fakhrul atau namanya yang sekarang, Budi.

Amara menoleh, mendengus marah pada Budi yang membocorkan rahsia mereka pada Bun.

“Dia kurung saya kak! Dia siap ugut lagi saya!” adu Budi. Bun dah memberikan pandangan mata yang tajam padanya.

“Tak apalah, kau ada rancang nak ke mana-mana ke lepas ni? Deris dah tak ada, kau dah selamat,” tanya Amara.

“Oh, ya. Saya nampak dalam berita pasal hotel tu. Tapi, saya rasa saya kekal saja kat sini,” beritahu Budi dengan nada sayu buat Bun dan Amara fokus mendengarnya.

“Saya dah ‘mati’ dalam keluarga saya, biarlah saya teruskan tinggal kat sini. Terima kasih kak, bagi hidup baru untuk saya,” ucap Budi.
Luluh hati Amara mendengarnya, harus bagaimana lagi kalau keluarga sendiri dah mengisytiharkan kematiannya sendiri. Budi sendiri yang memilih untuk tinggal, Amara tak menghalang.

Bun dari tadi sekadar memasang telinga, sengaja mendekatkan diri pada Amara sambil kaki bersilang manakala tangan diletak pada lutut agar Budi nampak jelas cincin tunang mereka.

Waktu makan malam, yang lain rancak berborak kecuali Amara.

Hj. Marzuki dari tadi perasan, kenapa Amara pakai penutup telinga sejak masuk ke rumah ini. Mak Ros perasan akan hal itu dan cuba menukar topik, “Bang Ma, esok kami nak jumpa ayah. Lepas dapat persetujuan baru Ros beritahu semula tarikh.”

“Hrm, nak bawa Amara sekali ke?” Hj. Marzuki tanya.

“Ikut,” jawab Bun.

“Apa-apa beritahulah,” pesan Kak Mira .

“Nanti kenduri nak buat sini ke kat rumah Bun?” Budi menyampuk tanya.

“Amboih, awal sangat kau ni cakap pasal kenduri,” tegur Kak Mira.

Perbualan mereka tentang kahwin dan kenduri buat Bun fikir, Amara peduli atau tidak? Yang penting dia selamat dan tak berpisah darinya mulai sekarang.

Usai makan dan solat Isyak, Bun duduk di ruang tamu bersama-sama dengan Kak Mira dan Hj. Marzuki minum kopi yang Budi bancuhkan.

Duduk saja Budi di sofa, mereka bertiga mengeluh panjang.

Terkebil-kebil Budi akan riak mereka yang masing-masing kusut fikiran.

“Umi awak mana, Bun?” tanya Hj. Marzuki memulakan perbualan.

“Tidur dalam, dengan Amara,” jawabnya sambil menghirup kopi suam itu.

Mereka bertiga masih-masing gundah-gulana hati, Bun tahu akan kerisauan mereka dua beranak. Tambahan lagi perubahan mendadak yang Amara berikan pada mereka, semuanya menyebabkan kekeliruan. Kehidupan keluarga ini berubah kerananya, itu yang Bun fikirkan selama ini.

Dia dan Mak Ros dah rancang, mereka tak akan beritahu hal sebenar. Mereka hanya beritahu soal Amara yang terpaksa berjauhan dari mereka atas sebab sedang merawat diri dari trauma letupan yang berlaku beberapa tahun yang dulu. Dan sebab itu jugalah, mereka tak kata apa-apa mengenai penutup telinga Amara.

“Bun,” panggil Hj. Marzuki.

“Ya pak cik,”

“Kau boleh ke bela Kak Mar tu?” tanya Hj. Marzuki dengan nada risau.

“Pak cik tak percayakan Bun?” bimbang Bun.

“Tidak, aku tak maksudkan macam itu. Tapi aku tengok keadaan Amara tak pulih lagi, kau boleh ke terima dia macam tu?” tanya Hj. Marzuki.

Bun faham, “Boleh pakcik.”

“Kau ni sejak bila buang panggilan ‘kakak’ pada Mar tu?” tanya Kak Mira penuh curiga.

“Dia nak praktis untuk panggilan lepas kahwin lah tu, kak.” Budi menyampuk terus Bun menampar bahunya sebelum mengheretnya menuju ke bilik tidur.

“Babah, tolong babah!” teriak Budi lalu mulutnya ditekup oleh Bun sebelum menutup pintu.

“Sejak bila diorang rapat?” tanya Kak Amira hairan.

“Entah,” Hj. Marzuki jongket bahu malas nak layan.

Dalam bilik,
Budi diheret masuk dalam bilik, Bun mengunci pintu. Tindakannya buat Budi mengambil bantal sebagai langkah berjaga-jaga kalau Bun nak menyerangnya, “Bun! Mengucap, Bun. Sedar sikit kau tu nanti nak kahwin dengan Kak Mar tau!” mula dah ayat salah fahamnya.

“Apasal kau panggil pakcik tu babah?” soal Bun sambil menyilang tangan dengan riak tak puas hati.

“Huh? Maksud kau, tauke aku?” Budi menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.

Bun merampas bantal dari tangan Budi lalu melemparnya ke tepi tanda protes, “Aku tanya kau, kenapa panggil ayah Amara babah? Aku sendiri pun belum capai lagi tahap nak panggil orang tua misai kontot tu macam tu!”

“Hei, itu kau punya pasallah! Aku yang jaga ladang tebu dia, mestilah dia anggap aku macam anak,” bangga nada Budi buat hati Bun mendidih.

“Kau tidur kat bawah,” katanya sambil berjalan menghentak kaki terus naik atas katil nak tidur.

“Hah?! Ahahahak!” Budi memberikan tawa yang mengejek rasa sakit hati dengan perangai Bun. “Ini bilik aku, babah bagi aku bilik ni sebab aku tukang jaga ladang dia! Kau tu menumpang saja, katil ni pun aku beli guna duit aku tahu tak! Ingat aku curi ke,” balas Budi sambil bercekak pinggang.

Bun buat tak dengar, terus menyelimuti dirinya. Budi mengeluh panjang, Bun benar-benar menyeru kemarahan sifat pembulinya yang dah lama terkubur itu.

“Oi, tepilah sikit,” arah Budi masih menahan diri dari rasa nak marah.

“Mengikut status pekerjaan, kau layak tidur atas lantai.” Balas Bun membuatkan Budi makin naik angin akan ayat merepeknya.

“Kau ni memang memintalah,” sinis nada Budi lalu menarik selimut dengan kuat hingga menyebabkan Bun tergolek jatuh ke lantai.
Dengan kesempatan yang dia ada, Budi melompat naik atas katil.

Bun tak mahu mengalah, dengan Ardi mungkin dia boleh mengalah tapi tidak dengan Budi.

Disebabkan terlalu bising, Hj. Marzuki menguak pintu untuk lihat apa yang tak kena dengan budak berdua ni. “Hoi, hoi! Apa halnya dengan kau orang ni? Aku suruh baca doa sebelum tidur, bukannya buka langkah silat.”

Geleng kepala orang tua itu bila nampak Bun dan Budi sedang main sesi tarik-menarik kaki dari katil.

Datang Mak Ros dengan wajah garang, dua-dua berhenti. Gerun dengan wajah Mak Ros yang garang hanya sekadar merenung saja dengan perangai mereka berdua.

Akhirnya Bun dan Budi terpaksa tidur di pelantar rumah setelah dihalau oleh Mak Ros.
“Selamat malam, Bun.” Ucap Budi pada Bun yang berada di sebelahnya.
“Diamlah!” Bun mendengus bengang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience