Bab 14.1

Action Series 305

Amara sibuk melakukan tugasnya sebagai tukang gunting rambut di sebuah kedai bersama Morgana yang bertugas sebagai perawat rambut.
Amara tamat saja Tingkatan 6 terus masuk Giatmara ambil kursus Gaya Rambut dan Terapi Kecantikan bersama-sama dengan Morgana. Mereka sama-sama dapat tawaran bekerja di sebuah kedai spa dan salon di bandar.

Kedai Mak Ros makin maju, dengan duit dan ilmu yang dia ada kedai cucur labunya dah ada banyak cawangan siap dengan pengurus. Mak Ros lebih sibuk di Chalet Serambi selepas bersetuju untuk menambah kafe khas untuk kanak-kanak disitu, rumah Pohon Beringin juga sudah menjadi miliknya.

Bun sekarang berada di UPM untuk melunaskan ijazahnya sebagai seorang veterinar.

Kedai spa dan salon tutup pada pukul 6, tapi balik lewat dalam pukul 7 lebih begitu. Amara dan Morgana tinggal serumah, jadi kenderaan mereka adalah motosikal lama milik ayah Amara. Sempat jugalah mereka ke pasar malam beli makanan.

Malam itu lepas Amara mandi, dia duduk di meja solek untuk melakukan rutin penjagaan kulitnya manakala Morgana tengah baca majalah mengenai gaya rambut.

“Mar, kau tak nak kahwin ke? Aku nak makan Nasi Minyaklah,” kata Morgana tiba-tiba sambil kunyah keropok losong.

“Kau lah kahwin, aku nak makan pani puri,” balas Amara selamba.

Dia sempat tengok status Bella di media sosial, nampaknya hubungannya dengan Bun berjalan lancar.

Bella juga seorang mahasiswa jurusan senireka dalaman di sebuah kolej berdekatan dengan universiti Bun. Ardi pula sekarang sibuk bekerja di sebuah kedai baiki kereta.

“Kau baru saja beli pani puri dekat pasar malam tadi,” bebel Morgana.

“Dah kau tu, baru tengah hari tadi makan Nasi Minyak siap letak dua jenis lauk ayam lagi,” sindir Amara.

“Nasi Minyak kenduri dengan kat kedai lain weh,” balas Morgana tak mahu mengalah.

“Pandailah kau, malaslah aku nak kahwin. Kau tu, kenapalah tolak pinangan anak kawan ayah kau?” soal Amara.

“Tak naklah, dada dia berbulu,” jawapan Morgana buat Amara memandangnya dengan wajah toya.

“Dah memang kita sama-sama menua dalam rumah jagaan orang tualah gamaknya ya,” sengih Amara. Selesai facial skincare, dia mengilatkan kukunya pula.

“Tu lah, kan aku dah ajak melabur dekat rumah orang tua 5 bintang kau tak nak. Kalau cakap pasal keturunan, kakak kau dan aku dah kahwin sama-sama dah ada anak sebagai keturunan cukuplah tu.” Panjang lebar Morgana bersyarah.

Sembang kencang mereka ni kalau boleh sampai ke Subuh tak habis topik. Haritu cakap pasal sama-sama nak simpan anak ikan, lepastu nak rompak bank untuk pindah negara dan akhir-akhir ni merapu nak Sugar Daddy pula. Sebab kehidupan masing-masing dah selesa, tak lebih dan tak kurang.

Tapi bila orang lain soal tentang gelaran andartu, mereka tak beri komen apa-apa.

“Weh, apa citer dengan kau punya adik angkat tu hah?” Morgana menukar topik, daripada tertiarap baca majalah tadi terus bangun duduk dan menyandar.

“Adik angkatlah sangat, aku ni dulu menumpang rezeki saja kat rumah diorang je. Alhamdullillah, dia dengan Mak Ros masyuk kehidupannya,” Amara beralih pada rambut pula, diminyakkan dahulu dengan minyak Bunga mawar sebelum disisir rapi.

“Kasihan aku tengok Mak Ros dulu, kira kau ada bersama dengan dialah waktu susah senang dulu kan."

“Usaha weh, sumpah aku cakap Mak Ros usaha dia lagi tinggi daripada aku nak berusaha diet,” jawab Amara buat Morgana tertawa galak.

“Macam mana nak diet? Tiap kali hari jadi kau, Mak Ros poskan satu kotak cucur labu kat kau! Siap ada kad ucapan lagi, sayang betul dia dengan kau!” Morgana berseloroh.

Amara menatap nota-nota ucapan daripada Mak Ros yang dia lekat tepi cermin, bibir terukir senyuman. “Sayang ler, kau lupa ke dia pernah gugur dulu? Anak oerempuan pula tu.”

Morgana terkedu baru teringat, akan hal.itu. “Eh ha ah lah! Aku lupa pasal tu.”

“Sepatutnya kan, anak dia nama Embun,” beritahu Amara.

“Klasiknya nama,” komen Morgana.

“Sebab Bun yang cadangkan, aku tak tahulah. Bagi aku si Bun ni berjiwa sastera juga orangnya, kalau kau masuk bilik dia memang rak buku penuh novel genre sastera dan zaman melayu dulu,” cerita Amara.

“Tapi dia masuk aliran sains kan?” tanya Morgana.

“Hrm, minat saja kot. Bun memang dia cakap awal dah kat umi dia tentang nak ambil kos veterinar ni, budak bijak. Aku yang ambil aliran sastera ni pun dah lupa dah peribahasa-peribahasa yang kita ada ni,” rungut Amara.

“Oh, macam Sediakan Payung Sebelum Hujan?”

“Tu bidalan nyah, lain tu nyah!” kata Amara memperbetulkannya, Morgan sekadar jongket bahu.
Telefonnya berdering, panggilan dari ibunya diangkat.

‘Amara, ibu dengan adik nak datang minggu ni lepas ambil Musa dari sekolah. Rambut ibu jadi kusut balik,’ suara Hjh. Maria yang dirinduinya buat mata mula berkaca.
Disebabkan jarak jauh dan kesibukan kerja, masanya bersama keluarga singkat sekali.

‘Kak Mar! Musa masuk sekolah, Musa dapat kawan ramai!’ kedengaran si Musa yang sudah memasuki Darjah 1 menyampuk.

Memang setiap kali sebulan atau dua bulan sekali, Hjh. Maria akan memandu dari kampung ke bandar untuk melawatnya. Dan ini kali kedua Musa datang sekali, tak sabar dia nak tengok Musa pakai uniform sekolah rendah depan-depan. Tengok melalui gambar yang dihantar oleh Kak Mira tak puas baginya.
Dia dah tengok Bun membesar, daripada masuk tadika sampailah ke universiti. Kali ini dia nak tengok giliran Musa pula, berharap perjalanannya semudah Bun.

Musa minat tengok kereta kontraktor sebab Hj. Marzuki sering membawanya ke tapak pembinaan berdekatan kampung mereka.
Apatah lagi setiap kali Ardi datang ke rumah membantu Hj. Marzuki baiki kereta atau motosikal pasti dia akan sibuk mengacau. Tapi si Ardi ni jenis melayan, tu yang Musa suka sangat dengan barang-barang mekanik.

“Musa, nanti besar nak jadi apa?” saja Amara tanya soalan pada adik bongsunya.

‘Nak jadi kambing,’ jawab Musa dengan bangga buat ibunya di talian mengekek ketawa manakala Amara dah mengeluh panjang sambil memicit-micit dahi tak tahu nak balas apa.
Ni mesti sebab selalu sangat ikut babahnya pergi kandang kambing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience