AKU dikawal ketat menuju ke kereta peronda polis, sementara Emelyda mengikut dari belakang sambil teriakkannya yang sengaja dikuatkan. Bingit suaranya membuatkan beberapa pasang mata yang berada di situ tertumpu ke arah kami. Terdengar desis-desis suara sumbang yang berteka-teki semasa sendiri.
Ada juga insan yang prihatin menanyakan apakah kesalahan yang aku lakukan sehingga aku dibawa pergi dalam keadaan sebegini rupa? Namun, laju sahaja mulut celupar Emelyda membalas bahawasanya aku telah melakukan jenayah membunuh bapaku sendiri.
Arrghh..kalau ikutkan rasa hati yang penuh dengan api dendam dan kebencian yang meluap-luap terhadap dirinya itu, mahu sahaja aku tamatkan riwayat perempuan 'iblis' bertopengkan manusia itu.
"Götürün onu efendim polis müfettşi, kocamı öldürdü..! Kocamı öldürdü..!!"
teriak Emelyda keras yang mengiat tiga anggota polis untuk segera membawa aku pergi sambil mengulangi kata-kata 'dia membunuh suamiku'. Telunjuknya tepat ditujukan ke arahku dengan di temani deraian air mata palsunya. Sejak dari tadi hanya kata-kata itu berputar-putar di bibir tebal merah menyala, hasil olesan gincu bibir wanita itu.
Kereta peronda meluncur laju meninggalkan pekarangan hospital itu tanpa mahu mempedulikan teriakkan ibu tiriku yang bagaikan terkena serangan histeria itu.
Aku baru menitiskan air mata setelah kereta polis itu meninggalkan Emelyda dengan laju. Hati aku bagai dihiris-hiris dengan sembilu ketika melihat ibu tiriku sempat tersenyum sinis padaku. Ah! perempuan itu, pandai sungguh dia bersandiwara. Aku masih lagi berendam air mata melempiaskan rasa kekecewaan yang menyebar di sanubariku. Selama dalam perjalanan, banyak mata tertuju padaku. Aku hanya mampu menundukkan muka untuk menghindarkan pandangan mata orang ramai yang kebetulan melihat.
Sampailah aku di balai polis. Terus aku diserahkan kepada pegawai polis dan menjawab semua pertanyaan. Dengan secebis ketenangan yang aku miliki, aku menjawab sahaja pertanyaan pegawai polis yang duduk di hadapanku. Sejenak pegawai polis itu menatap wajahku tanpa bekerlip walaupun hanya sesaat. Bagaikan dia terpukau dengan kejelitaanku.
Setelah usai soal siasat dijalankan, pegawai polis itu mengarahkan pekerja bawahannya membawa aku ke pusat pemulihan. Dia sempat jadi bingung kerana melihat aku agak tenang sepanjang sesi soal jawab itu berlangsung.
Aku segera dipindahkan ke pusat pemulihan. Tempat itu khusus di huni oleh perempuan-perempuan yang telah melakukan pelbagai kesalahan. Kesalahan? Tak habis fikir aku dibuatnya, baru dua hari berada di bumi Turki, sekelip mata aku berubah status. Kini, aku sudah pun menyandang gelaran seorang banduan, dituduh melakukan jenayah berat yang sedangkan aku tidak sama sekali terlibat dalam kes itu.
Pihak polis juga belum memutuskan hala tuju kes ini kerana masih giat menjalankan beberapa siasatan lanjut. Aku dengan hati yang bercampur baur terpaksa menerima dengan hati yang lapang dan ikhlas. Mungkin ada hikmah di sebalik kesengsaraan dan ujian yang perlu aku tempuhi demi kebahagiaan di kemudian hari.
***
Sinar matahari menerobos masuk dari celah-celah jerigi besi yang berdiri kukuh mengurungku. Di saat musim sejuk yang mengunjung di bumi Turki, seperti saat ini, berada di dalam penjara cukup menyedihkan. Hampir setiap saat yang aku lalui, aku terpaksa menahan tubuhku dari segala rasa dingin yang dibawa oleh udara lembap. Lebih malang lagi jika di malam harinya. Menggigil teruk seluruh tubuhku yang sudah semakin menyusut.
Di pagi itu aku memandang sinar matahari pagi. Bersyukur aku musim sejuk sudah berarak pergi. Pagi ini aku diberi kebebasan oleh pegawai pusat untuk keluar sebentar dari kurungan. Berjalan-jalan di dalam pusat pemulihan itu dengan bebas. Berbeza penghuni lainnya, disebabkan hukuman yang kuterima masih belum mencapai kata putus.
Di samping itu, pihak polis memberikan kebenaran kepada pengawas pusat untuk memberikan nilai kebenaran kehidupan terhadap aku. Maka bagiku, sepanjang aku berada di pusat itu, bermakna aku mampu mencurahkan dan menumpukan fikiranku terhadap Tuhan. Tiada sebarang halangan untuk aku melakukan ibadah seperti ajaran agamaku. Dengan penuh khusyuk aku berdoa dan menghambakan diriku kepada sang Maha Pencipta semoga ujian berat yang kulalui ini segera menemui titik noktahnya.
Segala tindak-tandukku sangat disenangi oleh seluruh pengawas pusat itu. Dari hal peribadiku yang sentiasa mencerminkan kerendahan hati dan sikapku yang suka membantu, walaupun hatiku sendiri sebenarnya agak rapuh. Aku yang seringkali diberikan hadiah-hadiah berupa bahan-bahan bacaan berunsur keagamaan dan ilmiah daripada pengawas-pengawas pusat, sedikit sebanyak memberikan aku penawar untuk mengubat hatiku yang luka parah.
Matahari sudah mulai condong di atas permukaan bumi. Aku baru saja masuk ke bilik tahanan, dipanggil semula keluar kerana sedang menerima kunjungan tetamu. Alangkah terkejutnya aku dengan kedatangan acu Aura bersama Dr Qayyum di sini.
"Bella..Bella baik-baik saja kan?" tanya acu Aura dalam linangan air matanya.
"Bagi saya semakin lama di sini semakin menyenangkan acu Aura. Semua pengawas di pusat ini baik terhadap saya" sahutku pura-pura ceria.
"Syukurlah..maafkan acu, terlalu lama ambil masa untuk ke sini. Acu hilang punca untuk cari keberadaan Bella yang tiba-tiba hilang jejak.." terang acu Aura sambil mengesat air matanya.
"Sudahlah..yang penting kita dah temui niece kesayangan you ni..itupun kebetulan semasa merawat kamu di musim sejuk yang baru berlalu" sampuk Dr Qayyum sambil memeluk bahu acu Aura dengan mesra.
"Takpelah, segalanya dah berlaku. Tak guna nak dikenangkan lagi. Hampir dua tahun dah saya berada di sini, segalanya sudah sebati dengan diri ini, tinggal nak hadap hukuman je lagi seminggu.." aku lepaskan keluhan berat.
"What..? No, acu takkan benarkan itu yang terjadi. Acu dah lantik peguam yang terbaik untuk lawan kes kamu ni, dia ada bersama dengan kita hari ni. Abang..tolong panggilkan Naail Nadhir, peguam yang kita lantik untuk uruskan kes Bella.." arah acu Aura pada Dr Qayyum dengan penuh manja.
Melihat jari manis acu Aura yang dihiasi cincin emas bertatahkan batu berlian itu sudah cukup untuk memberitahu aku hubungan acu Aura dengan Dr Qayyum. Sejenak fikiranku melayang memikirkan tentang ibu, peguam dan yang lebih ketara kepada Elhan, jejaka yang kupuja dan kurindui setiap saat.
"Bagaimana keadaan mommy Aralynn, acu Aura?" soalku kepada acu Aura yang baru sahaja membuat pemeriksaan ringkas padaku.
"Mommy Aralynn baik-baik sahaja. Dia pun dah setahun menikah dengan profesor kamu tu, selang sebulan lepas acu nikah dengan Dr Qayyum dan sekarang mereka menetap di London.." acu Aura berjeda sebentar setelah dia mengarahkan aku buka mulut. Disuapkannya aku dengan pulut kuning kesukaanku itu. Kemudian dia menyambung kembali bicaranya.
"Abang tiri kamu tu pun, sekarang dah jadi saintis muda dan dia berhijrah ke Manchester, rasanya tak jauh dari tempat tinggal Mr Edward dengan mommy kamu tu.. dia pun dah berumah tangga, cantik isteri dia.. ni hah gambar, tengoklah sendiri.." cerita acu Aura panjang lebar.
Mendengar ayat terakhir daripada acu Aura tentang Elhan yang sudah mendirikan rumah tangga itu, bagaikan nyawaku direntap kasar. Serta-merta aku rasa tercekik dek sumbatan pulut tadi. Memerah wajah pucatku menahan perit di tekak. Segera aku meneguk air di gelas kaca huluran acu Aura.
Namun, gelas di pegangan tangan terus terlepas apabila mata ini bertembung dengan sepasang mata lelaki berkaca mata yang berdiri di samping Dr Qayyum.
"Ara..Arabella..it's you?" soalnya seolah tidak percaya.
"Aail.. Nur Bhaiyinah's fiancee?" tanyaku kembali pada dirinya itu. Ada senyuman terukir di wajah itu sambil kepalanya diangguk beberapa kali.
"Eh, kenal ke..kalau macam tu senanglah nak bekerjasama.." Dr Qayyum mencelah.
Dr Qayyum dan acu Aura meninggalkan aku dan Naail Nadhir berdua di situ. Naail Nadhir meneruskan sahaja dengan tujuan utamanya ke sini. Berikutan masa melawat hampir tamat.
"Ara, tolonglah Ara...jangan mengalah begini, Aail tahu Ara tak sebegini orangnya...cuba ingat balik Ara..!"
"Tak perlu bersusah payah Aail, Ara dah putus harapan, semua tuduhan memberat ke arah Ara..Ara memang orang yang terakhir sekali berada dengan arwah masa tu, mungkin Ara lakukan tanpa sedar.." aku menundukkan kepalaku.
"Ara..!!! wake up, Ara...Ara sanggup dihukum gantung atas kesalahan yang tidak pernah Ara lakukan..?!" suara itu sedikit meninggi. Tersentak aku dibuatnya.
"Kenapa beria-ia Aail nak bantu, padahal dah hampir dua tahun, dan tinggal seminggu je lagi, Ara bakal digantung! Why Aail, kenapa tak dari dulu..?" suaraku juga naik seoktaf, namun segera aku ditegur oleh pengawas pusat.
"Kami semua minta maaf Ara, Ara pergi tanpa sebarang pesan, kehilangan Ara sangat mendadak, kami sudah berusaha sebaik mungkin tapi kami semua menemui jalan buntu. Mungkin izin Allah, acu Aura dipindahkan sementara ke sini, dan secara kebetulan berjumpa dengan Ara sewaktu Ara sakit pada musim sejuk baru-baru ni.." terang Naail Nadhir panjang lebar.
Mendengar suara pengawas pusat penjara yang melaungkan waktu lawatan sudah tamat itu, membuat Naail Nadhir menghentikan beberapa soalannya terhadapku. Sempat dia mengarahkan aku supaya mengingatkan kembali jika ada apa-apa pesanan terakhir arwah daddy Ayaz yang ditinggalkan kepadaku atau apa-apa barang berkaitan yang boleh dijadikan bahan bukti untuk menyangkal tuduhan terhadapku.
"Aail minta diri dulu, jika Aail tidak ada apa halangan, Aail akan bertemu Ara lagi di sini, jika tidak ada orang lain yang akan ganti tempat Aail nanti, don't worry ok..semuanya akan baik-baik sahaja.." ucap Aail Nadhir seraya melangkah meninggalkan aku yang dibawa pergi oleh seorang pengawas pusat penjara tersebut.
"Aail terima kasih, dan selamat pengantin baru..rasanya dah terlalu lambat untuk ucapkannya.."
"Tak Ara, ia baru seperti semalam terjadi..Nur semakin cantik, tambahan lagi sedang berbadan dua..Aail rasa Aail orang paling bertuah dikurnia Nur sebagai pedamping hidup Aail. Doakan kami ya Ara, semoga hubungan kami berkekalan hingga ke Jannah.." senyuman Aail Nadhir semakin mekar di wajah dan dia juga menyuruh aku membuat perkara yang sama.
Bagaimana aku bisa mampu tersenyum Aail Nadhir..? Hanya berbekalkan tujuh hari aku bakal dihadapkan ke tali gantung! Mampukah untuk aku tersenyum lagi?
"Ya..Allah, berikanlah hamba-Mu secebis kekuatan..dan kurniakan keajaiban-Mu pada hamba-Mu yang lemah lagi kerdil ini " pintaku sungguh-sungguh di atas sejadah setelah usai menunaikan solat Isyak di bilik tahananku semula. Air mataku menitik lebat membasahi wajahku yang cengkung dan pucat.
Sepucuk surat kiriman Elhan yang disampaikan oleh acu Aura tadi aku buka perlahan-lahan dan terus membaca isi suratnya dalam sinar cahaya bulan yang mengambang terang di malam ini.
Bellaku tersayang,
Sudah sekian lama aku menanti kehadiranmu di sisi. Rindu yang kian menyesakkan dadaku untuk meniti waktu tanpa kehadiranmu di sisi membuatkan jiwaku hidup dalam kekosongan. Bayanganmu selalu memenuhi hati dan perasaanku. Tanpa sedar aku benar-benar jatuh hati padamu, sayangku..Arabella.
Sebenarnya, pertama kali aku bertentang mata denganmu, dada ini terasa ada sesuatu yang mengikat aku dengan kamu. Tapi ego aku melangit, Bella..sebolehnya aku mengusir perasaan suci ini terhadapmu. Aku berlagak seperti aku abang tiri kamu dan tidak lebih daripada itu.
Namun, sejak pemergianmu tanpa ada sebarang tanda untuk kembali lagi, aku pasrah dengan ketentuan Ilahi. Acu Aura juga telah memaklumkan kepadaku bahawa dirimu telah dijemput Ilahi semasa di dalam perjalanan untuk kembali ke sini.
Buah hatiku sayang,
Semoga dirimu tenang di sana. Aku sentiasa mendoakan kesejahteraanmu di alam sana. Setiap hari aku berdoa agar kita kembali berjumpa suatu hari nanti. Dan, aku ubati kelukaan hatiku dengan membina mahligai bersama gadis pilihan papaku, 'Mr Hitler' kita semua dulu di kampus. Yang aku tak mengerti, dia tidak ubah kelihatan seperti dirimu, sayang..!
Isi surat itu terhenti setakat itu sahaja. Aku terhenyak, air mata yang sejak tadi mengembang di pinggir kelopak mata kini menitis di pipi. Air jernih itu semakin banyak bercucuran. Pelbagai persoalan yang berlegar di fikiranku saat ini, mengapa acu Aura tega memalsukan keberadaan aku di atas muka bumi ini terhadap pengetahuan Elhan dan juga keluargaku? Apa hak dan alasan acu Aura buat begini terhadapku? Atau... ini adalah jawapan bagi persoalanku yang selalu bermain di benakku!
Aku rasa benar-benar mati sebelum ajalku tiba. Alangkah hebatnya takdir mempermainkan diriku..! Tak terjangkau dek akal fikiranku semua ini harus aku tempuhi dalam kehidupanku.
Kepalaku semakin memberat setelah aku memaksa diri bekerja keras untuk berfikir terlalu lama. Tangan mula naik memicit-micit dahi untuk mengusir rasa denyutan yang kian menjadi-jadi.
Arghh.. penyakit migrainku menyerang lagi! Dalam bulan ini sahaja sudah begitu kerap penyakit ini menyerang diriku. Tidak mampu lagi untuk aku menahan kesakitan, akhirnya aku terkulai layu di atas sejadah yang masih lagi berbungkus dengan kain telekungku yang sangat memberikan makna terhadap diriku ini.
Kain telekung pemberian Elhan, di hari lahirku yang kedua puluh dua tahun. Kain telekung ini juga yang kugunakan hampir dua tahun berada di tahanan tirai besi ini. Saat memakainya aku merasa Elhan sedang memelukku hangat di dalam dakapannya. Tidak aku sangka, kata-katanya semasa menghantar aku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hampir dua tahun lepas, menjadi suatu doa yang termakbul.
Masih terngiang-ngiang kata-katanya itu yang berlagu sendu dan lirih.
"Jangan tak balik lagi di sini pulak nanti..!" bisiknya perlahan sambil melabuhkan kucupan di puncak kepalaku.
Kata-kata yang aku perlekehkan dulu, kini menjadi satu kenyataan, aku benar-benar tidak lagi kembali padanya. Tangan yang lemah naik menyentuh ubun-ubunku dalam getaran yang hebat. Masih terasa hangat kucupan yang dilabuhkannya itu terhadapku. Sungguh takku sangka, itu merupakan kucupan terakhir daripadanya.
"Abang Elhan, tunggu Bella di sana nanti..!" gumamku perlahan. Sepasang mataku terpejam rapat dan aku tidak sedarkan diri lagi. Duniaku gelap-gelita seperti tiada lagi sinar yang sudi untuk menerangi hidupku ini.
Done update..
Share this novel