PENAT juga membawa perut yang semakin membesar ni. Dah nak masuk sembilan bulan usia kandunganku ini. Kadang-kadang dah rasa sesak nak bernafas. Di pangkal rahim pun dah rasa amat berat. Berjalan sikit pun mudah termengah-mengah. Mana taknya, ada dua malaikat kecil hadir di dalam rahimku.
Suasana di luar rumah mak cik Erni Junaidah, ibu kak Pipah riuh-rendah. Di hadapan rumah, kaum bapa sedang sibuk memasang khemah manakala di penjuru rumah pula kelihatan mak cik- mak cik jiran tetangga merewang sambil seronok berbual-bual.
Riuh mulut mak cik Erni Junaidah mengarah itu ini. Aku pula, tak dibenarkan untuk menolong di dapur. Nak usik kat depan pun tak boleh juga. Penyudahnya, duduk melayan pulut kuning dan rendang ayam di sudut rumah sambil berbuai. Mentang -mentanglah perut aku yang memboyot, semua kerja tak dibenarkan aku sentuh.
Ermylia Juniffah a.k.a kak Pipah pun bukan main lagi becok mulutnya melarang aku melakukan apa-apa. Tak padan dengan status bakal pengantin. Sewaktu aku tinggalkan dia di bilik tadi pun, dia tengah bersiap untuk majlis akad nikah petang nanti.
Pulut kuning yang berada di pinggan dicubit. Aku mengalih pandang kepada empunya tangan yang mengusik pulut kuningku. Tersengih-sengih mulut suami tampanku ini sambil mengunyah. Tadi bukan main lagi berkobar-kobar semangat nak menolong pak cik-pak cik kat depan tu. Tapi tak sampai sejam dia membantu, dah sibuk cari aku.
"Dee.. Dee ok ke tak ni...ala..la..la.. berpeluh-peluh ni, ciannya dia.."
"Tak maulah panggil Dee, panggil abang ok..berapa kali nak abang remind ni.."
"Aduh... sakitlah hidung Bella ni Dee, ops, abang...!" aku dah tekup mulut dengan sebelah tangan. Kejung aku melihat renungan tajam diberikan oleh jejaka ini.
Suamiku ini sudah menggelengkan kepalanya. Manik-manik jernih yang membasahi kulit wajah dihapus dengan sapu tangan yang ditarik keluar dari kocek seluar 'slack cotton' jenama Dockers itu. Aku yang ingin membantu dihalang dengan lembut. Aku dah tarik muka. Memang senang sangat hatiku terguris sejak berbadan dua untuk kali ini. Terkadang pening kepala suamiku ini melayan perangaiku yang mengalahkan Arisha, anak bongsu aku itu.
Majlis akad nikah Ermylia Juniffah berjalan lancar di Masjid Al-Muttaqin, satu-satunya masjid tertua di kampung keluarganya ini. Perkarangan masjid dipenuhi dengan sanak saudara Ermylia Juniffah, jiran tetangga dan keluarga sebelah pihak pengantin lelaki.
Ermylia Juniffah yang diandam oleh Nur Bhaiyinah dari Bukit Pengantin Daisy Bougainvillea kelihatan tersenyum manis duduk bersimpuh di sebelahku. Mak cik Erni Junaidah juga kelihatan cantik petang itu. Jarang dapat melihat ibu kak Pipah yang sudah kupanggil umi Erni itu berlawa-lawa.
Untuk majlis perkahwinan Ermylia Juniffah, khidmat andaman dari Bukit Pengantin Daisy Bougainvillea milik Nur Bhaiyinah sekali lagi di pilih. Aku memang suka dengan khidmat rakan seuniversitiku ini, tak sangka dia terjun dalam bidang perniagaan juga seperti diriku. Lepas rinduku padanya yang sudah sekian lama tidak bertemu. Kini, Nur Bhaiyinah bahagia dikurniakan lima orang zuriat bersama suami tercintanya, Naail Nadhir.
Aku dan suamiku menaja kos keseluruhan untuk andaman, pelamin dan pakaian pengantin Ermylia Juniffah pada hari bahagianya walaupun kedua-dua mempelai menolak hasrat aku pada awalnya, tapi setelah kupujuk berulang kali, akhirnya kedua-dua mereka terpaksa menerimanya. Yalah, kak Pipah tu dah tak ubah bagai kakak kandung kepadaku. Hanya dia tempat aku mengadu nasib, susah senang bersama. Tak salah rasanya jika aku melakukan semua ni untuk dia.
Dengan sekali lafaz, sah kini Ermylia Juniffah bergelar isteri kepada Eijaz Eilhan Eward. Ya, isteri kepada abang ngah arwah suamiku. Ada air mata bergenang di pelupuk mata kami. Aku terharu kerana akhirnya, kak Pipah merealisasikan impianku untuk melihat dia membina mahligai bahagia bersama lelaki yang dalam diam menyimpan perasaan pada dirinya ini. Hampir tiga tahun aku menunggu hari bahagia ini menjadi kenyataan.
Terlayar kembali ingatanku terhadap perbalahanku dengan dirinya. Aku sempat bertengkar hebat dengan Ermylia Juniffah saat aku membuat keputusan untuk menikah bersama Dr Naim Nazreen dua tahun lepas.
*** imbas kembali ***
"Kau jangan buat kerja gila, Bella..kau tahukan anak-anak dah rapat dengan Eijaz. Dan..dan..kau nak bernikah pula dengan Dr Naim.." jerkah kak Pipah di ruang dapur.
"Bella, tak nak hidup dalam bayangan arwah abang Elhan lagi kak Pipah, Bella tak nak tipu diri dengan menggunakan Eijaz..Bella tak jujur dengan Eijaz, kak.." bentakku semula tak mahu kalah.
"Apa maksud kau ni, Bella..? Jangan kata, kau anggap Eijaz tu arwah Elhan.."
"Ya kak..itu kebenarannya, Bella tak nak kak.. terus lukakan hati Eijaz, dalam masa yang sama Bella lukakan hati Bella sendiri, biarlah Bella menikah orang yang benar-benar cintakan Bella, cinta itu boleh dipupuk kan kak Pipah.." suaraku sudah mengendur tidak keras lagi seperti mula-mula tadi.
"Allah, Bella...kau buat jantung aku ni nak meletup kau tahu tak, selama ni..Bella rapat dengan Eijaz semata -mata nak lepaskan rindu pada arwah Elhan... Astaghfirullah Al Aazim..." kak Pipah urut dadanya yang terasa sesak. Melihat anggukkan kepalaku langsung buat dia terduduk di lantai jubin granit berwarna hijau lumut itu.
"Kak... kak Pipah, maafkan Bella kak.. Bella dah buat keputusan, Bella akan menikah juga dengan Dr Naim Nazreen dan kak Pipah tolong menikah dengan Eijaz ya..Eijaz sayangkan akak.. bukannya, Bella. Itu yang diluahkan Eijaz masa Bella tanyakan perasaan dia terhadap Bella dulu.." aku memujuk Ermylia Juniffah.
"Kau biar betul Bella, takkan Eijaz tu berkenan pulak kat akak ni..?" kak Pipah masih ragu-ragu dengan kenyataan itu. Bulat sepasang matanya menikam wajah mulusku.
"Kak Pipah, perasaan cinta tu boleh wujud di dalam hati sesiapa sahaja. Kak Pipah percayakan takdir Allah.. anggap sahajalah ini ketentuan dari Yang Maha Esa buat kita, kak..." aku memeluk erat tubuh Ermylia Juniffah dan anggukan gadis kecil molek ini benar-benar melegakan hatiku. Deraian air mata dan esakkan antara kami bergema di serata ruangan sederhana besar itu.
*** imbas kembali tamat ***
***
Dah rasa sakit pinggang aku ni. Macam nak terputus rasanya. Sekejap-sekejap perutku rasa memulas. Ini dah macam rasa contraction, sakit nak bersalin. Aku mengerling kepada Dr Naim Nazreen yang tersenyum di sebelah Eijaz Eilhan Edward. Sesi membatalkan air sembahyang yang ingin dilakukan sebentar tadi terganggu dek jeritanku yang meneriakkan nama Dr Naim Nazreen dengan lantang. Rasa sakit tidak tertanggung lagi apabila rasa contraction itu semakin ketara. Mujur Eijaz Eilhan Edward sudah selamat menyarungkan sebentuk cincin berlian bertatahkan batu permata ke jari manis isterinya itu.
Kelam kabut Dr Naim Nazreen mendapatkan aku. Merona merah padma wajahnya apabila semua mata telah terarah pada kami berdua. Kalau diikutkan hari ni usia kandunganku dah masuk empat puluh minggu. Esok tarikh due aku bersalin. Alahai, anak kembar aku ni dah tak sabar nak lihat dunia agaknya.
"Sakit sangat ke sayang..?" tegurnya yang menyedari aku sudah berkerut -kerut dahi menahan kesakitan.
"Sakitlah...kalau tak takkan sayang menjerit macam nak terkeluar anak tekak ni..tolong, abang...dah tak tahan sangat ni.." aduku manja. Lengan kekar itu aku genggam erat.
"Yalah.. dah..dah, kita ke hospital sekarang, takut pulak tak sempat.. jangan takut ya, percaya pada abang, abang kan doktor.." Dr Naim Nazreen terus mencempung tubuhku lalu dikejarkan aku ke hospital berhampiran.
Ketika sampai di hospital, aku terus ditolak ke dewan bersalin. Dr Naim Nazreen menemaniku apabila dia memaklumkan dirinya juga salah seorang 'Obstetrician' pada doktor yang bertugas. Dan yang peliknya, doktor wanita itu sudah memberikan tugasnya kepada suamiku ini. Aku dah agak, Dr Zaharah, nama yang tertera di tag namanya ini mesti kenalan suamiku. Dia hanya menemani suamiku, membantu apa yang patut semasa proses kelahiran anak kembarku ini.
Sebentar, Dr Naim Nazreen mengusap kepalaku. Dilabuhkan kucupan di ubun-ubunku dan terkumat-kamit bibirnya membaca sepotong doa. Genggaman jejemariku masih utuh di jari-jemari kasar suamiku. Hanya anggukan yang bisa aku berikan kerana kesakitan yang agak ketara kurasakan saat ini, menghalang untukku berbicara.
"Sayang.. percaya pada abang ya, sayang...abang akan lakukan yang terbaik buat sayang dan anak-anak kita.." bisik Dr Naim Nazreen penuh kelembutan pada cuping telingaku.
Elok sahaja lepas Dr Naim Nazreen mengucup kedua-dua belah pipiku, terasa air ketubanku pecah. Saat itu juga aku rasa seperti kepala bayi telah berada di pintu rahim. Ya Allah, sakitnya tak terkata!
Hampir lima jam bertarung nyawa, Alhamdulillah, bayi kembarku selamat dilahirkan. Rasa lelah dan kesakitan ketika dijahit Dr Zaharah tidak terasa sedikit pun. Kedua-dua bayi yang masih belum dibersihkan, dibalut dan ditunjukkan kepadaku seketika. Ya Allah, indahnya kurniaanMu. Menitis air mataku mensyukuri nikmat pemberian Yang Maha Esa buat kehidupan baruku bersama Dr Naim Nazreen.
Mungkin kerana telah banyak tenaga dan kudrat aku gunakan semasa meneran tadi badanku rasa sangat letih. Mata mula rasa mengantuk. Dr Naim Nazreen yang masih setia menemaniku menghulurkan air Milo panas yang dihantar oleh jururawat sebentar tadi.
"Sayang...minum air Milo ni dulu. Kejap lagi sayang tidur ya.." ujarnya lembut.
Aku menenguk air Milo panas yang disuakan oleh suamiku ini.
"Hmmmm... nikmatnya.. terima kasih abang.." lengan kekarnya aku paut erat.
"Sayang...kejap lagi nurse akan datang bawa babies.Kalau sayang larat, bolehlah susukan babies. Tunggu abang azankan babies dulu ya.." bicara Dr Naim Nazreen itu sayup-sayup mengetuk gegendang telingaku. Mataku semakin memberat.
Aku tersedar daripada lena ketika telingaku menangkap suara Dr Naim Nazreen yang sedang mengazankan kedua-dua puteranya silih berganti. Syahdu sekali gemersik suara itu, rasanya sama seperti waktu arwah Elhan mengazankan Eshal. Kemudian, Dr Naim Nazreen berpaling ke arahku lalu kedua-dua bayi lelaki yang sihat dan comel kami diletakkan di kiri dan kananku. Dahiku dikucup lagi, lama dan hangat. Air jernih yang mengalir dari pelupuk mataku diseka lembut dengan ibu jarinya. Kepalanya digeleng-geleng.
"Thank you sayang for this lovely gifts. You complete us.." ucapnya lembut.
Putera-putera kami kusentuh perlahan. Terdengar tangis kecil daripada bibir comel itu. Geram aku dibuatnya. Pipi montel kedua-duanya buat aku nak gomol-gomol aje. Comel sangat macam daddynya ni.
"Happy birthday abang, this is my special gifts for you. Bella hari-hari berdoa agar Allah makbulkan doa Bella untuk lahirkan putera-putera kita hari ni" bisikku.
"Abang tak akan lupa sampai bila-bila sayang, hari yang paling bahagia untuk abang. Bukan senang tau abang nak buat sayang jatuh cinta dengan abang.." balasnya.
Ayat terakhir Dr Naim Nazreen itu sedikit menyentak hatiku. Ya, aku akui. Susah benar aku ingin menghapus kenangan arwah Elhan yang tercipta denganku, tambahan bila sepasang iris ini terpandangkan wajah milik Eijaz. Mahu jadi gila aku dibuatnya.
"Erm..tak sudah-sudah termenung. Abang dah pilih nama untuk twins.. Nafil Anaqi bin Naim Nazreen untuk adik, abangnya pula Naaz Aniq bin Naim Nazreen..ringkas dan senang nak sebut.." ujar Dr Naim Nazreen sambil tersenyum.
"Hmmm..bukan tu nama yang Bella cadangkan ke?" Aku tergelak mendengar nama yang dipilih oleh suamiku ini. Hari tu mati-mati tak nak nama tu.Katanya nak nama Naim di hadapan. Alih-alih dah tukar fikiran pulak.
"Panjang pulak jadinya nak tambah Naim kat depan tu, kalau ada rezeki anak-anak yang menyusul lepas ni abang letak nama tu..."
"Abang...ingat Bella ni muda lagi ke.. abang juga yang cakap bahaya untuk umur-umur Bella ni mengandung lagi.."
"Abang gurau je...buat abang ini pun dah cukup sayang...lagi tiga yang sedia ada tu pun abang tak terlayan. Sayang sudah buktikan pun, sayang dah terima abang sepenuh hati kan..?"
"Ya, sayangku..jangan risau, arwah abang Elhan dah jadi kenangan terindah buat Bella, sekarang cinta Bella buat abang seorang je.."
"Terima kasih sayang..abang cintakan sayang..sedalam lautan yang tidak berpenghujungnya.Infiniti..!"
Seketika, aku terdengar kuakkan daun pintu bilik wad yang menempatkan aku di hospital ini.
"Amboi, sweeetnya...anak menantu umi ni, macam nilah...bahagia, kalau tak asyik nak berbalah aje. Mana cucu twins umi..?"
"Tu...tengah tidur, baru lepas menyusu..abi mana umi..?" jawab Dr Naim Nazreen bagi pihakku.
"Ada kat bawah, tengah jumpa dengan kawan lama. Biasalah abi kamu tu, kawan ramai..comelnya cucu-cucu umi...nanti berpantang rumah umi ya.." ajak Datin Nayla Nadhirah yang tengah mendukung Naaz Aniq yang tengah menangis. "Hai, nak susu lagi ke..cucu, tok umi ni..?" Datin Nayla Nadhirah berpaling kepadaku.
"Ermmm...kat rumah mommy pun boleh juga kalau Bella nak" Mommy Aralynn pula sudah mengendong Nafil Anaqi, si adik yang masih lena. Diam sahaja di dalam dukungan neneknya itu.
"Acu Aura pun ada boleh tengok -tengokkan" sampuk acu Aura yang sedang menunggu giliran untuk memeluk si kembar.
Mommy Aralynn dan acu Aura sampai dari Kuala Lumpur subuh tadi. Itu yang diberitahu suamiku. Aku merenung wajah mommy Aralynn dan acu Aura yang sudah tersenyum. Pandangan mata kami bertaut. Aku tahu, dalam hati mommy Aralynn ada rasa gembira melihat aku disayangi oleh keluarga mentua. Ibu mana yang tak bahagia melihat anak mereka diterima baik oleh keluarga mentua.
Mommy datang menghampiri aku. Satu ciuman aku hadiahkan di pipi ibuku. Terus tubuh aku dipeluk mommy Aralynn. Rindunya pada ibuku ini hanya Tuhan yang tahu. Aku membalas pelukkan ibuku. Kejap. Rasa kasih seorang ibu mengalir daripada pelukannya itu.
***
Wajah comel Nafil Anaqi bersama Naaz Aniq kuelus lembut. Minggu lepas baru sudah mengadakan majlis aqiqah si kembar yang diadakan di rumah keluarga mentuaku di Kuala Lumpur. Masih terasa kemeriahan majlis yang berjalan lancar. Terlihat pasangan pengantin baru kelihatan bahagia. Berseri-seri wajah kak Pipah di samping suaminya, Eijaz Eilhan Edward. Tak sia-sia 'kerja gila' yang kami berdua ambil suatu masa dulu membuahkan hasilnya. Kini, Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu menjadi destinasi tujuan utamaku. Jika ada kelapangan, bumi Turki kujejaki juga menjenguk mommy Aralynn di sana.
Udara malam dari balkoni bilik kami sangat menyegarkan. Aku baru sahaja sudah menyusukan pasangan kembar, membawa diriku sebentar berdiri di balkoni melihat keindahan dada langit di malam hari. Leherku terasa hangat. Aku tahu bibir Dr Naim Nazreen yang melekap di situ. Dah jadi kegemarannya akan melakukan aktiviti itu setiap kali melihat aku mengelamun. Terlayah tubuhku pabila kucupan daripada jejaka tampan ini sedikit bernafsu.
"Eiii...nakal tau abang ni."
"Rindulah kat sayang, dah lama tak berdua-duaan macam ni" bisik Dr Naim Nazreen mengundang senyum di bibirku.
Aku berpaling menghadap Dr Naim Nazreen pabila pelukkan kejap di pinggang rampingku terlerai perlahan -lahan. Aku lingkarkan tanganku di leher Dr Naim Nazreen yang kelihatan kacaknya lain pula dari hari-hari sebelumnya. Sengaja aku leretkan senyumanku. Pandangan mata kami bersatu. Ada sinar cinta yang tak pernah pudar aku temui di sebalik renungan mata yang redup itu.
"Thank you sayang..."
"Thank you for what?" aku dah angkat kedua-dua belah bahuku. Hidungku pula dicuitnya.
"Thank you for giving me so much happiness and for completing my life."
Terdiam aku mendengar ucapan kasih daripada mulutnya. Jari-jariku bermain-main di bibirnya, lantas Dr Naim Nazreen kucup jejemariku.
"Abang...terima kasih juga terima Bella dalam hidup abang, terima Yumi, Eshal dan Arisha, anak-anak arwah abang Elhan. Layan mereka bertiga macam anak-anak abang...sorry tau, dulu Bella tolak lamaran pertama daripada abang..." aku tayang muka comel. Kekura lengan kekar Dr Naim Nazreen aku kucup syahdu.
Dr Naim Nazreen hanya tersenyum. Dia dekatkan wajahnya dengan wajahku. Bibir mungilku dicari dan terus dipagut lembut. Terlalu asyik menikmati tautan itu, tubuhku sudah terasa berada di awang-awangan. Tubuhku sudah selamat dicempung oleh sepasang lengan kekarnya lalu dibaringkan aku di atas katil bersaiz besar itu dengan penuh berhati-hati.
Dr Naim Nazreen sudah berbaring di sebelahku. Lenganku ditarik lembut, membawa tubuhku merapat ke dada bidangnya. Sengaja aku melentokkan kepalaku di situ. Jari-jemari runcingku sedang menari-nari di dada bidangnya yang terdedah. Sesekali aku kucup dada kirinya itu. Wangi..!
"Sayang....jangan goda abang tau.. taulah sayang tu berpengalaman..tahu je mana kelemahan abang ni.."
Aku tertawa bahagia. Lawak juga aku dengar bicara suamiku ini. Mana hilangnya 'bad boy' yang selalu mengacau diriku dulu...?
"Kenapa ketawa pulak..sayang ni aneh-aneh je malam ni, seram pula abang..."
"Mana ya bad boy yang nakal sangat masa kat uni dulu..sampai nak buat perkara tak bermoral tu pada diri ni...?" sengaja aku ungkit cerita lama tu, nak tahu kebenarannya.
"Woo...woo..dah jangan ungkit kisah lama tu, abang minta maaf..memang dulu abang nakal, abang hanya rasa tercabar bila sayang tak layan abang...dulu memang abang iri hati sangat dengan arwah alang Elhan.. Abang buat macam tu sebab nak kan perhatian, sayang.Gila tak suka, dalam batch kita, sayang paling cantik dan hot kot! Lebih-lebih kalau sayang pakai dress..wow seksi, kulit putih melepak, geram..." ujar Dr Naim Nazreen panjang lebar.
"Oh, sekarang ni tak hot lagi ke..?" soalku kini dah berada di atas perut Dr Naim Nazreen. Entah bila aku bertukar posisi.
"Now, lebih seksi dari dulu...sayang benar-benar dah cabar abang ni..."
Terjerit-jerit aku di bawah selimut ini akibat ulah Dr Naim Nazreen. Malam itu, kami melayari bahtera penyatuan antara kami sehangat semarak api cinta kami yang semakin berbunga mekar. Maklum sahajalah, Dr Naim Nazreen sudah lama berpuasa. Hampir empat bulan dia mengurungkan niatnya itu. Malam ini terasa sangat panjang dengan setiap sentuhannya terhadap diriku. Bijak dia memainkan peranannya, mungkin dirinya lebih arif kerana berpengetahuan luas dalam hal-hal sebegini, maklumlah dia kan seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi.
Hari demi hari, cintaku semakin kuat untuk Dr Naim Nazreen. Sikap tolak ansur, prihatin dan kasih sayang yang melimpah ruah buat aku dan anak-anak kami membuatkan aku semakin hari semakin bahagia. Tiada lagi kedukaan yang berpanjangan memeluk diri ini. Aku harap bahagia yang kukecapi ini berpanjangan seperti indahnya pelangi selepas hujan.
"Abang...Bella nak tanya satu soalan boleh...?"
"Apa dia sayangku...?"
"Sedalam mana cintamu terhadap diriku ini, wahai suami kesayangku...?"
"Erm....aku cintakan kamu sedalam lubuk hati yang paling terdalam, sayang...sehinggakan aku sanggup gadaikan nyawaku untuk dirimu. Percayalah, cintaku infiniti buat dirimu, sayang... dirimu pun begitu jua kan?"
Aku angguk kepalaku laju. Bibir kami bertautan. Kini, aku sudah merasai kejujuran di sebalik kata-kata yang terluah dari bibir kemerah-merah suamiku ini. Terima kasih Ya Allah, kurniakan lelaki sehebat Dr Naim Nazreen untuk diriku. Tidak sia-sia aku memilih dia sebagai pedamping hidupku yang pada mulanya aku menganggap keputusan ini tak ubah sebagai sebuah perjudian.Tidakku sangkakan, sungguh dalam cintanya buat diri ini..! Tidak main-main, sungguh hanya untuk diri ini!
~ TAMAT ~
Erna Md Nordin
19.09.2024 / Khamis
02:21 pm
Alhamdulillah, tamat sudah perjalanan ceritera cinta Arabella yang penuh berliku mendambakan sebuah cinta agung seorang lelaki. Harapnya semua berpuas hati dengan karya author pada kali ini. Enjoy reading semua. Yang baik kita jadikan teladan, dan yang buruk kita jadikan sempadan. Terima kasih kepada semua yg masih setia menyokong garapan author yg tidak seberapa ini. Jangan lupa terus follow, memberikan komen-komen yg membina buat author. Author amat menghargainya. Sekian...terima kasih sekali lagi...
Share this novel