SEPERTI semalam, aku sudah tekad untuk menjejakkan kakiku semula ke syarikat A&A Group TravelTrip yang pernah kuterajui suatu masa dulu. Sudah lama aku tinggalkan syarikat tersebut di bawah pengawasan Farihye dan juga Ömer. Sengaja aku tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada kakak sepupuku ini tentang kedatangan aku pada hari ini kerana ingin membuat kejutan kepadanya dan seluruh
kakitangan perusahaan ini.
Rindu pada pejabatku yang kemas tersusun. Ini mesti kerja kak Farihye. Meja yang sedikit berhabuk kubersihkan. Bunga yang sudah layu telah kubawa keluar. Perlu digantikan sebentar lagi. Pewangi udara pun sudah kutukar. Harum dan berbau segar kembali bilik ini. Mataku tertancap ke arah bingkai kecil yang berada di sebelah skrin komputer. Aku tatap bingkai gambar itu. Gambar aku bersama arwah Zill Qayyim terhias indah di dalamnya. Gambar ketika kami di majlis pernikahan yang penuh dengan kontroversi. Hatiku menjadi sungguh sayu. Tak betah rasanya untuk menatap gambar itu lama-lama. Terus sahaja aku simpan di dalam laci meja kerja berwarna coklat gelap itu.
Haruman perfume yang dipakai oleh kak Farihye semerbak mewangi walaupun bayangnya masih belum kelihatan. Bergabung pula dengan bauan perfume Ömer membuatkan aku semakin tidak sabar untuk bertentang mata dengan pasangan merpati dua sejoli itu.
"Günaydın..bayan Bella, tekrar hoş geldiniz..uzun zamandır görüşmüyorduk.." ucap Farihye sambil memeluk erat tubuhku. Dia mengucap kan selamat pagi kepadaku, dan menyatakan kerinduannya yang sudah lama tidak bertemu denganku. Tidak lupa juga mengalu-alukan kedatangan aku pada hari ini.
Ömer cuma tersenyum kepadaku sambil menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormatnya kepadaku. Aku mendongak memandangnya, lantas membalas dengan menghadiahkannya sebuah senyuman nipis.
"Günaydın, Farihye..Ömer, mutlu yeni evliler, hadi kahvaltı yapalım.." aku mengucapkan selamat pagi kembali kepada mereka berdua.
Lantas mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan itu. Walaupun sudah agak terlambat, namun aku rasa masih wajar untuk aku ucapkan kepada mereka. Aku mengajak mereka bersarapan bersama denganku berikutan hari masih awal untuk memulakan tugas.
Sepanjang menikmati sarapan, banyak yang kami kongsikan cerita mengenai pembangunan syarikat. Tidak aku menjangkakan usahasama dengan syarikat Brisdale Internasional Hotel Sdn Bhd dari Malaysia itu membuahkan hasil. Keuntungannya yang hampir ke tahap tertinggi dan sudah melepasi pencapaian dengan anak-anak syarikat yang lainnya membuatkan aku sangat berbangga dengan kebolehan Farihye bersama suaminya, Ömer. Tidak sia-sia aku melepaskan urusan syarikat ini di tangan mereka berdua.
Kini, aku sudah berasa lapang dada untuk melepaskan syarikat perusahan turun-temurun arwah daddy Ayaz kepada mereka berdua. Dan puan Aralynn akan aku lantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di A&A Group TravelTrip yang akan menggantikan tempatku nanti.
Aku arahkan Farihye selaku pembantu peribadiku ini mengadakan mesyuarat pada pagi ini. Ada yang ingin aku umumkan kepada seluruh karyawan A&A Group TravelTrip tentang pengunduran diriku yang akan berkuat kuasa tidak lama lagi. Telefon bimbit yang berada di atas meja kerja aku capai dan segera menekan nombor milik pemandu upahan yang aku gajikan untuk puan Aralynn. Aku arahkan seorang lelaki lingkungan lewat empat puluh tahun ini yang dikenali sebagai encik Baris untuk menghantar ibuku ke pejabat saat ini.
Setelah semuanya telah disiapkan oleh Farihye di bilik mesyuarat itu, aku sebagai ketua, tanpa membuang masa memulakan mesyuarat itu setelah Farihye terlebih dahulu membuka bicara alu-aluan seperti kebiasaannya.
Dengan penuh sukacitanya, aku melantik puan Aralynn sebagai CEO baru untuk A&A Group TravelTrip yang menggantikan tempat aku berkuat kuasa pada Isnin hadapan. Kira-kira lagi tiga hari masa berbaki untuk puan Aralynn menyiapkan dirinya. Aku kekalkan jawatan Farihye selaku Ketua Pengawai Operasi (COO) dan juga merangkap pembantu peribadi kepada puan Aralynn, manakala Ömer sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat. Lembaga Pengarah pula masih aku kosongkan untuk nama arwah daddy Ayaz bersama rakan kongsinya untuk menerajui syarikat ini. Seorang jutawan dan merupakan pelabur terbesar dari Dubai.
Mesyuarat yang berakhir menjelang waktu rehat tengah hari itu membuatkan aku mengambil keputusan untuk membelanja seluruh karyawanku untuk makan siang pada hari itu. Mungkin ini kali terakhirnya aku dapat mentraktir mereka yang bertungkus lumus membangunkan syarikat perhotelan ini sebelum membawa diri ini berhijrah ke bumi Malaysia.
"Bella, bila nak berangkat ke Malaysia..? Dah dapat ke rumah dekat Terengganu tu..?" puan Aralynn menyoal tentang penghijrahan aku untuk kembali ke Malaysia setelah menghabiskan suapan terakhirnya.
"Ikut perancangan awal, Bella akan berangkat Jumaat petang nanti, mommy..rumah tu masih dalam perbincangan, uncle Qayyum yang akan uruskan nanti.." balasku pada puan Aralynn.
Air jus oren segar itu aku sedut rakus sehingga ke titisan terakhir. Rasa pedas yang menyengat membuatkan lidahku terasa tebal dan hampir mahu terbakar. Menyesal pula aku makan ayam sambal yang merah menyala itu. Walaupun rasanya pedas berapi tapi kesedapannya buat seleraku mengugah.
"Mommy balik dululah ya, kesian bik Jorah keseorangan menjaga anak-anak kamu tu, Arayumi kejap lagi dah nak balik dari sekolah..mommy nak luangkan masa dengan cucu-cucu, mommy..tak lama lagi dah nak berpisah.." Wajah sedih dan muram puan Aralynn membuatkan aku serba salah.
"Baiklah, mommy...mommy boleh balik, nanti kalau Bella lapang, Bella balik sini, mommy..kalau mommy lapang, mommy jenguklah kami di Malaysia..boleh juga buat video call untuk lepaskan rindu.." aku tayang muka comel pada puan Aralynn.
Kami pulang semula ke pejabat setelah usai menjamu selera tengah hari itu. Tidak lama kemudian, puan Aralynn mengundurkan diri dan aku hantar kepulangannya yang dibawa oleh encik Baris yang sudah menunggu di dalam kereta mewah berwarna hitam itu. Aku salam dan kucup tangan tua puan Aralynn yang masih tergenggam erat di dalam pegangan jari-jemariku.
"Mommy balik dulu...jaga diri baik-baik..jangan balik lambat sangat" pesan puan Aralynn sambil mengelus lembut kepalaku.
"Baiklah mommy, sampaikan salam peluk cium Bella pada anak-anak. Selesai kerja Bella di sini, Bella balik.." aku lambaikan tangan dan terus membawa diri ke pejabatku kembali setelah kereta yang membawa puan Aralynn semakin jauh dari pandangan mataku.
***
Bunyi ketukkan di pintu bilikku membawa langkah ke arah daun pintu itu. Segera aku membuka kunci dengan memulaskan tombol pintu terlebih dahulu. Kemudian, daun pintu aku selak perlahan-lahan memberikan keizinan kepada puan Aralynn untuk memasuki ruang peribadiku.
"Masuklah mommy, Bella tengah kemaskan baju.." aku sambung kembali kerja melipat pakaian di sisi katilku. Aku duduk bersila di atas permaidani berbulu tebal itu.
"Banyak lagi ke..? Nak mommy tolong.."puan Aralynn ingin menghulur kan bantuan, namun segera aku menegahnya.
"Eh, takpe mommy..dah tak banyak dah..baju anak-anak dah siap kemas dah, ni tinggal baju-baju Bella je..sikit lagi siaplah.."
"Satu bagasi besar ni..? Larat ke kamu nak pikul..dengan anak-anak lagi.." puan Aralynn agak risau dengan kemampuan aku itu. Berkerut dahinya sehingga hampir bercantum kedua-dua belah keningnya.
Aku hanya tersenyum manis pada puan Aralynn sebelum aku koyak bicara. Tangan masih ligat memasukkan pakaian yang sudah berlipat itu ke dalam perut bagasi yang agak besar juga saiznya. Segalanya aku sumbat ke dalam satu bagasi itu. Mujur semua keperluan yang aku ingin bawa bersama muat-muat memenuhi ruang yang agak luas sebuah bagasi berwarna hitam itu.
"Alhamdulillah mommy, semuanya dipermudahkan..bibik Jorah pun ada bolehlah tengok-tengokkan Eshal. Arisha dengan Arayumi senang sikit nak dipantau sebab tak lasak macam Eshal..Bella cuma risaukan Eshal je sekarang ni.." ujarku pada mommy Aralynn.
Sekilas aku memandang ke arah Eshal yang sedang nyenyak tidurnya di atas katilku itu. Penatlah tu, tadi sakan bermain dengan Arayumi. Tergeleng kepalaku bila teringatkan kembali keletah tiga beradik ini.
"Kalau susah sangat, mommy minta tolong uncle Qayyum kamulah jemput nanti..risau pulak mommy, mana nak jaga anak-anak, mana bagasi lagi.." puan Aralynn menyatakan kebimbangannya.
"Mommy, janganlan bimbang sangat, kalau uncle Qayyum tak busy, boleh jugaklah, ringan sikit beban Bella.."
" Ok, nanti mommy tanyakan uncle Qayyum kamu tu, minta-mintalah dia free..apa-apa pun, mommy update nanti..kita tutup cerita ni. Sekarang mommy nak tanya, betul ke keputusan Bella suruh mommy jadi CEO syarikat ni, mommy ni bukannya apa, dah lama mommy tak mentadbir sebarang perusahaan besar macam syarikat ni." Lenganku di elus lembut oleh puan Aralynn yang masih duduk bersimpuh di atas permaidani berbulu tebal itu.
"Bella percayakan mommy, mommy bukan calang-calang orang. Bella percaya dengan kebolehan mommy. Janganlah merendah diri sangat.." aku genggam erat jejemari ibuku penuh kasih.
"Kalau mommy tak faham tentang syarikat, mommy nak tanya siapa..?"
"Cari je kak Farihye dia kan sebahagian orang penting dalam syarikat..kalau tak pun, Ömer..mereka berdua ni memang pakar dalam selok-belok hal pentadbiran A&A Group TravelTrip" kataku tanpa berdalih lagi. Aku tepuk lembut kekura tangan puan Aralynn sambil koyakkan senyumanku.
Setelah usai mengemas, aku tarik bagasi besar itu ke tepi almari pakaianku. Aku letakkan bagasi itu di situ. Puan Aralynn sudah kembali ke dalam biliknya semula. Aku bawa diriku ke katil dan mengangkat tubuh Eshal dan membaringkannya di atas katilnya. Begitu juga dengan Ashira kemudiannya. Aku selimutkan mereka berdua dan mengucup lembut ubun-ubun anak kembarku dengan penuh kasih.
Setelah itu, aku kembali semula ke katilku. Aku buat sedikit regangan untuk membetulkan semula urat-urat yang terasa tegang sebelum memanjat katil dan berbaring di sebelah Arayumi yang sudah lama dibuai mimpi. Aku kerling sebentar jam loceng di meja kecil di sisi katil. Jam sudah menginjak ke pukul satu tiga puluh minit pagi. Mata yang sudah memberat terus sahaja aku terlena sebaik sahaja merebahkan badan di atas katil bertilam empuk itu.
***
Perjalanan yang panjang aku tempuh bersama tiga orang anak kecilku pulang semula ke Malaysia, tanah kelahiran ibuku yang tercinta. Hampir tujuh tahun lamanya aku tinggalkan bumi Malaysia ini dan sudah banyak mengalami perubahan. Sudah banyak bangunan baru yang berdiri megah di bandar raya Kuala Lumpur ini.
"Erm..cantiknya Kuala Lumpur sekarang ya, uncle Qayyum..bertambah maju.." bising mulutku bertanyakan tentang bandar raya itu pada Dr Qayyum.
"Begitulah, Bella.. yelah sudah tujuh tahun Bella tak balik, tapi jalan raya semakin sesak tu yang uncle tak boleh nak hadam.." Dr Qayyum mengeluh kasar, terperangkap dalam kesesakkan lalu lintas yang agak panjang.
"Biasalah uncle, jika dah semakin maju, beginilah jadinya..sabar, ok. Nak cepat-cepat kita nak ke mana aje..?"
"Haahlah, tok daddy..nak bawa kita orang ke mana?" sampuk Arayumi yang dari tadi menata pandangannya ke luar tingkap.
"Tok daddy nak bawa Yumi, mommy dengan adik twins pergi tengok bangunan paling tinggi kat Kuala Lumpur ni, tapi tok daddy dah penatlah, sayang..lain kali ya.." Dr Qayyum kerling sekilas Arayumi di tempat duduk belakang.
"Ok, tok daddy janji ya..sekarang kita balik rumah jelah, Yumi pun dah penat sangat ni tok daddy.." Arayumi sambung tidurnya.
Aku dan Dr Qayyum tertawa kecil dengan tingkah Arayumi itu. Tadi kemain rancak dia mencelah bicara aku dengan Dr Qayyum, sekarang boleh pula dia sambung lenanya. Senang benar dia terlena kembali, sekaligus membuat aku teringatkan suamiku, Elhan. Pantang sungguh kalau dirinya dibiarkan tanpa sebarang bicara, pasti dirinya akan terlelap kembali.
Lewat petang itu, kami selamat tiba di kediaman acu Aura bersama Dr Qayyum. Telah banyak juga rumah pemberian puan Aralynn ini diubah suai oleh Dr Qayyum yang menampakkan lebih kelihatan mewah dan kemas. Taman mini puan Aralynn kini berganti dengan kolam ikan koi yang terdiri dari pelbagai warna. Kolam mandi di halaman rumah juga sudah berganti bentuknya. Begitu juga dengan gazebo yang terdapat berhampiran kolam mandi itu semuanya sudah berubah bentuk.
"Ya...Allah, hey..masuklah dulu Bella tak penat ke..?" tegur acu Aura di muka pintu.
"Erm..acu Aura, sorry..terpesona dengan rumah mommy ni dulu, sekarang semuanya dah berubah.. acu ke yang buat perubahan semua ni.."
"Yelah, dah tujuh tahun, Bella..acu buatlah sikit-sikit renovation dengan uncle Qayyum, dah nak pencen ni...apa sangatlah kerja kami nak buat.." terang acu Aura sambil menuntun aku melangkah ke dalam kediaman ini.
Tertegun aku melihat hiasan dalaman kediaman ini. Konsep Inggeris-klasik kontemporari yang diketengahkan oleh acu Aura sangat bersesuaian dengan ruang kediaman ini. Segar kembali jadinya mataku yang keletihan pabila memandang warna hijau pucuk pisang melatari kediaman ini.
"Pergilah berehat dulu, Bella..anak- anak dah tidur dekat bilik tingkat atas tu.." acu Aura muncungkan bibir mengarah ke atas.
"Terima kasih acu Aura, Bella naik dulu, nak mandi..kalau Bella tertidur, nanti acu Aura tolong kejutkan ya.."
"Erm..yelah, pergilah berehat, dah penat sangat dah acu tengok kamu ni.." acu Aura tepuk lembut bahuku sebelum dia berlalu ke ruangan dapur.
Setelah usai membersihkan diri dan lengkap berpakaian, aku kemaskan pakaian aku dan tiga orang anakku ke dalam almari pakaian itu. Aku buka semula almari pakaianku itu. Masih terdapat lagi beberapa helai baju lamaku di zaman universiti dulu tergantung elok di dalam almari ini.
Aku tarik keluar baju dress berwarna biru yang tergantung kemas di dalam almari itu. Hadiah pemberian Elhan di hari pertama aku bergelar isterinya. Aku elus baju itu dan aku peluk dress paras lutut itu erat-erat seperti melepaskan rindu yang tidak tertanggung lagi kepada pemberi hadiah ini. Lantas aku keluarkan kemeja warna putih milik Elhan yang kubawa bersama, dari beg bagasi itu. Aku bawa kemeja putih Elhan ke dalam dakapanku. Aku sedut dalam-dalam haruman milik Elhan yang masih tertinggal di pakaian itu. Tanpa sedar, air mataku mula membanjiri wajah mulusku.
Terasa sempit dadaku saat ini sehingga menyebabkan kesukaranku untuk bernafas dengan baik saat ini. Akibat tangisanku sudah pecah sehingga tersedu-sedan aku menahannya. Ah, seksanya menanggung beban rindu yang semakin menggunung terhadap Elhan.
"Pulanglah, abang...pulanglah semula ke pangkuan Bella dan anak-anak...
abang..tolong jangan seksa Bella begini, Bella tak sanggup lagi, abang... Abang....!!!!" jeritku kuat, sekuat tubuhku yang digoncang hebat ketika ini.
Sedar dalam keadaan tersentak begitu, buat kepalaku kembali berdenyut hebat. Keliru jadinya dengan keadaan diri sendiri. Bila pula aku terlena di atas permaidani berbulu tebal ini.
"Bella...Bella, bangun, Bella...Bella mengigau ni..bangun, sayang.." acu Aura menepuk-nepuk lembut kedua-dua belah pipiku.
Aku celikkan semula mataku yang hampir tertutup. Tangan naik memicit-micit kepala yang terasa sakit berdenyut. Air mata yang masih bersisa aku hapus lembut dengan telapak tangan.
"Istighfar, Bella...Bella mengigau tentang Elhan ya..dah, dah..sabar sayang. Insya Allah, lambat laun nanti, acu percaya, Elhan pasti akan kembali dengan kita.." pujuk acu Aura.Belakang tubuhku di elus lembut.
"Acu Aura...sampai bila lagi Bella kena tunggu acu Aura...Bella..Bella tak sanggup lagi..seksa..sakit sangat, acu Aura..." aku sambung tangisanku lagi.
"Sudah, jangan macam ni, seksa diri tu, kita doa yang terbaik buat hubungan kamu dengan Elhan..Insya Allah, jika jodoh kamu berdua kuat, jauh lari macam mana pun, Elhan akan kembali juga nanti..jangan berhenti berdoa.." pujuk acu Aura lagi.
Pelbagai nasihat dan kata-kata semangat diberikannya kepadaku. Sedikit terpujuk diriku dengan kata-kata ibu saudaraku itu. Namun, aku rasa badanku sudah tidak berapa selesa. Tubuh yang dirasakan membahang dan kepala juga sudah memberat. Denyutan semakin ketara hebatnya.
"Ya..Allah, panasnya badan kamu ni Bella..kita ke hospital ya.." acu Aura mendapatkan aku di singki dapur setelah usai aku membasuh pinggan mangkuk yang kami gunakan untuk makan malam sebentar tadi.
"Baiklah acu Aura, nak bawa Arisha juga tu, Arisha pun tak sihat, dari tadi merengek aje..nasib Eshal tak apa-apa.." aku memberitahu tentang keadaan anak bongsuku itu pada acu Aura.
"Cepat sikit siap tu..kejap lagi kita pergi. Yumi dengan Eshal tinggal dengan tok daddy ok..nanny cu nak hantar mommy dengan adik Arisha ke hospital.." acu Aura meninggalkan pesan pada Arayumi.
Aku mengendong Arisha di pinggangku dan segera mendapatkan rawatan sebaik sahaja sampai di hospital swasta tempat acu Aura bertugas. Kedatanganku yang disambut oleh Dr Naim Nazreen membuatkan kami tertegun sesama sendiri. Wajah Dr Naim Nazreen yang berubah pucat itu meninggalkan seribu tanda tanya kepada diri ini. Kenapa Dr Naim Nazreen jadi sebegini rupa? Apa yang terjadi pada Elhan ada kena mengena dengan lelaki ini kah?!
Done update..makin banyak pula persoalannya..?!
Share this novel