KERTAS bersaiz A4 di dalam fail keras berwarna hitam di atas meja pejabatku itu aku belek satu per satu. Aku mengeluh. Ketiadaan Zill Qayyim bersamaku membuatkan aku merindui lelaki itu. Setiap deringan telefon bimbit ku yang terteranya nombor dari pihak hospital pasti membuatkan diriku tidak akan senang duduk. Namun sejak akhir-akhir ini, nampaknya ada sedikit perubahan yang positif pada lelaki itu.
Aku cari nombor telefon milik Elhan di dalam simpanan nombor panggilan dalam telefon pintarku ini dan segera aku mendailnya. Tidak sampai dua minit, talian terus bersambung.
"Assalamualaikum sayang..rindu abang ya.." soal Elhan ceria di hujung talian.
"Waalaikumussalam..ya rindu, hari-hari rindu..nak minta izin abang, Bella nak pergi melawat abang Zill sekejap.." aku senyum meleret. Berdebar juga hati menunggu jawapan balas daripada sang suami.
"Oo...pergilah abang izinkan, tapi ingat jangan bebankan dia dengan hal syarikat..kalau ada apa-apa beritahu je abang.." Elhan masih mengekalkan nada yang sama. Aku yang mendengar bagai mahu buat lompat bintang.
"Ya, Bella ingat pesan abang, nanti Bella jemput Arayumi sekali..abang tak payahlah ambil dia hari ni.."
"Ok, thanks sayang..abang pun busy ni...take care, love you..."
"Abang..a..a.."
Tut...tut..tut...
Talian dimatikan oleh Elhan serta -merta. Tidak sempat untuk aku habiskan ayat terakhirku. Sibuk sangat kah dia hari ini..? Tergeleng kepalaku bila memikirkannya. Fail yang terbuka aku tutup kembali, lantas beg tangan kulit yang terletak di tepi meja aku capai. Langkah kaki terus kubawa ke muka pintu bilik ini, sekaligus mendapatkan Farihye di meja kerjanya.
Aku maklumkan pada pembantu peribadiku ini yang aku tidak akan masuk lagi ke pejabat selepas waktu rehat tengah hari ini. Ada urusan yang perlu aku selesaikan di luar. Farihye mengangguk faham dan dia juga tidak menyoal, sepertinya dia sudah faham tentang hal yang menjadi urusan aku itu.
Pemanduan aku teruskan menuju ke Early Birds Preschool, taman asuhan kanak-kanak yang menempatkan Arayumi di situ. Selepas menjemput Arayumi, aku bawa dia pergi ke sebuah restoran makanan segera untuk mengisi perut yang mula berkeroncong.
"Kenapa papa tak jemput..?" Arayumi soal aku sebaik sahaja dia duduk di bangku yang kosong hadapan aku ini. Wajahnya cemberut dari tadi lagi.
"Papa banyak kerja sayang, kenapa Arayumi tak suka mommy Ara yang jemput.." kataku lembut sambil menyuapkan kentang goreng itu ke mulutnya.
"Tak..mommy Ara tak macam dulu, suka buat hal sendiri, biarkan Arayumi cakap sorang-sorang..." Arayumi luahkan rasa. Masih merajuk dengan aku.
"Ok, kalau mommy Ara pergi suatu hari nanti, lepas tu dah tak balik-balik lagi jumpa Arayumi..Arayumi ok ke..?" soalku cuba untuk menduga isi hatinya.
"Go ahead...I don't care..." suapanku ditepisnya kasar.
"Betul ni, tak menyesal...?" aku duga dia lagi.
Aku biarkan Arayumi berfikir sejenak. Sengaja aku tayang muka bersahaja, walaupun hati ini sempat terguris dengan kata-katanya tadi. Betul ke dia sudah tidak mempedulikan aku lagi? Merajuk betul dia dengan aku!
"Betul ke, mommy Ara nak pergi..? Mommy Ara nak pergi mana..?" sayu dia menyoalku kembali. Mata hazelnya itu sudah berkaca-kaca seperti mahu menangis.
Aku tersenyum sendiri. Aku sudah mendapatkan jawapannya. Aku tidak menjawab soalan yang di utarakan oleh Arayumi tadi, hanya kepala aku gelengkan. Sebiji betul perangainya dengan diriku ini. Tidak dapat aku menyangkal lagi, Arayumi memang benar anak kandung aku. Tapi betulkah usianya tiga tahun, seperti yang diberitahu oleh Elhan tempoh hari. Bukankah sepatutnya Arayumi sudah berusia empat tahun pada tahun ini. Mengapa Elhan merahsiakan umur sebenar Arayumi padaku..?
"Arayumi...kita pergi jumpa uncle daddy jom..dah lama kita tak melawat dia kan?" aku soal Arayumi pasal Zill Qayyim untuk menukar topik perbualan kami.
"Horray...jom, sebelum tu kita singgah kedai bunga ya mommy Ara..Arayumi nak beli bunga ros kuning dengan Baby-breath warna merah jambu untuk uncle daddy..."
"Boleh, sayang..cepat habiskan makanan tu.." aku tersenyum kembali. Macam tahu-tahu aje aku juga fikirkan benda yang sama.
Usai makan tengah hari itu, aku membawa Arayumi ke Amerikan Hastanesi. Sebenarnya ada keperluan lain membawa aku ke sini, selain melawat Zill Qayyim. Hari ini aku sudah bertekad untuk lakukan ujian DNA ke atas diriku, Arayumi dan juga Elhan. Aku ingin memastikan adakah Arayumi benar-benar anak aku dengan Elhan. Dalam diam-diam aku sudah mengumpulkan semua maklumat yang diperlukan untuk menjalankan ujian tersebut.
Aku serahkan sampel-sampel yang berjaya aku kumpulkan ke jabatan kimia hospital ini sebelum aku membawa diriku bersama Arayumi ke tingkat enam yang menempatkan Zill Qayyim. Arayumi yang berada di dalam dukungan aku kelihatan agak riang apabila dapat bertemu dengan Zill Qayyim. Bunga ros kuning yang dihiasi dengan Baby-breath merah jambu itu di serahkan pada Zill Qayyim yang sudah duduk bersandar di kepala katilnya.
Punggung sudah aku labuhkan di atas kerusi yang terdapat di sisi katil hospital Zill Qayyim sambil meriba Arayumi di atas pangkuanku. Lantas aku tanyakan khabar Zill Qayyim yang tersenyum manis padaku.
"Abang Zill apa khabar, maaflah dah lama tak datang melawat, busy sikit.." ujarku terus terang.
"Takpelah Ara, abang faham. Abang Zill macam ni jelah, masih mampu untuk terus bertahan..Elhan tak ikut sekali..?" Zill Qayyim menyoal sambil mencari keberadaan Elhan.
"Tak, busy sangat dia hari ni, mungkin tengah siapkan projek Sari Gül tu.."
Zill Qayyim tersenyum manis, wajah pucatnya itu aku tatap sekilas. Masih berkira-kira untuk menanyakan soalan yang sudah lama bersarang di jiwaku ini.
"Kenapa Ara tengok abang macam tu, ada apa-apa ke nak tanya..?"
"Erm...Ara nak tanya tapi tak tahu macam mana nak mula..? Kalau Ara tanya abang Zill jangan marah ya.."
"Tanya jelah Ara...dah tak larat abang nak marah-marah lagi macam dulu tu.."
"Abang Zill ada kata dengan abang Elhan kan, abang tak pernah sentuh Ara, tapi apa maksud abang cakap macam tu dulu pada Ara...apa sebenarnya yang berlaku lepas kita balik dari hotel malam tu..?" soalku sedikit meninggi pada Zill Qayyim. Terasa diri ini diperbodohkan oleh lelaki itu.
Zill Qayyim tertawa kecil. Sebentar dia kelihatan sedang berfikir, mungkin tengah mengimbas kembali kejadian malam itu, usai kami menyambut kelahiranku yang kedua puluh enam tahun. Selepas dia menghabiskan tegukkan terakhirnya di cawan kaca itu, dia mulakan bicaranya.
"Sebelum tu, abang Zill minta maaf..abang cakap yang bukan-bukan dengan Ara..abang cuma provok Ara untuk Ara buka cerita pasal trauma Ara tu..takde jadi apa-apa pun antara kita pada malam tu..abang kepenatan, langsung tertidur lepas abang salinkan baju Ara.." katanya sedikit perlahan, seperti orang berbisik takut Arayumi mendengarnya.
"Kejap...kenapa nak kena salin..Ara dah sedar apa-apa ke masa tu..?" soalku agak pelik dengan kata-katanya. Aku juga merendahkan suaraku.
"Ya..Ara tak sedar langsung, dah pukul empat pagi masa tu, kebetulan bila abang Zill dukung Ara tu, hujan semakin lebat. Baju semua habis basah..yang peliknya Ara langsung tak sedar..Abang tolonglah salinkan baju Ara tu..takkan nak tidur basah-basah.."
"Abang Zill tentu dah tengok 'aurat' Ara kan..?" aku berbisik pada cuping telinga Zill Qayyim, takut pula jika Arayumi sampai terdengar.
Zill Qayyim angguk kepala. Pantas dia memohon kemaafan daripada aku. Merona wajahnya. Aku juga seperti dirinya, tidak tahu mana hendak disorokkan muka yang sudah menebal. Mungkin juga sudah setebal kulit gajah. Namun dia sempat menyatakan dia hanya sekadar melihat, tiada apa pun terjadi kerana dirinya juga sudah terlalu penat untuk melakukan hal itu.
"Terima kasih abang, kerana berterus terang dengan Ara..Ara kena juga cari acu Aura, cuma acu Aura yang boleh leraikan kekusutan Ara.."
"Sebaiknya begitulah..abang juga sudah memohon keampunan dari Allah. Ara nak tahu tak kenapa beria sangat abang Zill mahu Elhan dan Ara siapkan projek hotel Sari Gül tu..?"
"Sebab Ara kan...?" aku soal Zill Qayyim semula.
"Bijaknya, Ara...tapi Ara akan jumpa jawapan yang sebenarnya bila Ara kaji semula proposal tu nanti.."
Aku angguk kepala. Sebentar kemudian, pandanganku terhala pada bunga ros kuning itu. Mungkin aku sudah menemui jawapannya, lalu aku tunjukkan telunjukku lurus pada jambangan bunga itu. Zill Qayyim jatuhkan kepalanya tanda mengiakan.
Aku hanya tersenyum mekar, lantas aku labuhkan ciumanku pada sisi kepala Arayumi yang masih berada di ribaanku. Arayumi tatap wajahku.
"Abang Zill buat hotel tu sempena bunga kesukaan Ara..? Abang Zill, tak pernah satu pun abang tak fikirkan tentang Ara kan? Semua yang abang Zill lakukan, semata-mata kerana Ara.. Ya..Allah, bertuahnya Ara dipertemukan dengan insan sebaik abang Zill. Abang Zill jaga Ara, sayang Ara, berikan Ara seluruh jiwa raga abang Zill.." aku luahkan semua rasa, mahu menangis aku saat ini.
"Kan abang kata, abang 'penjaga' Ara...tapi kita tidak dijodohkan untuk bersama...abang reda, Ara..Allah dah susun cantik perjalanan hidup kita..jangan salahkan takdir, ada hikmah setiap kejadian itu...oklah Ara, abang kena banyakkan rehat, abang baru je lepas makan ubat ni, rasa mengantuk pula.."
"Yelah, Ara pun lama kat sini, nanti abang Elhan mencari pula...abang Zill rehatlah ya, Insya Allah..abang Zill, tinggal lagi lima puluh persen lagi nak siapkan projek Sari Gül tu..tunggu abang Elhan buat penambahbaikkan abang bertahan ya..jom Arayumi, kita balik.. uncle daddy nak rest.."
"Arayumi balik dulu uncle daddy.. Arayumi penatlah..baru balik school sebab tu Arayumi tak berbual dengan uncle daddy..uncle daddy makan ubat tau.." jujur Arayumi. Aku lihat dia sudah keletihan.
Zill Qayyim angguk kepala. Kedua belah pipi Arayumi dikucupnya penuh kasih sebelum kami melangkah keluar dari bilik wad ini. Arayumi melambaikan tangannya pada Zill Qayyim yang kelihatan sudah berbaring semula. Lega hatiku bila melihat Zill Qayyim bersemangat seperti itu. Sekurang -kurangnya, dia tidaklah selemah yang kusangka, hanya membiarkan diri dihurung dengan kesedihan yang berpanjangan. Cekal betul hati lelaki ini mengharungi kerasnya di setiap ujian kehidupannya.
***
"Arayumi nak singgah mana-mana tak?" soalku pada si comelku ini.
"Tak nak mommy Ara... Arayumi penat sangat ni.."
"Ala..la..ciannya dia. Ok kita balik rumah.. tentu papa dah balik, nanti dia cari kita pulak.."
Arayumi cuma angguk kepala. Dia memang benar-benar kepenatan. Baru masuk kereta dia sudah lena di sebelahku sebelum aku mulakan perjalanan. Hampir setengah jam aku memandu, aku dan Arayumi selamat sampai di rumah kembali. Seperti yang telah aku agak pada awal-awal tadi, Elhan sudah pun tiba di rumah sebelum kami. Kelihatan keretanya sudah terparkir di tempat parkir khas di halaman kediaman ini.
Sebaik sahaja aku tiba di muka pintu, Elhan sudah bercekak pinggang menunggu ketibaanku bersama Arayumi. Arayumi yang berada di dukunganku dirampas kasar oleh Elhan. Arayumi dibawa oleh Elhan menuju ke dalam bilik anak perempuannya itu. Aku pula terus menuju ke dalam bilik Elhan. Aku lepaskan lelahku sebentar di birai katil, sebelum membawa tubuhku bersandar di kepala katil yang berukir, ala-ala Inggeris klasik.
Elhan meneroboskan diri di dalam kamar peraduannya ini. Pintu kamar ini terus ditutup rapat sebelum pintu itu dikuncinya. Laju langkah kakinya dihayun untuk mendapatkan aku di katilnya itu. Dihenyak punggungnya kasar di atas tilam empuk itu. Terkejut aku dibuatnya, baru sahaja mataku mahu terlelap, kini segar-bugar kembali saking terkejut bukan kepalang.
"Pergi mana tadi...kenapa lama sangat, puas dah lepas rindu.." Elhan menyoal dengan pandangan yang tajam.
"Abang ni kenapa..? Cuba simpan sikit cemburu abang tu, abang Zill tu dah takde apa hubungan dengan Bella..abang masih lagi nak cemburukan dia..?" soalku membalas pertanyaan Elhan.
"Dia lelaki sayang, hanya lelaki memahami keinginan lelaki..mulut cakap lain, hati cakap lain.."
"Abang, Bella malas nak bertekak dengan abang, Bella betul-betul penat, Bella nak rest..."
"Sayang, jangan cuba cabar abang, sayang..." suara Elhan mula meninggi.
"Suka hati abanglah nak buat apa pun..Bella dah tak kisah...Bella dah pe..." mataku terpejam semula. Mujur tak terjatuh dari katil ini.
"Sayang...sayang...sayang...!!! Kita risaukan dia, dia boleh tidur pulak.. Huh!" Elhan lepas keluhan kasar. Kepalaku yang sudah terjulur dari katil ini dibetulkan semula.
***
Usai makan malam, Elhan terus naik ke bilik. Aku membantu bibik Jorah mengemaskan meja makan itu setelah Arayumi aku arahkan dia mengekori langkah bapanya itu.
"Bik Jorah, tuan Elhan suka minum air apa malam-malam begini bik..?" aku soal bibik Jorah yang tengah mencuci pinggan mangkuk itu.
"Selalunya tuan minta minum air kopi pekat tanpa gula pada bibik.. kenapa ya puan Bella..? puan Bella mahu juga, bibik siapin.."
"Takpe bik, bik ajar sahaja caranya, biar saya yang bancuh. Saya tak minum kopi bik Jorah, pening.."
"Oo...samalah dengan almarhumah puan Bellina, pusing katanya. Lupa pulak bibik, kamu berdua kan kembaran loh.."
Aku dan bibik Jorah sama-sama tertawa kecil. Ligat tanganku membancuh kopi buat Elhan yang diajar oleh bibik Jorah. Semerbak harum bau air kopi itu setelah serbuk kopi premium tersebut bercampur dengan air panas bersama krimer susu dan setengah sudu gula perang di dalam sebiji mug merah yang selalu digunakan Elhan.
Aku panjat semula anak-anak tangga menuju ke dalam bilik tidur Elhan. Pintu kamarnya yang terbuka sedikit aku tolak perlahan. Perlahan-lahan aku mendapatkan Elhan yang tengah khusyuk dengan kerjanya di meja berwarna coklat gelap itu. Sedikit pun dia tidak menyedari keberadaanku di hadapannya itu.
"Abang...Bella ada buatkan kopi untuk abang, minumlah..Bella letak dekat meja kopi sana.." aku sentuh bahunya dengan lembut dan seraya aku labuhkan punggungku di atas ribaannya.
"Sayang..boleh tak jangan kacau abang, tak nampak ke abang tengah buat apa ni?" keras Elhan menyoal, tubuhku ditolaknya agak kasar, terjelopok aku di atas lantai jubin granit hitam yang berkilat itu.
"Aucch...sakitlah abang, kalau tak suka boleh cakap elok-elokkan.." aku cuba bangun, namun kakiku terasa sakit. Aku mengaduh lagi, kali ini agak kuat berbanding tadi. Segera Elhan mendapatkan aku.
"Sakitlah abang, jangan sentuh dekat situ.."aku teriak lagi.
"Rasanya, kaki sayang ni terseliuh kot..tulah kacau lagi abang, sayang kan tahu, abang tak suka diganggu kalau tengah buat kerja...sayang dah lupa ke..? Tak pasal-pasal kaki ni dah tercedera.." omel Elhan sambil mencempung tubuhku ke katil. Dibaringkan tubuhku perlahan-lahan di atas katil itu.
"Tunggu kejap, abang ambil first aid kat dapur.." Elhan berlalu sebentar membiarkan aku berseorangan di atas katil itu.
Sebentar kemudian, Elhan kembali dengan sekotak kit pertolongan cemas di tangan. Dia menghampiriku dan perlahan-lahan kaki aku disapukan dengan krim luka itu. Terpejam mataku menahan kepedihan apabila krim itu menyentuh kulitku. Lengan kekar Elhan aku cengkam kuat.
"Sikit je..tahan sikit, abang balut kejap kaki sayang ni, kalau esok masih tak ok, abang bawa pergi klinik, sorry sayang...abang sebenarnya..."
"Jelouse..?!" aku segera cantas kata-kata Elhan. Muncung aku dah sedepa ke depan. Tangan sudah aku lipat ke dada.
"Ala...sorrylah, abang tak sengaja. Abang tengah buat design projek Sari Gül tu..abang kenalah berikan tumpuan, bukan senang nak buat mengikut spesifikasi yang abang Zill minta tu. Nak pecah tau kepala abang fikirkan reka bentuk yang sesuai..mana hati abang ni sakit lagi..." ujar Elhan yang memulakan balutannya.
"Abang nak sakit hati kenapa pulak?" soal aku yang agak terkejut dengan penerangan Elhan sebentar tadi. Sikit lagi bibir kami hendak bertembung kerana aku dekatkan wajahku pada muka Elhan yang baru menyudahkan balutannya di kakiku.
"Abang terasa hati sikit dengan sayang, sayang boleh tidur masa abang inginkan jawapan..abang betul-betul rasa tercabar tadi, mujur tak..."
"Tak apa..? tak ehem..ehem.."
Mata Elhan membuntang. Hujung hidungku dipicitnya lembut.
"Abang, sakitlah..Bella nak sambung merajuklah macam ni.."
"Merajuklah lama-lama, sayang juga yang rugi nanti..restlah, abang nak sudahkan kerja abang.."
"Nak tengok boleh.. abang jangan lupa minum kopi tu, penat tau Bella buat special untuk abang.."
"Ya, nak minumlah ni..sini abang dukung..erm, sedapnya..kalau macam ni punya sedap, sumpah abang dah tak minum kat luar. Setiap malam bolehlah buatkan untuk abang.."
"Boleh je, tapi tak elok kan minum kopi hari-hari.."
Elhan mengangguk. Tubuhku di dalam cempungannya diturunkan sebentar sementara dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi kulit itu. Elhan lembut tarik lenganku semula membuatkan aku terduduk di atas pehanya. Kertas lakaran binaan hotel Sariyer's Sari Gül Hotel & Spa yang terbentang di atas meja kerjanya itu diperlihatkan kepadaku.
Terpana aku melihat seni binaan yang dilakar oleh tangan suamiku ini. Betul katanya, bentuk rekaan yang penuh dengan seni artistik ini bukan mudah untuk diciptakan jika seseorang itu tidak mempunyai kepakaran yang tinggi.
"Abang buat semua ni..Ya..Allah, unik sungguh..ni ke yang diminta oleh abang Zill pada abang..?" mulutku sudah terbuka luas saking terpana dengan hasil rekaan Elhan.
"Yup, tapi abang kena fikirkan sendiri bagaimana nak reka..abang Zill cuma senaraikan apa yang patut ada dalam bangunan hotel tu..abang kena berikan sepenuh komitmen abang, sebab bukan sikit-sikit abang Zill bayar pada abang. Tapi abang cemburu, sebab dia kata hotel ni istimewa dibina kerana sayang..." telapak tangan Elhan menutup mulutku yang terbuka luas.
"Kenapa abang nak cemburu, abang tak sedar ke, abang yang reka hotel tu, so.. secara tak langsung abang yang buatkan untuk sayanglah. Abang Zill hanya keluarkan modal, dan idea untuk hotel tu. Tapi abang yang reka seni binanya. Bagi sayang, abang dah menang kat situ..Sayang suka sangat reka bentuk bangunan hotel tu...terima kasih abang, cuma sikit je lagi nak siapkan, bahagian bumbung ni kan.."
"Ya, sayang..sayang ada idea tak? Abang dah buntu nak fikir.."
"Erm..kalau sayang berikan idea, janji abang jangan gelak ok.."
Elhan angguk kepala. Aku lakarkan idea aku di atas sehelai kertas kosong. Elhan hanya memerhati. Penuh sabar dia menanti sambil lengannya memeluk erat pinggang rampingku. Air kopi itu disisipkan sehingga titisan yang terakhir.
"Ok..siap dah. Janji, jangan gelak.." aku hulurkan lakaran itu pada Elhan.
Elhan mengambil huluran di tanganku. Dia menata pandangannya pada lakaranku dan lakarannya silih berganti. Akhirnya, dia tersenyum mekar apabila lakaran aku sangat bersesuaian jika digabungkan bersama dengan lakaran yang dibuatnya.
"Terima kasih sayang...abang tak sangka sayang juga berbakat..Abang pasti abang Zill akan berbangga dengan hasil kerja kita ini.." Elhan senyum puas.
Aku angguk kepala, seraya Elhan sudah merapatkan wajahnya pada wajahku. Semakin dia menghapuskan jarak, terdengar suara kecil Arayumi yang sudah mengogoi di depan muka pintu yang berkunci. Segera Elhan mendapatkan anak kecilnya itu setelah mendudukkan aku di birai katil.
"Papa...tolong Arayumi, Arayumi takut, Arayumi mimpi.. mommy Ara nak tinggalkan kita..Arayumi nak tidur dengan papa.." kata Arayumi tersekat- sekat akibat tersedu-sedan dia menangis.
"Ishh..anak comel papa ni..yang bukan-bukan je dia merepek..mommy Ara ada kat katil tu, jom tidur...dah, jangan menangis lagi..." Elhan tayang muka pasrah.
Kempunan lagi dirinya ingin menunaikan hasrat hatinya itu. Aku tayang muka bersahaja sambil memeluk erat Arayumi yang sudah berbaring di tengah-tengah katil ini memisahkan aku dan juga Elhan. Dalam hati berasa lega, malam ini aku terselamat lagi dari cengkaman Elhan.
Done update...bab ni pnjg sikit..hope enjoyed it..jgn lupa tinggalkan comment and follow ok..
Share this novel