GAUN putih yang sedikit kembang itu sudah tersarung indah di tubuh langsingku. Gaun pilihan daripada Zill Qayyim sendiri apabila aku suruh dia yang memutuskan untuk diriku. Rambang mata jadinya ketika melihat koleksi baju pengantin yang terdapat di sebuah butik pengantin yang agak terkenal di pusat bandar ini. Kesemua baju yang tergantung itu kelihatan cantik-cantik belaka sehingga sukar untuk aku menentukan pilihan.
Setelah siap dirias oleh jurusolek yang ditempah khas oleh Zill Qayyim itu, aku terus mendapatkan bakal imamku yang tengah bersiap di salah sebuah bilik yang terdapat di dalam butik ini.
"Abang Zill dah siap ke..?" soalku di luar pintu bilik itu.
"Dah..." jawabnya ringkas. Tertegun jadinya apabila sepasang mata kami saling menatap di antara satu sama lain. Sama-sama kagum dengan penampilan diri pasangan masing -masing.
Aku koyak senyumanku tatkala Zill Qayyim tersenyum manis padaku. Mata itu masih menatap wajahku tanpa berkedip walaupun sesaat. Tertunduk malu jadinya aku pabila ditenung sebegitu rupa.
"Abang Zill, jom...dah sediakan?" soalku seraya memaut lengan kekar itu.
Tidak dinafikan kekacakkan Zill Qayyim juga terserlah apabila mengenakan sepasang suit hitam di tubuh kekarnya itu. Rambut pendek yang tersisir rapi ditambahkan lagi dengan wangian lembut dari wangian lelaki yang berjenama mahal itu membuatkan jejaka ini kelihatan sangat elegan dan berkarisma. Aura pesonanya itu sempat membuatkan jantung aku terpaksa bekerja keras pada tika ini.
Dengan sekali lafaz, aku sah menjadi hak mutlak lelaki ini. Lafaz akad yang dilafazkan di hadapan wali hakim di sebuah masjid dengan dihadiri oleh dua orang saksi yang dilantik pada pagi itu, kini aku menjadi tanggung jawab sepenuhnya lelaki ini. Masih terasa syahdunya ulas bibir dingin Zill Qayyim mengucup lembut ubun-ubunku setelah usai menyarungkan sebentuk cincin emas itu di jari manis kiriku. Gugur juga manik-manik jernih yang sedari tadi menumpuk di kelopak mata, mencemari wajahku ini.
Zill Qayyim pantas menghapuskan sisa air mataku dengan ibu jarinya. Lembut sentuhannya itu menjernihkan kembali perasaanku yang bercampur-baur. Alangkah bahagianya jika majlis pernikahan ini dihadiri ahli keluargaku. Sekurang-kurangnya, aku tidak merasakan kesepian seperti sekarang. Tiada sesiapa pun yang menemani diri ini, kecuali acu Aura bersama suaminya Dr Qayyum. Aku berasa kembali bersemangat apabila kehadiran ibu saudaraku bersama suaminya itu di hari bahagiaku, walaupun majlis sudah selesai beberapa minit lepas.
Aku berpelukan dengan acu Aura yang kelihatan ayu mengenakan sepasang jubah sama rona warnanya dengan gaun pengantinku. Kepalanya yang berlitup dengan sehelai shawl dari fabrik kapas itu, menyerlahkan lagi kecantikan semula jadi wanita berumur lewat tiga puluhan itu. Lantas aku tanyakan keberadaan mommy Aralynn pada ibu saudaraku ini, dan dia seperti biasa akan mengelakkan diri. Pantas sahaja dia leraikan pelukannya setelah usai merakamkan beberapa keping foto yang diambil menggunakan telefon pintarnya.
"Tahniah Bella, acu doakan semoga Bella berbahagia dengan Zill sampai ke Jannah...mommy Aralynn baik-baik sahaja Bella, tak usah bimbang ya.." acu Aura mendakap erat tubuhku kembali, seraya aku salam dan kucup tangannya penuh hormat.
"Acu Aura...terima kasih sudi bersama Bella hari ini..tapi kenapa acu Aura tega cakap Bella dah mati pada mommy Aralynn, pada abang Elhan?" soalku sedikit meninggi. Terus sahaja aku hambur amarahku bercampur dengan rasa terkilan akibat tindakan acu Aura itu. Sudah tidak tertahan untuk aku tanggung rasa beban itu yang telah lama bersarang di benakku.
"Maaf, Bella...acu terpaksa. Acu lakukan semua ni sebab mommy Aralynn dan juga Elhan, Elhan ugut nak batalkan pernikahan yang telah ditetapkan oleh Mr Edward..dan acu tak nak mommy Aralynn jatuh sakit kembali" luah acu Aura sedikit beremosi. Erat sungguh dia menggenggam jari-jemariku.
"Apa...? jadinya abang Elhan kena nikah paksa..bukan atas kerelaan dirinya..Allahu Akbar, kesiannya abang Elhan" jatuh terduduk aku di sebuah kerusi yang terdapat di situ. Sakit..! Ya, hatiku tiba-tiba rasa sakit seperti tertusuk sembilu tajam.
"Mr Edward menginginkan Elhan menikahi anak teman baiknya dan pernikahan itu adalah semata-mata untuk memenuhi kepentingan dua belah pihak, Bella..acu harap Bella faham akan situasi sukar ini..sebab semua persiapan dah diaturkan.." terang acu Aura panjang lebar.
Aku hilang kosa kata untuk membalas kata-kata daripada acu Aura itu. Air mata yang semakin lebat mengalir, pantas aku hapuskan setelah melihat Zill Qayyim berjalan menghampiri diriku kembali. Aku maniskan wajah seperti tiada apa yang berlaku antara aku bersama acu Aura tadi.
"Jomlah kita balik sekarang...uncle Qayyum singgahlah dulu ke rumah baru kami..rumah peninggalan arwah daddy Ayaz pada Arabella..dan kereta ni pun sebahagian dari wasiat daripada arwah daddy Ayaz. Arwah tinggalkan untuk Arabella..." terang Zill Qayyim pada Dr Qayyum, nampak macam rapat dan mesra semacam. Ada kena mengena ke mereka berdua ni?
"Baiklah, tapi kami tak boleh lama, kena juga balik hotel segera, sebab malam ni flight kami untuk pulang ke Malaysia semula seawal pukul sembilan nanti.." jawab Dr Qayyum yang sudah mengambil tempat di belakang kerusi penumpang kereta mewah yang dipandu oleh Zill Qayyim sendiri.
Aku yang duduk di kerusi hadapan sebelah Zill Qayyim hanya menghalakan pandangan ke luar tingkap cermin gelap itu, manakala acu Aura pula duduk di belakang di samping suami tercintanya itu. Hanya sekali -sekala aku kerlingkan pandanganku pada Zill Qayyim yang fokus dengan pemanduannya. Tiada lagi bicara dari kami berempat pabila kami memilih untuk berdiam diri. Hanya melayan perasaan masing-masing sambil ditemani alunan muzik indah yang berkumandang di papan android auto yang terdapat di dalam kereta mewah berjenama Lexus LC Convertible itu.
Setelah hampir satu jam memandu, kami selamat tiba sebuah kawasan lapang yang sedikit berbukit. Di atas bukit itu, tersergam indah sebuah rumah banglo mewah yang dikelilingi dengan pelbagai pemandangan yang sangat cantik. Seolah-olah rumah mewah ini didirikan di dalam sebuah taman yang indah.
Ada sebuah gazebo, taman mini, kolam ikan, çesme (air pancut batu marmar) dan kolam renang yang sangat unik reka bentuknya menghiasi laman pekarangan kediaman mewah ini. Dihiasi dengan pelbagai tumbuhan renek yang menghijau dan rimbunan pohon kecil berbunga yang berwarna -warni itu membuatkan sepasang mata ini tidak lepas memandang.
"Dah puas menjelajah..?" bisik Zill Qayyim lembut di cuping telingaku.
Sepasang lengan kekarnya kemas memeluk pinggang rampingku dari arah belakang. Terus kejang seluruh tubuhku seperti patung cendana jadinya, mujur mulut ini tak terkeluar kata yang tidak-tidak saking kaget dengan tindakannya secara mengejut itu. Dan yang paling aku geruni jika lidah ini lembut menuturkan sebaris indah nama milik Elhan.
"Eh, abang Zill..erm, cantik sangat pemandangan kat sini..macam kat taman.." aku segera jarakkan diri, setelah Zill Qayyim meleraikan pelukannya. Berubah terus riak wajahnya itu akibat tindakanku itu. Ya, aku masih belum bersedia untuk menerima kehadirannya itu sepenuh hatiku.
"Jomlah, uncle Qayyum dengan aunty Aura macam nak balik je tu.. abang hantar mereka kejap ya..pergilah berehat dalam bilik, jangan lupa kunci pintu..bilik kita di tingkat dua.." Zill Qayyim memberikan peringatan. Mendatar sahaja suara itu, tidak seperti tadi, manja dan sedikit menggoda.
Aku mengikuti langkah Zill Qayyim dari arah belakang. Laju betul sepasang kaki jenjangnya itu melangkah meningggalkan aku. Dia marahkan aku ke..?
Setelah berpamitan dengan acu Aura dan Dr Qayyum sebentar tadi, aku terus bawa diriku melangkah ke tingkat dua. Sempat acu Aura meninggalkan satu, dua pesanan berupa nasihat untuk diriku yang baru sahaja melangkah ke alam kehidupan berumah tangga.
Di sepanjang peninggalan Zill Qayyim, aku bawa diriku ke kamar mandi untuk membersihkan diri. Terpempan aku jadinya saat melihat kamar mandi yang sangat mewah itu. Dilengkapi dengan jakuzi dan dekorasi yang berlatar belakangkan konsep Italian menjadikan ruang ini setaraf hotel lima bintang. Jika terkurung diri di sini pun aku sanggup. Mewah sungguh!
Bisikan nakal acu Aura masih terngiang-ngiang di ruang benak. Tersenyum sendiri aku dibuatnya mengenangkan kata-kata ibu saudaraku itu di dalam tab mandi urut ini. Merendamkan diri di dalam tab ini membuatkan tubuhku berasa segar kembali sehingga tidak sedar aku rupanya sudah terlena.
"Buka pintu ni Ara..Ara buat apa lama-lama dalam tu..?" suara garau Zill Qayyim lantang kedengaran di luar pintu bersama ketukkan kuat secara bertalu-talu di muka pintu itu.
Suara lantangnya itu berjaya mengejutkan lenaku, namun aku masih lagi liat untuk bangkit keluar dari tab mandi itu. Sudah selesa berendam di dalam buih-buih mandian dari bauan Sakura, minyak aromaterapi yang menjadi pilihanku yang kutitiskan sebentar tadi di dalam air mandian ini.
Seminit, dua...tiga..berlalu, akhirnya tergamam aku dengan kehadiran Zill Qayyim di dalam tab mandi ini, betul- betul berada di hadapan mataku. Sedang menatap tepat ke wajah ini, sambil tayang wajah garang.
Aku memberanikan diri untuk menyentuh wajahnya itu dengan hujung jari runcingku. Dia hanya membiarkan sahaja aku bertindak sebegitu. Dari sentuhan kecil sehinggalah aku menyentuh keseluruhan wajahnya itu. Jejemariku yang meliar di wajahnya itu pantas digenggam dengan jari-jemari panjangnya itu. Merona merah wajahnya menahan gelora jiwa lelakinya itu. Hembusan nafasnya juga sudah tidak teratur, apabila matanya itu memandang sebahagian tubuhku yang terdedah. Tertunduk malu jadinya diriku setelah menyedari aku bukannya sedang bermimpi mahupun sedang berkhayal.
"Puas dah ambil kesempatan pada abang..? Ara tahu tak, Ara hampir mati lemas tadi. Kenapa..dah nak mati sangat..?! Tak sudi nak hidup dengan abang..hah!" sinis katanya itu sedikit sebanyak menguris hatiku.
Aku hanya tertunduk. Tidak berani nak tatap wajah Zill Qayyim yang sedang menyinga. Melihat aku yang diam tidak berkutik, Zill Qayyim terus keluar dari tab mandi itu dengan pakaian yang basah kuyup. Ya, suit hitam itu masih utuh tersarung di tubuhnya.
"Ara... abang nak Ara keluar sekarang, ada perkara yang abang nak bincang..!" tutur Zill Qayyim sedikit kasar sambil melepaskan pakaian basahnya itu satu per satu. Tertutup mataku dengan tindakannya itu.
Pantas aku keluar dari tab mandi itu sebaik sahaja Zill Qayyim melangkah keluar. Aku segera bersiap di dalam bilik ini, mujur aku tidak lupa membawa pakaian gantiku bersama tadi.
Aku bawa langkahku menuju ke arah meja solek. Rambut panjang lurusku yang masih lembap itu, aku sisir rapi. Wajahku oleskan dengan sedikit pelembap muka biar kelihatan sentiasa segar. Setelah berpuas hati, aku cari keberadaan Zill Qayyim.
"Mana pulak abang Zill ni, kata nak bincang sesuatu tadi.." omelku perlahan.
"Sini...!" Tersentak aku secara tiba-tiba Zill Qayyim muncul di situ. Melekap sepasang tanganku di dada bidangnya yang masih terdedah. Mataku yang sempat tertutup, kubuka kembali secara perlahan-lahan.
'Ya.. Allah, seksinya abang Zill..' jeritku dalam hati. Aku tercekik liurku sendiri.
Tak sanggup aku nak melihat dia yang hanya mengenakan jubah mandi itu. 'Takkanlah panas sangat, sampai tak boleh nak pakai baju..? Atau dia nak buat sesuatu dekat aku..!' Fikiran jahat terus mengasak mindaku. Tergeleng -geleng kepalaku mengusir bisikan negatif itu.
"Hey..awak ni dah kenapa hah, Ara..? abang sedar dari tadi lagi, Ara langsung tak selesa dengan abang kan..?!" soalnya agak tegas. Sudah naik satu oktaf suaranya itu.
Aku segera cipta jarak, sepasang tangan ini pantas aku tarik dari terus melekap di dada bidangnya itu. Namun, pantas lengan Zill Qayyim menarik kemas lenganku kembali sehingga menempel tubuhku kemas di tubuh kekarnya itu. Sepasang lenganku juga sudah terkunci di pinggangnya. Tiada lagi ruang untuk aku melepaskan diri. Terbuntang mataku jadinya.
"Lepaskan Ara, abang Zill, sakit abang Zill buat Ara macam ni.. Ara minta maaf jika Ara dah sakitkan hati abang Zill.." rayuku lembut pada dirinya itu.
"Ara... please, jangan buat abang macamni Ara, abang betul-betul keliru dengan semua ni, Ara..jujur dengan abang, Ara sebenarnya tiada rasa sedikit pun untuk cintakan abang kan?" tuturnya kembali, namun kali ini lebih tenang dan lembut alunan suaranya ke udara.
"Abang Zill, abang Zill merepek apa ni..? Abang Zill kata nak bincang sesuatu tadi, apa dia..?!" Aku sudah mula hilang sabar. Suaraku juga beralun tinggi, seakan sedikit menempik.
Lantas, tanganku yang dikuncinya sebentar tadi dengan genggaman kemas jari-jemarinya itu dilepaskannya semula secara kasar, lalu dia menarik lenganku dan dibawanya aku ke dalam bilik kami. Dikuncinya pintu bilik itu terlebih dahulu.
Akibat tarikan itu saking kuat dan bertenaga, tubuhku seakan melayang, terduduk jadinya aku di birai katil kerana hilang keseimbangan. Zill Qayyim mula merapat. Entah apa yang merasuk, segera dia menindih tubuh susutku ini. Aku hanya pasrah membekukan diri dan tidak berkutik sedikit pun. Seolah-olah aku sudah terbiasa dengan perlakuan sebegitu.
Zill Qayyim sudah hilang pertimbangan, apabila dia rasa tercabar dengan tindakan aku yang dirasakan cukup sinis. Dicumbui setiap inci wajahku secara semberono. Ceruk leher jenjangku menjadi sasarannya. Namun, perlakuannya yang sedikit kasar itu, membuatkan air mataku mengalir deras. Terhenti serta-merta niatnya untuk melanjutkan tuntutan batinnya yang semakin bergejolak. Nafas kasar terlepas dari bibir nipis kemerah -merahan itu.
"Malam nanti aku tuntut hak aku kembali...! Jangan menangis, aku benci Ara.. sungguh, aku benci melihat air mata seorang perempuan!" lantang suara itu berkumandang, bagai mahu gugur jantung aku dari tangkainya.
Zill Qayyim berlalu pergi meninggalkan aku terpinga-pinga di atas katil bersaiz besar ini. Terjongket kedua belah bahuku akibat hempasan pintu bilik oleh lengan kekar lelaki itu.
Aku sambung tangisanku semula. Tidak habis fikir mengapa Zill Qayyim berubah sebegitu mendadak. Mana janjimu yang ingin membuatkan aku sentiasa gembira..? Mana, Zill Qayyim..? Belum sampai sehari pun kau bergelar suami ke atas diriku, kau dah buat aku sedih kembali, Zill Qayyim! Argh, lelaki semua sama...bila belum dapat, janjikan bulan bintang..! Bila sudah menjadi hak, dibuatnya tak ubah seperti sampah!
Aku benci kau, Zill Qayyim...aku benci kau...!!!!!
Alhamdulillah, done update..
Share this novel