BAB 13 : (SINAR BARU)

Romance Completed 5995

SUDAH lewat tengah hari bayangan peguam kacak itu tidak kelihatan di mana-mana. Puas sudah aku menunggu kehadirannya yang tidak kunjung tiba. Sudah penat juga kaki aku ini mundar-mandir dari tadi sehinggakan tidak tahu lagi hendak berbuat apa. Makanan yang tersedia di meja itu juga masih tidak dijamah kerana selera makanku serta-merta mati, walaupun makanan yang terhidang itu adalah salah satu juadah kegemaran aku.

Waktu sudah menginjak ke petang dan aku masih setia menanti, petang itu aku bawa diri ini bersiar-siar di pekarangan taman hospital yang agak luas terbentang. Aku labuhkan punggungku di salah sebuah bangku simen yang kosong. Kebetulan, bangku itu letaknya di bawah sebatang pohon oak yang merimbun dan sekelilingnya terdapat pokok bunga Tulip yang ditanam secara berderetan seolah-olah memagari bangunan hospital yang agak luas.

"Sini rupanya Ara...puas abang cari tadi, sempat nak buat jantung abang ni gugur dari tangkainya.." Zill Qayyim senyum nipis, langsung dia labuhkan punggungnya di sisiku. Rapat sehingga tiada ruang walaupun untuk laluan seekor semut.

Aku hanya membalas senyuman itu dengan mengukir senyuman nipis. Tersentak sebenarnya diriku, tiba-tiba disergah begitu.

"Ara.. makan dulu, abang ada bawakan roti kebab ni untuk Ara, Ara tak makan lagi kan?" soalnya yang menghulurkan bungkusan kecil itu padaku.

Aku ambil huluran itu, namun hanya melihat dan tidak sedikit pun niatku mahu menjamahnya.

"Ara kenapa senyap je, Ara marah pada abang ke..? Atau..Ara tak selesa saya gunakan gelaran 'abang' ni.." soalnya yang sudah menggenggam jari -jemariku.

Aku geleng kepala. Hembusan nafasku sedikit kasar, seraya aku tatap wajah lelaki ini. Aku tatap wajahnya dalam-dalam.

"Kenapa Ara pandang abang macam tu, ada apa-apa ke kat muka ni.. Ara buat abang tak tentu arahlah, macam abang banyak je buat salah kat Ara.."

"A..abang, abang Zill..boleh ke Ara panggil encik Zill macam ni..?"

"Erm..ada pun mulut, ingatkan dah bisu..dari tadi asyik angguk dan geleng je..boleh sangat-sangat..makan sikit ya, muka tu dah pucat balik. Abang ada berita baik ni..kalau Ara makan baru abang cerita...nak abang suapkan..?"

Laju aku anggukkan kepala. Berita baik siapa je yang tak nak dengar lepas tu kena suap makan pulak tu..! Aah.. bahagianya rasa hidup sebegini, ditatang penuh kasih sayang.

"Hurm... habis pun makan, gembira abang tengok Ara makan banyak macam ni.. " Zill Qayyim menyudahkan suapannya. Bibirku yang sedikit comot itu dikesat dengan hujung ibu jarinya. Aku tertunduk malu.

"Erm.., Ara.. abang terus terang jelah ya, esok pembicaraan kes Ara berlangsung kembali. Alhamdulillah.. sayang, ada peluang cerah untuk Ara bebas dari tuduhan membunuh itu. Dan pelaku sebenarnya pun dah diketahui.. Allah itu Maha Adil, Ara...Dia takkan bebankan hamba-Nya lebih dari kemampuan hamba itu sendiri.." jelas Zill Qayyim panjang lebar.

"Betul ke ni abang Zill, kalau begitu..Alhamdulillah, dah lama Ara tunggu berita gembira ni..terima kasih abang Zill..." aku hanya tersenyum tawar. Pandangku menghala ke hadapan. Masih tertumpu pada sekuntum Tulip merah yang kembang mekar. Namun, hati ini benar-benar mati rasa. Kosong!

"Kenapa ni, macam tak suka je, abang ingatkan Ara lompat bintanglah tadi , tak pun berguling-guling kat atas rumput ni dah.." berkerut wajahnya sehingga terbit beberapa lapisan di dahinya yang luas itu. Kening lebat itu juga seperti mahu bercantum.

"A..bang Zill, takde gunanya sebab kegembiraan Ara dah berakhir sejak dua tahun lepas, sekarang Ara dah tak tahu macam mana nak tersenyum.. lepas ni mana Ara nak tinggal..apa yang Ara perlu buat..? Ara tak boleh nak fikir.."

"Laa..abang dah agak dah, Ara tentu fikir masa depan Ara dah tak bersinar lagikan, abang...abang akan jaga Ara, abang takkan biarkan Ara keseorangan lagi..kita nikah Ara..!" luahnya terbata, namun aku rasa kesungguhannya itu.

"Abang Zill cakap apa ni..? Abang Zill dah gila ke nak nikah dengan bekas banduan macam Ara, kita pun baru dua hari kenal abang Zill, Ara tak kenal abang, dan abang pun tak kenal Ara, apa penerimaan family abang Zill nanti? Sanggupkah orang tua abang Zill bermenantukan bekas banduan..?" Aku luahkan segalanya yang terbuku di hati bagai peluru berpandu.

Tidak habis fikir aku dengan fikiran singkat lelaki ini yang baru dua hari mengenali diri ini. Dua hari kenal dah ajak nikah? Betul-betul tak masuk dek akal!

"Abang minta maaf, tapi abang lagi gila jika biarkan Ara terkontang-kanting uruskan harta arwah daddy Ayaz yang arwah tinggalkan untuk Ara..bukan sikit-sikit Ara, Ara lihatlah sendiri.."

Beberapa dokumen yang tersimpan kemas di dalam sebuah fail itu aku lihat dan aku baca satu per satu dengan bantuan Zill Qayyim kerana kedua belah tanganku masih kemas digari. Sejak dari tadi aku tidak berseorangan. Ada seorang pengawal yang ditugaskan untuk mengawasi setiap gerak-geriku.

Terbuntang sepasang mataku apabila melihat angka yang tertulis di atas sebuah dokumen sebesar saiz kertas a4. Betul kata Zill Qayyim, bukan sikit-sikit harta peninggalan arwah daddy Ayaz yang diwasiatkan ke atas namaku dan juga sebahagian kecil tidak ketinggalan buat mommy Aralynn. Ada juga ditinggalkan dua pucuk surat tulisan tangannya buat aku dan juga untuk mantan isterinya.

Aku menyuruh Zill Qayyim membuka kan sepucuk surat itu untuk aku. Isinya yang berupakan tiga helaian kertas wangi itu penuh dengan coretan isi hati arwah daddy Ayaz khas untukku. Menitik deras air mataku saat membaca isi kandungan surat tersebut. Dan, perlahan-lahan jejemari Zill Qayyim naik menghapuskannya.

Tergeleng-geleng kepalanya, bagaikan satu isyarat untuk aku segera menghentikan tangisanku. Namun, tangisanku makin menjadi-jadi sehingga tersedu-sedan di dalam dakapan lelaki ini. Basah kemejanya dek deraian mutiara jernih ini yang sedari tadi seakan tidak mahu berhenti.

"Sudah... Ara, jangan menangis macam ni terus, Ara kena jaga diri..esok hari penting buat Ara, Ara kena sihat.. jika tidak, lagi lama masa diambil untuk selesaikan kes Ara ni..jomlah kita berehat je dalam bilik..abang temankan Ara.."

Aku hanya mengikuti kata-kata Zill Qayyim tanpa sebarang bantahan. Benar..sememangnya tubuh ini terasa sangat lemah saat ini. Aku perlu merehatkan diriku sebaik-baiknya. Hari esok, hari yang sangat penting untuk diri ini. Hari esok, adalah penentu dan titik-tolakku sebagai seorang gadis yang bernama Arabella Alexandria Yong binti Ayaz Abdullah.

***

Sidang pembicaraan semula kes aku berjalan sangat lancar pada pagi itu. Menitis air mata kesyukuran dan kegembiraanku di kandang pesalah itu saat tuan hakim mengumumkan aku terlepas dari tuduhan membunuh bapaku sendiri. Mahu sahaja aku pengsan saat lutut sudah terasa longgar untuk kekal berdiri.

Aku sempat kagum dengan Zill Qayyim, seorang peguambela yang sangat berdedikasi. Petah dia berhujah menggunakan bahasa asing itu dengan baik dan kelihatan dia sedikit pun tidak gentar dengan pihak pendakwa raya yang garang menghentam dengan hujah-hujah berdasarkan bukti yang sudah dikumpul.
Dengan caranya yang bersahaja, mudah dia mematahkan dakwaan pihak pendakwa raya yang berhujah lantang, seolah-olah tidak membenarkan satu kesempatan bagi diriku untuk membela diri. Namun, dengan bantuan Zill Qayyim aku jadi bersemangat kembali. Nasihatnya padaku malam tadi, sedikit sebanyak membakar semangatku untuk memperjuangkan nasib diriku sendiri.

Tidak habis fikir aku, Zill Qayyim berjaya mensabitkan kesalahan berat yang kupikul selama dua tahun ini pada Emelyda. Ya, Emelyda pelaku sebenar yang membunuh daddy Ayaz. Kesemua bukti yang dikemukakan oleh Zill Qayyim membuktikan Emelyda adalah pembunuh sebenar bapaku. Rakaman suara dan serpihan kuku palsu milik Emelyda menjadi bukti kukuh yang mensabitkan kesalahan itu padanya. 'Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga'.

Emelyda serta-merta diberkas apabila cubaan untuk melarikan diri dipatahkan secara cemerlang oleh pihak polis yang bertugas. Tindakan pantas pihak polis dengan bantuan orang awam, Emelyda berjaya juga diberkas dalam kejadian tembak-menembak itu. Sekujur tubuh Emelyda terbaring kaku apabila sebutir peluru yang dilepaskan oleh seorang pegawai polis tepat menembusi jantungnya dan Emelyda menemui ajalnya serta-merta tanpa sempat dibicarakan untuk menjalani hukuman.

***

Petang itu, Zill Qayyim membawaku ke salah sebuah pantai yang terkenal di pusat bandar Istanbul. Pantai Florya menjadi destinasi kunjungan jejaka itu berikutan terletak dalam jarak pemanduan yang singkat dari pusat bandar Istanbul dan pantai tersebut tidaklah begitu jauh jaraknya dengan tanah perkuburan daddy Ayaz.

"Alhamdulillah...semuanya dah selesai, nasib tak jadi apa-apa pada Ara..kejung dah abang masa tu bila tindakan Emelyda menjadikan Ara sebagai mangsa tebusan untuk melarikan diri..." kata Zill Qayyim sebaik sahaja dia melabuhkan duduknya di sebatang tunggul kayu yang terdapat di pesisiran pantai yang membiru dan jernih airnya.

"Insya Allah.. abang Zill, Allah masih nak panjangkan umur Ara...tapi, Ara tak sangka arwah Emelyda sanggup bunuh daddy Ayaz semata-mata sebab harta.." satu keluhan berat aku lepaskan. Tangan yang dihulur oleh Zill Qayyim aku sambut dan aku labuhkan dudukku di sisinya.

"Siapa je yang tak suka pada duit Ara, bukannya sikit..hampir setengah juta Lira.. sebuah rumah banglo mewah dan sebuah kereta mewah, siapa yang tak rambang mata..." kata Zill Qayyim teruja. Bulat bebola sepasang matanya yang indah itu. Baru aku perasankan warna anak matanya itu mempunyai persamaan denganku, warna coklat cair. Teringin pulak nak makan aiskrim coklat saat ini sebab cuaca agak terik memancar walaupun sang mentari sudah semakin condong ke arah Barat.

"Abang Zill pun tak terkecuali..? Betul ke abang ikhlas terima Ara, bukannya nak nikah sebab harta benda dan kemewahan ni..?" soalku bersahaja, namun masih mengekalkan ketegasan dalam nada bicaraku.

"Ya.. Allah, sampai hati Ara tuduh abang macam tu sekali. Ya, Ara.. abang faham kita baru sangat kenal..nampak sangat abang terburu-buru, tapi..abang ada alasan tersendiri Ara..." seraya Zill Qayyim bangun menjarakkan diri. Langkahnya dibawa ke gigi pantai.

"Bagitahu jelah alasan abang tu, buat Ara mengerti dan faham..!" aku mengejar langkahnya itu, namun dia sudah jauh ke hadapan meninggalkan aku beberapa langkah di belakang.

"Suatu hari nanti Ara akan faham.." teriaknya keras. Leka dia bermain air membasahi telapak kakinya dengan air pantai yang bersih tanpa dinodai dengan sebarang jenis pencemaran.

Aku yang baru menyertainya hanya berdiri kaku tidak jauh dari dirinya itu. Mataku pejam seketika menikmati ombak pantai yang tenang membadai. Deruan angin yang agak kencang itu membuatkan aku mendepakan kedua-dua belah tanganku tanpa sedar. Aku mula berkhayal tentang Elhan yang berlari masuk ke dalam bukaan lenganku yang tidaklah begitu luas.

Dengan mengimpikan harapan bahawa Elhan akan membalas dakapan aku dengan menarik tubuh susutku ke dalam dakapannya. Sentuhan lembut kedua belah lengan kekar yang disangkutkan pada kedua belah bahuku menyentak lamunanku yang membuyar tentang jejaka bernama Elhan.

Aku membuka mataku perlahan-lahan pabila mendengar suaranya yang diselang-seli dengan tawa kecil.

"Amboi... nak peluk bumi ni pulak ke.. lebar betul depakan tangan, ke nak peluk abang...?" serta-merta lenganku jatuhkan.Merona merah wajahku digiat Zill Qayyim begitu. Malunya aku jika dia tahu aku sedang khayalkan insan kesayanganku itu.

'Ah, buang dia jauh-jauh Arabella..dia suami orang..dia bukannya hak kau lagi..! Dia milik seseorang dan yang paling penting, Elhan sudah menganggap kau sebagai adik tirinya sahaja... Adik tiri, Arabella...adik tiri!' aku pujuk diriku sendiri. Air mata seraya jatuh membasahi pipiku.

"Ya...Allah, kenapa berkhayal sampai menangis ni. Ara fikir apa lagi..? Janganlah macamni, tak pasal-pasal orang salah faham dengan abang ni nanti..!" Zill Qayyim memujuk.

Tangisanku semakin menjadi-jadi. Entah apa yang aku sedihkan. Lalu, tubuh kekar tinggi lampai Zill Qayyim aku peluk erat-erat sehingga sesak nafas lelaki itu jadinya.

"Abang Zill, kita nikah esok! Jangan tanya apa-apa jika tak nak Ara ubah fikiran..." kataku yang baru sahaja usai menangis. Wajah Zill Qayyim aku tatap tepat sebelum aku benamkan semula pada dada bidangnya itu.

Sebentar kemudian, aku rasa diriku seperti melayang ke udara. Zill Qayyim mengangkat tubuh kecilku dan di bawanya berpusing, meraikan kegembiraan hatinya yang telah berbunga-bunga dengan keputusan aku menerima lamaran yang dikemukakannya kepadaku semalam.

"Terima kasih sayang... hari ini abang rasa keindahan itu memeluk diri abang semula. Abang janji akan jadi yang terbaik buat Ara..akan jaga Ara, bahagiakan Ara sehingga nyawa abang menemui ajalnya..."

"Abang Zill janganlah cakap ayat-ayat sedih macamni..Ara baru je lepas menangis, takkan abang nak tengok Ara menangis lagi.." aku tampar manja lengan kekarnya itu.

"Jangan sayang, abang takkan benarkan air mata Ara tumpah lagi lepas ni, abang nak Ara hias hari-hari kita dengan senyuman dan tawa gembira..no more tears.."


"Takkan nak gelak sepanjang hari, nanti tak pasal-pasal orang anggap Ara ni gila pulak!"


"Nakal, abang suka Ara senyum dan ketawa macam ni.. Ara tahu tak Ara ni bertambah cantik dan buat hati abang ni luluh.."


"Luluh..? Kesian hati abang tu, elok-elok, jadi hancur sebab Ara.." aku mula tertawa, kali ini tawaku lepas bebas. Suka aku dapat menyakat jejaka di hadapan aku ini. Ya, aku gembira.. sangat bahagia!

"Kenapa nakal sangat ni, nak kena kiss ke..? Abang ni nak cakap besar taklah, tapi kalau Ara nak tahu, abang ni seorang yang berpengalaman bab ni.Takut Ara je nanti yang gila bayang.."

Pantas aku geleng kepala, tawaku juga terhenti. Telapak tangan pantas menekup ulas bibirku.

"Dahlah abang Zill, drop this subject, sebelum kita bernikah esok, Ara nak tahu segalanya tentang luar dalam diri abang, ceritakan segalanya pada Ara dan Ara akan buat benda yang sama.."


"Ok, sebelum nak bercerita panjang, apa kata kita isi perut dulu, abang lapar sangat dah ni..jom kita pergi kat restoran tu.."

Aku mengikut langkah Zill Qayyim yang memimpin tanganku. Erat tautan jari-jemarinya padaku, seolah-olah tidak mahu lagi melepaskan aku daripada dirinya itu. Setelah memesan beberapa juadah terkenal di sebuah restoran halal milik seorang pengusaha yang berasal dari negara Arab itu, barulah dileraikan tautan itu.

"Makanlah..Ara dah lamakan tak dapat makan sedap macamni...abang sedih sangat fikirkan nasib Ara dulu.. nak abang suapkan..?" sudu yang kupegang sudah beralih di tangannya.

Aku laju anggukkan kepala. Makan dari suapan tangan lelaki ini membuatkan seleraku mengugah. Dari satu piring beralih ke satu piring yang lainnya. Akhirnya, tersandar kekenyangan aku di kerusi rotan itu. Aku lihat Zill Qayyim tersenyum bahagia, senang dengan diriku yang tidak memilih makanan.

Di sepanjang dia menyuapkan makanan itu ke mulutku, Zill Qayyim menceritakan segala perihal tentang dirinya itu. Begitu juga dengan diriku. Namun, cerita tentang Elhan aku simpan kemas dari pengetahuan jejaka itu. Belum masanya lagi aku ingin berkongsi cerita tentang lelaki itu pada Zill Qayyim.

Pelbagai perasaan aku rasai sepanjang penceritaan Zill Qayyim tentang dirinya. Tak ku sangka, Zill Qayyim yang berjarak enam tahun lebih tua dari usiaku, seorang duda yang ditinggalkan oleh seorang isteri yang curang. Yang lebih menyakitkan, kecurangan bekas isterinya yang menjalinkan hubungan terlarang dengan teman baiknya sendiri. Teman sepermainan sejak dari kecil yang sudah dianggap saudara sendiri. Zill Qayyim juga adalah seorang anak yatim piaitu sejak dia berumur sembilan tahun.

"Terima kasih abang Zill sudi ceritakan semuanya pada Ara..sedih juga kisah hidup abang Zill.." air mata yang bersisa aku hapus kasar.

"Tapi tak sesedih kisah hidup Ara... abang rasa, Allah temukan kita untuk kita saling melengkapi Ara..abang janji Ara, abang akan jaga dan sayang Ara sehingga Ara merasakan Ara wanita yang paling bahagia di dunia..abang janji dengan nyawa abang..abang akan jaga baik-baik amanah Allah yang paling berharga yang dikurniakan dalam hidup abang.." katanya bersungguh. Jemariku digenggam erat. Utuh!

"Amboi.. manisnya mulut abang Zill, boleh potong kaki. Insya Allah abang Zill, semoga ada sinar baru datang memeluk diri ini.." aku senyum manis.

'Ya...Allah, terima kasih di atas kurniaan-Mu menghadirkan insan sebaik Zill Qayyim untuk melengkapi dan menemani diriku untuk terus melangkah menempuhi liku-liku hidupku yang masih bersisa..'

'Ya...Allah, pintaku semoga ada sinar baru yang menerangi diri ini setelah kelam membelenggu erat hidupku sepanjang dua tahun lalu yang bagaikan tidak mahu berarak pergi'.

'Hadirkah sinar baru yang bakal menerangi indah perjalanan hidupku di hari yang mendatang? Berikanlah hamba-Mu ini petunjuk..' bisikku seluruh kata itu perlahan di dalam hati. Masih ragu-ragu dengan keputusan yang kubuat secara mendadak ini.

"Ara...Ara...Arabella Alexandria Yong binti Ayaz Abdullah...! Hai... mengelamun lagilah tu...?" Zill Qayyim geleng kepala.

"Hah...! Ya, ya.. Ara setuju jadi isteri abang Zill..! Jom, kita cari baju pengantin..."

Mengekek ketawa Zill Qayyim mentertawakan aku yang sudah terlepas kata itu. Tertunduk malu aku dibuatnya apabila tawanya itu semakin galak. Akhirnya, aku jadi tertawa sama sambil memaut lengan kekar itu erat. Tidak akan kulepaskan lagi. Aku nekad!

Done update..terimalah seadanya..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience