BAB 41:(KUKUNCI RINDU BUATMU)

Romance Completed 5995

HARI kedua aku bersama tiga orang anakku, kak Pipah dan ditemani dengan tiga hero kami ini di bandar Seberang Takir banyak dihabiskan di sekitar pantai Teluk Ketapang sahaja. Pantai yang memang luas dan lapang amat sesuai untuk aktiviti bersiar-siar dan bermain layang-layang. Semalam aktiviti kami dipenuhi dengan hanya bermalasan di bilik hotel melepaskan kelelahan memandu.

Encik Eijaz memilih untuk ke sini bagi memenuhi keinginanku yang ingin menyambut hari lahir Arayumi dalam suasana malam di pantai. Semua persiapan sudah dibuat pada hari pertama kami menjejakkan kaki di sini. Segala perbelanjaan ditanggung oleh encik Eijaz kerana dia yang menawarkan dirinya untuk berbuat demikian. Katanya, dia nak buat sesuatu yang dapat dikenang oleh Arayumi di kemudian hari, walaupun Arayumi sangat-sangat menolak pemberian daripada encik Eijaz ini.

Namun, kata orang rezeki yang datang tak baik ditolak, membuatkan Arayumi menerimanya dengan hati yang terbuka. Keceriaan Arayumi jelas terpancar dengan kehadiran Elhan Ebrahim Edward, yang ditemani oleh Dr Naim Nazreen bersama-sama memeriahkan sambutan hari lahirnya sebentar tadi. Aku bawa langkahku perlahan-lahan mendapatkan Elhan yang tengah melakar sesuatu di dada pasir. Di hujung sana, Arayumi, Eshal, Arisha sedang leka bermain di tepian pantai, berlari-larian, berkejaran sambil di perhatikan oleh kak Pipah, Dr Naim Nazreen bersama encik Eijaz.

Dalam keadaan yang agak gementar aku menyoal bekas suamiku itu yang sudah aku anggap sebagai rakanku. Dah memang dia sebahagian teman yang ada dengan aku sejak berada di zaman universiti dulu. Tiada sedikit pun permusuhan antara aku dan lelaki ini, walaupun dia sempat buat hati aku terguris teruk. Kami kekalkan hubungan baik ini untuk anak-anak kami. Aku ingin melakar kenangan paling indah di sini. Aku berdoa agar pantai ini menjadi permulaan bagi sebuah impian yang terlakar. Di dalam hati tetap memendam hasrat semoga jejaka ini berubah hati agar menerima kembali diriku di dalam hidupnya.

"Abang buat apa tu?" sergahku melihatkan Elhan terbongkok-bongkok menulis sesuatu di dada pasir.

"Bacalah..." balasnya.

Sayangku Arabella Alexandria Yong,

Bila ada kamu
Adanya aku
Tak perlu bicara
Tak perlu kata-kata
Cukup mengerti bicara hati

Bila kau tanya
Sedalam mana cintamu
Pengorbananku adalah jawapannya
Nyawaku sebagai ganti
Biar cintaku bersemi
Untukmu selamanya....

Aku dah tak boleh menahan perasaan. Elhan yang duduk statik di atas kerusi rodanya itu kupeluk dengan sekuat -kuatnya hanya sebentar cuma. Tak pernah aku melihat mantan suamiku ini melakar sesuatu yang amat indah seperti ini. Menggunakan telefon bimbit, aku rakamkan setiap tulisan itu agar ia menjadi kenangan terindah kami di sini.

"Abang..so sweet. Bella tak tahu abang pandai mengayat begini, dulu masa dekat uni pun, abang dingin sangat dengan Bella.."

"Kenapa, tak percaya..entahlah tiba-tiba abang rasa nak tulis.." ujar Elhan bersama batuk yang agak keras.

"Abang, ok tak ni..kita masuk biliklah macam nak hujan je ni..abang sejuk ya"

Melihatkan aku yang melambai -lambaikan tangan kepada mereka di hujung sana, Elhan sendiri menggerakkan kerusi rodanya.

"Eh, tunggulah abang.." jeritku pada Elhan yang semakin menjauh.

Semenjak tadi aku perhatikan, perangai Elhan berubah. Ketara. Kadang-kadang dia terlihat ceria dan ada kalanya dia berubah menjadi sangat pendiam. Macam ada sesuatu yang cuba disorokkan dari pengetahuan kami. Lebih-lebih lagi jika aku kelihatan rapat dengan encik Eijaz, abang ngahnya. Dia seperti tidak merelakan aku untuk mendekati bekas abang iparku ini.

Tapi ulahnya itu yang buat aku senang. Dengan itu, aku tahu Elhan sebenarnya masih lagi menaruh perasaannya
padaku. Cuma keegoannya dan kekurangan diri buat dia melepaskan segalanya. Layanannya pada anak-anak juga kelihatan sungguh akrab. Namun, wajahnya yang ketara pucat itu buat hatiku tak tenang. Lain benar aku rasakan perasaanku tatkala ini sehingga mengganggu lenaku.

Ketukkan pintu bilik yang agak keras menyentak diriku. Berlari aku membuka daun pintu yang diketuk seperti mahu merobohkannya. Tatkala pintu terkuak, Dr Naim Nazreen yang berada dalam keadaan cemas, segera mengarahkan aku berkemas, bersiap sedia meninggalkan hotel walaupun masa masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

"Kenapa ni Im...nampak cemas semacam, hey..baru pukul berapa nak check out.."

"Dah jangan banyak bunyi, kita dah takde masa..buat jelah apa yang saya suruh...jumpa dekat Salam Specialist Hospital" Dr Naim Nazreen segera berlari meninggalkan aku terkulat-kulat di muka pintu.

Aku belek diriku atas bawah. Takde apapun yang boleh menimbulkan tak keselesaan anak mata lelaki ini. Nasib aku pakai pijama, bukannya baju tidur satin yang bertali halus, tapi kenapa lelaki itu nampak tak tentu arah. Bicara terakhirnya yang menyebut nama hospital swasta tempat dia bertugas meruntas diriku. Fikiranku sudah membayangkan sesuatu yang buruk terhadap insan kesayanganku, siapa lagi kalau bukan, Elhan Ebrahim Edward.

Berlari semula aku mengejutkan anak-anakku yang sedang lena. Dalam kepisat-pisatan Arayumi mengejutkan pasangan kembar yang tengah asyik dibuai mimpi, sementara aku mengemaskan pakaian. Arayumi aku arahkan membawa adik-adiknya untuk membersihkan diri terlebih dahulu.

"Cepat sayang...kita dah takde masa ni, uncle Im suruh kita segera ke hospital.."

"Siapa yang sakit mommy..?" Arayumi menyoal sambil mengikat rambut panjang Arisha.

"Entahlah, uncle Im tak beritahu mommy, tapi mommy dah boleh agak siapa."

"Papa Elhan....!!!! No..!!!" jerit Arayumi dengan Eshal serentak. Arisha pula masih melayan kantuknya sambil memeluk patung beruang yang dihadiahkan oleh encik Eijaz beberapa jam tadi.

"Dahlah, dah siapkan? Jangan nak buat drama pagi-pagi buta ni..tolong mommy bawa bagasi ni..jom kita kena check out now.."

Setelah selesai urusanku mendaftar keluar di kaunter hotel itu, terus sahaja aku mendapatkan kereta yang terparkir di tempat parkir kenderaan di tingkat dua bangunan ini. Cuaca buruk dengan hujan lebat yang sedang membasahi bandar Gong Badak, daerah Kuala Terengganu Utara ini sedikit sebanyak menyukarkan pemanduanku untuk segera sampai ke tempat yang menjadi tujuan utamaku.

"Alhamdulillah, akhirnya sampai juga.. Yumi bawa Elhan, biar mommy dukung Arisha..kalau lapar pergi ke kafe hospital tu dulu.."

"Baik mommy...jom Eshal, Arisha nak ikut kak Yumi tak?" Arayumi menyoal adik bongsunya itu.

"Arisha nak ikut kak Yumi..Arisha laparlah mommy.." adu Arisha sambil mengelus-elus perut kecilnya.

"Ok, tapi jangan merayau, tunggu sampai mommy datang balik..Yumi jaga adik-adik..mommy pergi dulu"

Aku tinggalkan mereka bertiga di kafe hospital ini dengan menghulurkan not lima puluh kepada Arayumi. Berkali-kali aku memesan pada Arayumi untuk menjaga adik-adiknya sebaik mungkin. Tanpa berlengah lagi, aku bertanyakan keberadaan Elhan pada salah seorang jururawat yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan hospital itu.

Tingkat tiga hospital terus aku tuju dengan menaiki lif yang terdapat di penjuru sebelah kiri bangunan ini. Sebaik sahaja aku keluar dari perut lif ini, kebetulan sekali aku bertembung dengan Dr Naim Nazreen yang kelihatan tengah terkocoh-kocoh membawa langkahnya mengiringi beberapa orang doktor yang sudah bergegas memasuki ruangan bilik rawatan kecemasan itu. Hanya sempat mengarahkan aku supaya menunggu di luar, itu pun dilakukan secara bahasa tubuhnya sahaja.

Aku akur dengan arahan itu dan ada beberapa orang jururawat yang tengah bersembang di kaunter bahagian hadapan yang tidak jauh dengan kedudukanku membuatkan aku sudah tidak tenang. Perbualan mereka berdua sempat buat jiwaku bergelora hebat.

"Mira, aku takut betullah dengan mangsa kemalangan pagi tadi..keadaan lelaki tu teruk betul. Muka dia dah tak serupa muka dah.." kata seorang jururawat yang baru menghampiri rakannya itu. Aku rasa dia baru sahaja keluar dari bilik pembedahan itu.

"Ye ke kak Jun...alah tak payah ceritalah, seram pulak Mira dengar.."

"Tapi kan..ada seorang pesakit ni pulak buat permintaan terakhir nak dermakan segalanya milik dia untuk mangsa kemalangan ni..rasanya diorang ni ada pertalian darah kot.., kak Jun nampak tadi doktor kesayangan kau tu dah tak tentu arah dalam bilik tu..hampir nak pengsan.." adu jururawat tinggi lampai itu.

"Ya..Allah, kesiannya Dr Naim Nazreen, crush Mira tu kak..dia tak apa-apa ke kak..?" soal jururawat kecil molek itu pada jururawat yang dipanggil kak Jun itu.

Dia sempat tersenyum padaku sebab aku secara tak sengaja memandang ke arahnya. Makin tak senang hati aku bila dia menyebut sebaris nama rakan seuniversitiku itu. Terangkat-angkat punggungku untuk mendapatkan jururawat bernama Jun itu untuk mendapatkan kepastian apa yang sedang berlaku di bilik itu. Namun, niatku terhenti pabila kemunculan Dr Naim Nazreen yang melangkah longlai mendapatkan aku di bangku ruangan menunggu itu.

"Im...Dr Naim..kenapa ni? Apa yang berlaku kat dalam tu.." terus aku menyoal doktor lelaki ini.

Wajahnya nampak sangat tidak bermaya. Matanya merah menahan air jernih yang hampir tumpah dari kolam matanya. Dr Naim Nazreen menatakan pandangannya padaku. Gelengan kepalanya membuatkan aku sudah tidak keruan. Kuat aku mengoncang kedua belah lengan kekarnya yang sudah aku genggam erat. Aku perlukan penjelasan tentang kedudukan Elhan saat ini. Bukannya kebisuan Dr Naim Nazreen yang kutagih. Aku mahu Dr Naim Nazreen membuka bicara, menceritakan segalanya kepadaku apa yang sedang terjadi di dalam bilik rawatan itu.

"Please, Im..aku nak kau jelaskan segalanya, bukan membisu seperti ini.. tolong Im, tolong ceritakan kebenaran.. buka mulut kau ni.." aku sudah memukul-mukul dada bidang jejaka ini dengan kepalan jari-jemariku. Kepalanya masih tergeleng-geleng dengan guguran air jernih yang sudah mengalir di pipi dihapus sedikit kasar di sebalik kaca matanya.

Dr Naim Nazreen menggenggam jejemariku dengan erat. Air mata yang sudah mencemari wajahku cuba dihapuskannya. Tubuhku dirangkul erat dalam dakapannya.

"Sabar Bell, sebenarnya... Elhan... alang Elhan dah..dah tinggalkan kita beberapa minit tadi, maafkan aku sebab gagal untuk selamatkan dia.
Maafkan aku, Bella.." sayu Dr Naim Nazreen ungkapkan kata-katanya.

"Tak, kau tipu aku Im..tak..tak mungkin..aku nak jumpa dia Im.. tolonglah bawa aku jumpa dia Im.." jubah putih yang membaluti tubuh Dr Naim Nazreen aku genggam seeratnya. Tubuhku hampir melorot jatuh menyembah lantai jubin putih yang dingin ini. Pantas lengan kekar Dr Naim Nazreen melingkari pinggangku dan dibawanya aku ke dalam dakapannya kembali.

"Sabar, Bella...Allah lebih menyayangi dia, Bella..jangan macam ni Bella, kau harus terima kenyataan.
Bella... Bella.. Allah, nurse...help!"

***

Matahari sudah agak meninggi. Namun, kaki seperti terpasung di Tanah Perkuburan Islam Paya Bunga ini. Menziarahi pusara milik bekas suamiku yang sudah tiga hari dikebumikan di sini. Aku sirami pusara Elhan Ebrahim Edward dengan air mawar sebaik sahaja usai aku mengalunkan bacaan surah Yassin bersama doa ringkas untuk dirinya di alam sana. Kutaburkan kelopak mawar merah yang menjadi kesukaan lelaki ini.

"Abang...tunggu Bella di sana ya, sayang...akan kukunci rindu ini buatmu, sayangku" ucapku dalam hati.

Perlahan-lahan kakiku melangkah meninggalkan tanah perkuburan ini dengan deraian air mata yang masih mengalir di wajah. Aku sambung tangisanku di dalam kereta. Namun, ketukkan di cermin tingkap menyentak diriku. Perlahan-lahan aku turunkan cermin tingkap itu apabila melihat wajah Dr Naim Nazreen di luar.

"Ok tak ni..kalau tak, balik dengan saya jelah..risau pula tengok awak memandu dalam keadaan macam ni.."

"Saya ok, Im...awak nak ziarah pusara arwah ke..?"

"Dah tadi, sebelum awak datang lagi..ingatkan nak balik terus, nampak awak tak beranjak, saya ambil keputusan tunggu awak sampai selesai.."

"Thanks Im, saya nak balik dah..awak cuti ke..?"

"Bella, ikut saya kejap..ada benda saya nak cerita kat awak ni..saya dah tak larat nak simpan dah..ikut saya, ya.."

Aku anggukkan kepala, aku mengikuti arah kereta yang dipandu oleh Dr Naim Nazreen dari belakang. Setengah jam memandu, kami sampai di sebuah restoran yang agak eksklusif. Aku mengikuti sahaja langkah Dr Naim Nazreen tanpa sebarang bantahan.

"Duduklah...kita berbual sambil makan tengah hari..perut dah berkeroncong ni.." Dr Naim Nazreen senyum nipis.

Aku labuhkan punggung sebaik sahaja Dr Naim Nazreen menarikkan kerusi untukku. Setelah memesan makanan dan minuman yang aku serahkan pada Dr Naim Nazreen sendiri yang membuat pilihan untukku, Dr Naim Nazreen terus sahaja buka bicara sebaik sahaja pelayan itu memalingkan tubuhnya.

"Bella...Bella baik-baik je kan? Maksud saya, Bella dah dapat terima pemergian alang Elhan.."

"Kenapa...awak risaukan saya ke?" soalku terhenti sebaik sahaja pelayan tadi tiba semula menghantarkan pesanan kami.

"Thanks.." kami mengucapkan terima kasih kepada pelayan lelaki itu. Pelayan itu hanya mengukir senyuman dan terus berlalu dari meja kami.

Aku menyedut sedikit rakus jus tembikai yang kelihatan menggoda di cawan kaca berkaki tirus itu. Terasa segar kembali tekak yang sudah perit kerana kehausan.

"Amboi...haus sangat nampaknya tu, perlahan-lahan Bella, takut tersedak nanti..soalan awak tadi tu, saya rasa awak dah tahu jawapannya." Dr Naim Nazreen terus menyuap nasi dagang berlauk kari udang galah itu ke mulutnya setelah usai membaca doa.

"Awak kata orang, yang makan macam orang kebuluran ni dah kenapa, Im..sini saya lapkan mulut tu, comot tau tak?"

"Thanks, rasa macam dulu-dulu.. arwah Suhana selalu lapkan mulut saya ni, sekarang awak pula.. agak -agak saya ada peluang lagi tak?"
Dr Naim Nazreen mencuba nasib, cuba memancing hatiku.

"Ah, Im...awak suka betul kacau saya, erm..tadi kata nak cerita, ceritalah.."

"Makanlah...lauk kesukaan awak kan..saya dah siap kopek kulit udang ni untuk awak..tahu, masa dekat uni dulu, arwah Elhan yang selalu buatkan untuk awak kan, Bella.."

"Awak masih simpan perasaan dekat saya ke Im?" soalku terus terang, malas dah nak berteka-teki.

Dr Naim Nazreen cuma senyum manis, beberapa saat dia menganggukkan kepalanya. Aku pula tak senang duduk, langsung terhenti suapan nasi dagang itu ke mulutku. Statik. Beku. Melihatkan aku begitu, terus sudu yang masih terpegang kemas di tanganku, segera bertukar tangan. Lantas, Dr Naim Nazreen menyuapkan suapan itu ke mulutku. Aku yang bagai terhipnotis menerima suapan itu tanpa sebarang bantahan. Perlahan-lahan mengunyah sebelum menelannya.

"Saya suapkan ya, nampak awak berselera sikit dengan suapan saya ni.."

Aku angguk kepala. Mungkin dah lama aku tak rasa begini. Rindukan suasana makan bersuap begini. Tidak tunggu lama, lima belas minit sahaja kami mengambil masa untuk menghabiskan juadah tengah hari kami.

"Thanks Im, layankan perangai manja saya ni..ceritalah Im, tadi tak sabar sangat awak nak cerita dengan saya..."

"Most welcome... sebelum tu kita pesan dessert sikit, sambil tu saya akan ceritakan rahsia ni kat awak.. chocolate mint ice cream ok..?"

Aku angguk lagi. Ah, tak sangka, Dr Naim Nazreen ni masih ingat ais krim kesukaan aku tu.

"Bella, awak tentu tertanya-tanya mana hilangnya abang ngah Eijaz kan?"

Ya...Allah, terlupa pula aku dengan daddy kesayangan Arisha ni. Yalah, tak ada khabar berita tentang lelaki ini sejak aku pulang dari hospital tempoh hari.

"Haah lah, Im...saya pun boleh terlupa pulak kat bekas abang ipar saya tu..? Dia ok je kan..? Mungkin tengah bersedih kehilangan adik kandung dialah tu...sebab tu dia tak muncul, kalau tak,mungkin dia dah sertai kita kat sini kan..?" aku tertawa kecil, mengingatkan perangai encik Eijaz yang dikatakan 'gatal' oleh Arayumi.

"Kenapa ketawa...?"

"Tak, teringatkan kata-kata Yumi pasal encik Eijaz, dia kata daddy kesayangan Arisha tu gatal orangnya".

"Memang pun, meluat juga saya bila dia cuba dekat dengan awak, padahal dia tahu awak ni isteri adik dia. Sampai arwah alang Elhan buat keputusan nak ceraikan awak, Bella.."

"What! Betul ke semua ni Im, bukannya arwah ceraikan saya atas kerelaan diri dia sendiri.."

"Tu pun betul, arwah alang Elhan tak nak seksa awak, Bella. Arwah benar-benar tulus cintakan awak. Dalam betul cintanya terhadap awak Bella, saya pun kalah...sehinggakan arwah sanggup..."

"Sanggup apa Im, awak ni buat saya nervous tau tak?" cawan kaca itu aku genggam erat, wajah dah berkerut seribu.

"Ni yang berat sikit nak cerita kat awak, sebenarnya abang ngah Eijaz accident masa mengiringi saya dan arwah alang Elhan ke hospital. Keretanya terbabas sehingga terseret dan terbalik hampir lima kilometer dari lokasi kejadian. Tu yang diceritakan rakan setugas saya tentang abang ngah Eijaz. Masa saya merawat arwah alang Elhan, kebetulan abang ngah Eijaz mendapatkan rawatan di bilik pembedahan. Dan..." Dr Naim Nazreen berjeda sebentar, menghabiskan suapan terakhir ais krimnya yang masih bersisa di cawan kaca yang comel itu.

"Ya...Allah, encik Eijaz kemalangan Im, habis tu sekarang ni bagaimana keadaannya, dengar dari cerita awak ni macam teruk.."

"Teruk juga...tapi tulah, abang long dah pindahkan abang ngah ke hospital overseas, tak silap kat London..sebab abang long duduk kat sana.."

"Oh, macam tu...tapi apa kaitan arwah abang Elhan dengan abang angah Eijaz awak tu..?"

"Erm..dahlah Bella, biar masa je yang tentukan. Kita beredar sekaranglah, Bella..pukul tiga ni saya dah mula shift.."

"Laa..ingatkan awak cuti hari ni.." aku tepuk bahu Dr Naim Nazreen sekilas, sebelum mendapatkan kembali keretaku yang kuparkir secara bersebelahan dengan kereta milik Dr Naim Nazreen. Setelah berpamitan, kami membawa haluan masing-masing.

***

Sampai sahaja di rumah, aku bersihkan diri terlebih dahulu. Kak Pipah membawa anak-anakku pulang ke kampung halamannya kerana ada kenduri kesyukuran diadakan di sana. Tak salah pengiraan aku, adik bongsu kak Pipah mendapat tawaran melanjutkan pelajarannya di Oxford Universiti, England dalam jurusan perubatan.

Sebentar sahaja lagi aku akan memulakan pemanduanku ke kampung halaman kak Pipah. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, aku bawa bagasi kecil yang sudah berisi segala kelengkapanku bersama untuk mendapatkan keretaku di tempat parkir. Dengan lafaz Basmalah, aku mulakan pemanduanku. Hampir tiga jam aku memandu, tibalah aku di kampung halaman kak Pipah.

Aku disambut oleh keluarga kak Pipah dengan mesra. Dah macam keluarga sendiri pula aku rasakan, walaupun aku agak sukar untuk memahami loghat Terengganu yang digunakan keluarga ini agak pekat bunyinya. Kak Pipah lah aku jadikan dia sebagai penterjemahku dan anak-anak jika kami tidak memahami apa yang diperkatakan oleh keluarganya.

Di dapur aku membantu kaum wanita untuk menyediakan makanan yang di hidangkan di dalam sebuah dulang. Piring-piring kaca digunakan untuk mengisi pelbagai jenis lauk-pauk yang telah dimasak secara gotong-royong petang tadi bersama jiran-jiran terdekat. Meriah jugalah kenduri yang diadakan malam ini.

Nak dijadikan cerita, dulang yang sudah tersedia itu aku angkat untuk dihulurkan oleh kaum lelaki yang berada di tengah rumah. Huluranku disambut oleh seorang jejaka. Dia tersenyum nipis padaku, namun aku dah kejung dibuatnya oleh jejaka itu.

"Abang....abang Elhan?!"

Done update...bab ni panjang sikit..hope enjoyed it..happy reading you all..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience