Bab 27

Humor Series 10658

Chapter 27

SEHELAI kertas yang dilipat tiga perlahan-lahan aku tolakkan ke Haikal. Apabila sudah berfikir untuk tiga hari lamanya, aku dah buat keputusan yang aku rasa betul. Ibu dan Abang Afif mula-mula menjadi pembangkang utama, tapi biasalah. Daya pemujuk aku luar biasa. Ceh! Ayah pula okey-okey saja.

Dahi Haikal berkerut tanda tidak mengerti. Kening aku naikkan agar dia membaca helaian kertas yang aku beri. Aku melabuhkan punggung di depan Haikal dan memandangnya tunak. Menunggu Haikal habis membaca.

"Berhenti kerja? Kenapa? Kau dah tak suka kerja bawah aku ke Aina?" Satu soalan dari Haikal membuahkan senyuman tipis dari mulutku. Terus aku menggeleng pantas.

"Bukan! Kau okey. Kau bos paling tip top pernah aku jumpa. Em yalah memandangkan kau bos pertama aku, kan?" Aku tersengih. Wajah Haikal yang serius mematikan sengihanku. Terus tangan kanan hinggap di kepala, menggaru selendang yang terlekat di kepala.

"Err tak. Sebenarnya, yalah. Kau faham, kan? Aku rasa dah sampai masanya aku berhenti kerja. Oh wait. Bukan sebab gaji tak cukup, bos garang atau apalah yang boleh dijadikan alasan. Tapi, aku memang nak timba pengalaman lain pula." Terangku.

Haikal mengangguk lemah. Kesian pula aku tengok. Mesti dia kecewa dengan apa yang aku buat. Aku mengetuk-ngetuk meja bagi mengambil perhatiannya kembali.

"Tapi, hei! Kau dan aku masih berkawan okey. Boleh saling hang out, calling calling. Maaflah kalau aku buat kau kecewa, sedih ke apa." Aku mengeluh perlahan. Haikal mengangkat muka.

"Tak apalah. Dah itu keputusan kau, kan. Tapi, kalau kau berubah fikiran, pintu syarikat ni terbuka luas untuk kau. Jangan lupakan aku dengan staf yang lain pula," Haikal kembali tersenyum. Ah, lega rasa hati. Aku mengangguk-angguk tanda mengiakan segala apa yang diperkatakan.

"Kau kerja mana lepas ni?"

"Kerja kat butik.." wait! Takkanlah aku nak kata 'butik kakak ipar aku'? Yang Haikal maklum hanya Abang Afif saja abang aku dan jelas lagi nyata dia belum berkahwin.

"Oh kerja kat butik. Okey okey. Projek yang sedang kau urus nanti pandai-pandailah aku bagi pada orang lain. Tapi, Amirul suka sangat bekerja dengan kau. Aku tak tahu kenapa, tapi bagus juga!" Haikal ketawa kecil. Aku menjuih bibir. Tak payah nak cakap fasal Amirul la. Migrant aku nanti.

"Tak ada apa-apalah,"

"Yalah tu... percaya sangatlah akunya. Oh ya, nanti lunch kita adakan jamuan perpisahan untuk kau. Kau bereskan kerja untuk hari ni teruslah, ya?"

Aku hanya mengangguk setuju. Selepas itu, aku menunduk separa setengah dari 90 darjah kepada Haikal tanda hormat. Seterusnya, aku keluar dengan lapang dada. Biarlah hanya Suzy saja yang tahu apa yang berlaku dalam bilik tu. Tengah hari nanti Haikal akan umumkan juga.

AKU menekan butang merah. Semak! Kacau! Penyibuk! Aku mengeratkan jemari menjadi bentuk buku lima dan menghenyak bantal sofa sepuasnya. Geram! Si Amirul ni tak pernah rasa letih gamaknya. Tak sudah-sudah nak kacau hidup aku.

Telefon berbunyi lagi. Nama Amirul masih tertera di kaca skrin. Disebabkan aku sudah penat menekan punat yang sama sebanyak 15 kali, aku menekan punat yang berlainan pula. Hijau.

"Assalamualaikum Amirah! Okey, please jangan off dulu. Tolong, beri aku peluang nak cakap."

Aku mengeluh perlahan. Dalam hati, aku menjawab salam yang diberi.

"Hm cakaplah."

"Aku dapat khabar yang kau dah resigned dari syarikat tu. Betul?"

Aku berdeham lalu mengiakan. Wah, berita tak berapa nak penting tu pun boleh sampai ke telinga Amirul. Siapa dalangnya ya?

"Kenapa? Sebab aku? Sebab.. sebab aku still dalam perjanjian kontrak dengan kau? Macam tu?"

Astaghfirullahalazim! Pelupanya aku! Kalau aku masih terikat dalam kontrak, aku mesti dikenakan saman atau denda. Aku menepuk dahi kuat dan berkali-kali. Lupanya!

"No. Bukan sebab kaulah. Tapi, hah fasal kontrak tu. Ya Allah, aku lupa gila. Tolonglah, nak saman aku jangan sampai berjuta. Beribu sudahlah. Kalau puluh ribu, inshaaAllah akan aku bayar ansur-ansur. Tolonglah, Amirul."

Aku mengetap bibir menanti apa yang akan dikeluarkan oleh mulut Amirul nanti. Bodoh bodoh! Kenapa tak terfikir fasal tu sebelum ni? Kenapa aku tak tunggu saja kontrak aku dan Amirul selesai baru behenti kerja? Ah! Geram!

"Ah, itu kau tak perlu risau. Aku takkan ambil tindakan apa pun-"

"Eh mana boleh macam tu! Sekurang-kurangnya samanlah aku juga. Aku dah buat company kau rugi, kan?"

"Ada orang ambil alih kerja kau, kan? So, rugi apanya? Dah tak payah fikir fasal tu lagi. Yang pentingnya itu kau."

Aku menghembus nafas lega. Betul juga apa yang Amirul kata. Tapi, aku tetap bersalah. Aku boleh dicap sebagai pekerja tidak berdisiplin.

"Sorry so much! Wait, pentingnya aku? Maksud?" Keningku bertaut, tidak mengerti apa yang diucap oleh si pemanggil.

"Kau tu.. aku ada better plan supaya aku dan kau masih boleh bersama. Kita kahwin senyap-senyap, then aku kahwin juga dengan Ariana but aku tak akan buat dia macam isteri langsung! You will be my first wife and no one else can replace you. Aku serius sayangkan kau. Pergi jahanam dengan Si Ariana tu! Dia dah hasut mummy supaya benci kau. Macam-macam dia kata. Sakit hati aku mendengarnya,"

Terus aku tutup talian setelah yakin Amirul sudah berhenti bercakap. Memang tak akan keluar lagi air mata ini! Aku tak izinkan. Aku membuka gambar aku dan Amirul bergambar bersama. Betul, aku nak sangat benda dalam gambar ni terus macam dalam gambar. Aku dan Amirul cool and steady. Tiada kata cinta dalam hubungan.

"Kau tahu tak, kau dah hilang akal? Kahwin senyap-senyap? Kau ingat aku apa, Amirul? Aku bukan anak patung yang terima seadanya. Walau benci mana aku sekalipun pada Ariana, tak akan sekali aku nak buat macam tu pada dia. Dia perempuan, aku pun sama. Aku tak mahu apa yang aku buat pada dia, aku akan dapat balik."

Lirihku dengan suara yang perlahan. Kepala Amirul aku tunjal-tunjal. Geramnya!

Telefon berdering lagi. Mesej seperti biasa. Aku swap benda atas ke bawah dan melihat nama Amirul lagi di skrin. Ah, apa lagi yang dia mahu? Aku buka juga mesejnya.

Amirah, tolonglah faham aku. Aku tak boleh kalau kau pergi lagi. Cukuplah sekali aku kehilangan kau. Aku tahu kau masih ada perasaan yang sama macam aku. Tolonglah Amirah.. I'm begging you.

Mutiara jernih di tubir mata segera aku seka supaya tidak membasahi pipi. Tak guna, ada juga air yang keluar! Aku segera back ke home.

Cukuplah sekali aku terluka bila kau tinggalkan aku. Cukuplah aku dah kena keji dengan mak kau. Cukuplah. Memang kau dan aku tiada jodoh, Amirul. Sudah tiba masanya aku mulakan cerita baru. Cerita yang tiada nama kau.

ENJIN aku matikan segera. Beg tangan di tempat duduk penumpang aku ambil, pintu dibuka. Balik lagi aku ke rumah ini. Aku mengetuk pintu. Rumah berkunci dari dalam tapi pagar dibuka. Aku menggeleng-geleng.

Pintu pun terbuka setelah beberapa minit aku mengomel sendirian. Lihat saja pembukanya, terus aku memeluknya. Baru beberapa hari aku tinggalkan, dah rindu! Rindu ibu sangat!

"Ibu, Aina rindu sangat kat ibu!" Pelukan yang masih erat, aku eratkan lagi. Terasa belakangku dielus lembut. Ah, nyaman saja rasa. Sekejap-sekejap aku mencium pipi ibu.

"Ha yalah. Ibu pun rindu jugak. Tapi, lepaskanlah ibu dulu. Boleh lemas ibu ni," ibu menepuk-nepuk belakangku pula. Terus aku meleraikan pelukan dan tersengih. Tangan ibu aku capai dan menciumnya.

Ibu menjemput aku masuk ke dalam rumah. Selepas bertandang di rumah sewa selama satu hari menonton televisyen, aku mengambil keputusan untuk terus duduk di rumah aku sendiri. Lagipun, butik dari rumah ibu, lagi dekat berbanding dari rumah sewa.

Aku menghempas punggung di atas sofa empuk milik ibu. Seperti biasa, remote control akan selalu jadi sasaran kalau sudah sampai di hadapan televisyen. Tup tup ibu sudah merampas alat kawalan jauh itu dari tangan aku. Aku menarik muncung.

"Kenapa? Aina nak tengok TV la ibu..." rayuku. Penat memandu masih belum kebah. Masa-masa macam nilah aku nak teringat kat Suzy. Rasa berasalah masih belum hilang. Sudahlah dia sendirian kat rumah tu. Dia bayar semua. Pergi kerja naik teksi. Aku memang menyusahkan!

Nasib baiklah dia akan segera mencari housemate. Kalau tidak, lagi bertimbun rasanya dosa aku buat. Dia pun kata dia nak ambil lesen kereta. Kereta sudah pun tersedia di rumah asal. Cuma niat nak membawanya tiada. Disebabkan Suzy ni malas benar nak naik teksi, terpaksalah juga ambil lesen.

"Haih, termenung pula dia." Sampuk ibu. Aku memalingkan wajah menghadap ibu lantas tersengih.

"Tak sengaja.."

"Hah, dah dapat kerja baru, kan? Kat mana? Bila interviewnya? Okey tak gaji dia tu?"

Aku meneguk liur kelat. Fasal ini pulalah ibu nak bangkitkan! Okey relaks. Jangan gelabah, nanti ibu tahu. Aku tersenyum tipis.

"Em dekat-dekat sini jer. Dah! Dah pergi dah. Okey ibu. Ibu jangan risaulah. Pandailah Aina ni," aku mengusap tangan ibu yang berada di peha aku sekarang. Aku mengawal juga ton suara agar tidak kelihatan kalut.

Ibu mengangguk lalu tersenyum. Dia membalas usapan aku dengan mengusap belakang aku. Aku hanya menayang senyuman. Selesa rasanya dapat berdua dengan ibu macam ini. Al-maklumlah saya ni anak bongsu. Agak normal kalau saya ni manja.

Aku berdeham kecil. Kotak ingatan aku melayarkan wajah along. Memandangkan hanya aku dan ibu sahaja di dalam rumah ni, mungkin elok aku tanyakan tentang perihal along. Tiada siapa yang bakal menghasut untuk ibu berterus-terang.

"Ibu, Aina rindu along." Aku berkata tenang. Serentak itu, tangan ibu berhenti mengusap belakangku. Di saat tangannya ingin diletakkan di riba, aku segera mencapai dan letakkan di atas ribaku. Aku usap perlahan.

"Aina okey. Ibu boleh meluahkan segala apa yang ibu simpan. Aina akan simpan dan tak beri tahu sesiapa. Promise!" Aku mengangkat tangan separa bahu. Kelihatan ibu mengeluh perlahan. Strategi, ibu perlu diberi pujukan supaya dimakan umpan itu.

"Along anak ibu, anak pertama ibu. Ahli keluarga kita. Aina yakin, bukan perkara mudah nak lupa orang yang penting bagi kita. Lagipun, dia lahir dalam janin ibu. Ibu bermati-matian menjaga dia dalam kandungan selama 9 bulan. Tidakkah ibu merasa sangat rugi kalau ibu melepaskan dia begitu saja?" Aku memandang ibu dengan ihsan. Cuba menyelami hati wanita di depanku. Sekeras mana pun hati, kalau kena tempatnya pasti akan lentur juga. Dengan izin Allah, semua benda boleh jadi.

"Ibu..." panggilku lagi. Ibu hanya mendiamkan diri sejak tadi. Aku mengeluh perlahan. "Tak apalah. Kalau ibu tak nak share tak apa. Ingat, Aina ada selalu untuk ibu." Aku mengangkat punggung. Di saat badan ingin berpusing, tangan ibu menggapai tangan kananku. Itu sudah cukup untuk aku mengukir senyuman. Aku duduk kembali.

"Ibu dah sedia?" Soalanku membuatkan ibu mengangguk perlahan. Dia mengangkat muka. Mahu bertentang mata denganku. Aku menyelesakan posisi duduk. Bersedia mendengar luahan hati ibu.

"Ibu sedar walaupun sudah lebih 5 tahun along meninggalkan kita. Bohonglah kalau ibu kata ibu tak terkilan dengan kelakuan dia. Hati ibu mana tak terluka melihat anaknya musnah depan mata sendiri? Dia penagih, Aina! Penagih! Sanggup dia cederakan orang yang selama ini menjaga dia,"

Aku hanya mendiamkan diri. Tanganku mengusap tangan ibu perlahan. Aku sedar apa yang ibu katakan itu betul. Dulu memang along seorang penagih najis dadah itu. Aku mengaku yang aku turut terkilan apa yang dia buat.

"Melihat dia atas katil hospital hari tu, perasaan ibu bercampur-baur. Marah, geram, rindu, sedih semua lengkap menjadi sebati. Mesti dia dah jadi mat rempit sekarang! Kalau tidak, mesti kamu tak akan terlanggar dia. Budak tu memang tak kenang budi," ibu menjadi emosi. Aku segera menggeleng pantas.

"Tak! Along bukan macam tu ibu. Along dah berubah. Totally. Along dah insaf sekarang. Masa Aina langgar dia hari tu pun, sebab dia tergesa-gesa. Hal kerja. Kereta dia ada problem." Jelasku dan berharap tanggapan buruk pada along menghilang dari fikiran ibu.

"Kerja? Kereta? Wah, dah kaya dia. Dia rompak bank ke?" Suara ibu kelihatan seperti merendahkan. Tapi aku tahu suara ibu bergetar saat itu. Apa yang keluar dari mulutnya tak sama dengan apa yang ada dalam hatinya.

"Tak. Along dah berkahwin sekarang. Ayahnya orang berada. Anaknya pemilik butik. Alhamdulillah, bapa mertuanya orang baik-baik. Along dapat belajar agama kembali. Mengenal mana buruk dan salah. Dia benar-benar insaf. Jadi, along diberi kepercayaan untuk bekerja di bawah bapa mertuanya."

Ibu memandang aku seperti tak percaya. Dahulu along bukanlah orang yang buta ilmu, jahil agama. Ayah memberi ilmu agama cukup pada anak-anaknya. Tapi, mungkin along tersilap jalan, tersilap langkah dengan memilih rakan yang salah. Along disahkan penagih dan mencuba untuk mencederakan ibu dan ayah semata-mata mahu duit bagi membeli dadah.

Aku mengukir senyuman. Ibu harus tahu yang along sudah berubah. Aku mencapai tangan ibu lagi. Aku memandang mata itu tunak.

"Along anak yang baik ibu. Dia salurkan wang setiap bulan ke akaun ayah. Along benar-benar minta ampun dari ibu. Maafkanlah dia bu... semua orang buat silap. Mungkin along patut diberi peluang kedua," pujukku lagi. Sekarang ibu kelihatan terpana.

"Ibu dah lama maafkan dia. Cuma hati ini memang terasa berat nak menatap wajah dia lagi. Tapi, selepas apa Aina beritahu, ibu nak sangat jumpa along. Aina dapat tolong ibu?" Ibu memandang aku dengan penuh harapan. Dengan lapang dada aku menyetujui permintaan ibu.

Perkara ini harus dikhabarkan segera pada along. Along pasti gembira! Alhamdulillah, aku nak keluarga aku seperti dulu-dulu.

"Ibu cuba-cubalah bercakap pada ayah dan Abang Afif. Hanya ibu sahaja yang boleh selami hati mereka. Aina tak mampu," aku menagih simpati. Ibu tersenyum lalu mengangguk-angguk. Aku segera memeluk dan mencium pipi ibu bertalu-talu.

Lalu, aku meminta diri untuk naik ke atas untuk mengemas pakaian. Maklum sajalah, aku sudah menjadi penghuni tetap!

PELANGGAN yang berjalan ke kaunter menyebabkan senyumanku membuah. Entah pelanggan ke-berapaku. Maklum sajalah, sudah seminggu lamanya aku bekerja di butik ini. Ibu sudah pun tahu akan kerjaku. Dia sangat gembira bila aku bekerja di bawah kakak ipar sendiri!

Aku menoleh ke belakang. Terkejut! Dia ni suka sangat mengacau akulah. Aku mencekak pinggang. Gadis di hadapanku hanya tersengih sumringgah. Entah apa yang dia tersengihkan.

"Hang ni suka sangat terkejut beruk bila aku kejut. Cool, relaks. Hang ni macam tak biasa," Wardina bersuara. Aku hanya menggelengkan kepala. Dia ni sama sahaja dengan kembarnya, Si Elisa tu. Sama-sama tak boleh buat aku senang sedikit.

"Memang tak biasa! Kaulah, kalau jantung ni gugur macam mana? Nak pakai lama ni!" Aku merungut. Sedap dia sahaja. Aku segera memperelok baju yang tergantung. Butik ini ada dua tingkat. Bawah, baju biasa yang boleh dibawa ke majlis mahupun memakai untuk santai-santai. Manakala di atas, baju pengantin! Hm, 2 in 1 okay.

Aku menjeling Wardina, dia mencebik. Dalam butik ni, sepasang kembar seiras Wardina dan Elisa yang menjadi rakan karib aku. Dia orang nilah juga kaki gosip kalau bos tiada! Hm lagi aku masuk, lagi meriah. Hm biasalah.

"Weh, kau perasan tak yang Encik Danial tu dah lama tak mai butik?" Elisa menyampuk entah datang dari mana. Terkejut jugalah aku. Aku pilin juga dia ni! Seorang tepuk aku dari belakang, seorang tiba-tiba muncul. Adui, boleh jadi tintong aku jadinya.

"Oh yalah. Betui jugak. Manalah dia pi? Rindu aku!" Wardina dengan selambanya berkata. Aku mencebik menyampah. Biarlah si pensyarah tu tak datang. Suka hati dialah. Yang mereka ni duk sibuk buat apa?

"Eh, Aina! Hang dengak tak kami cakap ni? Hang tak rasa teruja ka? Hang kan belum dapat tengok wajah kacak dia tu!" Elisa bersuara. Mungkin melihat aku yang tak ambil port dalam mereka berbicara. Aku menoleh ke belakang.

"Tak ada. Buat apa nak teruja. Bukan penting sangat pun. Lagipun, kau orang kan dah pernah tunjuk gambar kan?" Ujarku malas. Entah kenapalah Cikgu tu pula yang disebut mereka ni.

"Memanglah! Tapi, itu masa aku mengintai. Jadi, gambar tak jelas. Kau kena tengok real, baru ada feel." Kata Wardina. Disokong pula dengan Elisa. Wah, ada kawan nak back up. Tak adil.

Aku hanya menjungkit bahu. Malas mahu masuk campur. Biarlah. Kalau dia datang, adalah rezeki aku nak lihat wajah dia tu. Yang katanya kacak tu. Cikgu kacak? Hm interesting.

Pintu masuk berbunyi menandakan ada pelanggan yang datang. Aku mengeluh. Ramai pula yang datang hari ini. Haih, tak baik mengeluh! Rezeki tu. Aku mencuit bahu Elisa.

"Tu hah ada pelanggan. Kaulah layan sana," aku menolak tubuh kecil Elisa. Elisa merungut.

"Eh eh! Itu Encik Danial la! Weh, betul ni! Aku tak tipu," ujar Wardina agak sedikit perlahan. Takut pelanggan lain mendengarnya pula. Dahiku mengerut dan mencuba melihat wajah Cikgu itu. Baiklah, pensyarah atau pun lecture, berbelit lidah aku. Jadi, panggilan Cikgu okey kan? Tapi, malangnya hanya di sebelah tepi. Aku mendengus perlahan.

"Okey tak apa. Biar aku yang layan dia. Nak tahu juga Encik Danial engkorang tu," aku maju ke hadapan meninggalkan Wardina dan Elisa di belakang lalu menghampiri yang sedang membelek baju di bahagian pakaian wanita. Baiklah, itu aneh.

"Assalamualaikum Encik. Selamat datang, ada yang boleh saya bantu?" Aku berdiri di sebelahnya lalu memerhatikannya yang sibuk mencari baju. Sampai aku datang tak sedar! Dia mengangkat muka. Dan di situlah drama bermula.

Macam ada pari-pari kecil sedang terbang di sekeliling aku dan Cikgu itu. Suasana pun sudah bertukar menjadi warna merah jambu cair serta bercahaya. Mata kami bertaut. Setelah itu, terasa ada bunyi kedengaran. Zina mata, Ya Allah! Pintu butik kembali datang dan aku masih di depan lelaki itu. Dia memandang aku pelik. Malunya!

"Waalaikumsalam... err memang perlu bantuan pun," dia menjawab. Tingkahnya juga agak kalut. Maksudnya aku tak malu bersendirian. Lelaki itu pun turut hanyut berdrama dengan aku. Aku berdeham kecil bagi menyingkirkan rasa gelisah di hati.

"Okey, Encik nak cari baju untuk siapa?" Tanyaku apabila melihat dia terus mencari baju wanita. Dia langsung tak memandang aku lama. Aku pula terasa dianak-tirikan.

"Kekasih hati saya," balasnya tanpa memandang aku malah terus mencari. Dalam diam aku mencebik. Sombongnya! Pandanglah aku sikit. Tak baik bercakap tanpa memandang wajah si peneman berbual.

"Oh.." terdiam pula aku. Kekasih? Hah menangis tak ada muzik nanti si kembar tu! "Mari saya tunjukkan busana yang sesuai. Kekasih Encik bertudung atau free hair?" Tanyaku dengan berhati-hati. Takut tersentap. Karang rugi, pelanggan lari.

"Bertudung,"

Aku mengangguk lalu mencari baju yang sesuai untuk kekasih hati si Cikgu. Cari punya cari, dapatlah satu baju dan aku berikan kepadanya. Semua usia boleh pakai. Sebab aku pun tak tahu umur si kekasih, takut kalau dia jenis ambil yang terlebih matang ke. Mana tahu.

"Yang ini okey?"

"Cantik! Ha, bagi saya satu dan saiz... M." Ujarnya lalu tersenyum. Wah, aduhai! Cikgu ni jahat benor la. Dah tahu ada kekasih, lagi nak buat hati aku terbuai-buai. Aku mengangguk lalu segera mendapatkan baju yang diinginkan.

Setelah mendapatkannya, aku menunjuk kepada si Cikgu. Dia tersenyum lalu mengangguk. Dia mahu mengambil baju itu dari aku, segera aku tepis. Senyuman aku berikan.

"Mari saya hantar Cikgu ke kaunter," aku berkata lalu berjalan mendahuluinya. Terasa diri jalan berseorangan, aku memusing ke belakang. Si Cikgu tersedar dan terus menyaingi aku berjalan.

"Awak panggil saya apa tadi?"

"Cikgu," balasku lalu terus berjalan. Seronok juga ya berkain. Macam princess pula rasa. Oh dan semestinya bukan sebelah nilah dia princenya!

"Cikgu?"

Aku berhenti. Meneguk liur kelat. Aduh! Macam mana boleh terlepas gelaran tu pula! Aku menggeleng pantas.

"Err tak! Tak. Bukan Cikgu. Encik kan pensyarah. Err Encik Danial, kan?" Aku tersenyum meleret. Dia tersenyum lalu mengangguk.

"Tapi, kalau awak still nak panggil saya macam tu pun tak apa. Saya lagi suka," si Cikgu terus berjalan membiarkan aku terpinga-pinga. Ah, jahatnya! Aku segera mengejarnya sampailah menuju ke kaunter. Sampai situ saja urusanku. Aku meminta diri.

"Dia dah ada kekasih. Jadi, silakan berputih mata sekarang ya?" Aku segera mengeluarkan bom aku setelah sampai di tempat lepak kembar itu.

Mereka yang termangu-mangu, memandang sesama sendiri. "Eh, dia single la! Kak Diah sendiri yang cakap," Elisa menyampuk. Wardina menganggukkan kepala.

"Eh, dia beli baju tu untuk kekasih hati dia tau! Dia sendiri cakap dengan aku," aku terus berpihak pada yang aku dengar sendiri. Single? Kalau betul, kenapa dia cakap macam tu? Haa maksudnya akulah betul. Dia memang ada kekasih!

Tiba-tiba muka si kembar berubah. Mungkin terkejut. Aku tersenyum kemenangan. Tapi, si Elisa membuat muka. Macam menyuruh aku melakukan sesuatu. Begitu juga dengan Wardina. Eh, dah kenapa pula mereka ni? Tak boleh terima hakikat? Aku membuat keputusan untuk memusing belakang.

"Saya memang single. Kekasih hati saya, mak sayalah. Hai, Aina." Dia mengukir senyuman. Jaraknya tidaklah dekat mahupun jauh dengan aku. Tapi, cukup membuatkan jantung aku nak melompat keluar!

"Hai..." balasku. Dia tahu pula nama aku. Aku memandang diri. Ugh, name tag ni kadang-kadang buat aku rasa nak bunuh dia hidup-hidup.

"Cikgu awak dah nak pergi. Assalamualaikum," Encik Doktor tersenyum lantas mengangkat kaki pergi dari hadapanku. Ah, geram! Dia mempersendakan aku! Aku menghentak kaki.

Bebelan dari Wardina dan Elisa langsung aku tak hiraukan. Aku hanya melihat dia pergi dan bila nak sampai di pintu keluar dia menoleh. Dia senyum!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience