Bab 25

Humor Series 10658

Chapter 25

GELAS yang berada di sisi aku ambil dan teguk buat kali terakhir. Alhamdulillah, kenyang. Hari sudah pun lewat petang. Untung sudah aku tunaikan solat Asar di rumah. Rafie yang masih dengan kertas kerjanya aku pandang. Dengan aku masih tak lepas dia dengan kerjanya.

"Sudah-sudahlah tu. Kerja tu, taruk tepi dulu boleh? Aku depan mata ni, respect sikit." Aku menjuih bibir. Rafie memandang aku sekilas dan menutup dokumennya. Adalah juga aku jeling-jeling kertas kerja yang tersusun rapi tu, tapi haram. Langsung aku tak faham.

"Yalah. Aku letak tepi dulu. Hm kau macam mana sekarang? Okey?" Rafie memandang aku lalu dihirupnya teh panasnya yang tinggal separuh. Aku mengangguk sebagai jawapan.

"Habis tu, kenapa ambil MC? Nak dikata sakit, tidak. Sakit angin apa kau ni? Angin kus-kus?"

Aku mencebikkan muka. Tak guna betul. Kalau betul pun aku sakit, janganlah dikatakan sakit angin kus-kus!

"Mana ada. Memandai aje kau ni. Saja nak buat darah aku naik." Rafie tersengih.

"Macam mana? Terima tak lamaran aku hari tu?" Rafie mula membangkitkan soal 'lamaran' yang saat ini memang aku alergik benor nak menyebutnya. Sakit kepala aku bila fikir fasal lamaran dari tiga orang yang berbeza! Wait, wah. Selamba dia kata macam tu, okey seriously tak romantik langsung.

"Aku anggap kau sebagai abang aje Rafie. Kawan rapat. Mana boleh aku nak cambahkan rasa ni jadi cinta pula.." tuturku dengan wajah selamba. Sekuntum senyuman aku tampal di bibir. Rafie hanya memandang aku lalu membalas senyum.

"Tak apalah. Aku tak paksa. Aku harap kau jumpa Mr. Right kau. Inshaa-Allah, aku doakan sampai Jannah." Rafie mengulum senyuman ikhlas. Inshaa-Allah ikhlas. Aku menundukkan kepala tanda mengiakan.

"Amin. Terima kasih. Aku pun harap kau jumpa Mrs. Right kau juga. Mana tahu kita kongsi pelamin ke! Mana tahu, kan?" Aku tersenyum meleret. Sengaja bergurau.

"Hish, tak mahulah aku! Mimpi aku nak kongsi pelamin. Pelamin aku nanti hanya aku dan pengantin aku aje. Nak kongsi-kongsi pula. Fikir dapat?"

Rafie menjelir lidah. Ish dia ni! Nak aje aku pintal lidah dia tu. Biar padan muka.

"Aku pun tak naklah. Aku cakap saja-saja. Bukan betul-betul," aku menjuih bibir.

Setelah mahu sampai ke Maghrib, kami pun berniat mahu pulang ke rumah. Aku bangun dari tempat duduk lantas mengambil beg tangan dan sangkutnya di bahu. Rafie juga turut mengambil dokumennya. Kami datang berasingan. Rafie dari tempat kerja terus datang ke sini.

"Hoi, mana?" Suara Rafie membuatkan langkah aku terhenti. Lah, tanya soalan macam tu pula.

"Baliklah. Mana lagi?"

"Ini siapa nak bayar?" Rafie menunjuk ke arah meja makan yang hanya tinggal sisa-sisa kecil di pinggan.

"Kau bayarlah. Itu pun nak berkira. Dahlah, aku chau dulu. Assalamualaikum!" Langkah seribu aku ambil dan keluar dari restoran. Teriakan Rafie memanggil aku langsung tidak aku hiraukan. Alah, setakat belanja makan apalah sangat, Rafie oi?

Sampai kereta, ketawa yang ditahan akhirnya meledak juga. Tergeleng-geleng kepala aku melihat Rafie yang kalut mengeluarkan dompet dari poket seluar.

TELEFON yang berdering sejak tadi aku biarkan. Tidak berniat untuk tekan punat merah, atau pun menukar ke mod senyap. Sekilas pandang saja aku sudah tahu siapa yang menelefon tidak berhenti dari tadi. Fariz.

Aku mengeluh berat. Kepala aku sengetkan dan tampung dengan tangan. Remote control di atas sofa berdekatan dengan aku, aku ambil. Satu persatu rancangan TV aku tukar, satu pun tidak menarik perhatian.

Telefon aku berbunyi lagi dan sekarang rasanya mesej yang masuk. Aku mencapai dan membuka. Betul, mesej yang masuk. Notification terserlah nama Fariz saja. 30 missed call daripada Fariz. Aku belum bersedia nak hadap dia balik.

Aku membuka mesej. Air liur di dalam mulut aku teguk kelat. Peluh mula membasahi dahi. Spontan aku mencampak telefon itu ke hujung sofa. Gila! Ini semua gila!

Sayang... kenapa tak angkat call abang? Sayang pergi mana? Dah puas abang cari kat office dengan kat rumah. Tak jumpa pun. Kata nak cari cincin, kan?

Aku menutup telinga. Walaupun mesej, terasa suara Fariz yang berkata. Tak.. tak! Fariz sihat. Mungkin dia cuma penat, stres. Aku mengangguk kecil dan menarik nafas serta hembus dengan perlahan.

Aku mengambil kembali telefon yang dicampak dan terus back ke home. Jam yang tersedia di telefon aku lihat. Sudah pukul tiga empat puluh minit. Bukan masa lunch, ini waktu bekerja. Jadi, aku membuat keputusan untuk mesej sahaja.

Kawan aku Fariz tu, ada datang kat office dengan rumah ke? Dia ada cakap apa-apa tak?

Aku menanti dengan penuh sabar. Telefon di tangan aku ketuk-ketuk dengan jari. Remote control di atas meja aku ambil dan tutup TV. Tiada angin mahu menonton. Kepala aku rasa macam nak pecah!

Tiba-tiba, aku terasa bahu aku disentuh. Terjerit kecil aku dibuatnya. Aku memegang dada yang berdegup kencang. Ibu yang melabuhkan punggung di sisi aku, mengerutkan dahi. Tangannya bertindak mengusap belakang aku.

"Aina kenapa ni? Macam orang nampak hantu aje. Ada masalah ke?" Ibu menyoal dengan prihatin. Aku terus memeluk ibu, tanpa dijemput air mataku mengalir lagi. Mengapa aku jadi cengeng pula ni?!

Ibu terus-terusan mengusap belakangku perlahan. Dapat aku rasa, kasih ibu tumpah pada aku. Ibu, andai ibu tahu apa yang Aina rasa..

"Aina, kamu ada masalah ke? Ceritalah pada ibu. Kalau ibu boleh tolong, ibu akan tolong." Tangan ibu masih mengelus lembut belakang aku.

Aku melepaskan pelukan. Air mata yang sudah kering, aku tetap bersihkan. Senyuman aku tampal di bibir. Kepala aku geleng perlahan, menidakkan kata-kata ibu.

"Tak, Aina okey. Tadi tengok cerita hindustan dekat telefon, sedih. Shah Rukh Khan kena pukul..." bohongku. Terasa sudah ada dosa jatuh di bahu. Tapi, niat aku cuma tak mahu ibu risau.

"Betul ni? Aina kalau ada masalah cerita jelah dengan ibu. Macamlah tak biasa.." ujar ibu lagi. Aku hanya menganggukkan kepala tanda mengerti. Senyuman terukir di bibir ibu. Aku turut membalasnya.

Lalu, ibu meminta diri mahu menyiram pokok bunga. Aku hanya menghantar ibu dengan ekoran mata hingga ibu hilang di balik dinding. Aku menghembus nafas. Entah lega, entah apa. Telefon aku berbunyi lagi. Mesej.

Dah tak reti nak angkat call aku? Reply mesej aku? Aina... janganlah macam ni. We are going to be married, right?

Tangan aku menggeletar lagi. Kenapa Fariz tak sudah-sudah bercerita tentang perkahwinan? Aku tak beri kata putus pun lagi! Kalau ikut akal yang waras, memang aku tak akan berkahwin dengan orang macam dia. Fariz mengaku sendiri bahawa dia pernah bunuh ayah dia sendiri. Ya Allah...

Aku meraup wajah kasar. Fariz, kau buat aku takut. Kau dah kenapa? Apa yang terjadi sebenarnya ni? Aku mengangkat kaki menuju ke atas. Langkah yang begitu longlai membuatkan bilik terasa amat jauh. Aku nak solat. Azan Asar pun akan berkumandang tak lama lagi. Aku kena tenangkan diri.

AKU menghempaskan punggung. Malam ini langsung aku tak bantu ibu menyediakan apa-apa. Letak-letak pinggan pun tiada. Di bilik saja aku terkurung. Selepas solat Asar petang tadi, mesej Suzy sampai.

Benar, Fariz ada datang mencari aku. Siap dengan sejambak bunga mawar. Aku sudah tahu sekarang. Orang yang selalu beri bunga, coklat tu Fariz. Maknanya, dah lama Fariz buat kerja ni. Apa yang dibuat Fariz secara tak langsung buat aku rasa seram.

"Ibu, sorry tau. Aina tak turun lebih awal untuk tolong ibu. Aina tak sengaja," tuturku setelah ibu mengambil tempat di hadapan aku. Ibu hanya tersenyum lalu mengangguk.

"Tak apa. Bukan banyak pun kerjanya."

Aku mengangguk lemah. Macam mana aku nak pergi kerja esok? Kalau macam ni keadaannya, aku rasa memang aku akan diburu terus oleh Fariz. Ah, sakit kepala aku fikir fasal dia!

"Aina, ini kawan kau bagi. Tak salah aku... namanya Fariz! Hah ya Fariz." Abang Afif menyerahkan sekotak benda yang berukuran leper itu. Dibalut cantik. Aku mengambilnya ragu-ragu. Keluhan berat aku lepaskan lagi.

"Tak baik mengeluh Aina. Kau kenapa ni?" Abang Afif mengusap kepalaku perlahan. Wajah tenang Abang Afif aku pandang. Seperti ibu, aku juga dapat rasa kasih Abang Afif kepada aku.

Aku bersila di atas sofa sambil menghadap Abang Afif. Abang Afif turut membetulkan posisinya agar lebih selesa dan menghadap aku. Hadiah yang diberi Fariz aku letak di tengah antara kami.

"Aina, kau cuba cerita apa yang berlaku. Tiba-tiba kau balik rumah. Ambil MC kerja dua hari. Kau ada masalah, kan? Ceritalah kat aku."

Air mata, kau jangan nak memandai tumpah sekarang. Malulah depan Abang Afif pun nak nangis. Dah lama tak nangis depan dia, tup tup tiba-tiba jatuh pula air mata.

"Apa perasaan abang kalau ada orang melamar abang.."

"Aku lelaki. Aku lamar orang, bukan orang lamar aku." Abang Afif memotong perbicaraan aku. Aku menepuk peha dia kuat. Muncung aku bina. Sibuk betul nak potong-potong!

"Okey okey. Cerita cerita," Abang Afif menayang sengih.

"Apa perasaan abang kalau ada orang lamar abang tiba-tiba? Abang tak cakap setuju atau tak, tapi dia dah mula meraban cakap nak beli cincinlah, pelaminlah. Lepas tu, abang dapat tahu yang hadiah-hadiah yang abang terima selama ni dari dia. Macam-macam! Apa perasaan abang?"

Aku memandang wajah Abang Afif yang terkebil-kebil. Lalu, dahi dia berkerut mungkin sedang mencerna apa yang aku katakan. Aku menunggu dengan penuh sabar.

"Takutlah! Sebab dia macam desperate sangat nakkan kita. Kadang-kadang orang macam ni bahaya. Pernah satu kes abang baca dekat internet, orang macam ni boleh lakukan apa saja untuk dapatkan apa yang dia nak. Mungkin dia dalam golongan orang yang sakit dalam segi rohani," balas Abang Afif panjang. Aku hanya terangguk-angguk.

Aku mengambil hadiah di depan mata. Fariz.. Fariz ada sakit mental? Lakukan apa saja yang dia nak? Fariz tergolong ke? Ya Allah, jauhkanlah apa yang aku fikir saat ini dari Fariz. Dia berhak dapat orang yang dia suka. Tapi, aku.. aku bukan orangnya.

Aku mengangkat muka. Abang Afif masih setia memandang aku. Aku menguntum senyuman tipis. Gembira rasanya dapat dengar pendapat dari abang sendiri. Orang mana yang paling rapat pun dengan kita, keluargalah yang paling dekat. Darah yang mengalir dalam diri dia sama macam kita.

"Aina tanya ni... Aina pernah alami ke? Ada orang buat macam tu pada Aina?" Serentak itu Abang Afif mengalih pandangan ke arah hadiah di tangan aku. Aku segera menyorokkan ia ke belakang. Tak! Abang Afif tak perlu tahu.

"Eh, err... tak adalah. Mana ada. Aina terfikir, sebab itu Aina tanya. Hm.. sebab itulah," aku berusaha mengawal air muka agar tidak kelihatan sangat aku gugup. Peluh sudah memercik di dahi. Wajah Abang Afif sudah macam tak percaya kata aku.

Ah sudah! Janganlah dia serang aku dengan segala bentuk soalan. Tak terjawab aku nanti. Aku mengetap gigi dan berdoa supaya Abang Afif tak tanya macam-macam.

"Okey. Hah tak nak cerita masalah kau dekat aku? Aku tengah free ni. Mana tahu aku boleh selesaikan masalah kau ke. Tapi, masalah yang tadi, pergh! Simpang malaikat empat puluh empat wei. Tak nak aku terlibat dengan orang macam tu. Seram sejuk!"

Aku mengulum senyuman kelat. Kalau aku mengaku itu masalah aku, apa agaknya respon Abang Afif? Tetap macam ni ke atau berubah? Lalu, aku meminta diri untuk naik ke atas. Abang Afif hanya mengangguk walaupun muka dia agak sedikit sangsi. Tak apalah. Datang masanya, aku cerita juga dekat kau.

Penjuru katil menjadi tempat aku duduk. Kotak di tangan masih aku belum buka. Fariz sudah sampai mencari Abang Afif. Aku lempar kotak itu hingga ke kepala katil. Harap Fariz tak tahu rumah ni kat mana. Tolonglah jangan.

Mata aku masih tertancap pada hadiah itu. Aku mengeluh berat. Aku mengambil ia kembali dan membuka dengan perlahan. Agak-agaknya apa ada di dalam? Bom? Eh, kau gila! Takkan sampai situ hati dia buat aku macam tu.

Aku buka penutupnya. Sepasang baju.. baju pengantin warna putih! Siap dengan selendang lagi. Memang sesuai orang buat di majlis akad nikah. Tak.. tak! Takkan Fariz serius buat aku macam tu? Kertas di dalam aku ambil.

Nah. Satu untuk kau, satu untuk aku. Cepatlah, bila kita nak jumpa? Kita buat kecil-kecilan jer ke? Aku okey je. Bila aku nak merisik kau ni? Bagi tahu cepat tau... boleh aku beri tahu mak aku.

Aku simpan kembali kad dan baju itu. Pembalutnya aku buang dalam tong sampah kecil di bilik. Kotaknya aku simpan bawah katil. Perlahan-lahan aku menghempas seluruh badan di atas katil. Kepala aku terasa berdenyut-denyut. Sedikit demi sedikit kelopak mata mula menutup.

AKU memegang erat kunci di tangan. Betul ke apa keputusan yang aku buat ni? Aku dah terima risiko yang bakal aku hadapi? Dah bersiap sediakah aku menemui dia? Keluhan berat terlepas dari mulut.

Telefon yang berbunyi, aku keluarkan segera dari dalam beg tangan. Suzy.

"Hello, assalamualaikum."

"Yalah, aku datang. Kau tunggu sana kejap. Aku redah jam nanti demi kau."

"Hish! Sabarlah. Lagi lama kau bergayut dengan aku, selama itulah kau tercongok kat situ menunggu aku."

Talian dimatikan. Kepala aku geleng perlahan. Suzy.. Suzy. Bila agaknya dia ni nak dewasa sikit eh? Sikap kebudak-budakan dia makin hari makin kronik. Nak cakap untung atau malang siapa yang dapat Suzy ni, tak terkata aku jadinya.

Terasa diri dipanggil, aku memusing badan ke belakang. Senyuman yang terlakar di wajahnya sedikit demi sedikit menenangkan jiwa aku yang tadinya resah.

"Nak pergi dah? Cepatnya..." ibu menepuk bahu aku perlahan. Kedua belah tangan aku ajukan pada ibu untuk bersalam. Ibu menyambut lalu dielus lembut belakang aku.

"Nak elak jam ibu... nanti nak kena jemput Suzy lagi. Bising dia bila tak naik kereta Aina dua hari ni," ibu hanya mengangguk.

Aku menekan pedal minyak lalu keluar dari pekarangan rumah. Bersediakah aku? Selesai mengambil Suzy, aku terus bergerak menuju ke tempat kerja. Masa tinggal 45 minit sebelum aku dan Suzy kena punch card.

"Alah, teksi aje pun.. itu pun nak kecoh! Macam tak biasa," aku membetulkan beg tangan di bahu. Langkah diatur selamba ke depan pintu utama.

"Memanglah biasa. Tapi, nak menunggu teksi tu pergh lama benor! Aku kata kena sampai dalam 10 minit, dia datang dalam 20 minit. Mana tak sakit hati?" Getus Suzy.

Aku hanya terkekek ketawa. Suzy tak habis-habis menyalahkan aku bila dia terpaksa naik teksi. Secara amnya, bukan salah aku sepenuhnya. Salah pak cik teksi tu, aku rasa dalam sembilan puluh lima peratus.

"Aina," aku memusing ke belakang apabila mendengar nama aku dipanggil. Rahang aku bagai nak jatuh apabila melihat seraut wajah itu.

"Err.. aku masuk dululah. Tapi, kau kena cepat tau. Bos besar ada hari ni. Punch card tu penting," Suzy segera pergi dari pandangan mata. Sebuah keluhan aku lepaskan. Aku meminta Fariz duduk di sofa yang disediakan bagi tetamu.

Aku menunduk. Tak sanggup nak membalas pandang. Aku tahu sepasang mata Fariz sedang menatap aku. Jari jemari aku mainkan, sekejap diregang, sekejap dipatahkan. Tak senang duduk dibuatnya!

Tiba-tiba terasa pergelangan tangan aku dipegang. Segera aku angkat muka.

"Fariz! Apa ni? Lepaslah! Sakit," aku menepuk-nepuk tangan Fariz. Aku turut memerlahankan suara agar tidak menarik perhatian orang.

"Nanti aku inform bos kau, kau tak masuk kerja hari ni. Hari ni... kau teman aku!" Fariz menarik tangan aku lagi dan menyuruh aku bangun. Hey!

"Tak nak! Kau dah gila ke, sesuka hati nak bawa aku pergi? Aku nak punch card. Bos besar ada hari ni," aku mencuba melepaskan tangan. Aku juga berusaha untuk tidak bangun dari kerusi. Fariz yang sudah bangun, kembali duduk. Matanya dikerling ke kiri dan kanan.

"Gila? Kau kata aku gila? Aku tak gila! Aku tak gila... aku dah cakap aku tak gila," suara Fariz semakin lama semakin mengendur. Tangan aku dilepaskan dan Fariz memegang kepalanya.

Aaa.. aku salah cakap ke? Tak! Bukan itu maksud aku. Bukan maksud aku nak kata dia gila. Aku melihat jam yang terlilit kemas di pergelangan tangan. Lagi 15 minit! Aku kena segera pergi. Kalau tidak, apa pula Dato' Awal kata.

"Fariz, tak.. aku bukan kata kau gila. Kau okey. Tapi, aku tak boleh teman kau hari ni. Aku ada banyak kerja. Ada masa, kita spent time sama-sama, okey?" Aku memujuk Fariz. Perlahan-lahan tangan diturunkan dari kepalanya.

"Betul? Kita cari cincin, ya? Aku.. aku nak bawa kau jumpa mak aku." Suara Fariz seperti seorang kanak-kanak berhenti menangis. Fariz, apa yang jadi pada kau ni?

Aku mengangguk terpaksa. Kalau tidak, tak masuk kerja aku hari ni.

"Kau.. kau balik rumah dulu. Aku kena kerja ni." Aku segera bangun dan membuka langkah.

"Aina! Janji ya?" Aku memusingkan badan kembali. Aku tersenyum kelat dan menganggukkan kepala. Segera aku pantaskan langkah dan menuju ke arah lif. Jantung aku bagai nak luruh.

SUZY melabuhkan punggung di sisi aku. Segera dia mencapai remote control yang berada di tangan aku.

"Hey! Aku tengah tengok cerita nilah," aku cuba merampas kembali alat kawalan jauh itu. Muncung aku tarik sedepa.

"Yalah tu. Aku tengok dari tadi kau termenung aje. Kau tengok TV atau TV yang tengok kau? Izzue Islam pula yang tengok kau kat sini?"

Aku mendengus perlahan. Amboi, amboi dah pandai dah sekarang. Izzue Islam dalam rancangan Sedalam Mana Cinta tu pula yang kau masukkan ya? Amboi.

"Mana ada! Ish sibuk je dia ni," aku memeluk tubuh. Kaki yang dibawah, aku buat bersila.

"Yalah tu.."

Suzy segera menukar ke rancangan yang lain. Mata aku naikkan ke atas. Sibuk benar mengganggu orang dia ni. Sudahnya, aku hanya mengikut saja Suzy menonton rancangan yang baru.

Bosan. Aku mencuit bahu Suzy. Suzy sekadar menjungkit bahu tanpa memandang aku. Sekali lagi bahunya aku cuit. Jungkitan bahu lagi dia buat. Aku mendengus geram.

"Suzy!" Teriakku tepat-tepat kat telinga dia. Setelah itu, aku tersenyum puas.

Terserlah rasa menyampah pada wajah bersih Suzy. Dia mencekak pinggang walaupun sedang bersila atas sofa. Aku sekadar menayang sengih.

"Kau bosan, kan? Sebab itu kau mengacau aku tonton TV dengan bahagia, kan?"

Aku terangguk-angguk lalu mencebik menyampah. Bahagia, ya? Memang aku nak ragut pun rasa bahagia kau tu!

Tiba-tiba, terasa getaran dari hujung sofa. Telefon aku! Segera aku capai telefon itu dan melihat skrin. Sebuah keluhan aku lepaskan.

"Siapa? Tak baik mengeluh macam tu sekali," pesan Suzy sama macam apa yang Abang Afif katakan pada aku.

"Amirul,"

Suzy menganggukkan kepalanya. Suzy dah tahu semuanya. Sekarang, aku dengan dia memang tak ada rahsia. Terasa bodohnya diri bila aku pernah menangis masa mula-mula berjumpa dengan Amirul. Alasannya sebab teringat zaman dulu.

Aku meminta diri untuk menjawab panggilan. Dapur menjadi destinasi. Sambil-sambil jalan, aku masih berkira-kira mahu menjawab atau tidak. Sudahnya, satu panggilan dah jadi missed call. Salah aku ke?

Sekali lagi, telefon aku bergetar. Memang tiada sound kerana aku silent. Nak jawab atau tak? Jawab, tak. Jawab, tak. Jawab, tak.. hm susahnya.

Aku menekan punat yang berada di skrin berwarna hijau. Ya, masalah dia dengan aku kena selesai!

"Assalamualaikum,"

"Waalaikumsalam. Jawab pun kau akhirnya. Ingat dah tak sudi nak terima panggilan aku lagi."

"Buat apa telefon malam-malam ni?"

"Haih, dah tak boleh call malam-malam? Kenapa? Sebab kau dah ada orang baru? Bukan setakat seorang.. dua lagi. Senangnya kau lupa aku."

Serta merta lidah aku jadi kelu. Dua orang? Dia maksudkan Rafie dengan Fariz ke?

"Kau tak kenal, jangan cakap la."

"Memang aku tak kenal. Dan buat apa aku kenal dengan pesaing aku sendiri, kan? Amirah, aku tengah cuba sedaya upaya aku agar hubungan aku dan Ariana putus."

Aku mendecit perlahan. Boleh jalan la dengan 'cuba sedaya upaya' kau tu! Tak ada makna dah pada aku sekarang.

"Tak payah nak hura-hura dengan aku la kalau perkembangan tak ada. Lagipun, rasanya dah boleh stop kut. Yalah, aku tak ada pun kata yang 'Amirul, aku sedia jadi teman sehidup dan semati kau'. Tak, kan? Tapi, kalau kau masih nak putus, jangan libatkan nama aku! Malah, jangan sebut pun nama aku depan mak kau."

Talian terus aku matikan. Tak guna! Geramnya aku! Kalau ya pun nak putus, tak usahlah bangkitkan nama aku. Tak usah sembang tentang aku pun lagi bagus. Huh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience