Bab 16

Humor Series 10658

Chapter 16

AKU memandang jalan raya yang agak lengang. Maklumlah, sekarang hari bekerja jadi jalan raya tidaklah sepadat semasa di hari raya. Aku pergi pula waktu tengah hari. Elok sangat la tu. Aku menuju ke Melaka, tempat aku lahir.

Dulu aku duduk dengan opah dan atuk, sampailah umur aku 12 tahun. Selepas itu, barulah aku pindah ke sini. Semestinya dijaga oleh ibu dan bapa kandung aku. Ha, kalau nak diceritakan aku agak 'derhaka' dahulu. Aku berkata kasar pada mereka. Yalah, anak siapa yang tidak terkesan jika ibu bapanya menyerahkan dirinya kepada orang untuk dijaga?

Aku pun begitu. Sampai-sampai lari rumah semata-mata nak tinggal dengan opah dan atuk kembali. 12 tahun aku ditinggalkan, 12 tahun aku tidak mengenali ibu bapa aku. Ya mungkin mereka datang sekali-sekala ke kampung untuk menemui aku. Budak-budak apa yang difikir? Aku sejak dulu memang tak suka orang asing datang rumah.

Oleh sebab itu jugalah, kalau orang datang aku akan curi-curi keluar melalui pintu belakang. Kalau diingat kembali, tak mahulah aku jenguk kembali zaman kenakalan aku dahulu tu. Selepas menginjak ke alam remaja, barulah hati ini terbuka. Terbuka mengenal siapa keluarga.

Abang Afif dan along, abang-abang aku. Dahulu, aku memanggil abang Afif dengan panggilan 'angah'. Namun sejak along pergi, dia tegah aku pula memanggilnya angah. Katanya, kalau dia angah takkan pula 'along'nya tiada. Tidak mahu mengungkit kisah lama, dia menyuruh aku memanggilnya dengan panggilan Abang Afif.

Keluarga aku tidaklah berasal dari keluarga senang. Oleh sebab itu jugalah, ibu dengan ayah menghantar aku ke kampung untuk dijaga. Aku mengukir senyuman. Opah Aisyah, Atuk Muhammad.. Aina akan jumpa kamu berdua nanti! Alahai, rindunya!

"Sya, tak sabar aku nak jumpa opah dengan atuk. Rindu menggunung ni," aku mengajak Arisya untuk berbual. Dari tadi lagi aku melayan perasaan. Jauh sangat termenung. Termenung namun aku masih fokus memandu.

Suara yang ditunggu-tunggu tidak kedengaran. Aku memandang ke tempat duduk sebelah, patutlah. Dah tidur nyenyak rupanya. Nasib baik aku hanya mengucap satu dialog. Karang aku lebih-lebih bercerita, buang air liur aku saja. Sudahlah bercakap sensorang, membazir air liur pula.

Setelah merempuh beberapa jam di dalam kereta, akhirnya aku sampai juga di kampung halaman. Pokok-pokok menghijau dan tumbuh dengan suburnya. Tak ada sangat perubahan yang ketara, yalah akhir kunjungan aku ke sini pun bukan lama sangat. Raya haji tahun lepas.

Senyuman tak lekang di bibir melihat rumah yang masih dianggap tradisional di depan mata. Pasu-pasu yang menghiasi di sekitar rumah, mencantikkan lagi rumah itu. Berpaling ke kiri, senyum aku terus mati. Tak bangun-bangun lagi dia ni? Nyenyaknya tidur bertemankan air cond percuma ya?

Aku menghampiri Arisya. Menuju ke telinganya. "Ashhadualla ilahaillah.. Waashhaduanna muhammadarrasullah.."

"Allah!" Terbangun Arisya serta merta. Manik-manik peluh menghiasi dahinya. Aku menahan tawa. Yeah, tak perlu memekak melolong untuk bangunkan dia lagi.

Dada Arisya naik turun menarik nafas. Lalu, dia memandang aku dengan pandangan yang menyeramkan. Bagi aku la, ia memang menyeramkan. Lalu, dia memegang tangan aku erat. Eh, dah kenapa pula dia ni?

"Aina.. aku mimpi ada orang bacakan untuk aku kalimah syahadah. Ya Allah, macam betul kau tahu.." bersungguh-sungguh Arisya bercerita. Peluh yang membasahi dahi dia lap dengan hujung lengan bajunya.

Aku senyum lalu menepuk bahu Arisya perlahan. "Lain kali nak tidur tu baca doa dulu. Dah jom. Dah sampai kampung aku ni. Turun cepat," arahku.

Arisya hanya menurut. Aku membuka pintu belakang yang berisi beg aku dan juga kepunyaan Arisya. Aku memandang rumah itu, sepi. Ke mana pula opah dan atuk pergi? Tak akanlah aku salah rumah kut? Memanglah dah lama tak balik, tapi jalan menuju kampung halaman ni takkan pernah hilang dari ingatan aku.

Aku menaik tangga rumah, meletakkan beg disisi. Lalu, aku mengetuk pintu rumah itu sedikit kuat. Takut tak kedengaran pula orang di dalam. 5 minit menunggu, tiada jawapan aku dapat. Eh, ke mana pula orang dalam rumah ni. Takkanlah pindah rumah?

Aku turun lalu duduk di tepi tangga. "Illek," yang bermaksud tiada aku sampaikan kepada Arisya. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah aku. Alahai, mana pergi opah dengan atuk ni. Penat orang memandu dari rumah, tapi tak ada pula dapat sambutan.

"Tak apalah, kita tunggu aje. Keluar kut pergi ke pasar opah dan atuk tu." Arisya memberi kata putus. Mungkin memujuk aku juga. Yalah, aku yang terlebih emosi mengenangkan kepulangan balik kampung ni.

Aku mengangguk setuju dan berharap opah dan atuk balik cepat. Sedar tak sedar, mata pula meminta tutup. Aku dan Arisya pun tertidur di atas tangga rumah.

"Assalamualaikum," satu suara menjengah masuk ke dalam gegendang telinga aku. Aku tersenyum sendirian. Apalah, aku kan sedang tidur. Manakan pula ada suara akan aku dengari. Jadi, aku membiarkan sapaan itu lenyap dibawa angin.

"Assalamualaikum," terdengar lagi. Aku merungut di dalam hati. Aku membuka mata yang masih terpisat-pisat. Kabur. Aku meraup wajah dengan tapak tangan dan membesarkan mata untuk melihat bumi Allah yang subur ini.

"Assalamualaikum," dia tersenyum. Mungkin.

"Opocot mak kau masak ikan tenggiri!" Terkejut aku dengan lembaga yang tiba-tiba berdiri dekat dengan tangga dan betul-betul berada di hadapan aku. Memakai jubah putih, songkok hitam. Aku hidup lagi kan ya Allah? Tolonglah, bekalan aku belum lagi cukup untuk menampung diri ini.

Lelaki itu tersenyum kecil. Wah, indah sungguh. Bidadara mana pula ini? Aku memandang sekeliling. Eh, ini macam halaman rumah opah dan atuk je? Eh, betullah! Aku memandang pula ke kanan. Arisya masih tertidur berbantalkan bahu aku. Segera aku menepuk bahunya dan lantas dia terbangun.

"Janganlah kacau aku.." mulut merungut namun Arisya tetap membuka mata. Alhamdulillah, sedar juga budak ini.

Aku berpusing pula ke hadapan, lelaki tadi masih tepat berada di hadapan aku. Namun, sekarang sedikit menjauh. Senyuman tipis terukir di bibir nipisnya.

"Boleh saya bantu Encik?" Aku bertanya selepas dia masih terpaku tanpa kata. Masih tersenyum memandang aku. Aku bangun tanpa dipinta. Mulai berkomunikasi dengan lelaki itu dengan wajarnya. Tidak eloklah pula dia berdiri, aku saja duduk. Lelaki itu dikira sebagai tetamu juga.

"Salam saya masih belum awak jawab," katanya lagi. Senyuman masih belum pudar di wajah. Ingatan aku pula terimbau-imbau. Macam pernah kulihat wajah lelaki ini. Tapi di mana ya?

"Err... waalaikumsalam. Em, boleh saya bantu anda?" Ulangku sekali lagi. Takut pula dengan lelaki ini. Aku memandang Arisya. Lah, dia ni! Pergi menatap lelaki tu buat apa? Karang dia perasan, aku juga yang malu! Aku segera menepuk paha Arisya. Rasakan! Menggatal lagi.

"Tak.. tadi saya nampak kamu dan kawan kamu tidur di sini. Tak manislah orang kampung nampak. Kalau rumah ni belum ada penghuninya, duduklah dalam kereta. Ataupun bertanya kepada jiran tetangga. Maaflah, saya hanya menegur."

Petah dan penuh sopan santun lelaki itu bercakap. Tak jadi marah la kalau macam ni. Baru aku nak maki hamun lelaki ni sebab ganggu tidur siang aku. Suara dia terlalu gemersik sampailah tenggelam dalam telinga ini. Hai, hati. Dup dap dup dap pula awak ya?

Aku hanya tersengih memandangnya. Tidak lama selepas itu, aku memetik jari spontan. Terkejut lelaki itu. Namun, masih kekal cover macam sedang berhadapan dengan mak mertua.

"Awak yang hampir langgar kereta saya hari tu, kan? Betul tak? Ya, saya ingat awak. Tak salah lagi. Patutlah macam familiar je muka." Aku tersenyum selepas itu. Bangga pula ingatan aku masih kukuh.

Dia tersenyum lalu mengangguk. Oh, dia dah dapat cam muka aku dari tadi lah ya? Tak cakap... tak payah aku berencik-encik tadi.

Tiba-tiba kereta proton buatan Malaysia semestinya, mengambil tempat di sebelah kereta aku. Agak lama juga kalau dilihat kereta itu. Sekali pandang pasti sudah tahu, kereta ini pasti second hand. Keluarlah pemilik kereta dari perut kereta itu. Eh? Opah Aisyah? Atuk Muhammad? Rasa nak menjerit!

"Opah!" Tak dapat tahan untuk menjerit dan aku terus meluru ke arah opah yang menjinjing plastik. Ya, aku tahu opah terkejut tapi aku memang suka beri kejutan. Lagi-lagi dengan opah.

Aku melepaskan pelukan yang dirasakan boleh lemas opah dibuatku. Aku tersengih macam kerang busuk. Arisya turut menyalam tangan opah. Opah yang terpinga-pinga tetap menyambut salam Arisya.

"Eh, siapa pula ni? Anak ni dari mana? Anak siapa ni? Salah rumah ke?" Bertubi-tubi serangan opah. Aku memasang muka cemberut. Opah..

"Apa opah ni. Ini Aina lah. Cucu kesayangan sendiri pun dah lupa. Merajuklah macam ni." Tangan aku lipat ke dada. Agak memusing dari arah opah. Aku menjeling, opah tersenyum. Eh, kenapa pula?

"Alah, orang gurau je. Itu pun nak merajuk. Mana boleh opah lupa dengan cucu manja opah ni. Cucu opah yang suka merajuk ni.. Cucu opah yang suka nangis rebut barang dengan kawan.. Cucu-" aku segera menutup mulut opah. Tak sampai berapa saat, aku lepaskan kembali.

"Janganlah cakap pasal tu. Habis pecah tembelang Aina. Opah ni.." niat nak merajuk tak jadi lepas opah berkata macam-macam. Sudahlah lelaki asing tu masih tak berganjak dari sini. Eh, sempat lagi pula tu tolong atuk! Siapa dia ni?

Opah hanya tersengih menampakkan lagi kedutan di wajahnya. Jelaslah bahawa opah makin dimamah usia. Aku memeluk lengan opah dan menuju ke arah atuk pula. Atuk tersenyum.

"Cucu atuk dah balik ya.." atuk tersenyum memandang aku. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam dan atuk menyambutnya. "Mehlah naik atas. Kami pergi ke pasar tadi, beli barang dapur. Opah kamu ni tak sedar di masa, berjam-jam atuk tunggu di luar. Kuat pula dia kalau berbelanja ni," sambung atuk lagi.

Opah memasang muka cemberut. Alahai, inilah dia. Ini yang menyebabkan aku tak nak balik dah ke bandar tu. Pasangan dua orang ni tak habis-habis bergurau manja. Aku pun berharap, aku juga begini kalau sudah berkahwin nanti. Setia sampai hujung nyawa.

Aku pun naik ke atas dan disusuli Arisya. Tak sempat aku masuk lebih ke dalam rumah, opah berpaling kembali ke pintu. Aku meletakkan beg, dan terus mengikuti opah.

"Raf, kenapa tercegat lagi tu? Marilah masuk, minum teh ke kopi. Macamlah tak biasa. Dah, mari naik." pelawa opah. Opah, beraninya opah ajak orang asing masuk rumah! Ini tak boleh jadi.

"Eh nak ke mana tu? Nak masuk rumah? Nak minum teh, kopi ya?" aku turun menggunakan tangga dan tepat berada di hadapan lelaki tadi. Dia tersenyum tipis. Tak penat-penat agaknya dia ni senyum!

Lelaki itu mengangguk. Aku mengecilkan bola mata. "Awak ni siapa sebenarnya? Ada hubungan apa awak dengan opah saya? Macam mana opah boleh kenal awak? Dari mana awak datang ni? Tiba-tiba muncul depan orang, sekarang nak masuk pula. Awak-"

Tiba-tiba terasa telinga aku kena piat. Opah! "Aduh, sakit la opah! Aduh, lepaslah opah.. Berdarah karang telinga Aina nanti," rayuku. Lagi malu bila kena piat depan lelaki itu. Dia tertawa kecil. Alah, comelnya. Aina! Jangan ikut sangat perangai Arisya. Jangan menggatal!

"Tahu pun sakit. Duk marah tetamu tu kenapa? Opah tak pernah tau ajar Aina bercakap macam tu dengan tetamu. Rafie, dah naik cepat. Fasal Aina ni, biar opah uruskan." marah opah. Marah pada aku la siapa lagi. Lelaki yang disebut sebagai Rafie tadi segera naik ke atas. Hei, sengal punya lelaki! Fasal kau la aku kena piat telinga. Ish, geramnya!

KAMI masih berada di meja makan. Makan malam katakan. Nasi semua sudah diangkat yang bermaksud kami sudah selesai makan. Aku menjeling lelaki bernama Rafie. Sakit hati masih belum pudar seperti sakit telinga aku kena piat oleh opah siang tadi.

"Apa jeling-jeling? Nak aku korek biji mata kau tu ke?" Ujar Rafie berani. Budak ni kan! Tak sudah-sudah. Aku saja yang dia bahan. Tak apa. Aku baru sampai, jadi tidak mengapalah kau 'lepas rindu' kau pada aku dengan cara begitu.

Aku mendengus geram. Berani betul Rafie membohong aku selama ini. Patutlah bukan main ramah dia layan aku masa peristiwa hampir kemalangan tu. Rupa-rupanya dia sudah tahu yang aku ini Aina, sahabat kecil dia dahulu. Ceh! Tapi, memang benar pun. Sejak aku berpindah ke bandar, terus aku tak hubungi Rafie lagi.

Semasa aku balik ke kampung, dia pula dikatakan sudah pindah. Sekarang, ada balik pula. Macam biskut betul.

"Sudah-sudahlah. Ish, jahat betul kau ni kan? Dah tahu aku ni siapa, masih nak menyimpan rahsia. Baru nak halau kau dari rumah, opah pula piat telinga. Semua gara-gara kau! Nasib baik tak merah," muncung aku bina. Arisya sudah lama masuk ke dalam bilik, tidur la kut. Itulah dia. Tak bagus betul. Siap makan, tidur.

Rafie gelak terkekeh-kekeh. Lagi menambah sakit hati. "Eh, kamu tak tahu lagi ini Rafie? Dah pernah jumpa masih tak kenal? Lain sangatkah wajah Si Rafie ni, Aina? Opah tengok sama aje," opah mula membela Rafie. Sungguh tidak adil.

Setelah gelak Rafie reda, aku mencapai sudu dan mengetuk sepuasnya lengan dia. Baru puas hati aku! Depan opah, pasti aku yang kalah. Opah asyik menangkan saja Rafie ni. Aku cucu dia ke, Rafie ni cucu opah?

"Bukanlah. Itu masa kecil la opah. Sekarang kami dah dewasa. Manalah Aina nak kenal Si Rafie ni. Dah ada misai, berjambang pula tu. Lagilah Aina tak perasan," bela aku. Bela diri sendirilah jawabnya. Rafie dah ada peguam bela. Aku ada siapa? Atuk? Huh, jangan harap. Entah apa Rafie mandremkan atuk entah.

"Hello, aku ada janggut sejemput ajelah! Tak ada misai, berjambang bagai. Selalu nak gempakkan cerita budak ni." Balas Rafie. Giliran aku pula tergelak. Hah rasakan! Tahu pun. Aku ni, dari kecil asyik aku aje kau ketawakan. Sakit pula hati kita.

Aku pun meminta diri untuk menonton televisyen. Opah sudah masuk ke dalam bilik, mahu berehat katanya. Atuk pula masih kuat untuk menyertai gosip kedai kopi. Entah apa yang sedap entah kopi di kedai itu.

Aku duduk di atas sofa menghadap televisyen. Biskut kering di atas meja, segera aku capai. Tak apalah, TV kecil ni. Janji ada astro. Kah kah!

"Kau ni, tadi dah makan. Sekarang nak makan lagi. Tak takut gemuk ke?" Ada pula suara mengacau ketenteraman aku. Sejak bila entah dia perhati aku makan.

Aku memandang Rafie sinis. "Eh biarlah. Badan aku, kau pula sibuk! Eh kau ni bila nak balik rumah ni? Penatlah aku nak pakai tudung walau dalam rumah sendiri." Rungutku. Bekas biskut kering aku tutup lalu letak kembali di atas meja. Habis nafsu makan aku luntur semua lepas dengar apa kata Rafie.

Rafie hanya tersengih. Dia sudah menukar pakaian jubahnya. Mungkin dia baru balik dari masjid. Sebab itulah pakai jubah. Sekarang, dia pakai baju biasa. Berkain pelikat.

"Tak payahlah tenung aku sampai macam tu sekali. Tahulah aku ni handsome. Jejaka idaman Malaya! Ala, pakai tudung pun nak bising. Aku ada idea. Kalau aku ada di rumah opah tapi kau tak perlu pakai tudung. Nak tahu tak?"

Akibat terlalu teruja dengan idea Rafie, lupa aku fasal dia angkat bakul sendiri tu.

"Hah apa dia?" Tanyaku. Dia tersenyum penuh makna. Eh, dah jadi seram pula aku lihat dia ni.

"Jadi yang halal untuk aku. Barulah kau boleh buka tudung sesuka hati kau!" Dia tersengih selepas itu. Bantal kecil di samping aku, terus aku baling tepat muka dia. Habis rosak rambut dia. Padan muka! Mulut tiada insurans.

"Eleh, orang cadangkan saja. Tapi, kalau kau setuju, aku okey saja. Aku pergi balik rumah aku ni terus suruh mak aku pergi pinang kau." Rafie gelak selepas itu. Wah dia ni. Gurau kasar nampaknya ya! Aku baling dengan pasu pula baru tahu.

"Senyaplah kau. Kacau aje aku nak tengok TV. Pergilah balik rumah kau. Bukan jauh pun berjalan, sebelah aje pun. Dahlah, pergilah balik.." aku mendengus geram. Ada pula idea mengarut macam tu!

Dia tersengih lagi. "Yalah, aku nak balik la ni. Cakap dengan opah aku balik, kirim salam pada dia ya. Berapa lama kau duduk sini?" Rafie sekarang tidak main-main sudah. Alhamdulillah, tenang la juga jiwa raga aku ni.

"Seminggulah kut," jawabku acuh tak acuh. Eh eh! Nazim Othmanlah! MasyaAllah.. kacaknya. Aku tersenyum tanpa dirancang.

"Oh, kalau macam tu esok ikut aku, kita pergi kebun sama-sama. Ajak la juga kawan kau tu. Tak elok keluar berdua, nanti syaitan yang akan jadi orang ketiga. Hah esok pagi siap-siap, boleh la juga aku bawa kau jalan-jalan sekitar kampung ni."

Eleh, macamlah aku nak sangat keluar berdua dengan dia! Aku memandang geram, tapi apa yang dia cakap semua betul. Ikut sajalah.

Aku mengangguk lalu menghantar dia ke pintu rumah. Setelah dia ucap salam, dia melangkah menuruni tangga.

"Eh sekejap!" Lantas Rafie memandang aku. Aku tersengih melihat Rafie terpinga-pinga.

"Kau dah kahwin ke?"

"Belum, kenapa?"

"Jadi, siapa 'anak' yang main sampai kau hampir langgar kereta aku tu?"

Rafie tersenyum manis. Aduhai, kalah lagi aku. Mengapa terasa sempurna sangat ya senyuman dia pada aku? Tak, tak. Hanya mainan perasaan saja tu.

"Itu anak saudara aku. Anak kak Lia." Oh, patutlah. Ingat anak dia.. Melepaslah aku! Eh? Eee, gatalnya kau Aina!

Aku mengangguk memahami. "Hm okeylah. Itu aje aku nak tanya. Dahlah, pergi balik sana. Malam-malam pun masih datang rumah orang juga. Bye, assalamualaikum!" Aku terus menutup pintu rapat. Aku tergelak kecil. Melihat balasan wajah Rafie, nak tergelak aje rasa.

Muhammad Rafie.. tak sangka dapat jumpa kau lagi. Perangai, masih tak berubah. Umur dah 28 pun masih belum berkahwin! Em.. muda lagi kut.

Rafie tak mahu aku memanggilnya dengan panggilan 'Abang Rafie', katanya disangka tua sangat. Beza aku dengan dia cuma beberapa tahun saja. Yang penting, esok bangun awal siap-siap nak pergi kebun!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience