Bab 24

Humor Series 10658

Chapter 24

BAJU-BAJU yang perlu, aku masukkan dalam beg yang agak sederhana besar. Air mata yang menitis aku biarkan tanpa diseka. Aku biarkan dari tadi mengalir. Kudrat mahu menyeka juga sudah tiada. Tangan masih ligat melipat dan menyumbat baju ke dalam beg.

Dalam hati aku bertanya, mengapa hal ini terjadi pada aku? Salah aku juga, sudah tahu salah keluar berdua-duaan di kala malam, tapi masih mahu keluar. Sudah tahu tempat itu sunyi, ikutkan juga permintaan lelaki itu.

Untung saja aku tidak diapa-apakan. Namun, kes semakin berat. Fariz seperti orang sakit dan meracau-racau menyuruh aku kahwin dengan dia. Mungkin betul yang Fariz memang sakit. Sampai sanggup bunuh ayah sendiri! Mana tak sakitnya.

Aku sudah membuat keputusan. Apa nak jadi, jadilah. Aku kena balik rumah ibu juga. Harus. Setelah siap mengemas, aku segera menutup pintu kamar. Sebelum itu, aku meletakkan sehelai kertas bertindih bingkai gambar di atas meja solek.

Tangan aku mengelus lembut pintu Suzy. Suzy, maafkan aku. Aku perlukan ketenangan. Suzy memang tidak akan dapat mencari aku. Memang tiada siapa pun yang tahu keberadaan rumah asal aku di mana. Entah kenapa aku sembunyikan, aku tak mahu fikir. Mungkin ini hikmahnya. Agar dapat lari daripada semua orang.

Pintu rumah aku kunci dari dalam. Langkah aku atur cepat menuju ke tempat duduk pemandu. Enjin tidak aku matikan bagi memudahkan kerja. Terasa bengong juga dibiarkan, pagar sudahlah tidak berkunci. Kereta pula tidak dimatikan, senang-senang pencuri dapat rezeki.

Tapi, alhamdulillah. Tak terjadi apa-apa. Yang penting aku kena selamat sampai ke rumah ibu malam ini juga. Lantaklah lewat malam pun.

Jalan raya memang masih lagi penuh dengan pelbagai jenis kenderaan. Walaupun boleh dikatakan sudah larut malam, namun hei ini Kuala Lumpur la. Malam-malam ni yang banyak kereta bergerak, ramai yang menjadi burung hantu.

Punat radio aku tekan dan setting-kan ke volume yang sederhana. Sunyi, terasa seram sejuk juga kalau hanya membiarkan bunyi cengkerik menemani. Air mata juga sudah kering. Sampai rumah, aku memang terasa nak terus ada dalam pelukan ibu.

Tempat loceng aku tekan. Menunggu di luar agar sesiapa di dalam dapat membuka pagar untuk aku masuk. Sekarang, aku lebih berhati-hati. Enjin kereta sudah aku tutup dan kunci berada dalam genggaman aku.

Selama beberapa minit aku menunggu, akhirnya lampu luar terbuka dan pasti tak lama lagi pintu pula terbuka. Abang Afif..

"Eh, kenapa kau balik rumah ni?" Abang Afif menekan punat yang ada di controller. Pintu pagar terbuka secara automatik. Aku mengeluh dan menyuruh dia menunggu untuk aku sadaikan kereta ke dalam pekarangan rumah.

Enjin aku matikan dan pintu kereta aku buka. Abang Afif masih berada berdekatan dan menunggu jawapan. Aku mengambil beg dan barang selebihnya yang berada di tempat duduk belakang.

"Ibu dengan ayah dah tidur?" Pada waktu yang sama, Abang Afif mengambil beg yang aku jinjing dan berjalan bersebelahan dengan aku.

"Dah. Nasib baik aku masih layan TV. Dapatlah dengar dindong-dindong rumah ni."

Aku hanya tersenyum tipis. Sofa menjadi mangsa henyakan aku dan tudung di kepala aku lepaskan segera. Abang Afif duduk di sebelah dan menutup TV.

"Laa, kenapa tutup? Buka aje. Sunyi la. Aku takut." Rungutku. Abang Afif membuat muka menyampah seperti selalu kalau aku buat dia bengang.

"Yalah yalah. Aduhai, baru balik dah mulakan kerja mulut tempayan kau tu." Abang Afif membuka TV kembali. Aku hanya tersengih.

"Kau ni dah kenapa? Balik tak bagi tahu. Bawa beg besar-besar macam lari rumah. Kenapa?"

Aku mengeluh perlahan. Aku menyandarkan belakang badan ke belakang sofa yang memang empuk tak terkata. Pandangan aku halakan pada siling rumah.

"Em tak ada. Saja. Aku rasa nak duduk sini terus."

"Pulak? Dulu macam-macam alasan kau bentang. Takut jalan jam la, tempat kerja jauh la. Sekarang nak duduk sini terus pulak? Haih, pelik betul aku dengan kau ni." Abang Afif sudah mula membebel. Alamatnya memang aku tutup telinga sajalah. Cair nanti telinga mendengar bebelan malam-malam buta macam ni. Tak menyempat-nyempat nak bebel aku Si Afif ni.

"Tak suka aku balik, cakap. Aku boleh cari rumah lain apa. Aduh, nak bising pula malam-malam ni..." aku menarik muka masam. Hilang sebentar apa yang berlaku beberapa jam yang lepas.

"Eleh, perempuan brutal macam kau nak touching bagai pula. Memang taklah aku nak pujuk! Dah naik atas. Tidur. Aku pun nak masuk tidur dah ni." Abang Afif mengambil remote control lantas menutup TV sekali lagi.

Aku hanya mengangguk dan segera mengangkat punggung untuk pergi ke tingkat atas di mana bilik aku berada. Hailah, rindunya dengan tempat aku beradu tu.

"Hoi! Amboi sedap kau lenggang-kangkung naik atas. Beg banyak-banyak ni kau nak campak mana? Nak suruh aku angkatkanlah? Fikir aku pembantu kat hotel ke?"

Aku mengulum senyuman meleret dan berpusing ke belakang apabila mendengar suara Abang Afif. Dia mencekak pinggang memandang aku. Tak sampai nak kelip mata, aku segera membuka langkah seribu dan terus naik ke atas. Sambil-sambil itu aku menjerit meminta tolong Abang Afif untuk mengangkat beg itu ke dalam bilik.

Alah, bukan banyak pun. Satu aje. Yang kecik-kecik tu sampingan aje. Itu pun nak kecoh. Aku menjeling sedikit dan kelihatan Abang Afif mengeluh sakan. Haish, apalah abang aku sorang ni. Aku balik bukan selalu. Nak dimanja sedikit pun tak boleh.

"HOI, bangun anak dara! Ya Allah, apa nak jadi dia ni?! Subuh nak habis dah ni woi!" Suara garau milik lelaki menjengah masuk dalam gegendang telinga. Aku yang masih terasa berada di dalam mimpi, mencapai bantal yang ada untuk menekup muka.

"Ya Allah! Aku sebat juga dia ni, karang! Aina, bangun! Subuh dah nak habis ni." Terasa nama aku diseru pula. Nak tak nak aku mengalihkan bantal dari muka lalu bangun dalam erti kata lain duduk atas katil.

Aku menggosok kedua belah mata yang masih terpisat-pisat. Aku membuka mata dan perlahan-lahan membenarkan cahaya menusuk masuk ke dalam anak mata. Sebelum tidur tadi bukan aku dah tutup lampu ke? Kini aku membesarkan bola mata melihat siapa gerangan yang mengacau aku tidur.

Aku mendengus kasar. Cis, apa punya abang! Nak kejut pun, beragaklah. Terjerit terlolong, ingat elok sangatlah perangai? Hish. Aku mencapai bantal dan membalingnya tepat mengena perut Abang Afif yang elok bersandar pada bingkai pintu. Tapi, dia masih berlagak selamba.

"Dah bangun tuan puteri? Sekarang, tunaikan pula tanggungjawab pada Yang Maha Esa. Lepas tu, turun makan! Jangan sampai aku jejak balik bilik kau untuk bangunkan kau semata-mata. Faham?"

Aku mengangguk kecil dan melihat Abang Afif sudah pergi. Macam sekejap aje tidur tadi. Aku segera memunggah beg untuk mencari tuala untuk mandi. Sampai bilik semalam, nampak katil aje. Terus tidurlah jawabnya.

Setelah siap menunaikan solat, aku turun ke bawah. Ibu sedang menyedokkan mihun goreng dekat setiap pinggan. Ayah pula melayan surat khabar. Abang Afif tak tahulah pergi ke mana.

"Assalamualaikum," sapaku lalu mencium pipi ibu sekilas. Tangan ayah aku raih dan menciumnya. Lantas aku hempaskan punggung di sebelah ayah.

Ibu menayang senyuman dan menjawab salam dariku. Begitu juga ayah. Aku memanjangkan leher mencari kelibat manusia lagi satu. Manusia yang ada mulut sebiji bertih jagung sedang masak! Huh, apa nasiblah dapat abang mulut laser macam tu.

"Amboi, cari aku ke? Rindu eh?" Satu suara pula kedengaran. Aku hanya menarik nafas perlahan. Kuss, semangat! Dia ni suka sangat buat orang mati muda.

"Tak ada maknanyalah aku nak rindu dengan orang macam kau. Baik rindu pinggan ni hah. Sudahlah tidak menyusahkan aku, nak kutuk aku lagi harapan." Aku menggegar-gegarkan pinggan di depan mata. Selepas itu, ibu merampas untuk meletak mihun. Aku hanya menayang sengih.

"Hei, sudah sudah. Pagi-pagi bergaduh depan rezeki tak baik. Dah jom makan." Ayah menegur lalu diletakkan surat khabar di atas meja. Aku mengalihkannya di ruang meja yang kosong. Abang Afif pula menunduk.

Selesai makan, Abang Afif segera mencapai coatnya dan dipakainya segera. Briefcase di sisi dia ambil. Sedang itu, dia membetul-betulkan sedikit tali lehernya yang memang aku rasa senget gila! Serupa otak dia, semua senget.

Abang Afif berdeham kecil apabila sedar diri diperhati. Aku hanya tersenyum dan memasang muka suci.

"Kau tak siap-siap ke? Tak kerja?" Abang Afif mencapai pula kunci kereta di atas meja makan. Amboi, semua dia letak atas meja. Nak senang kerjalah tu. Sekarang, ayah sudah pun bersara daripada menjadi pegawai kerajaan. Duit pencen pun dah dihulur setiap bulan.

"Tak. Aku ambil MC dua hari," ujarku. Memang pun. Aku sudah pun mesej Haikal soal itu. Memandangkan aku jarang cuti.. okey aku tarik balik. Aku ada cuti hampir seminggu kerana balik kampung. Tapi, cuti tahunan aku masih banyak lagi. Jadi, tiada sebab munasabah untuk Haikal melarang aku.

Suzy pula sudah telefon aku selepas aku selesai solat Subuh. Tepat-tepat ucap salam kali kedua! Jadi, pagi-pagi tu kenalah menadah telinga mendengar apa yang Suzy kata. Marah benar dia apabila aku tinggalkan dia tanpa permisi. Tapi, nasib baik surat tu ada. Kalau tidak, lagi setengah jam aku perlu bertahan.

"Amboi. Sakit tidak, apa tidak, ambil MC. Nasib baik kau kenal rapat dengan bos." Abang Afif menggeleng-gelengkan kepala.

"Alah, bos kecil aje. Bos besar memang takde la aku nak bodek! Tengok kaki la, der. Sekali aku pujuk, mestilah jalan. Haih, eh yang kau ni tak pergi kerja lagi?"

Abang Afif menjuih bibir apabila aku bercakap banyak. Kaah! Dia tanya sepatah, aku jawab berjela. Aku hanya tersenyum meleret.

"Nak pergi kerjalah ni..." Abang Afif segera bangun daripada tempat duduknya dan segera meraih tangan ayah dan ibu untuk disalam. Aku pula bertindak menayang tangan untuk disalam serta dicium. Bak-bak kisah dongeng gitu! Putera mencium tangan puteri dan diajak berdansa.

"Ha ha. Ingat kau siapa? Cinderella? Puteri Jasmine? Err.. memang taklah aku nak cium tangan kau pula." Abang Afif kini menayang tangannya pula. Lah, baru nak feeling ada dekat kisah dongeng. Potong stim betul mamat ni!

Aku menyalam juga tangannya. Aku menjuih bibir. Kalau bukan disebabkan dia abang aku, memang harapanlah aku nak salam dengan begitu sopan santunnya.

Setelah itu, Abang Afif bergerak ke luar dan deruan enjin semakin menghilang menandakan Abang Afif sudah bergerak ke tempat kerja. Aku pula membantu ibu membersihkan meja dan langsung ke dapur. Setelah selesai cuci pinggan, aku duduk seketika di atas kerusi.

"Aina kenapa balik tak beri tahu dulu ni? Ambil MC kerja pula tu. Tapi, tengok sihat aje. Kenapa ni? Aina ada masalah ke?" Suara lembut ibu menenangkan sedikit jiwa raga aku. Ibu yang baru melabuhkan punggung di hadapan aku, mencapai tangan kananku lalu digenggamnya erat.

Aku mengambil tindakan dengan membalas genggaman ibu. Tenang betul aku lihat wajah ibu ni. Walaupun sudah menjangkau usia tua namun seri di wajah tak pernah hilang. Mungkin inilah hikmahnya apabila muka sering dibasahi air wudhuk.

"Tak ada apa. Aina cuma nak realise tension jer. Aina okeylah ibu," aku meyakinkan ibu. Diukir senyuman penuh plastik di wajah. Takkan pula aku nak cerita tentang Fariz? Mahu pengsan agaknya orang tua ni.

"Ya ke? Macam tak caya aje.." balas ibu. Aku menguntum senyuman.

"Betullah ibu. Buat apalah Aina nak konar sana konar sini." Aku beri keyakinan lagi. Ibu hanya mengangguk. Lalu, aku meminta diri untuk naik ke atas. Mengemas pakaian.

Aku mengambil bingkai gambar yang aku simpan di laci. Gambar aku dan Amirul masa konvo tamat tingkatan 5. Masa ni Arisya sibuk nak masuk juga. Al-hasilnya muka aku macam nak tolak Arisya ke tepi dan tangan aku juga macam tak kelihatan di gambar. Lengan aje ada. Amirul pula selamba senyum.

Amirul ni pantang sikit kalau nampak kamera. Senyum macam jumpa tunang! Tunang.. aku mengeluh lagi. Amirul sudah pun bertunang. Aku menggeleng kepala pantas. Tekad! Aku kena lupakan Amirul. Dia sudah pun jadi sejarah.

Rafie.. aku mengulum senyuman gatal. Ceh! Ada aku kisah? Dekat bilik ni ada aku aje. Suka hati akulah nak senyum jenis apa pun. Aku mencapai telefon. Terasa mahu mesej dia pula.

Assalamualaikum abang tua. Amacam? Ada sihat ka? Mak Sal sihat?

Send! Aku meletakkan kembali telefon itu di atas meja solek. Tangan sebelah lagi yang memegang bingkai gambar itu aku letakkan semula dalam laci. Kenangan, mana boleh aku lupa zaman sekolah.

Jam sudah menunjukkan pukul lapan tiga puluh minit pagi. Sambung tidur macam tak kena pula. Tak elok. Jadi, aku turun ke bawah. Mencari kelibat ibu namun tidak kelihatan. Aku mengambil tudung ekspress yang tersangkut di kerusi dan memakainya. Aku menginjakkan kaki ke luar rumah.

Ibu sedang menyidai pakaian rupanya. Aku mencuit bahu ibu lalu menyembunyikan diri di balik pakaian yang sudah tersadai. Aku mencuri tengok apa reaksi ibu. Ibu menggeleng-geleng kepala.

"Aina.. Aina. Ingat ibu ni budak-budak ke, nak main cuit-cuit ni? Hish dia ni!"

Aku tersenyum meleret. Lalu, aku mengambil baju yang berada di baldi untuk dijemur juga. Sambil itu aku melihat kawasan perumahan itu. Ada yang berjoging, bersenam dan mengayuh basikal. Taman permainan pun bukanlah jauh sangat dari rumah. Boleh nampak dari sini. Tapi, tengok dari sini memang nampak kecillah.

"Ibu, Aina nak tanya sikit, boleh?" Aku mengatur ayat. Sambil-sambil itu, tangan aku masih bergerak untuk menyidai baju. Sesekali aku paling ke kiri untuk melihat ibu. Ibu memandang aku sekejap, lalu meneruskan kerjanya.

"Tanyalah. Apa dia?"

"Apa yang terjadi selepas peristiwa ayah dengan best friend dia tu? Maksud Aina... hubungan mereka," soalku berhati-hati. Takut mengguris perasaan ibu pula nanti. Tapi, aku yakin ibu selamba. Hal yang lepas, tak usah kita tangisi lagi. Let bygone be bygone.

"Best friend ayah dah tak tegur ayah walaupun ayah cuba nak explain. Lagipun, company ayah kan muflis. Jadi, harapan nak jumpa memang susah. Best friend dia pernah kata... itu adalah karma untuk orang macam ayah. Ibu sedih sangat masa tu."

Aku memeluk bahu ibu seakan-akan memberi semangat. Tak mahulah ada pula air mata yang tumpah. Ibu menguntum senyuman lalu membalas pelukan aku. Aku meneruskan menyidai. Kebanyakannya pakaian ibu dan ayahlah. Abang Afif tu bila sangatlah dia pakai baju banyak-banyak.

"Sampai sekarang? Ayah tak cuba nak berbaik ke? Yalah, itu kan kawan baik dia dari sekolah menengah lagi, kan? Susah senang sama-sama nak bangunkan syarikat masing-masing. Tup tup ada dugaan sikit, rebah semua."

"Ayah dah maafkan semua salah kawan baik dia tu. Lagipun, ayah dah tak nak ungkit kisah lama. Biarlah dia yang terus dianggap bersalah pada kawan dia. Ayah takut hal tu pun boleh bagi effect keluarga kawan dia."

Aku hanya mendengar ibu bercerita. Jujur, aku sangat tabik pada ayah. Kawan baik sendiri kut. Sedih bukan main tu. Kalau aku... hm simpang malaikat empat puluh empat. Moga tidak terjadi pada aku.

"Assalamualaikum. Kalsum, jemur kain ke?" Satu suara pula kedengaran. Aku memalingkan wajah ke kiri. Oh, mak cik ni rupanya yang bercakap. Aku hanya tersenyum di saat wanita sebaya ibu memandang aku sekilas.

"Waalaikumsalam. Yalah, Zu. Macam biasa," ramah ibu menjawab. Aku hanya membiarkan puan-puan itu bercerita. Hai, jiran baru ke? Nampak sangat aku dah lama tak jenguk rumah.

"Itu.. anak dara kamu ke? Cantik orangnya," kata wanita itu lagi. Aku mengangkat muka di saat kata-katanya mengarah kepada aku. Aku hanya tersenyum lalu mengangguk.

"Siapa namanya?" Wanita itu masih bertanya. Pagar yang membatasi antara rumah aku dengan mak cik ini memang senang benar kalau mahu melihat muka. Dua belah tangan pun boleh masuk hingga ke bahu. Besar jugalah.

"Aina, mak cik." Balasku sopan. Peluh di dahi aku kesat dengan hujung baju. Matahari sudah mahu mencanak naik.

"Oh.. kerja mana? Tak pernah nampak pun..."

"KL jer mak cik. Saya sewa rumah kat sana. Senang pergi kerja. Balik rumah ni sekejap aje." Aku menguntum senyum. Wah, makin lama makin banyak pula soalan mak cik ni. Hm tak apa, tak apa.

"Mana kamu nak nampaknya, hoi Zubaidah. Kamu tu masih baru di sini. Mana nak jumpa anak dara aku seorang ni," ibu menyelit. Ditepuk-tepuknya belakang aku, kuat. Tersedak-sedaklah aku juga. Haih, lain macam aje tepuk ibu ni.

"Yalah, Kalsum. Oh ya, dah kahwin ke belum ni? Mana tahu kalau belum, aku boleh booking awal-awal."

Erk! Kalau aku makan tadi, mahu tercekik aku. Harap tak 'pergi' masa tu jugalah. Ada pula mak cik ni. Ingat aku homestay ke nak booking booking? Aku hanya menunduk. Biarlah, ibu yang menjawab.

"Belum. Hah eloklah tu. Mana tahu berbesan pula kita, ye dak?"

Spontan aku menampar bahu ibu, perlahan. Hailah, ibu ni. Aku mengharap ibu yang menjawab biar menjernihkan keadaan. Sekarang, ibu mengkeruhkan adalah!

Wanita yang bernama Zubaidah itu ketawa kecil. Amboi, suka benar bab besan-besan ni. Aku hanya mengetap bibir. Diamkan sajalah. Karang cakap lebih, dikata apa pula.

"Aku masuk dululah, Kalsum ya. Anak dan suami aku nak balik, makan. Nanti kita borak lagi. Assalamualaikum, Kalsum.. Aina." Aku dan ibu hanya menganggukkan kepala seraya menjawab salam.

Selepas dipastikan, mak cik Zubaidah itu sudah lenyap dalam rumah dia, aku mencebikkan muka. Ibu perasan lalu ketawa kecil. Amboi, sukanya!

"Toksah la hang buat muka lagu tu. Tak sedap mata memandang tau! Dah, jom masuk. Kita masak pula!"

Ibu mengambil baldi lalu dibawanya masuk ke dalam rumah. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Aku mengekori juga jejak ibu ke dapur. Aku membuka tudung lalu meletakkannya di tempat yang sama.

"Ibu nak masak apa?" Tanyaku apabila kami sudah sampai di dapur. Dapur ni tak adalah besar mana. Tapi, kalau nak sepahkan barang-barang tu memang bestlah juga.

"Masak.. ayam masak merah, sayur campur dengan ikan goreng." Jawab ibu lalu tersenyum memandang aku. Tangannya ligat mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan dari peti sejuk. Ada juga yang sudah tersedia di dalam kabinet.

Ibu kata, sayur campur dengan ikan goreng dia urus. Hm nampak sangat nak aku masak ayam masak merah tu. Aku hanya tersenyum dan mengiakan saja. Tak apa, aku masak air tangan aku sendiri full hari ini. Tanpa pertolongan ibu pun.

Ayam, cili giling, bawang besar, bawang putih, halia, daun sup, daun bawang, serai, garam dan juga gula sudah ada di meja makan. Aku mengetuk-ngetuk bibir menggunakan jari telunjuk seraya memandang bahan-bahan yang tersedia.

Aku menyingsing lengan baju sampai ke siku. Senang sedikit mahu buat kerja. Mula-mula kita bekerja dengan bawang dulu. Dihiris dan dikisar. Selepas itu, serai pula aku ketuk. Oh ya, halia pun kena kisar juga.

Setelah siap, aku mula bermain dengan dapur gas. Panaskan minyak terlebih dahulu dan masukkan bawang. Tumis sehingga bawang kekuning-kuningan. Selepas itu, masukkan bawang kisar, halia, cili giling, daun sup dan daun bawang.

Setelah siap letak anak-anak dia, aku memasukkan ayam pula. Tentunya yang sudah bergoreng. Selepas beberapa minit menunggu, aku masukkan pula bawang goreng sebagai penambah perisa. Sikit aje, takut hilang rasa ayam masak merahnya.

Aku mengesat peluh. Siap akhirnya! Aku memerhati ibu yang juga sudah siap memasak. Ibu sedang mengemas apa yang perlu. Jadi, aku pun turut membantunya. Well, aku memang anak yang baik.

"Wah, sedapnya bau! Lama dah Aina tak masak bila datang rumah ibu ni, kan?" Ibu mencium aroma yang dikeluarkan dari masakanku. Aku tersenyum bangga. Nak dikata sedap, aku tak bolehlah bagi kata putus. Dah lama aku tak masak ayam masak merah ni. Dulu masak pun, ibu tolong sekali. Ini tidak, full aku buat ni.

"Ha'ah. Lama sangat. Dekat rumah sewa tak boleh masak macam ni. Sibuk kerja, lepas tu takut tak habis. Maklumlah, tinggal berdua aje dengan Suzy tu."

Aku melabuhkan punggung. Air kosong di depan mata aku ambil dan teguk. Nikmat! Panas-panas macam ni bagus minum air kosong banyak-banyak. Panas-panas pun janganlah bantai minum ais. Cari penyakit.

"Eh, ayah kemana? Tak nampak pun dari tadi," aku meliarkan mata mencari kelibat ayah, namun hampa. Tak ada, batang hidung apatah lagi.

"Keluar. Jumpa kawan dialah tu. Sejak dah bersara ni, tak lekat orang tua tu kat rumah. Pergi main dam dekat rumah kawan dia."

Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Tak ubah-ubah perangai ayah tu. Main dam punyalah lama, sampai ke larut malam pun tak sedar. Aku pun tak tahulah apa best sangat main benda alah tu.

Aku meminta diri untuk ke atas. Duduk depan kipas pun okey juga ni. Sejuk. Belum tiga langkah untuk naik, aku memandang ibu yang sudah ambil port depan TV.

"Abang Afif balik pukul berapa, ibu?"

"12 ke 12.30 baliklah dia tu." Balas ibu namun matanya masih menghadap TV. Aku hanya tersengih lalu naik ke atas.

Telefon bimbit di atas meja solek aku capai dan melihat pada home screen. Ada mesej dari Rafie. Bibir aku menguntum senyuman. Entahlah, aku lebih suka menggunakan khidmat pesanan ringkas iaitu SMS daripada aplikasi lain. WhatsApp, Wechat, Line, Kakao Talk.. aku tidak gemar memakainya.

Waalaikumsalam. Saya di sini sihat walafiat. Ibu pun. Amboi, nampak macam free jer tu.

Aku menatap mesej yang dihantar oleh Rafie beberapa jam yang lepas. Nasib baik aku tak bawa turun telefon. Mesej dengan Rafie bukan sekejap mesej-mesejnya. Nak berhenti susah. Karang ibu cakap apa pula.

Freelah juga dalam dua hari ni. Aku ambil MC.

Aku memandang ke luar jendela. Sudah masuk waktu tengah hari. Aku memandang ke rumah sebelah. Dua tingkat juga seperti rumah aku. Setara dengan bilik aku, bilik itu juga ada penghuninya. Aku rasalah, sebab nampak macam ada pergerakan dekat situ. Langsir tingkap pun dia buka sedikit.

Tak sangka pula lama aku tenung bilik tu. Tiba-tiba aku rasa macam orang tu balas pandang. Mampus! Aku segera menutup langsir. Haih, apa pulalah kata Mak cik Zubaidah kalau tahu aku usya bilik kat rumah dia. Entah-entah bilik anak dia ke? Hish, malunya!

Telefon aku berbunyi. Segera aku ambil dan membuka aplikasi mesej. Tersenyum aku membaca mesej daripada Rafie itu. Dia ajak jumpa. Hm, dekat mana ya? Tapi, aku kena pastikan jauh dari rumah ibu.

Lalu, aku mencadangkan Restoran Aliyah sebagai tempat berjumpa. Tempat di mana aku melarikan diri daripada orang bernama Amirul. Aku mengeluh perlahan. Aku memalingkan wajah pada jam dinding. Sudah pukul 12 tengah hari. Pasti Abang Afif dan ayah bakal pulang.

Aku turun menuju ke dapur. Melihat ruang tamu yang kosong, aku sudah dapat mengagak yang ibu pasti berada di dapur. Ibu sedang menyiapkan meja makan. Aku pun turut membantu.

Tidak lama selepas itu, kedengaran suara orang memberi salam. Aku menjawab namun tiada niat mahu membuka. Pasti Abang Afif atau pun ayah yang datang nak makan. Kan betul! Mereka sudah pun mula duduk di kerusi meja makan.

"Amboi! Banyaknya lauk. Siapa lagi nak datang ni, ibu? Ada orang datang merisik Aina, ya?" Kata-kata yang dikeluarkan oleh Abang Afif membuatkan tangan aku dengan sendirinya menampar bahu dia kuat. Hah baru tahu penangan aku macam mana.

"Tak adalah. Aina ni hah tolong masak. Ayam masak merah tu dia yang buat sendiri. Ibu tak tolong pun. Cubalah rasa," ibu membela aku. Aku hanya tersenyum meleret kerana terasa dipuji. Walaupun tidaklah specific pujian ibu namun aku dapat rasa. Ceh!

"Em boleh tahanlah.. nampaknya dah boleh kahwin la ni! Hantaran tinggi sikit oi Aina. Masak pandai ni," kata Abang Afif lalu dia ketawa dengan kata-katanya sendiri. Aku hanya mencebikkan muka. Kurang asam jawa punya abang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience