Bab 20

Humor Series 10658

Chapter 20

"EH aku okey tak? Ada yang perlu dikurang atau ditambah tak?" Aku berpusing-pusing di hadapan Suzy buat yang kelima kalinya. Naik pening juga aku. Oleh sebab Suzy dihalang menonton televisyen, terpaksalah aku yang jadi bahan tontonan. Tonton aku sekejap tak boleh ke?

Suzy memandang aku kerek. Aku mengekek dalam hati. "Hm okey dah. Kau saja-saja, kan? Sebenarnya kau dah tahu okey tapi saja nak kacau aku! Cis, sampainya hatimu!" Suzy berdiri sambil menunjukkan jari telunjuknya. Wuish, takutnyer.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi hon kereta. Oh Amirul sudah sampai rupanya. "Okey aku gerak dulu. Nanti kalau aku tak habis, aku bungkus balik rumah bagi kau okey?" Aku segera menuju ke daun pintu. Suzy turut mengikut jejakku.

"Cis, tak guna betul. Sisa makanan sahaja? Tak patut. Dahlah, dia dah tunggu tu. Baik betul tunang dia, main lepas aje tunang date dengan orang lain."

Aku segera keluar dari rumah. Berdarah juga telinga aku nanti mendengar kata-kata Suzy. Tunang? Ya, aku hampir lupa soal itu.

Aku menyusun langkah hampir mencari kesempurnaan kerana aku memakai kasut tumit tinggi. Walau sudah biasa, aku tetap harus berhati-hati. Malang tidak berbau, bukan?

Amirul bersandar di di tempat pemandu, menyilangkan kaki juga tangannya. Bibirnya menguntum senyuman tatkala aku makin mendekati dia. Suzy yang masih melihat kami, disapa Amirul dengan tangan terangkat.

Amirul memandang aku atas bawah beberapa kali. Dah kenapa macam Rafie pula ni? Lalu, dia segera ke pintu sebelah dan dibuka untuk aku. Aku hanya tersenyum kelat sebelum masuk ke dalam. Oh tolong, aku bukan puteri kerajaan mana pun sampai pintu pun perlu dibukakan. Dari dulu aku tak suka lelaki bukakan pintu untuk perempuan.

Dalam beberapa minit selepas itu, kereta milik Amirul bergerak membelah jalan raya. Dingin. Walaupun penghawa dingin tidak dibuka ke tahap yang tinggi, tapi sejuknya angin mencengkam sampai ke tulang. Seram sejuk pun ada juga terasa, sunyi sepi tanpa kata. Radio juga tidak dibuka. Aku pun masih tiada angin mahu mendengar celoteh DJ.

"Beautiful,"

Aku memandang Amirul. Aku dengar macam dia cakap beautiful tadi. Dia kata tentang aku atau pemandangan ni? Um, aku rasa tak ada cantik mana. Bulan dan bintang seperti biasa menemani gelap malam. Pokok-pokok yang kelihatan hijau tua pada waktu malam juga sudah biasa dilihat. Apa yang cantiknya?

"Kau la. Kau cantik malam ni."

Aku memandang Amirul lagi. Dia masih serius memandu tanpa memandang aku sedikit pun. Aku memandang ke hadapan kembali. Mungkin Amirul memang kena fokus kalau bab memandu ni. Utamakan keselamatan, sayangi orang tersayang. Ceh.

Aku termenung ke luar jendela. Persoalan dalam hati masih belum terjawab. Persoalan tentang status Amirul pada saat ini. Baru saja beberapa hari aku pulang ke kampung halaman, sudah bermacam-macam terjadi.

Dalam waktu 20 minit selepas itu, sampailah kami di restoran yang agak mewah. Romantik? Ya. Tapi, sungguh aku katakan. Ia memang nampak elegan. Bohonglah aku tak terharu tempat macam ini dia bawa aku. Maklumlah, mahal harganya makan di tempat sebegini.

Wang yang aku ada cukup makan sahaja. Sejak ayah muflis masa aku dilahirkan, ayah memang sudah berputus asa untuk membangunkan syarikat lagi. Pekerja demo mahu gaji mereka yang tertangguh. Tidak cukup dengan itu, ayah dikatakan menggelapkan wang syarikat sahabat baiknya sendiri.

Tandatangan? Ya, memang tandatangan ayah. Namun, ayah sendiri tidak tahu menahu bila dia tandatangan dan mana pergi duit itu kalau benar ayah menggelapkannya. Kerana itulah aku dihantar ke kampung. Tak mahu membebankan lagi hidup yang serba kesusahan.

Ayah kembali bangkit. Hutang langsai, aku kembali. Ibu kata, sudah masanya aku kenal siapa keluarga aku. Mereka juga menyesal seakan membuang aku dahulu. Bukankah kata orang, anak itu pembawa rezeki?

Kerusi ditarik dan Amirul menjemput aku duduk. Mahu atau tidak, terpaksa juga aku mengikuti. Dia turut mengambil tempat di hadapan aku. Aku melarikan anak mata daripada terus ditatap oleh Amirul. Pandangan dia macam mahu menerkam aku saja.

Aku mengukir senyuman tipis. Jikalau tidak, dikata apa pula nanti. Aku berusaha bersikap mesra alam. Aku memandang pelayan yang masih setia menunggu pesanan daripada kami. Baru sebentar tadi Amirul memanggilnya.

"Kau nak apa, Mir?" Amirul memandang aku. Aku jadi tergugup sekejap. Ah, apa yang aku fikir sebenarnya?

"Err ikut kau aje la."

Senyap. Mata tak saling bertentang, melihat restoran yang mewah ini. Namun, aku tahu dan dia pun tahu yang kami memang ada saling tarik untuk melihat. Seperti magnet, jeling itu biasa.

"Okey, tak perlu buang masa. Cuba beri tahu apa tujuan kau ajak aku dinner? Kau ada agenda apa sebenarnya?" Aku memberanikan diri bagai mencabar Amirul. Aku melihat Amirul tersenyum. Sinis mungkin?

Amirul berdehem untuk kali kedua. "Agenda? Tujuan? Apa maksud kau? Aku.. aku tak faham." Amirul menggerakkan kedua-dua belah tanggannya yang berbantal meja, seolah-olah sedang berlawan politik.

"Tak faham apa lagi? Kau dah tunang, tapi masih keluar dengan aku ni apa cerita bro? Kenapa kau tak beri tahu aku sebelum ni?" Aku mendengus geram di saat Amirul masih tidak mahu berterus terang. Wajahnya yang tampak begitu tenang, menambahkan rasa geram.

Amirul tersenyum sinis. Aku hanya menelan air liur menanti balasan Amirul. "Kalau betul pun kenapa? Kau tak suka?" Amirul memandang aku dalam.

"Bukan masalah suka atau tidak. Tapi, kejujuran. Kata kau kawan aku? Aku orang last tahu yang kawan aku sendiri tunang. Sudahlah jemput pun tidak, apa tidak. Dengar-dengar dah.."

"Aku suka kau." Aku berhenti berbicara. Amirul memandang aku masih dengan pandangan empati. Aku terus jadi serba tak kena. Tiba-tiba pelayan membawa pesanan yang di pesan. Alhamdulillah. Aku terlepas, mungkin untuk saat ini.

Aku menyedut air, masih tidak memandang Amirul. Dari tadi aku menunduk.

"Makanlah dulu." Pelawa Amirul. Aku hanya mengangguk seperti burung belatuk. Selera untuk makan habis punah walaupun makanan di depan mata memang melazatkan. Tapi, tetap mesti habiskan. Satu sebab membazir dan kedua supaya aku ada kerja untuk tidak terus ada eye contact dengan Amirul.

Senyap. Dua-dua membisu tanpa kata. Masing-masing tidak tahu untuk memulakan perbualan. Aku diam bukan bermaksud tiada perkara mahu dibincangkan. Aku menunggu langkah seterusnya oleh Amirul. Dia sudah confess perasaan dia.

Aku dapat tangkap Amirul memandang aku lama. Mahu tidak mahu, aku juga perlu membalas pandangan. Dia nak cakap, okey aku beri.

"Aku suka kau, Amirah."

Diam. Amirul memandang aku seperti meminta aku membalas. Nak balas apa kalau macam tu ayatnya. Itu ayat penyata, bukan ayat soal.

"Aku pun. Aku pun suka kau. Ada aku kata aku tak suka kau? Tak, kan.." Aku meliarkan bola mata menerjah segala sudut restoran mewah ini. Hoi, berhentilah main lagu jiwang tu. Aku sedang krisis disini, kau sedap nyanyi penuh perasaan.

"Kau faham maksud aku apa. Aku cinta, sayang, suka kau. Dari dulu lagi," Amirul mahu mencapai tangan aku yang berada di atas meja, segera aku larikan. Kadang, aku kesal juga dengan lelaki sebegini. Berani sungguh bertindak mahu memegang tangan perempuan yang belum halal baginya.

Aku menghela nafas panjang. "Kau jujur dengan aku semula, betul kau dah tunang?" Mata aku talakan kepada Amirul apabila setelah lama menghadap meja. Dia tersenyum tipis. Aku masih berwajah serius. Tiada angin mahu membalas senyuman tawar itu.

"Betul." Bertemankan wajah selamba, Amirul mengakui pernyataan itu. Khabar angin itu betul. Apa yang Suzy katakan benar belaka. Amirul memang sudah bertunang. Tapi...

"Kau dah tunang, tapi kau masih cakap pada aku yang kau cinta aku? Kau buat lawak apa ni?" Dengusku perlahan. Aku melarikan pandangan agar mata aku dan mata Amirul tidak bertemu. Panas hatiku saat ini. Dia cuba mempermainkan aku.

"Aku tunang terpaksa. Bukan atas kerelaan aku. Company aku perlukan lebih dana untuk majukan syarikat, jadi perlukan sokongan syarikat famili tunang aku. Dah puas aku bantah tapi.. aku tak sanggup nak bantah keputusan mummy aku." Jelas Amirul, matanya terus menjadi sayu.

Aku tersenyum sinis. Mummy lagi? Oh kau kira dengan kau sudah luahkan semua perasaan kau pada aku, mummy kau tu setuju ha? Mahu sahaja aku sound anak mak ni. Kalau betul suka pada aku, perjuangkan cinta kau tu tak boleh? Aku terima atau tidak itu belakang kira. Effort kau tu penting.

"Tunang kau siapa?"

"Ariana."

Aku berdeham kecil. Ariana, perempuan yang Amirul bawa di saat dia sedang menjalankan tugas. Seharusnya aku sudah duga hal ini akan berlaku. Tunang ertinya mereka sudah ada ikatan. Masakan aku tergamak mahu merosakkan masjid yang mahu dibina?

"Macam ini la, apa kata kau.. kau ikut saja cakap mummy kau. Setiap ibu pasti sudah tetapkan apa yang terbaik untuk anak dia. Dia lebih tahu apa yang bagus untuk kau. Bagi mummy kau, mungkin Ariana yang terbaik. Jadi, biar. Kau kena terima bakal isteri kau seadanya." Aku menghembus nafas lega. Sudah setenang air di lautan aku berkata. Harap aku tak guris perasaan lelaki ni. Lelaki yang pernah mengambil tempat dalam lubuk hati aku.

Amirul menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Aku mengukir senyuman tawar. Perasaan aku masih dilanda kabus. Kabur, jadi aku tak tahu apa sebenarnya perasaan aku pada Amirul. Tetapi, lamaran itu secara tidak langsung membuatkan sekeping hati ini tersentuh.

"Tak. Aku hanya pengikat antara dua company untuk bergabung. Kalau aku dan anak Tengku tu tak bersatu, company aku tak dapat capai apa yang disasarkan. Pada masa yang sama, aku cintakan kau. Aku nak habiskan sisa hidup aku bersama kau, Amirah. Bukan Ariana, bukan sesiapa pun."

Aku menarik nafas. Cuba menenangkan diri.

"Jadi, apa yang kau nak aku buat? Terima cinta kau padahal kau dah bertunang? Kau nak aku dilabelkan sebagai perampas ke?" Bidasku.

"Tak. Kau tak akan jadi perampas sebab aku memang cintakan kau. Kita kahwin lari! Kita lari, biar mummy tahu yang aku bukan anak patung yang boleh diperkotak-katikkan."

Aku tergamam. Amirul bercakap macam sudah hilang kewarasan akal. Mana pergi sifat rasional dia? Sifat yang berfikir sebelum bertindak?

"Kau bawa bertenang. Kahwin lari bukan penyelesaian yang baik."

Amirul memandang aku. Dia begitu berharap dan terlalu yakin aku terima cinta dia. Cinta bukan pembawa derita. Cinta itu indah, tapi masalah Amirul menjadikan cinta seperti tiada nilainya. Baiklah. Hanya satu penyelesaian.

"Aku dah buat keputusan. Aku tak boleh terima kau, cinta kau. Bukan sebab masalah kau atau apa, cuma memang perasaan suka aku dah lama hilang. Dulu kita masih budak-budak, Amirul. Fikirlah, masa tu baru SPM. Baru 17 tahun, masih mentah. Janganlah terbawa sampai sekarang."

"Tapi, aku tak main-main. Aku betul cintakan kau. Cinta monyet? Ya, cinta monyet. Tapi, cinta monyet itulah yang bawa aku jumpa kau balik. Berkawan balik dengan kau. Sampai sekarang, sampai aku luah semua pada kau."

Aku diam. Amirul turut terdiam. Jawapan sudah aku dapat bahawa Amirul memang sudah bertunang. Jadi, kenapa ada persoalan lain yang datang mengganggu?

"Macam ni sajalah. Aku beri kau masa. Sama ada kau terima atau tidak, itu hak kau. Tapi, tolonglah fikir baik-baik. Aku tak boleh hidup tanpa kau lagi."

Aku mendecit memperlekehkan. "Tak boleh hidup tanpa aku? Habis masa aku tak ada, sihat saja kau. Masa kau tergamak tinggal aku dulu, bernafas aje kau sampai sekarang."

Amarah dalam hati menguasai diri. Bertindak ikut emosi. Benar aku cuba mengawal diri, tetapi kata-kata Amirul bagai mencabar aku. Dia sembang pasal masa lalu, tetapi dia sendiri tidak tahu apa terjadi pada aku. Adilkah itu?

"Mummy aku paksa sambung belajar di luar negara. Sejak itu aku terjumpa Ariana juga. Tapi, sumpah Amirah. Aku tak ada niat langsung nak tinggal kau. Tak pedulikan kau. Aku tak boleh bantah kata mummy. Dia mak aku. Kau faham, kan?"

Aku menarik nafas, sabar. Semua masalah ada jalan penyelesaian. "Ya, betul. Syurga di bawah telapak kaki ibu, kan? Aku faham. Jadi, semua dah kira settle. Kau sudah bertunang, akan mendirikan rumah tangga selepas ini. Kita cuma kawan, tak lebih dari itu. End of story, kita semua gembira. Betul?"

Amirul seperti mahu membantah. Segera aku pintas, "Cuba terima tunang kau. Bimbing dia ke jalan yang betul. Aku percaya kau boleh buat. Pada asalnya, kita memang tak ada apa-apa Amirul. Status kita kabur. Kita masih boleh berkawan, atas dasar kerja atau memang dah kenal lama. Aku tunggu kad kahwin daripada kau. Assalamualaikum."

Aku segera bangun dan mencapai sling bag di atas meja. Aku memandang Amirul yang tergamam lalu menghadiahkan senyuman. Kau berhak ada kehidupan sendiri. Cuma kau yang tak nak perjuangkan.

Aku keluar dari restoran dengan langkah yang tak cepat, tak juga lambat. Tidak semena-mena aku terlanggar satu lembaga. Aku mengerang sakit di dahi.

"Aina!" Aku membuka mata perlahan. Fariz?!

"Aku ni, Fariz. Kau tak amnesia kan sebab langgar aku?"

Aku memaling ke belakang. Amirul sedang mengejar sambil menjerit memanggil nama aku. Ah, sudah. Buat drama Akasia pula. Aku segera mencapai pergelangan tangan Fariz membawa dia pergi. Dia pakai lengan panjang. Jadi, agak mudah.

"Wei, kau nak pergi mana ni angkut aku sekali?!" Jerit Fariz ketika kami berlari keluar dari restoran mewah itu. Ah tak guna, baru aku perasan yang restoran ni gila besar. Yes, keluar! Kami berhenti, menarik nafas berselang dengan menghembus.

"Kereta kau mana?"

"Kenapa dengan kereta aku pula?"

"Cepatlah!" Desakku. Fariz segera menunjuk sebuah kereta. Oh, lain pula. Aku segera membawa Fariz bersama menuju ke keretanya. Berlari kecil. Alhamdulillah, Amirul tak kejar lagi.

Setelah masuk ke dalam perut kereta, aku menghembus karbon dioksida dengan banyak. Penat tak terkata, habis makanan yang aku jamu tadi tidak dapat diproses dengan baik.

Fariz menghidupkan enjin kereta, mula memandu keluar dari perkarangan restoran mewah. Sesekali Fariz menjelingku. Pasti Fariz mahukan penjelasan. Aku mengeluh dalam diam.

"Dah boleh bentang prolog kut," Fariz memulakan mukaddimah. Aku hanya tayang sengih.

"Eh, bawa aku balik rumah tau. Jangan melencong mana-mana pula. Dah malam, tak elok bawa anak dara orang malam-malam macam ni."

Fariz hanya mencebik. Aku tergelak kecil. Lupa sekejap masalah tadi.

"Oi, aku menunggu ni. Cepatlah cerita dari pokok pangkalnya." Fariz berkata lagi.

"Pokok dah kena tebang. Sekarang tinggal daun yang gugur aje. Itu pun dah kering. Kau datang restoran tu nak keluar ke, nak masuk? Aku main bawa aje kau tadi, tak sempat nak tanya."

"Amboi, berfalsafah pula dengan aku. Nak masuklah, nak makan! Kau pula tiba-tiba muncul entah dari mana. Lepas tu, bawa aku ikut lari. Eh, mamat tadi tu siapa? Dia nak culik kau ke?" Aku tersenyum kecil. Disebabkan aku, Fariz tidak dapat menjamah makanan. Ceh, tak kesian pun la.

"Sorry la kawan. Tak sengaja. Err tak ada. Dia kawan aku." Aku memandang ke luar jendela. Dinner paling teruk pernah aku alami.

"Dia buat apa kat kau?" Fariz cuba mencungkil rahsia.

"Adalah. Sibuk benor nak tahu la. Hantar aje la aku balik rumah."

"Eh, ini kereta aku tahu. Aku campak kau keluar dari kereta, menangis tak berlagu kau nanti!" Fariz berkata serius namun sampai sahaja dalam telinga aku terus menjadi lucu. Not my fault, right?

Sedar atau tidak, sampai juga aku di tempat perlindungan daripada panas dan hujan. Ucap terima kasih, bye, assalamualaikum. Aku pun masuk ke dalam rumah. Suzy mungkin sudah nyenyak diulit mimpi, jadi aku tak perlu disoal siasat sekarang. Itu sudah cukup bagus bagi aku.

Sampai saja dalam bilik, aku terus terlentang atas katil menghadap siling. Minda aku masih mahu memainkan video tentang peristiwa di restoran mewah itu. Dia yang bertunang, aku pula yang susah hati. Rafie dan Amirul lamar aku secara bergilir namun masih hari yang dekat. Dua-dua mengharap aku membalas.

Rafie, sahabat kecil yang dari dulu susah senang bersama aku. Tak sangka ada perasaan lebih terhadap aku. Tapi, entah kenapa aku hanya menganggap dia sebagai kawan atau abang. Tidak pula lebih atau kurang.

Amirul, sahabat dari zaman sekolah menengah sampai ke hari ini. Pernah menjalin hubungan, 'cinta monyet'. Ah, budak-budak. Couple apa sangat dibuat. Panggilan kau-aku masih tak pernah ganti. Tapi, aku tahu dulu memang aku jatuh hati pada dia. Tapi, sekarang tak.. aku tak tahu.

Rafie single. Amirul sudah bertunang. Kalau diikutkan, memang patut aku letak tepi Amirul. Ya, memang perlu diletak tepi. Amirul bukan untuk aku. Kami bukan ditakdirkan untuk bersama. Tunang, ya sekarang bukan setakat tunang boleh putus. Sudah berkahwin anak tiga pun boleh putus di tengah jalan.

Aku bangun menuju ke balkoni. Memang disediakan kerusi malas disitu. Aku duduk di kerusi itu. Gelap, namun dengan adanya lampu jalan dapatlah juga menerangi setiap sudut perumahan ini. Aku memandang ke langit. Kecil. Semua yang kita lihat semua kecil kalau berdasarkan mata kasar.

Aku menyusun langkah menuju ke bilik air, mahu mengambil wudhuk. Aku mencapai telekung dan memakainya. Selesai solat Isyak, aku menunaikan solat sunat taubat. Bertelekulah aku di gelap malam di saat hamba seperti aku di muka bumi ini sedang enak merehatkan minda.

"Aku hambamu yang sangat kerdil, Ya Allah. Kau penguasa alam semesta. Kau mengatur semua yang berada di bumi, di angkasa dan segala-galanya. Kau mengaturkan hidup kami, manusia. Kau berikan harapan di saat kami kesusahan. Kau berikan dugaan kerana Kau sayang pada kami." Air mataku tidak dapat ditahan. Akhirnya, tumpah juga menyembah bumi. Tiada daya mahu diseka. Tanganku masih menadah menghadap kiblat.

"Ya Allah, berilah aku petunjuk. Aku tahu aku tidak layak meminta lebih. Ya Allah, aku mohon kau jagalah jodohku dengan sebaiknya. Tidak kira dia di mana, siapa dirinya. Kalau benar aku tak ada takdir bersama Rafie dan Amirul, damaikanlah hati kami. Biarkan kami menerima dengan hati terbuka." Mataku terpejam sambil air mataku deras mengalir. Teresak-esak namun aku tak mahu menghasilkan suara. Takut Suzy terbangun.

"Kalau jodohku di antara mereka, bahagiakanlah kami. Hanya kepada-Mu aku meminta pertolongan. Ampuni dosaku Ya Allah.." kedua tangan yang sebelum ini menadah, aku telekapkan pada wajah. Air mata yang masih mengalir aku seka perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience