Bab 23

Humor Series 10658

Chapter 23

"AMBOI, sukanya jadi orang tu. Dah ada secret admier pula sekarang. Wah, saham mendadak naik!" Haliza bersuara. Aku hanya memerhati gadis itu pelik. Pada siapa dia bercakap? Kalau diikutkan, yang sedang berjalan masuk ke pejabat hanya aku dan Suzy. Aku memandang Suzy tetapi hanya dibalas jungkitan bahu.

Aku menuju ke meja kerjaku, oh ini rupanya. Patutlah sudah melalak burung helang, Si Haliza itu. Ada sejambak bunga mawar putih diletakkan di atas meja. Sejujurnya aku bukan jenis perempuan yang suka bunga. Tetapi, kalau semenjak dua menjak ni asyik bunga saja diberi, jatuh hatilah juga.

Aku mengambil dan melabuhkan punggung di atas kerusi dengan perlahan. Aku mencium haruman yang dikeluarkan oleh bunga itu. Sangat harum mewangi. Terlihat kad yang terselit dan agak tersembunyi. Aku mengambilnya tanpa banyak tingkah.

Untuk Amirah. Have a nice day. Ingat, aku tak pernah lupa kau. -Amirul-

Lah, Amirul? Aku mengerutkan dahi. Jadi, selama ni yang bagi aku bunga, coklat dan hadiah segala tu, Amirul? Amirul yang beri? Ah, macam tak percaya saja. Aku meletakkan jambangan bunga itu di hujung meja. Tempat tersudut, biar orang tak nampak sangat.

"Hoi, siapa bagi kau bunga tu? Kekasih hati eh?" Suara Haliza kembali berkumandang. Hailah dia ni. Dah lama tak makan penyepak atau dah lama tak telan penumbuk? Sibuk betul jaga tepi kain orang! Macam tak ada kain sendiri. Kain aku, sutera. Tahulah ramai minat.

"Yang kau sibuk kenapa?" Riak wajah aku buat sekerek yang boleh. Aku baru nak buat kerja yang tertangguh dari semalam. Lagi dua hari aku akan jumpa Amirul atas urusan kerja. Kata-kata Datin Asmaniza itu hari masih terikat kemas di dinding minda aku. Mana mungkin aku boleh lupa.

"Alah, aku saja tanya. Itu pun tak boleh ke? Kedekut!" Haliza mula memuncungkan bibir. Aduhai, ini lagi seorang. Suka sangat buat mulut itik. Yalah tahu aku pun selalu buat, tapi kalau orang buat aku rasa macam nak pulas. Sakit mata.

"Memanglah. Kawan aku semua kan para-para kuda. Jadi, terikut samalah aku jadi kedekutnya!" Balasku. Suzy di sebelah hanya terkekek-kekek ketawa. Haliza akhirnya merungut sendirian. Mulut dia terkumat-kamit tapi tiada suara kedengaran. Oh, mungkin dia ikut lirik lagu yang dia sedang dengar. Sedang bersangka baik.

"Wah, ada bunga. Bila kau diisytiharkan dah berpunya ni, Aina? Tak bagi tahu pun!" Satu suara pula menjengah. Hah memang mendapatlah kalau macam ini. Semua nak kata aku macam itu, macam ini. Aku menoleh ke kiri.

"Kau masuk ajelah bilik kau sana. Dah berapa hari tak nampak muka, sekarang nak cari gaduh dengan aku pula? Rindu penumbuk aku ke apa?"

Entah apa yang melucukan, setelah aku berbicara, Haikal ketawa terbahak-bahak. Disampuk jin apa dia ni? Baru berapa hari hilang, dah kena sawan? Baik aku teruskan kerja aku daripada melayan orang tak cukup zat ni.

Aku mengambil langkah untuk tidak melayan. Lantak dialah nak ketawa besar ke, suka hati dia. Company pun company dia. Aku pun tak tahu sebab apa dia ketawa macam itu sekali. Macam lepaskan gian nak ketawa dekat pejabat macam itu. Hailah, dah cukup baik Dato' Awal, bapa kepada Haikal memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada anaknya untuk menguruskan syarikat.

Tapi, macam ini pula jadi. Aku masih menumpukan perhatian kepada komputer. Persediaan untuk berurusan dengan Amirul nanti. Apa yang penting, bila hari itu sampai kerja adalah keutamaan. Tiada sembang lain selain kerja. Kalau dia ubah topik peribadi, memang aku tak nak layan. Aku akan cuba menjadi professional.

"Weh, dah la tu. Bingit telinga aku dengar ketawa kau yang tak pandai nak berhenti. Kau sakit apa sebenarnya?"

Akhirnya, ketawa Haikal mula reda. Rasa syukur aku panjatkan. Kalau dia sambung, memang ada juga kepala kena sekeh!

"Tak adalah. Engkau ni aku tengok macam orang yang bukan senang tangkap chintan. Tup tup hari ni dapat bunga. Mestilah dah ada hubungan ni. Come on la, tak payah nak tipu aku."

Aku mengambil fail yang tebalnya setengah dari kamus dewan bahasa dan pustaka lalu aku hempuk lengannya sekuat yang mungkin. Setelah itu, dengan selamba aku menguntum senyuman. Haikal mengusap-usap lengannya yang menjadi mangsa aku. Haa baru tahu sakit tu apa.

"Okey maaf maaf. Hish, orang gurau sikit pun tak boleh. Aku masuk kerja dululah." Haikal pun pergi dan wajahnya seperti mendung yang sedang menanti hujan. Kaah! Peduli apa aku dengan riak wajah dia. Dia cari pasal, dia sendiri yang tanggunglah.

"AKU dah sembang dengan Haikal yang aku masuk pejabat jam 10 nanti. Sampai office, jangan rindu aku pula eh?" Kening kiri dan kanan aku naik turunkan. Senyuman di bibir aku pasang. Suzy di sebelah dah boleh naik menyampah.

"Okey." Suzy mahu membuka pintu. Aku mengerutkan dahi seribu. Pelik.

"Hoi, okey aje? Tak ada ayat lain? Kosa kata kau dah sampai ending story ke? Sad ke happy ending?"

"Thriller ending! Hero kena bunuh dengan heroin sebab heroin disahkan menghidapi penyakit mental." Balas Suzy.

Aku menjuih bibir. Itu pula balasan dia pada aku. Apabila sudah selesai bercekerama dalam kereta, Suzy pun keluar. Aku menekan pedal minyak dan kereta kembali bergerak menyusuri jalan raya.

Sementelah 15 minit berlalu, aku pun sampai di Restoran Hidayah. Agak eklusif berbanding restoran yang pernah aku kunjungi. Untung Amirul sudah beri tunjuk arah, tahulah juga aku tempat ini. Kalau betul jam aku ni, lagi 5 minit dia sampailah. Oleh itu, aku membuat keputusan untuk menunggu di dalam sahaja.

Air kosong aku pesan supaya tidaklah dianggap untuk menumpang duduk sahaja. Sesekali aku memanjangkan leher untuk melihat kedatangan orang. Namun, kelibat Amirul masih tidak kelihatan.

Tunggu punya tunggu, ucapan salam menjengah halwa pendengaran. Aku tersenyum tipis dan lantas menjawab. Tak perlu berdiri, aku menjemput lelaki itu untuk duduk. Memang cadangan aku pun nak datang awal. Lagipun, bukan lama pun menunggu.

"Dah sarapan? Kalau belum, pesanlah. Dah siap, baru kita mula." Air kosong di hadapan aku letak tepi. Aku sudah bersarapan dengan Suzy terlebih dahulu di rumah, menjamah roti bakar. Sebab itulah aku hanya memesan air kosong.

Kalau dulu, dia yang mula dulu untuk tanya aku bagai, sekarang aku pula. Aku tak mahu menampakkan aku gugup atau apa. Amirul tinggal bersama keluarga. Tidak mustahil yang Datin Asmaniza tidak bersuara. Kalau tidak dibangkitkan persoalan itu, adalah lebih baik.

Amirul mengangguk lalu memesan makanan setelah memanggil pelayan. Hidangan yang dipesan Amirul cepat sampai kerana terlalu ringkas.

"Tak makan sekali?" Amirul mendongakkan kepala setelah separuh hidangan dia jamah. Aku hanya menggeleng tanda tidak.

Sementara menunggu, aku kembali menilik kertas-kertas yang dibawa. Mungkin dalam sebulan dah settle benda ni. Lagipun, kalau setakat bidang aku.. memang sebulan. Selepas itu, projek itu akan bertukar tangan untuk diselesaikan sepenuhnya. Mampu lagikah aku bertahan selama satu bulan?

Makanan yang dipesan oleh Amirul habis dan kami pun memulakan perbincangan. Hanya kami berdua saat ini berada di meja. Pelanggan makin menyusut kerana waktu bekerja sudah tiba. Yang ada hanyalah segelintir dan cuma berbual kosong.

Perbincangan selama dua jam itu akhirnya kelar juga. Aku menilik jam tangan, masih berbaki setengah jam untuk aku tepat sampai ke pejabat. Fail dan buku nota aku tutup. Pen ditangan aku tekan dan secara automatik penanya masuk ke dalam. Aku lebih gemar menulis berbanding menaip.

"Kalau macam tu saya balik dululah ya. Next discussion nanti kita bincang." Aku memasukkan kertas-kertas ke dalam beg hitam yang aku akan jinjing nanti. Di saat aku mahu bangun, aku kembali duduk. Pandangan aku talakan kepada Amirul yang masih berdiam diri.

"Kau tak ada niat nak batalkan projek yang kita buat bersama? Antara kau dan Haikal, biar. Antara kita," aku memandang Amirul lunak. Menanti jawapan yang aku inginkan. Aku yakin kalau projek ni masih akan kekal berjalan kerana bukan aku saja yang pakar tentang ini. Ramai lagi.

"Kenapa kena batalkan? Kau dah tak suka kita ada hubungan kerja?" Wajah tenang Amirul langsung tak beri aku peluang malah menyesakkan jiwa aku. Dia tak bangkitkan hal mummy dia. Maksudnya, Datin Asmaniza tak cerita lagi.

"Tak. Aku saja tanya. Erm okeylah. Aku gerak dulu." Aku segera angkat punggung dan berlalu pergi. Air kosong tadi sudah pun aku bayar setelah pesanan diambil. Jadi, agak mudah untuk melepaskan diri.

Aku segera masuk ke dalam perut kereta. Beg hitam serta beg tangan, aku lempar ke tempat duduk di sebelah. Helaan nafas panjang aku lepaskan. Cermin pandang belakang aku betulkan. Aku mula menghidupkan enjin. Setelah itu, kereta mula bergerak dan aku sangat perlukan perkhidmatan DJ radio saat ini.

Keluhan demi keluhan aku lepaskan. Macam mana aku nak larikan diri daripada Amirul sedangkan Amirul seperti mengejar aku dari belakang? Masalah Datin Asmaniza lagi yang memang tak akan pernah habis.

Encik Sufian dan ayah aku dahulu merupakan teman rapat. Dulu kata ayah, Datin Asmaniza tertangkap ketika mahu membuat perkara tidak elok kepada client Encik Sufian. Atau lebih tepatnya, sabotaj.

Ayah berusaha untuk buat tak tahu, tapi Encik Sufian tetap sahabatnya. Jadi, dia beri tahu. Encik Sufian tidak percaya namun hubungan Encik Sufian dan ayah masih utuh. Tapi, semenjak ayah difitnah menggelapkan duit syarikat Encik Sufian, keadaan berubah.

Imej syarikat ayah musnah. Semua pelabur tarik diri. Dengan sekelip mata syarikat yang ayah usahakan selama bertahun-tahun hancur. Ayah tak berdendam. Memang ayah tidak beri tahu siapa pelakunya, siapa penfitnahnya. Namun, aku tahu.

AKU melabuhkan punggung sebaik sahaja sofa bagai memanggil-manggil. Suzy juga turut mengambil tempat di sebelah. Kunci kereta aku lempar ke atas meja. Tudung aku buka dan biarkan angin dari pintu yang terbuka luas.

Apabila terasa getaran daripada poket seluar, aku terus mengeluarkan telefon. Mesej. Jadi, aku buka. Oh dari Fariz.

Malam ni datang World Cafe jam 8 malam. Aku tunggu kat depan pintu cafe.

Ringkas dan padat. Aku menekan punat untuk kembali ke home. Aku memandang Suzy yang keletihan. Suzy memang macam ini. Aku yang bawa kereta, dia sedap tidur bertemankan penghawa dingin, tapi penat dia melebihi aku pula.

"Suzy, World Cafe kat mana?"

"Dekat aje. Dalam setengah jam dah sampai la kut. Tengok la GPS, malas aku nak terang."

Aku menjuih bibir. Kalau macam tu, baik cakap tengok GPS terus. Kat situ pun ada terang berapa jam masa yang diperlukan untuk sampai. Aku pun naik ke atas untuk membersihkan badan sekaligus menunaikan tanggungjawab kepada yang Esa.

Suzy ada bagi tahu yang dia akan balik rumah dan tidur sana malam ni. Katanya ada masalah keluarga. Jenis masalah aku kurang tahu. Agaknya dah keluar la tu. Aku ni duduk KL, sebenarnya nak memudahkan kerja. Duit minyak pun boleh simpan sikit-sikit. Kalau dari rumah ibu nak datang kerja, alamatnya memang tak ada simpananlah aku setiap bulan.

Berkenalan dengan Suzy di pejabat bagai datang membawa rahmat. Aku diajak duduk sama dan aku hanya dibenarkan bayar duit sewa rumah sahaja. Yang lain semua Suzy tanggung. Akibat aku dan dia sama tempat kerja, dia pun nak minta tumpang.

Pertama kali datang rumah sewa ni, pergh besarnya! Ditanya kenapa sewa rumah, sedangkan aku tahu dia anak orang berada. Katanya, "Nak belajar berdikari." Hailah, orang kaya ni. Kalau ditanya kenapa tak kerja dengan syarikat ayah, "Nak cari pengalaman."

Kalau masuk tahun ni, memang aku dah tak kisahkan semua tu. Jawapan dia semua dah sebati dengan aku. Baju kurung berwarna krim dihiasi bunga-bunga kecil berwarna merah jambu aku ambil. Sudah siap berseterika.

Setelah siap total, aku mengambil sling bag yang sudah lama aku tak pakai pergi ke tempat kerja. Maklumlah, sekarang dah pakai beg tangan pemberian Ibu semasa aku hantar bajunya waktu itu. Aku memang tiada beg lain selain sling bag yang sedang aku galas ini.

TV ditutup, aku terus memakai kasut. Tangan aku mencapai kunci kereta. Setelah memastikan yang semua sudah ditutup, aku keluar dan pintu pula bertutup. Aku mula menghidupkan enjin. Setelah semua bahagian kereta keluar dari halaman, aku keluar dan mula menutup pagar pula. Sudah jadi rutin harian.

Bergurukan GPS, akhirnya aku sampai di World Cafe. Jam di telefon sudah pukul 8:03. Maksudnya, Fariz mesti sudah menunggu di pintu masuk. Setelah kereta diparking, aku mula berjalan mendekati kafe tersebut. Hanya ada kereta aku dan Fariz sahaja. Pukul berapa agaknya World Cafe ni dibuka?

Aku mula berjalan dengan langkah perlahan. Ya, Fariz sudah pun tiba dan dia sudah berpakaian suit lengkap berwarna hitam dan ditemani tali leher berwarna kelabu belang putih. Senyuman terukir di wajah tenangnya. Cermin mata yang dipakai tidak mengganggu ketampanan dia.

Aku turut mengukir senyuman kecil apabila sudah sampai di hadapan pintu kafe.

"Err memang kita berdua saja ke yang ada?" Aku meliarkan biji mata memerhati kembali persekitaran. Benar, tiada sebarang kereta yang wujud di sini kecuali milik aku dan Fariz. Aku berpaling kepada Fariz semula, menanti jawapan.

"Jom," beg sandang yang aku galas di bahu, ditarik perlahan oleh Fariz. Aku hanya mengikut. Pintu dibuka, kami selamat masuk ke dalam perut kafe. Kosong. Tiada satu orang pun di dalam. Hanya ada satu meja yang kelihatan menonjol. Pasti itu destinasi kami.

Aku segera duduk tanpa dijemput. Karang kalau aku berdiri lama, disangka nak ditarik kerusi pula. Aku juga tak nak hal itu berlaku. Fariz turut mengambil tempat di hadapan aku. Ya, memang hanya ada dua kerusi untuk meja ini. Aku mula berasa tidak sedap hati. Bukan apa, berdua sahaja di sebuah kafe? Tak bagus!

"Kita makan dulu." Pelawa Fariz. Aku hanya mengangguk. Memang tampak lazat pun hidangan di depan mata. Apa lagi, terus ngap la! Peduli apa Fariz nak kata aku macam tak makan separuh bulan pun.

Sesekali aku mengambil minuman yang berada di sisi kanan. Fariz makan juga dan sekali-sekala dia pandang aku lalu tersenyum. Kadang, dia suruh aku makan perlahan-perlahan. Tapi, memang tak masuk la dalam telinga.

"Sedap? Aku masak sendiri ni!" Fariz mendabik dada bangga. Senyuman orang baru menang piala emas ditampal pada bibir Fariz. Aku hanya mencebik dalam diam.

"Ceh, ingat aku percayalah? Sedap yalah sedap. Tapi, kalau betul air tangan kau terus jadi macam nak tercekik!" Aku membuat aksi tercekik lalu ketawa sakan. Makanan yang tersisa aku suapkan dalam mulut lagi.

Fariz menjuih bibir. Aku mengikut rentaknya, ikut menjuih bibir. Dia mengambil air, aku turut mengikut. Dia suap makanan guna sudu, aku ikut. Aku dah serupa bayang dia dah.

"Huh! Jelak sungguh aku tengok kau ni. Hish. Macam mana? Semua okey?" Fariz mula membuka topik perbualan. Makanan dia pun sudah boleh dianggap habis. Aku saja yang lembap benar menyuap. Entah apa dijaga sangat aku ni.

"Okey apa okey?"

"Life kau okey tak? Hish, nak juga aku kata specific." Fariz mengelap mulutnya dengan tisu yang memang tersedia. Tak adanya nak diletak atas riba bagai, tak usah.

Aku mengangguk lalu meminum air dengan pantas. Tersedak kecil pula tadi. "Okey. Kau okey?" Fariz mengangguk lalu tangannya diletakkan di bawah, di atas riba mungkin. Tadi tangannya di atas meja.

"Aku ada perkara nak beri tahu kau." Wajah serius Fariz menarik perhatian aku untuk tidak terus bergerak-gerak. Sudu dan garfu aku silangkan di atas pinggan. Selesai sudah aku makan. Kini, aku memandang Fariz untuk menunggu dia meneruskan perbicaraan dia.

Tiba-tiba sekuntum mawar merah hati dikeluarkan dari bawah dan kini berada di tangan Fariz. Perlahan-lahan tangannya mendekati aku. Diletakkan mawar tersebut di atas meja berdekatan dengan aku. Mawar ini serupa macam apa yang aku terima di rumah. Masa mula-mula aku dihantui rasa berterima kasih kepada pemberi. Mawar ini yang muncul dan seterusnya mawar tetap sama namun warnanya berbeza.

Aku memandang Fariz dan mengerutkan dahi. Pandangan aku talakan kepada mawar dan Fariz secara bergilir. Fariz mengukir senyuman. Oh dan kini sangat seram senyuman yang terlakar. Aku meneguk air liur basah. Menanti apa yang akan keluar dari mulut Fariz.

Gelas yang berada di sisi aku capai, minum. Bagi mengurangkan degupan jantung yang makin menggila. Memang, aku memang rasa tak sedap hati dari tadi. Tadi bunga, sekarang apa pula? Apa yang dia mahu cakap?

"Aku nak kahwin dengan kau."

Tersembur keluar minuman yang diteguk. Tidak sempat aku nak telan, tapi sudah terkeluar. Aku segera mencapai tisu yang berada di atas meja. Satu kemudahan yang sangat aku hargai pada saat ini. Tudung yang terkena, aku lap sedikit. Nasib baik hanya air kosong sahaja. Kalau air oren jus tadi aku minum, merana aku.

Perlahan-lahan aku mendongakkan kepala untuk memerhati Fariz. Fariz mengulum senyuman. Entah pahit, kelat, manis, sinis ataupun seram. Yang penting dia tersenyum memandang aku. Tetapi, hati dia sukar untuk aku tahu.

"Ap... apa kau cakap tadi?" Aku meminta belas Fariz untuk mengulangi pernyataan dia semula. Manalah tahu aku salah dengar tadi. Ya, memang aku berharap aku salah dengar dan aku memang ada sound trouble untuk seketika. Sebab pernyataan dia sangat gila!

"Aku nak kau kahwin dengan aku. Kalau boleh, secepat mungkin." Muka Fariz yang tenang buat aku macam nak tumbuk beberapa kali. Wajah dia selamba dan tiada penekanan dalam suara dia. Aku mengerutkan dahi, masih wajah Fariz menjadi tatapan aku. Mencari kalau-kalau ada riak mahu bergurau di situ.

Tak guna, dia masih serius. Tiada tawa yang meledak dari mulut Fariz. Beberapa minit sudah pun berlalu. Fariz masih dengan wajah tenangnya. Betul-betul buat aku rasa nak sekeh.

"Kalau dah okey, aku akan hantar meminang kau secepat mungkin. Mungkin dalam bulan ni juga kita akan nikah. Bersanding tak perlu pun tak apa." Bibir Fariz bergerak lagi. Dia bercakap seperti aku dah beri kata putus.

"Hoi! Sekejap. Kau kenapa ni? Saja nak prank aku eh?" Suara aku bergetaran. Kalau boleh, sekarang juga aku mahu balik. Tapi, aku perlu dapatkan penjelasan yang lebih terperinci daripada Fariz.

Bibir Fariz menguntum senyuman. Wajah tenangnya seakan-akan bertukar menjadi seram. Tiada lagi mata yang kuyu, yang ada cuma mata garang. Aku terasa diri sangat kecil ditenung sebegitu rupa. Perlahan-lahan aku menarik nafas, tenang.

"Rafie dengan Amirul bukan untuk kau. Kau cuma untuk aku. Kau milik aku!" Fariz merentap tangan aku. Aku mengaduh kesakitan, genggaman Fariz sangat kuat. Cengkamannya macam boleh meninggalkan kesan.

"Fariz... lepaskan tangan aku. Sakit..." rayuku secara perlahan. Aku menoleh ke kiri dan kanan, mencari orang. Malangnya memang aku dan Fariz saja di dalam kafe ini. Pelayan tiada, cleaner apatah lagi!

"Cari apa, sayang? Jangan risau. Dalam kafe ni hanya ada saya dan awak sahaja.. Pintu pun dah kunci. Nak lari pun tak dapat," senyuman Fariz kembali menguntum. Perlahan-lahan dia melepaskan tangan aku. Aku mengambil peluang ini untuk bangun dan melarikan diri.

Meja-meja di sekitar membuatkan aku sukar untuk berlari. Semua yang jadi penghalang, aku tolak ke tepi. Tiada masa untuk aku menoleh ke belakang. Mengapa aku tak buat dia pengsan dulu tadi?! Barang keras banyak, cuma perlu hempuk dekat kepala dia saja!

Apabila sudah sampai di pintu, aku berhenti seketika. Termengah-mengah aku di situ. Tangan kanan mencapai tombol pintu, dipusing. Damn! Betul, pintu berkunci! Aku memandang ke belakang. Fariz berjalan dengan gaya santai dan senyuman masih tak lepas dari bibir. Beg sandang di bahu aku genggam erat. Mungkin boleh menjadi perisai nantinya.

"Kau dah kenapa ni, Fariz? Istighfar! Ingat Allah, Fariz. Lepaskan aku..." lirihku. Aku masih tidak berganjak malah Fariz yang makin mendekat. Derapan kasut Fariz, membuatkan jantung aku makin berdegup kencang.

"Lepaskan apa? Aku sihat. Tak ada apa pun. Aku cuma nak kau kahwin dengan aku. Susah sangat ke? Kalau perlu kita pergi pejabat agama malam ni juga! Nak gaun pengantin? Nanti aku suruh pembantu peribadi aku sediakan..."

Fariz semakin mendekat. Ini semua gila! Tak kesedapan hati aku membawa makna. Seharusnya aku mengambil langkah berjaga-jaga sebelum masuk ke dalam kafe sunyi ini. Sudah tahu tiada kereta yang wujud, maksudnya memang ada sesuatu yang tak kena.

"Fariz... sabar. Hal ni kita boleh bawa bincang. Jangan gopoh-gapah." Aku memujuk pula. Silap langkah, entah apa yang bakal terjadi pada aku. Aku tidak mahu mengalirkan air mata. Aku tak mahu kelihatan lemah di mata lelaki mabuk ini! Mana pergi kawan tadika aku yang suka menangis dulu?

"Sabar Aina? Sabar? Bertahun aku cari kau, kau kata aku perlu sabar lagi? Kau seorang yang berani cakap dengan aku.. kau seorang. Dari kecil aku tak ada kawan. Tak ada teman untuk bersembang." Fariz mula duduk di atas lantai berjubin itu. Dia duduk bersila dan memandang ke arah tingkap kafe. Termenung.

"Ayah aku kata.. aku sakit. Mak aku kata, aku sihat. Jadi, aku percaya pada mak aku yang aku memang sihat. Berkat mak aku juga aku dapat ambil alih syarikat dia. Ayah aku.. ayah aku dah lama mati. Nak tahu kenapa?"

Aku menggeleng pantas. Serentak habis dia bercakap, terus pandangannya ditalakan pada aku.

"Tak nak tahu?" Ah, dia nak bercerita kenapa aku geleng pula? Aku segera mengangguk. Dia tersenyum selepas itu. Aku mula berjalan dan duduk mencangkung di sudut kafe. Tidak jauh dari tempat bersila Fariz.

"Masa dia sakit, aku tawar diri nak jaga dia. Aku.. aku lemaskan dia dengan bantal! Tak lama, dalam hitungan detik dia dah mati. Tak ada siapa yang tahu.. kau seorang yang tahu. Tapi, kau jangan beritahu sesiapa pula tau?" Fariz kembali memandang aku dan aku kini mengangguk pantas. Senyuman kembali terukir. Aku melirik jam tangan di pergelangan. Sudah malam sangat.

"Fariz.. hari dah malam. Kita balik jom? Main malam-malam tak best. Gelap, aku pun tak nampak muka kau. Bukakan pintu, ya?" Aku berusaha memujuk. Aku mengulum senyuman agar lakonanku berhasil. Fariz memandang aku dalam.

"Tapi.. nanti kau lari. Kau dah tak mahu cakap dengan aku lagi."

"Tak. Kita kan kawan. Mana ada aku lari dari kau. Aku cuma nak balik rumah. Dah mengantuk," aku menguap berkali-kali dengan sengaja. Sesekali mata tertutup aku celikkan untuk memandang Fariz. Lelaki ini boleh buat aku tak tidur malam gamaknya.

"Boleh! Tapi kau janji kena kahwin dengan aku. Janji?" Jari kelingking ditujukan. Dia tidak mendekat namun masih ditunjukkan jarinya.

"Ha.. ya,"

"Buatlah macam ni!" Fariz menunjukkan jarinya lagi. Aku segera membuat. Lalu aku bangun dengan segera. Fariz turut bangun dan bibirnya terus tersenyum. Dia membuka pintu kafe perlahan-lahan.

"Bye, Aina. Nanti bila waktu senggang kita cari cincin, okey?" Belum empat langkah aku lalui, Fariz bersuara. Kaki ni memang tak boleh jalan cepat lagi ke? Dah elok dia bagi aku keluar! Aku berpusing ke belakang. Aku menundukkan kepala dan berlari kecil ke dalam kereta.

Aku menghidupkan enjin dan segera berlalu. Melalui cermin pandang sisi, masih terlihat Fariz di hadapan pintu kafe yang tersenyum gembira sambil melambaikan tangan.

Tanpa diundang, air mata jatuh berjuraian. Takut menyelubungi diri. Tangan yang memegang stereng kereta, bergetar. Aku membuat keputusan untuk balik ke rumah Ibu. Tak sanggup rasanya mahu balik ke rumah sewa. Ketiadaan Suzy juga menjadi satu sebab.

Satu persoalan menjengah masuk ke dalam fikiran. Apa yang telah terjadi kepada Fariz sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience