1

Other Series 41450

BANDAR BARU BANGI, SELANGOR.

“Vroommm!”

Bunyi enjin motosikal dihidupkan. Hari ini Balqis bercadang untuk menunggang superbike nya ke Negeri Melaka. Cuti hujung minggu hanya dua hari sahaja. Pergi tempat dekat-dekat sudahlah. Lainlah kalau cuti panjang, bolehlah dia merayau sampai ke negeri-negeri di Pantai Timur atau negeri-negeri di Utara Semenanjung tanah air.

Ini pun dia dah lama tak pergi ke mana-mana dek kerana kesibukan tugasan di pejabat. Tapi oleh kerana rasa bosan yang amat tinggal di rumah keseorangan, Balqis tekad untuk keluar mengambil angin dengan motosikal kesayangannya tanpa apa-apa rancangan. Housematenya, Sarah, awal pagi lagi sudah keluar bersama tunangnya untuk membeli barang hantaran sempena majlis perkahwinan mereka pada hujung tahun ini.

Balqis memeriksa kandungan bag packnya. Barangan peribadi, sepersalinan pakaian, tuala kecil, telekung travel yang boleh dilipat saiz mini, powerbank, charger HP dan barangan lain yang dirasakan perlu, semuanya dipastikan tidak tercicir. Balqis memeriksa sekali lagi motosikal Yamaha YZF R6 nya itu. Walaupun ianya telah dihantar servis pada awal bulan yang lalu, motosikal berwarna Team Yamaha Blue itu perlu dipastikan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan sebentar lagi.

Setelah berpuas hati, Balqis memperkemaskan jaket Alpinestars di badannya , membaca Surah Al-Fatihah, ayat Kursi dan doa menaiki kenderaan, dia pun memulas throttle superbikenya menuju ke lebuh raya.

***************************************
R&R SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN.

Sedang syok Yamaha YZF R6 biru itu membelah highway, tiba-tiba…

“Aduh! Sakit perut la pulak!”

‘Perut ni pun, belum sampai Seremban lagi kau dah buat hal.. Tunggu la sampai Melaka dulu ke… Adoihhh,’ Balqis menggerutu dalam hati.

Nak tak nak, dia tetap kena singgah di R&R Seremban untuk melayan perutnya yang kesakitan. Signal ke kiri dipasang menandakan dia hendak memasuki lorong ke R&R tersebut. Betullah makna ‘R&R’ ni adalah ‘Rehat & Rawat’ – untuk pengguna lebuhraya berhenti berehat sebentar, dan merawat apa yang patut… Macam Balqis ni lah… Nak rawat perutnya yang memulas.

Balqis terus menuju ke stesen petrol paling hujung R&R Seremban. Setelah memarkir motosikalnya, dengan pantas dia berjalan laju menuju ke bilik air wanita yang terletak di belakang stesen petrol tersebut.

Tiba-tiba langkahya terhenti kerana terasa seperti ada orang menyentuh bahunya dan berkata..

“Hello, Bro… Aku rasa kau salah toilet .. Ni toilet perempuan.. Tu baru toilet lelaki…” katanya sambil jarinya menunjukkan ke arah bilik air lelaki.

‘Eh? Dah kenapa??? Aku dah la tak tahan ni…Ada yang ‘tersembur’ kat sini je kang…’ Balqis membebel dalam hati.

Owh! Balqis lupa. Dia tak sempat nak menanggalkan helmet fullface nya kerana tergesa-gesa nak melampiaskan hajat perutnya. Patutlah orang tak perasan yang dia tu perempuan. Lelaki tadi masih merenungnya sambil jarinya masih belum putus asa menunjukkan arah bilik air lelaki.

Melihat keadaan itu, Balqis cepat-cepat menanggalkan helmetnya dan berkata, “Wa’alaikumusssalam warahmatullah, Brader.. Saya ni perempuanlah! And excuse me, boleh tepi sikit? Saya dah tak tahan nak buang air ni…”. Garang.

Lelaki tadi tercengang. Dia melihat Balqis tanpa berkelip.

Balqis terus menolak badan tegap lelaki tinggi itu ke tepi apabila melihat seolah-olah tiada apa-apa respon darinya.

Lama lelaki tadi berdiri dan termenung, sebelum dia melangkah meninggalkan koridor bilik air. Bukan apa, dia terkejut sebenarnya. Malu pun ada kerana tersalah sangka. Dari luaran, sekali pandang susuk tubuh orang yang ditegur tadi tidaklah pula kelihatan seperti seorang perempuan. Ye lah.. Kalau di kalangan perempuan, Balqis ni dikategorikan tinggi juga. Dengan athletic body yang dimiliki Balqis, manalah jejaka tu nak tahu di sebalik jaket kulit, helmet fullface, kasut but tu tersembunyi seorang bidadari berhijab? Eh!? Apa dia cakap tadi? Bidadari?? Rasa terkejutnya bercampur malu mungkin menyebabkan dia tidak dapat berfikir dengan baik hingga tidak dapat membezakan Balqis yang berwajah garang tadi dengan bidadari.

Balqis pula, setelah selesai melangsaikan qada’ hajat, keluar menuju ke superbike nya. Baru dua saat berdiri di samping motosikalnya, dia kembali tergesa-gesa ke dalam toilet semula. Apalah yang dibedalnya malam tadi hingga terpaksa berulang keluar-masuk bilik air. Kesian kau, Balqis…

Selesai qada’ hajat pusingan kedua, Balqis laju membeli sebotol kecil air mineral untuk diminum. Setelah duduk di tepi motosikalnya, air sejuk itu diteguk laju. Maklumlah, dah banyak ‘dilaburkannya’ tadi, mestilah kena minum air banyak-banyak. Kang dehydrate… Dia tidak peduli dengan mata-mata di sekeliling yang memandang. Bukan dia tidak biasa. Yelah, dia perempuan. Berhijab pulak tu. Tiba-tiba dengan superbike. Macam kontra je, kan?

Tapi nak buat macamana.. Dah itu hobinya. Bukan dia tidak pernah buat hobi lain. Dia suka je hiking, cycling atau swimming. Cuma hari ini je dia rasa nak ride. Saja dah lama tak bawa Si Biru (gelarannya untuk superbike kesayangannya) ni berjalan. Beli mahal-mahal, takkan nak biar jadi tukun pulak?

Air diteguk lagi. Tiba-tiba dia disapa seseorang…

“Assalamu’alaikum warahmatullah…”

“Wa’alaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh..” Jawab Balqis sambil menoleh ke sisi.

‘Eh? Ni makhluk tadi kan? Yang block aku depan jamban tadi… Dia ni nak apa pulak?’ Gumamnya dalam hati.

“Errr…Cik.. Puan.. Sedari…Sis…” Teragak-agak lelaki itu mengeluarkan kata-kata dek kerana renungan ‘ma’rifat’ Balqis terhadapnya.

“Errr… Saya Fiz… Saya nak minta maaf pasal hal tadi.. Boleh tak awak maafkan saya?” Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Fiz itu berbunyi sambil memberanikan diri melabuhkan punggung di sebelah Balqis.

Balqis menjarakkan sedikit kedudukannya tapi masih merenung lelaki yang sedang tersengih itu. Diam. Tak berkata apa. Tapi dalam hati…

‘Apa? Minta maaf? Kau tahu tak tadi usus aku rasa macam nak meletup?? Aku dah ‘hujung-hujung’ je tauuuu.. Kalau lambat sikit je aku dah melabur kat koridor tu.. Kau nak bertanggungjawab ke? Kau nak tolong cucikan ke? Eeeiiii! Kecik-besar-kecik-besarrr je aku tengok kau ni…’

‘Kau ingat kau hensem, kau boleh racun pemikiran aku? (Eh? Apesal aku cakap dia hensem?)’

‘Apa sengih-sengih? Tahulah gigi kau putih tersusun rapi, plus kredit ada gigi siong macam vampire.. (Eh? Apesal aku terpuji dia ni??)’

‘Kau ingat badan kau yang nampak keras dan tough ni boleh takutkan aku? (What the fishhh?)’

Tu la.. Kalau hati tak tenang, memang macam-macam benda spontan melompat keluar dari minda separa sedar kau, Balqis..

Hmmm… Tapi tu semua berlegar-legar dalam fikiran jela. Dah namanya Balqis yang seorang ni, memang tidaklah dia nak menyembang dengan orang yang dia tak kenal dan tak biasa. Diakan pendiam, suka buat hal sendiri, tak amik port pasal orang lain sangat.

“OK”. Dua patah perkataan dari Balqis sambil membelek motosikalnya.

“Tu je?”

“Ya.”

“Takkan tu je?” Fiz tidak berpuas hati.

Balqis mula bengang.

“Habis tu, awak nak apa lagi…..? Awak dah minta maaf. Saya dah maafkan awak. Kes selesai. Kita dah takde berhutang apa-apa lagi… Dengan itu, saya minta nak undur diri. Saya nak gerak dah ni.. Kang lambat sampai..Wassalam.” Dia bingkas bangun.

“Eh.. Kejap.. Saya belum tahu nama awak… Saya ada banyak benda nak tanya awak…”

“Encik Fiz, awak ingat ini sesi temuramah jejak kasihan ke? Awak pergilah interview orang lain kat sini. Ada ramai lagi orang kat sini. Tu Bangla tu, pegi la tanya dia, dah berapa lama datang bekerja di Malaysia, berapa gaji dia, dah makan ke belum, tinggal kat mana, pergi kerja naik apa…tanya la pasal keluarga dia di kampong..” Balqis membalas sambil menunjukkan seorang pekerja warga asing di stesen minyak tersebut yang sedang mengisi minyak ke dalam tangki kereta pelanggan.

“Tapi, saya nak tanya awak. Bukan Bangla tu….”

“Hello brader…perjalanan saya masih jauh lagi. Saya ni naik moto tau, bukan kereta. Sekarang ni cuaca tak menentu. Saya nak sampai cepat ke Melaka sebelum hujan.. “ Jawab Balqis.

“Great! Saya pun on the way ke Melaka. Jom kita gerak sekali.” Bercahaya mata lelaki itu bila mengetahui yang mereka berdua mempunyai destinasi yang sama.

“Eh! Silap… saya nak ke JB sebenarnya… bukan ke Melaka… Saya salah cakap tadi.. Sebab sakit perut agaknya.....” Balqis memberi alasan.

Fiz tersenyum. Terserlah kemanisan jejaka itu. Dia tahu Balqis sedang mengelakkan diri darinya.

“Cik Superbike, tak baik bohong tau.. Perjalanan awak jauh lagi. Awak tu bukannya sihat sangat.. Saya tahu awak dua kali berulang keluar-masuk ke toilet tadi… Dah ok ke perut awak tu?”

‘Alamak! Dia nampak la muka aku berkerut-kerut tadi ? Adoihh.. Dia ni la kannnn…’ Balqis rasa malu. Dia rasa macam takda orang yang perhati apa yang berlaku pada dia. Tapi makhluk ganjil ni boleh nampak la pulak..

“Cik Superbike, jom la.. kita gerak sekali.. At least awak ada la teman sampai ke Melaka. Anything happen, saya ada,” ujar Fiz lagi. Dia risau sebenarnya. Dia tahu Balqis masih belum sihat sepenuhnya. Dan Balqis ride seorang diri. Perempuan pula lagi tu. Fiz rasa terpanggil untuk melindungi gadis itu. Ye lah.. perempuan kan insan yang lemah.. Kaum Adam haruslah mempunyai rasa bertanggungjawab untuk protect kaum Hawa… Tak gitu?

“Thank you for your concern. Tapi InsyaAllah, saya okey,” jawab Balqis. Masih menolak. Bukan dia sombong, tapi dia tak kenal pun lelaki ni. Baru jumpa hari ini, di sini…R&R Seremban… Tu pun depan jamban…

Adoi… Apa punya tak strategik la tempat pertemuan….

“Jommm… Saya follow awak… Tu kereta saya.. Yang warna putih belakang van Poslaju tu.. Awak jangan pecut pulak.. kang tak terkejar saya..” Ujar jejaka itu seraya berlari-lari anak menuju ke kereta Honda Civic Vtec putihnya, takut ditinggalkan gadis superbike itu.

Balqis malas nak bercakap banyak lagi. Lebih banyak dia menjawab lelaki itu, lebih lambat dia bergerak semula. Lantas dia hidupkan enjin Yamaha R6 nya menghasilkan deruman bunyi yang paling sedap didengar. Laju dia menaikkan zip jaketnya, menggalas bag pack saiz sederhana di belakangnya dan menyarung helmet fullface ke kepalanya. Throttle dipulas sedikit, kemudian dia pun memulakan perjalanannya yang tertangguh, diikuti oleh jejaka yang digelar ‘makhluk ganjil’ itu.

Share this novel

Anis Faiza Mansur
2020-06-22 15:31:34 

cerita tergantung bila nk update....

Nor Wan
2020-05-12 00:18:52 

bila nak sambung citer ni..lama da kot tak update

Anis Faiza Mansur
2020-02-21 09:17:38 

bika nk sambung ni... tk sabar nk baca nk tahu apa kesudahan cinta mereka


NovelPlus Premium

The best ads free experience